ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Kisah: ‘Butch’ Sirul dan ‘Sundance’ Azilah

‎#SEBUAH kisah yang bakal menjadi epik suatu hari nanti (mungkin) ...

DALAM dunia lidah Inggeris, terutama AS dan UK, sering dikatakan bahawa filem mencerminkan kehidupan. Begitu juga sebaliknya: kehidupan mencerminkan filem.

Pemerian begini bermula apabila filem menjadi satu seni dalam budaya popular, terutama apabila filem mula bercakap dalam tahun 1928.

Selaras dengan itu, kisah Sirul dan Azilah yang sedang menunggu pelaksanaan hukuman gantung kerana membunuh Altantuya, seorang wanita Mongolia, mengingatkan saya kepada filem Butch Cassidy and the Sundance Kid (BCSK) lakonan Paul Newman dan Robert Redford, bintang utama Hollywood suatu ketika dulu. Ia diterbitkan pada tahun 1969. Newman sudah meninggal tetapi Redford masih ada.

Begitu mendalamnya kesan filem itu pada diri Redford sehingga beliau menamakan Sundance untuk saluran TV yang diasaskannya. Kini saluran khusus untuk filem ini dilanggan begitu banyak stesen TV di seluruh dunia, termasuk Astro di Malaysia.  

BCSK mengisahkan dua pemuda yang merompak dan membunuh. Dalam usaha mereka melarikan diri dari cekupan undang-undang, mereka melintasi sempadan AS dan masuk ke Mexico.

Mereka sebagai penjenayah menjadi manusia yang disayangi penonton: suka melihat mereka terselamat dari kejaran pihak berkuasa AS dan Mexico.

Dengan kata-kata lain, kisah orang jahat yang melakukan jenayah berat diadunkan begitu rupa sehingga ia disifatkan sebagai sebuah drama komedi. Justeru filem itu amat popular dan sangat laris.

Dalam menghadapi hukuman mati, Sirul bukan saja melangkah sempadan, malah menjangkau Lautan India Selatan – ke Australia. Rata-rata orang bertanya: bagaimana seorang yang menghadapi perbicaraan kerana membunuh dan jika bersalah akan menghadapi hukuman mati boleh lolos imigresen dan terbang ke luar negara?

Jawapan kepada soalan begini boleh memperlekehkan plot BCSK sebagai tidak luar biasa lagi, apalagi jika daya kreatif diaplikasikan kepada apa yang benar-benar berlaku.

Kata peguam Sirul, tidak mungkin Sirul akan bersetuju pulang ke Malaysia semata-mata untuk mati di tali gantung. Saya tidak mahu meramalkan apa akan terjadi jika proses yang sewajarnya diambil untuk membawa Sirul pulang.

Apa pun, apa yang sedang dan akan berlaku sudah tentu berupa sesuatu yang sukar, malah amat sukar, memandangkan dunia Barat, terutama sekutu kuat Australia di kedua-dua belah lautan Atlantik, pada umumnya mengecam hukuman mati. Hakikat ini sudah diturapkan ke dalam perlembagaan ataupun undang-undang.

Jika Hollywood menghidu bau kisah Sirul dan Azilah ini, dan jika bauan ini diyakini menjadi bauan wang, maka saya cenderung mempercayai akan ada usaha dalam pelbagai bentuk untuk mengetahui bagaimana dan betapa latar belakangnya sehingga begitu dahsyat pembunuhan berlaku.

Meletupkan manusia sehingga berkecai seolah-olah tiada langsung sebarang cebisan dan kepingan anatomi adalah suatu tindakan yang paling dramatik, sesuai dengan penggiuran selera filem.

Membunuh diri untuk membunuh ramai orang lain tidak sama dengan apa yang dialami Altantuya. Inilah yang menambahkan lagi keunikannya, justeru dipercayai ia pasti menjadi buruan Hollywood.

Tidak ada apa yang mustahil apabila tercetusnya minat Hollywood untuk mengetahui liku-liku 'Butch' Sirul dan 'Sundance' Azilah, lebih-lebih lagi jika Sirul terus berada dalam kawalan Australia.

Dalam pengalaman biasa, begitu banyak terdapat filem yang memaparkan kejayaan mendapat sesuatu rahsia yang paling sulit, walaupun pada zahirnya ia kelihatan mustahil. Dipercayai kawalan Australia pula tidak menjaminkan airtight atau keketatannya ibarat angin pun tidak dapat masuk.

Terpulanglah kepada sikap Sirul apabila menghadapi kemungkinan memutuskan apa yang patut pecah di perut dan apa pula yang patut pecah di mulut.

Ibunya sendiri membayangkan beliau menjadi mangsa pihak lain. Dari segi undang-undang jenayah, setiap pembunuhan mesti ada motif. Apakah motif mereka membunuh Altantuya?

Selepas memperkatakan itu semua, kita jangan lupa bahawa 800 tahun dulu Genghis Khan selaku hero perang yang terbesar kerana memenangi bumi yang paling luas dalam sejarah ialah orang Mongolia juga.

Beliau lebih besar daripada Iskandar Zulkarnian, pengilham beliau yang hidup lebih 1500 tahun mendahuluinya.

Jika hakikat ini ditokok dengan kerenah pembelian kapal perang Perancis dan segala sesuatu yang berkaitan dengannya, baik betul atau tidak, kisah 'Butch' Sirul dan 'Sundance' Azilah ini besar kemungkinan menjadi paling gah seantero dunia. Prospek memenangi Oscar adalah sangat cerah.  

* Tan Sri Adam A. Kadir ialah mantan Presiden Senat

‎*Sumber: http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/adam-a-kadir/butch-sirul-dan-sundance-azilah-1.355738

Dihantar melalui peranti BlackBerry 10.

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top