ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Khutbah: Mencari Keberkatan Dalam Pekerjaan

Khutbah Jumaat 11 Muharam 1434H bersamaan 15 November 2013

MENCARI KEBERKATAN DALAM PERKERJAAN

Sumbangan: Institut Integriti Malaysia

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Marilah sama-sama kita menfaatkan kesihatan mental dan fizikal yang dikurniakan Allah SWT untuk terus mempertingkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kita kepadaNya, dengan mengerjakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan dengan itu hidup kita akan lebih berjaya serta mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat.

SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Sesungguhnya matlamat utama Allah SWT menciptakan manusia di atas muka bumi ini adalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya, dalam pelbagai bentuk ibadat dan amal soleh termasuk tanggungjawab dan amanah untuk memakmurkan bumi ini mengikut acuan dan panduan yang telah digariskan oleh syarak. Sesungguhnya Allah SWT tidak memperoleh apa-apa faedah atau keuntungan daripada apa yang dikerjakan oleh manusia melainkan semua menfaat dan kebaikan daripada amalan tersebut akan kembali kepada diri kita sendiri. Perkara ini jelas dinyatakan didalam Al-Quran Surah Az-Zaariyaat ayat: 56 ? 58.

Maksudnya: "Dan ( ingatlah ) aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadah kepada-Ku, Aku tidak sekali-sekali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka dan aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah dialah sahaja yang memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya dan Dia-lah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang Maha kuat kukuh kekuasaan-Nya."

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Sesungguhnya agama Islam menuntut umatnya supaya bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki yang halal lagi baik demi kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan Negara. Islam melarang keras umatnya yang tidak bertanggungjawab, malas bekerja, menipu atau menyeleweng di dalam pekerjaannya. Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri menilai kembali komitmen dan sikap kita selama ini di dalam pekerjaan dan kerjaya masing-masing. Adakah kerja yang kita lakukan selama ini bertepatan dengan syariat Islam iaitu sentiasa melakukan pekerjaan dengan penuh amanah dan tanggungjawab, jujur dan ikhlas dalam menyempurnakan tugasan demi meraih keberkatan daripada Allah SWT.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Menurut Kamus Dewan, berkat bererti rahmat atau restu. Dalam kaitan ini, sudah tentu kita semua sentiasa mengharapkan rahmat dan restu serta keredaan daripada Allah SWT dalam setiap pekerjaan dan kehidupan kita. Seorang anak yang tidak mendapat restu daripada ibubapa, lazimnya akan menjalani kehidupan dalam keadaan yang sukar, sering ditimpa pelbagai kesusahan seperti dalam pekerjaan, menghadapi masalah dengan suami/isteri atau anak-anak dan sebagainya, sehingga sukar pula untuk melakukan kebaikan dan kebajikan kepada ibubapanya sendiri, apa lagi kepada orang lain. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan tiada keredaan dan doa daripada ibubapa, atau ibubapa menjadi marah dan terguris hati di atas perbuatan yang pernah dilakukan oleh anaknya.

Demikianlah juga dengan Allah SWT, kita tidak akan mendapat rahmat, restu dan keberkatan daripadaNya sekiranya kita melakukan perbuatan yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. Perbuatan menipu, menyalahguna kuasa, menyeleweng, rasuah dan tidak bertanggungjawab di dalam pekerjaan adalah bertentangan dengan tuntutan agama dan dimurkai Allah. Lihat saja peristiwa Qorun yang tamak dengan harta benda dunia, Firaun yang menindas dan menzalimi rakyat, dan Abu Lahab yang ingkar perintah Allah SWT kesemuanya tidak mendapat rahmat, restu dan keberkatan dalam pekerjaan mereka sehingga akhirnya dibinasakan oleh Allah SWT.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Masad ayat 1 ? 3 bermaksud:

"Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, tidak berguna baginya hartanya dan apa yang dia usahakan, kelak dia akan masuk ke dalam api neraka yang bergelora." (Surah Al-Masad, ayat: 1 ? 3)

Demikianlah juga jika kita tidak amanah, tidak jujur, dan tidak telus dalam pekerjaan. Lebih parah lagi jika kita terlibat pula dalam sebarang bentuk penyelewengan, penipuan, manipulasi, rasuah, salahguna kuasa dan seumpamanya. Jika beginilah penglibatan kita dalam pekerjaan, maka rezeki yang kita perolehi adalah haram, makanan dan minuman adalah haram, pakaian yang dipakai juga haram kerana datang dari sumber yang haram dan sudah tentu tidak memperolehi keberkatan daripada Allah SWT.

