ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Khutbah Jumaat — Perhimpunan Agung

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh berkat ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah:

"PERHIMPUNAN AGUNG".

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Sebagaimana yang kita ketahui pada saat ini umat Islam yang berada di kota Mekkah sedang melaksanakan ibadah wukuf di Padang Arafah bagi melengkapi rukun ibadah Haji. Secara ringkasnya mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa padang Arafah merupakan satu tempat terbuka dan luas dan di sinilah tempat dipertemukan Nabi Adam AS dan Hawa setelah keduanya dipisahkan akibat mengingkari perintah Allah SWT dan diperdaya oleh Iblis. Wukuf di Padang Arafah bererti berhenti seketika di tempat itu. Di sini jugalah turunnya ayat terakhir dari Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 3:

Maksudnya: "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagimu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agamamu."

Bagi kita yang tidak berkesempatan berada di perhimpunan agung ini, maka kita dituntut untuk menunaikan ibadah puasa sunat hari Arafah, berzikir dan melakukan amalan sunat lain pada hari tersebut. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: "Rasulullah SAW telah ditanya mengenai puasa hari Arafah, lalu Baginda menjawab: Puasa hari Arafah itu menghapuskan dosa yang telah dilakukan pada tahun yang sebelumnya dan tahun yang ada ini."

(Riwayat Muslim)

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Berada di Padang Arafah dalam suasana hangat dan panas terik memberi peringatan awal kepada manusia tentang satu tempat yang akan dilalui di akhirat kelak iaitu Padang Mahsyar untuk menerima pengadilan berdasarkan amalan masing-masing.

Menurut Imam al-Ghazali:

"Padang Mahsyar itu suatu tempat yang maha luas, saujana mata memandang yang keluasannya tidak dapat dihitung dengan ilmu manusia, suatu tempat yang putih dan rata, tiada gunung ganang dan tiada pokok kayu untuk dijadikan tempat berteduh."

Di Padang Mahsyar inilah semua makhluk Allah yang berada di tujuh lapis langit dan bumi termasuk malaikat, jin, manusia, binatang berkumpul dan bersesakkan. Setiap manusia pada hari pengadilan akan hadir di Padang Mahsyar, diiringi oleh dua malaikat, yang satu sebagai pengiringnya dan yang satu lagi sebagai saksi atas segala perbuatannya di dunia. Cubalah kita bayangkan dan rasakan suasana di Padang Mahsyar itu terutamanya bayangan diri kita sendiri, agak-agaknya bagaimanakah nasib, rupa dan keadaan kita?

Ingatlah, sesetengahnya mereka ada yang berupa kera, ada yang berupa khinzir, ada yang buta mata, ada yang mengalir daripadanya nanah dan darah yang amat busuk dan sentiasa menikam-nikam lidah sendiri. Ada pula yang luka-luka seluruh badan. Ada yang telapak kaki mereka terletak didahi dan terikat kepada ubun-ubun mereka serta menjadi sangat busuk, lebih busuk daripada bangkai. Ada seperti orang mabuk, rebah ke kiri, rebah ke kanan terhuyung-hayang serta bermacam-macam lagi ragam manusia dan ianya berdasarkan kepada amalan mereka di dunia. Mereka sibuk dengan hal yang tersendiri bagi menunggu pengadilan dari Allah SWT.

Dalam keletihan yang tidak terhingga dan rasa lapar serta dahaga yang menghiris kerana sengsara ratusan tahun di Padang Mahsyar, tanpa ada sebutir makanan atau setitik air, maka kedengaran di kalangan mereka yang berkata, "tidak adakah di kalangan kita yang boleh mengadu dengan Tuhan agar disegerakan hukuman?". Ada juga supaya cadangan mendapatkan syafaat atau pertolongan daripada Nabi Muhammad SAW. Ketika dalam keadaan gawat inilah baru teringat kepada Nabi Muhammad SAW sedangkan semasa di dunia langsung tidak mempedulikan ajaran Rasulullah SAW, malah ada yang menghina Rasulullah SAW dengan pelbagai fitnah dan tohmahan.

Yakinlah bahawa setiap manusia di Padang Mahsyar nanti akan melalui perbicaraannya, disoal dan diperiksa satu persatu, tidak akan terkecuali sesuatu pun dari hidupnya di dunia sekalipun yang sulit dan tersembunyi. Bahkan semua anggota dan bahagian-bahagian tubuh yang kecil pun ditanya akan apa yang telah dilakukan. Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud:

"Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari qiamat sehingga ia disoal empat perkara: tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan tentang masa mudanya untuk apa digunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang apa amalan yang telah dilakukan sesuai dengan apa yang telah diketahuinya?"

(Riwayat at-Tirmizi)

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Sebenarnya mereka yang menunaikan ibadah Haji adalah sedang mempersiapkan dirinya untuk berhadapan dengan gambaran kehidupan di Padang Mahsyar. Para jemaah Haji masing masing sibuk dengan urusan sendiri demi mengabdikan diri kepada Allah SWT dan tiadanya perbezaan manusia dari segi kedudukan dan pangkat di sisi Allah SWT, yang dinilai hanyalah amalan taqwa. Gambaran taqwa dalam ibadah Haji ialah kesanggupan mereka mengabdikan diri kepada segala perintah Allah yang dizahirkan melalui pakaian ihram yang tidak berjahit, amalan tawaf, wukuf, sa'ie, melontar Jamrah, bermalam bersama-sama di Muzdalifah tanpa mengenal erti penat dalam menghadapi rintangan dan cabaran semasa mengerjakan haji. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 197:

Maksudnya: "(Musim) Haji adalah beberapa bulan yang termaklum. Maka sesiapa yang berniat mengerjakan ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan diketahui oleh Allah; dan berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa; dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal."

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian insaflah dan sedarlah bahawa perhimpunan agung di Padang Arafah seolah olah merupakan gambaran kegawatan dan kesengsaraan di Padang Mahsyar kelak, bahkan lebih dahsyat daripada itu yang memakan masa ratusan tahun. Justeru, mimbar yang mulia ini menyeru marilah kita semasa masih sihat, bertenaga dan ada peluang yang terbuka ini, untuk melakukan muhasabah diri, sentiasa bertaubat kepada Allah SWT dan membuat audit penilaian prestasi amalan setiap hari apakah amalan dan tingkah laku kita dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia selari dengan al-Quran dan al-Sunnah. Muhasabah ini penting supaya buku rekod catatan amalan kita, akan menunjukkan amalan yang cemerlang di Padang Mahsyar dan digolongkan sebagai kumpulan al-Muqarabbun.

Percayalah ibadah Haji yang dilakukan memberi peluang untuk membuat perubahan yang baik untuk diri. Kesan daripada ibadah Haji mudah mudahan diri akan bertambah mutu kehidupan beragama serta beriltizam dengan amalan Islam. Marilah sama sama kita menjana peningkatan dalam penghayatan dan ketaatan dalam melaksanakan ajaran yang di bawa oleh Rasulullah SAW. Marilah juga sama-sama kita berdoa agar tetamu ilahi yang berada di kota suci Mekah pada saat dan ketika ini bagi menunaikan ibadah Haji, diberi kesihatan,dilapangkan fikiran, dipermudahkan segala urusannya bagi melaksanakan rukun Islam yang kelima ini. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 37:

Maksudnya: "(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah; dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan."

#sumber: JAKIM

Dihantar melalui peranti BlackBerry milik sementara 'saya' di dunia ®

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top