ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Khutbah: Bersedia Hadapi Usia Emas

BERSEDIA HADAPI USIA EMAS
Oleh: Ustaz Najion Jamil

SAUDARA MUSLIMIN YANG DIMULIAKAN ALLAH,

Hanya takwa yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT dapat menyelamatkan kita daripada kedahsyatan hari kiamat. Kerana itu, bertakwalah kepada Allah SWT dengan mematuhi suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya sebagaimana diperintahkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

Yang bermaksud: Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. (S. Al-Hajj: 1).

SIDANG JEMAAH YANG BERBAHAGIA,

Fasa kehidupan manusia di dunia ini melalui peringkat-peringkat tertentu. Bermula dari alam rahim, kemudian lahir sebagai bayi, kemudian membesar menjadi kanak-kanak, remaja, dewasa, tua dan lanjut usia. Fasa kehidupan manusia yang bertahap ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran:

Yang bermaksud: "Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula padahari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang sedemikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga dia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu." (S. Al-Hajj: 5).

Oleh hal yang demikian, manusia yang dikurniakan Allah SWT umur yang panjang pasti akan menempuh fasa kehidupan hari tua atau usia emas. Kalau kita bersandarkan kepada usia kewafatan Rasulullah SAW, maka purata jangka hayat manusia berada di sekitar 63 tahun. Ini bererti, orang yang sudah mencecah 50 tahun sudah dianggap tua dan tergolong dalam kelompok warga emas.

Walaupun ada pihak yang menjadikan umur pesaraan atau pencen di sekitar 55 hingga 65 tahun sebagai penanda aras usia emas, namun hakikatnya proses penuaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielak oleh sesiapapun. Yang pasti, pada usia tua banyak yang berubah. Selain daripada kulit yang semakin kendur, rambut banyak yang gugur, penglihatan mulai kabur, tenaga juga semakin berkurangan atau lemah.

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Kajian menunjukkan purata jangka hayat lelaki Malaysia kini mencecah usia 75 tahun manakala wanita 77 tahun. Bagaimanapun, angka itu bukanlah penentu ajal seseorang. Ia adalah isyarat bahawa jangka hayat penduduk negara ini yang semakin meningkat seharusnya diisi dengan perkara-perkara yang memberikan manfaat dan bukannya perkara-perkara yang mendatangkan mudarat. Ini sejajar dengan pandangan Islam, di mana sebaik-baik manusia adalah orang yang panjang umurnya dan baik perbuatannya, sedangkan sejahat-jahat manusia ialah orang yang panjang umurnya tetapi jahat kelakuannya.

Maknanya, untuk menghadapi hari tua tidak semestinya menunggu usia 50 tahun atau pencen baharu mahu buat persediaan. Persediaan menghadapi saat yang pasti menjelang itu harus bermula seawal mencapai umur akil baligh. Ia penting kerana kehidupan kita melalui banyak peringkat yang menuntut kita mempergunakan usia sebaik mungkin kea arah memanfaatkan waktu sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati.

Dengan kata lain, lima nikmat yang tidak ternilai berkenaan seperti sihat, kaya, lapang, muda dan hidup bukanlah kesempatan untuk membiarkan diri lena dibuai keseronokan dunia yang mempesonakan. Demikian juga nikmat berkenaan tidak boleh digunakan untuk melakukan kerosakan di muka bumi ini. Sebaliknya, peluang keemasan yang dianugerahkan Allah SWT itu perlu digunakan untuk meningkatkan keimanan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya selain daripada berjuang membela serta menegakkan agama Allah SWT dengan harta benda dan jiwa raga.

JEMAAH JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH,

Sesungguhnya beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta berjuang membela dan menegakkan agama Allah SWT dengan harta benda dan jiwa raga diibaratkan sebagai suatu perniagaan. Perniagaan ini adalah jalan untuk menyelamatkan seseorang Muslim daripada azab yang maha pedih, sebagaimana dijelaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

Yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab siksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (S. As-Saff: 10-11).

Justeru, setiap Muslim harus bijak merebut segala kesempatan serta peluang yang ada untuk melakukan perkara-perkara yang menatijahkan pahala dan bukannya dosa. Lantas, jalan berniaga yang disediakan oleh Allah SWT perlu direbut dan dilaksanakan sebaik mungkin sebagai pelaburan untuk kehidupan hari akhirat.