Sesungguhnya perbuatan ini akan mengundang kemurkaan Allah SWT, sebagaimana sabda Baginda Rasulullah SAW:

Yang bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram, maka nerakalah tempat yang selayaknya ". (HR At-Tirmizi)

Lebih malang lagi kehidupan orang seperti ini bukan saja tidak memperolehi keberkatan dan keredaan daripada Allah SWT tetapi ada kalanya Allah SWT akan terus menimpakan balasan ketika di dunia lagi seperti tidak memperoleh ketenangan, sering ditimpa kesusahan, doa dan permintaannya tidak dimakbulkan, sebagaimana Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

Mafhumnya:"Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik. Baginda kemudian menceritakan kisah seorang lelaki yang bermusafir, berambut kusut masai, berdebu, berdoa tidak henti-henti kepada Allah: Wahai tuhan! Wahai tuhan! Wahai tuhan! Sedangkan makanannya haram, minumannya juga haram, pakaian yang membaluti badannya juga haram serta perutnya di kenyangkan dengan sumber yang haram, maka bagaimana doanya boleh diterima". (HR Imam Muslim)

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Kita juga sering disajikan dengan beberapa kisah daripada sejarah tamaddun kemanusiaan yang hebat, unggul dan cemerlang seperti tamaddun 'Add, Tsamud, tamaddun Greek, Yunani, Parsi dan sebagainya. Kesemuanya telah dimusnahkan oleh Allah SWT disebabkan kerakusan pemimpin dan pengikut yang tidak berintegriti dan ingkar kepada perintah Allah SWT. Sifat keji (mazmumah) telah beraja dihati terutama sifat tamak haloba, dengki khianat, tindas menindas, kezaliman dan seumpamanya sehingga mendatangkan kemudaratan dan kesengsaraan kepada rakyat dan jauh daripada mendapat keredhaan dan keberkatan Allah SWT.
Berdasarkan peringatan Allah SWT di atas, marilah kita berazam untuk melakukan apa jua pekerjaan yang diamanahkan kepada kita dengan berintegriti, penuh rasa tanggungjawab, jujur, ikhlas dan telus supaya semua pekerjaan dan perbuatan kita itu akan diterima dan diiktiraf sebagai amal soleh dan ibadat di sisi Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: "Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang Dia beriman, maka sesungguhnya kami akan menghidupkan Dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan". (Surah An-Nahl, ayat 97)

HADIRIN SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Sempena sambutan Bulan Integriti pada November setiap tahun, marilah kita menyemak kembali tujuan dan matlamat kita bekerja bagi memastikan kita akan terus mendapat keberkatan dan keredaan dari Allah SWT dan seterusnya kehidupan yang sejahtera di dunia dan akhirat. Oleh yang demikian bagi memastikan pekerjaan kita sentiasa memenuhi dan menepati tuntutan Syara', marilah kita bermuhasabah dan memberikan perhatian kepada perkara-perkara berikut:

1. Mengikhlaskan niat dengan matlamat untuk mendapatkan keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT di samping mengharapkan pekerjaan itu diterima sebagai ibadah dan amal soleh disisiNya;

2. Berazam dengan semangat bekerja bersungguh-sungguh sehingga menghasilkan kerja yang sempurna dan berkualiti serta memberi menfaat dan kebaikan kepada pelanggan dan
orang ramai;

3. Bijak dalam merancang dan melaksanakan sesuatu tindakan, terutama dalam soal mengelak berlakunya pembaziran wang rakyat dan harta benda awam;

4. Menjauhkan diri daripada amalan sifat mazmumah (keji) seperti menipu, menyeleweng, salahlaku, salahguna kuasa, rasuah dan sebagainya dalam pekerjaan, dan;

5. Hendaklah sentiasa mengamalkan sikap bersabar dan bertawakal serta berdoa memohon kekuatan daripada Allah SWT dalam menghadapi ujian dan godaan dalam pekerjaan.

#sumber: jheins, sabah

Dihantar melalui peranti BlackBerry milik sementara 'saya' di dunia ®

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top