ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Khutbah: Pertahankan Aqidah, Jauhi Ajaran Sesat

Khutbah Jumaat 25 Muharam 1435H bersamaan 29 November 2013M
PERTAHANKAN AQIDAH, JAUHI AJARAN SESAT
Oleh: JHEAINS

MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,

Umat yang bertaqwa ialah mereka yang taat melaksanakan perintah Allah SWT serta meninggalkan segala yang dilarang-Nya adalah ciri hamba Allah, individu dan merupakan umat yang terbaik, umat yang paling mulia di sisi Allah SWT. Oleh yang demikian, marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan taqwa yang sebenar-benar. Sebagaimana perintah Allah SWT di dalam Al Quran:

Maksudnya: "Wahai orang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan
apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah Al-Hasyr, ayat 18)

JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Jangan condong dan terpengaruh atau terikut dengan kesesatan, ajaran serta fahaman yang menyeleweng lagi sesat sebagaimana doa yang terkandung pada firman Allah SWT di dalam al-Quran:

Maksudnya: "Ya Allah, janganlah Engkau jadikan hati-hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau berikan petunjuk hidayah kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu, kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi kurnia." (Surah Ali Imran, ayat: 8).

Justeru, umat Islam meskipun sudah menerima petunjuk serta hidayah, harus terus memohon pertolongan serta perlindungan dari Allah SWT supaya terhindar daripada kesesatan. Ini kerana manusia boleh sesat dan kafir, sebagaimana pertanyaan Allah SWT dalam firman-Nya:

Maksudnya: "Bagaimanakah kamu (sampai) menjadi kafir, pada hal ayat-ayat Allah dibacakan kepada kamu dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kamu? Sesiapa yang berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya dia telah diberi petunjuk ke jalan yang lurus." (Surah Ali Imran, ayat: 101)

Dengan hal yang demikian, perlu bagi umat Islam mengetahui ciri ajaran dan fahaman yang menyeleweng dan sesat itu. Di antara ciri-ciri ajaran yang sesat dan menyeleweng ialah:

1. Mempercayai semua agama adalah sama.
2. Mempercayai bahawa guru mereka boleh menebus dosa dengan wang.
3. Guru mereka membuat pengakuan memegang kunci pintu syurga.
4. Mendakwa atau mengaku bahawa Allah SWT menjelma dalam diri guru atau seseorang.
5. Mempercayai makhluk-makhluk seperti kayu, batu dan lain-lain ada kuasa mutlak.
6. Menghalalkan nikah adik-beradik.
7. Meminta pertolongan terus daripada orang yang telah mati
8. Mempercayai ada lagi Nabi selepas Nabi Muhammad SAW.
9. Mempercayai bahawa wahyu akan turun selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW.
10. Syeikh atau gurunya mendakwa mempunyai mukjizat.
11. Mempercayai roh orang yang mati boleh memberi pertolongan apabila diseru namanya.
12. Perbuatan zina, judi, minum arak dan segala bentuk dosa boleh dilakukan oleh guru/khalifah tarekat mereka dan boleh menjamin dapat keampunan Allah SWT ke atas dosa pengikutnya.
13. Mendakwa amalan ibadat Haji tidak semestinya di Makkah di tempat lain pun boleh.
14. Solat tidak perlu berjemaah dan tidak perlu mengadap kiblat.
15. Mengaku mengetahui perkara-perkara ghaib dan menilik nasib seseorang.
16. Pengikut diwajibkan merahsiakan ajaran mereka kalau tidak akan ditimpa bala.
17. Guru atau murid membuat pengakuan menerima wahyu serta mengaku dirinya atau gurunya maksum.
18. Mengaku bahawa dirinya sebagai wakil Nabi dan boleh memberi syafaat kepada muridnya.
19. Pengikut tidak boleh berkahwin dengan orang yang bukan pengikut ajaran mereka.
20. Setiap murid dikehendaki menyerahkan diri, anak isteri dan harta benda kepada gurunya.
21. Pengikut tarekat mereka sahaja dijamin masuk syurga.
22. Mempercayai bahawa bacaan-bacaan seseorang guru ke atas sesuatu benda seperti batu, gunung dan lain-lain boleh memberi kesan baik dan buruk.
23. Mempercayai bahawa pengikut boleh menerima kekuatan luar biasa daripada guru mereka.
24. Mendakwa diri menjadi wali sedangkan dia bergelumang dengan maksiat dan perbuatan mungkar.
25. Penyerahan rohani dan jasmani kepada guru melalui nikah batin.

Berdasarkan ciri-ciri kesesatan dan penyelewengan ini, umat Islam hendaklah berwaspada dan lebih berhati-hati terhadap individu, kumpulan, persatuan dan pelbagai lagi jenama yang cuba menarik pengikut di dalam masyarakat sama ada secara tersembunyi atau atas nama perniagaan, kebajikan dan sebagainya.

Umat Islam mesti bijak dan merujuk kepada pihak berkuasa agama di tempat masing-masing, supaya ajaran dan fahaman yang menyalahi aqidah Ahlus Sunnah Wal-Jamaah dan Syariat Islam berkenaan dapat dibendung dan ditangani dengan sebaik-baiknya oleh pihak berkuasa.