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH,

Masyarakat tua boleh dibahagikan kepada dua kelompok, iaitu tua yang muda dan tua yang tua. Generasi tua yang muda adalah mereka yang terus aktif di rumah dan dalam masyarakat. Kelompok tua yang tua adalah mereka yang tidak dapat memberikan sumbangan lagi kepada masyarakat disebabkan keadaan fizikal yang uzur atau keadaan mental yang merosot.

Maka, dalam menghadapi kemungkinan menganggotai golongan kelompok masyarakat tua berkenaan perlu bagi kita sentiasa bermuhasabah dan muraqabah . Muhasabah ialah suatu proses menilai prestasi amalan kita. Manakala muraqabah pula merupakan suatu tindakan memantau serta memerhatikan perubahan serta perkembangan diri dengan memastikan perubahan yang berlaku menjurus ke arah kebaikan. Tindakan ini amat wajar kerana ia boleh membantu kita dalam merencana hala tuju hidup yang lebih holistic menjelang usia emas. Ini kerana persediaan menghadapi hari tua bukan setakat menitikberatkan soal amal ibadat semata-mata, malahan ia juga menuntut penjagaan kesihatan, penyediaan perbelanjaan untuk menyara hidup, penyediaan tempat tinggal di samping penyediaan ruang dan peluang untuk berinteraksi dan berbakti kepada keluarga dan masyarakat, dengan mengambil berat aspek-aspek ini, kita boleh bersedia mengharungi hari-hari usia tua dalam keadaan sihat, produktif, dihargai dan dihormati.

SIDANG JEMAAH YANG BERBAHAGIA,

Tanggal 1 Oktober setiap tahun adalah sambutan Hari Warga Tua Sedunia. Perisytiharan ini merupakan suatu penghormatan tertinggi dunia terhadap penduduknya yang telah banyak berjasa kepada keluarga, masyarakat dan negara. Berdasarkan kepada kenyataan itu, mereka berhak dihormati dan dijaga dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab.

Tuntutan ini sejajar dengan perintah Allah SWT:

Yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'ha', dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." (S. Al-Israa': 23).

Sehubungan itu, setiap Muslim wajib berlaku baik kepada ibu bapa masing-masing. Dengan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, mereka akan dimurahkan rezeki dan mendapat kasih sayang dan ihsan daripada isteri dan anak-anak. Perihal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud:

"Berbuat baiklah kepada ibu bapamu, nescaya anakmu akan berbuat baik kepadamu. Dan bersikap jujurlah kepada ibu bapamu, nescaya isteri kamu akan bersikap jujur kepada kamu." (HR at-Tabarani).

Maka, marilah kita sama-sama membudayakan konsep masyarakat penyayang agar warga emas di negara kita terus terbela dan terpelihara dengan baik. Walaupun pihak kerajaan dan swasta ada menyediakan rumah-rumah kebajikan untuk menempatkan warga tua, namun perlu kita semua insafi dan sedari bersama bahawa tempat yang sebaiknya bagi orang tua sama ada ibu mahupun bapa kita ialah rumah keluarganya sendiri.

SAUDARA MUSLIMIN YANG BERBAHAGIA,

Sebagai kesimpulannya, usah kita bertangguh untuk melakukan amal ibadah dengan memberi alasan belum dapat hidayah. dalam meniti usia yang semakin senja,kita sewajarnya mempersiapkan diri dengan amal ibadah supaya beroleh kesejahteraan di dunia dan akhirat. Ini kerana di akhirat kelak kita akan ditanya mengenai hal ehwal usia, harta dan ilmu kita sewaktu di dunia sebagaimana maksud sabda Rasulullah SAW:

"Tidak akan berganjak kedua-dua kaki manusia pada hari kiamat sehingga ditanya empat perkara, iaitu umurnya ke mana dihabiskan, usia mudanya ke mana dipergunakan, hartanya dari mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan dan ilmunya apakah sudah diamalkan." (HR At-Tirmizi).

Maksudnya: Dan bagi mereka masing-masing (dari puak jin dan manusia yang berbuat baik dan yang berbuat jahat) disediakan berbagai peringkat (balasan) yang sesuai dengan apa yang mereka telah kerjakan, dan (ketetapan yang demikian ialah) supaya Allah menyempurnakan bagi mereka balasan amal-amal mereka, sedang mereka tidak dirugikan (sedikitpun). (S. Al-Ahqaf: 19).

#sumber: jheins (Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah)

Dihantar melalui peranti BlackBerry milik sementara 'saya' di dunia ®

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top