ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Sastera dan makna pemikiran

Oleh: RAHMAN SHAARI
Tarikh: October 1, 2013

KETIKA menghasilkan tulisan ini, saya baru saja menyampaikan ucaptama  dalam Seminar Pemikiran - pemikiran Rejab F.I di Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis. Majlis pada 25 September lepas itu dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bicara dalam majlis itu agak menarik. Dr Halim Ali dari UPSI menyebutkan  ketidaktepatan fakta sejarah dalam novel Peneroka Desa Permai, manakala  Sharif Shaary menyebutkan Rejab pandai bercerita, tetapi kurang menerapkan pemikiran yang bertaraf falsafah.

Hassan Basri Budiman menyentuh  kecenderungan Rejab F.I menjadi pendidik melalui karya sastera.

A. Rahim Abdullah pula menyebut, Rejab F.I gemar bawa  persoalan kehilangan peradaban bangsa.

Roslan Chin mengatakan Rejab ialah  perakam masyarakat yang prihatin, seterusnya Prof Madya Dr Rahimah Hamid  menyebut Rejab F.I amat menyukai retorik. Sebelum itu, ucapan perasmian oleh Prof Datuk Seri Md Salleh Yaafar menyenangi sajak Rejab F.I  Bangkitlah. Kata Salleh, karya itu tebal nasihat agar anak Melayu  bangun mengejar kemajuan.

Beberapa penulis bertanya saya tentang makna pemikiran. Saya faham maksud mereka, iaitu mahu saya meletakkan pemikiran pada tahap betul. Jika pada masa lepas orang telah membincangkan pemikiran Prof Syed Naquib Al-Attas, Prof Muhammad Haji Salleh, Kassim Ahmad, atau lebih-lebih lagi mereka mengkaji pemikiran Anthony Bergess, Helen Keller, Edward de Bono, Noam Chomsky dan seumpamanya, adakah wajar kita bincangkan pemikiran penulis sederhana dalam kalangan kita?

Saya tinggalkan persoalan di atas, kerana ruang ini sempit. Lagi pun, saya  yakin sejumlah pembaca dapat menjawabnya. Dalam tulisan ini saya berhasrat  menyatakan makna pemikiran yang saya faham. Sandaran terdekat saya ialah  pergerakan daripada aktiviti berfikir ke arah aktiviti memikirkan sesuatu.

Saya ambil contoh 'berfikir tentang bahasa Melayu'. Amat besar pejuang  bahasa Melayu yang bercakap tentang perkara yang itu-itu juga, iaitu mengatakan 'bahasa jiwa bangsa', atau 'cintailah bahasa kita'. Apabila kita mendengar slogan-slogan begitu, kita tidak perlu  memikirkan persoalannya. Kita boleh berfikir secebis, dan mungkin turut bertempik sorak menyokong isu memartabatkan bahasa Melayu. Itu mudah!

Keghairahan bertempik sorak amat politikal, dalam erti kata menyamai  gerakan 'Bersih' atau perhimpunan 'Hidup Melayu' dan seumpamanya. Itu ialah  aktiviti berfikir yang ringan.

Jika kita memikirkan masalah Bahasa Melayu, maka  tindakan kita akan jadi lebih jauh. Datuk Nik Safiah Karim, dan Datuk Awang Sariyan, ialah pemikir-pemikir bahasa Melayu. Mereka memikirkan hukum bahasa, membandingkan nahu, dan akhirnya memaparkan perbezaan dan kelebihan Bahasa Melayu berbanding bahasa lain.

Pemikir Bahasa Melayu dapat menjawab jika ditanya, mengapakah ayat  "Buku itu telah dibaca oleh saya" dianggap ayat salah. Mereka dapat  memberikan alasan mengapakah frasa "read by me" mesti diterjemahkan  menjadi "saya baca", bukan "dibaca oleh saya".

Hukum aneksi persona ini tidak  menerima ayat "Kedatangan menteri itu mereka sambut beramai-ramai."

Saya  bermaksud mengatakan, bahawa pemikir bahasa ialah orang yang memikirkan  bahasa itu secara mendalam, bukan yang melaung mengatakan 'bahasa  jiwa bangsa.'

Kenyataan Md Salleh Yaafar dalam bukunya Ziarah ke Timur (2002), bahawa ciri utama pascamodenisme ialah penolakan naratif besar (meta narrative) menuju ke arah pemikiran yang mendalam tentang ilmu dan maklumat. Saya mempermudah hal ini dalam huraian politik.

Saya keluar daripada ilmu Salleh Yaafar yang hebat, lalu saya padankan konsep itu dengan bidang politik. Dalam bidang politik, sering kita dengari ucapan naratif besar, dan orang mempercayainya mengikut kelompok. Betapa hebat pun dogma dan janji, jika seseorang berada dalam kelompok lain, maka semua tertolak.

Perkara ini elok difahami dalam konteks bicara pemikiran Rejab F.I. Dengan meletakkan tajuk pemikiran, kita menggesa agar Rejab F.I dianggap  sasterawan pemikir, tetapi bagi kelompok yang enggan menerimanya, maka  semua itu diketepikan. Malah saya tidak melihat kemunculan anggota 3P, iaitu  persatuan yang pernah diterajui Rejab berpuluh-puluh tahun. Adakah mereka  menolak pemikiran Rejab? Ke manakah Nahmar Jamil?

#sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/sastera-dan-makna-pemikiran-1.207237

Dihantar melalui peranti BlackBerry milik sementara 'saya' di dunia ®

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top