JEMAAH JUMAAT YANG BUDIMAN,

Musuh Islam tidak akan berhenti walaupun sesaat untuk mempengaruhi dan menyesatkan umat Islam dari
aqidah dan Syariat Islam yang sebenar. Ia diperingatkan oleh Allah SWT di dalam Al Quran, firman-Nya:

Maksudnya: "Dan orang Yahudi dan Nasrani sekali-kali tidak akan rela kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar). Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu." (Surah Al-Baqarah, ayat: 120)

Ayat ini mengingatkan umat Islam bahawa ancaman Yahudi dan Nasrani terhadap umat Islam akan berlaku di sepanjang hayat, malah sehingga hari kiamat. Hari ini ancaman dan pengaruh mereka dalam pelbagai rupa bentuk antaranya melalui serangan pemikiran, media, budaya, fesyen, sukan, malah dalam institusi umat Islam sendiri seperti institusi pendidikan, ekonomi, politik dan sebagainya, mereka akan masukkan jarum dan racun yang boleh melalaikan umat Islam. Hal yang sama disebut oleh Baginda Rasulullah SAW dalam Hadithnya. Daripada Abu Said Al-Khudri RA berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

Kamu akan mengikut jejak langkah umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksud?" Nabi SAW menjawab: "Siapa lagi kalau bukan mereka." (HR Imam Muslim)

JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Serangan melalui berbagai macam bentuk ajaran dan fahaman yang mengelirukan, menyeleweng dan menyesatkan seperti fahaman liberalisme yang membawa fahaman kebebasan yang menyalahi Syariat, pluralisme yang membawa fahaman yang menyamaratakan semua agama, Jemaah Ahmadiah Qadiani atau Jemaah Ahmadiah Muslim yang mendakwa pelbagai perkara yang menyalahi Aqidah Ahlus Sunnah Wal-Jammah seperti mendakwa wahyu masih ada selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW, Syiah yang membawa fahaman yang bertentangan dengan Aqidah Ahlus Sunnah Wal-Jamaah seperti mendakwa Malaikat Jibril tersalah membawa wahyu, mengkafirkan para sahabat Nabi SAW, menghalalkan nikah mutah dan sebagainya, seterusnya amalan zikir dan tarekat yang menyalahi Syariat Islam dan lain-lain lagi yang disebar di negeri ini.

Fahaman salah lagi menyeleweng tersebut telah diajar dan disebarkan secara tidak disedari oleh umat Islam. Jika fahaman berkenaan masuk ke dalam rumah, pejabat dan malah menyusup ke dalam sistem kehidupan umat Islam sama ada melalui persatuan-persatuan, badan kebajikan, parti politik, institusi kesihatan, kebajikan, institusi pendidikan, institusi dakwah dan sebagainya, sudah tentu ia menimbulkan masalah besar terhadap kemurnian akidah, keluhuran syariat dan perpaduan ummah seluruhnya. Sesungguhnya semua ini adalah satu bentuk ujian serta cabaran kepada umat Islam. Maka, sebagai ibubapa hendaklah mempastikan anak-anak kita tidak terjebak dalam ajaran dan fahaman yang menyeleweng dan sesat itu. Guru, ustaz-ustazah di sekolah, pensyarah di kolej dan universiti, imam di masjid dan surau, seterusnya pendakwah, juga pemimpin masyarakat mesti berperanan dalam memberikan maklumat yang sahih bagi membendung ajaran dan fahaman yang mengeliru, menyeleweng dan menyesatkan itu daripada terus disebarkan di dalam system kehidupan masyarakat.

Meskipun pertarungan antara hak dengan yang batil tetap akan berterusan sepanjang zaman, namun umat Islam dan orang beriman hendaklah berkeyakinan bahawa kebenaran pasti akan menghapuskan segala kebatilan, sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: "Dan katakanlah: Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap." (Surah Al-Israa, ayat: 81)

Kebatilan apa jua rupa bentuknya pasti akan hilang, sirna dan lenyap, bila kebenaran telah dominan dan sampai kepada umat Islam dan masyarakat, Firman Allah SWT lagi:

Maksudnya: "Sebenarnya Kami melontarkan yang hak kepada yang batil, lalu yang hak itu menghancurkannya, maka dengan serta merta yang batil itu lenyap. Dan kecelakaanlah bagi mu disebabkan mensifatkan (Allah dengan sifat-sifat yang tidak layak bagi-Nya)." (Surah Al-Anbiyaa, ayat: 18)

JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Benteng dan pertahanan umat Islam ialah aqidah yang benar dan Syariat Islam yang diamalkan dengan memperkasakan pendidikan dan pengajaran Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ini kerana al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW adalah sumber segala ilmu yang memandu umat Islam hidup yang selamat di dunia dan akhirat. Bahkan Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW itulah panduan yang menyelamatkan umat Islam, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu sekali-kali tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan keduanya, iaitu: Kitabullah (Al Quran) dan Sunnah Rasulullah SAW." (HR Imam Malik dan Imam Muslim)

Demikianlah, dituntut kepada umat Islam supaya hidup dengan aqidah yang benar, yakni Aqidah Ahlus Sunnah Wal-Jamaah dan beramal dengan Syariat Islam demi mencari keredhaan Allah SWT sekali gus memastikan hidup mati kita sebagai umat Islam yang beriman dan bertaqwa. Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya, dan janganlah sekali-kali kamu mati kecuali dalam keadaan Islam." (Surah Ali-Imran, ayat: 102).

#sekian sama-sama kasih.
#sumber: jheains (Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah)

Dihantar melalui peranti BlackBerry milik sementara 'saya' di dunia ®

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top