ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Khutbah Jumaat — Ramadhan Bulan Perjuangan

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Dalam bulan Ramadhan di mana siang dan malam dipenuhi keberkatan ini, maka marilah kita mengambil peluang keemasan untuk menghasilkan ibadah puasa yang memenuhi standard atau kualiti yang ditentukan Allah SWT. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini menempatkan kita sebagai insan yang dikasihi Allah, membawa kebahagian di dunia dan akhirat. Bersempena dengan Sambutan Hari Pahlawan Negara pada 31 Julai tahun ini, maka mimbar Jumaat pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk:

"RAMADHAN BULAN PERJUANGAN."

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Kehidupan umat Islam tidak dapat lari daripada perjuangan untuk menegakkan syiar Islam dan kehidupan yang diredhai Justeru, bulan Ramadhan yang kita lalui pada hari ini merupakan medan pertempuran dalam mendidik dan mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mengharap keampunannya. Oleh itu mereka yang berjuang sepanjang bulan yang mulia ini dianggap berperang di jalan Allah dan dijanjikan oleh Allah SWT untuk mendapat ganjarannya. Firman Allah SWT di dalam surah Yusuf ayat 53:

Maksudnya: "Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Berdasarkan kepada sirah Rasulullah SAW mengajak kita untuk meninggalkan suatu peperangan, suatu perjuangan atau suatu jihad yang kecil untuk dilatih melakukan satu perjuangan atau jihad yang besar iaitu jihad melawan nafsu. Menurut Sayidina Ali RA bahawa: "yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halangi kebenaran."

Melawan hawa nafsu atau mujahadatun nafsi amatlah sukar kerana ianya berada di dalam tubuh badan dan hati kita, mengalir bersama aliran darah dan menguasai seluruh tubuh badan kita serta ianya dipengaruhi oleh syaitan laknatulllah. Namun, berdasarkan hadith dan jaminan oleh Rasulullah SAW bahawa pada bulan Ramadhan yang mulia inilah segala musuh manusia telah dirantai oleh Allah SWT dan kita sebagai umat Islam di beri peluang seluas-luasnya untuk beribadah kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: "Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu rahmat dan terkuncilah segala pintu neraka dan terbelenggulah syaitan daripada merasuk mangsanya."(Bukhari & Muslim)

Menurut pendapat Imam Nawawi RA bahawa proses perantaian syaitan di dalam bulan Ramadhan hanyalah satu simbolik atau majaz untuk menunjukkan betapa syaitan sudah tidak mampu untuk melaksanakan tugasnya seperti biasa kerana puasa yang dilakukan akan menyempitkan saluran darah yang menjadi laluan syaitan dan akan berkuranglah nafsu yang merajai hati manusia selama ini.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa seluruh kemaksiatan berpunca disebabkan mendahulukan hawa nafsu daripada kecintaannya kepada Allah dan Rasul-Nya. Nafsu jahat dan liar akan menjurus manusia ke arah kehinaan dan kerosakan samada di dunia ataupun akhirat. Jika kita tidak mengikis dan membuangnya pastinya ia semakin menebal dan sebati dengan kehidupan. Perlu diingat untuk membuangnya perlulah diperangi habis-habisan serta memerlukan kekuatan pada diri seseorang. Justeru sebagai seorang Islam, salah satu perjuangan hebat yang perlu diamalkan oleh kita ialah puasa wajib Ramadhan. Puasa adalah ibadah yang berjuang secara senyap melawan hawa nafsu. Perjuangan ini juga adalah rahsia antara seseorang hamba dengan tuhannya kerana segala amalan puasa tidak dapat dinilai oleh orang lain. Ketika berpuasa kita menahan diri dari keinginan hawa nafsu seperti makan dan minum, hubungan seks dan segala sifat yang boleh membatalkan dan mengurangkan ibadah puasa.
Kita juga dituntut memperbanyakkan amal ibadah. Amalan wajib dan sunat yang padat dalam bulan Ramadhan ini memberi tumpuan latih tubi pembersihan hati, pembersihan dalaman, mendisiplinkan anggota badan, mengukuhkan akhlak mulia dan mencegah penyakit. Ingatlah bahawa tubuh badan kita diibaratkan seperti bekas yang kosong. Jika kita tidak memenuhi bekas itu dengan amal soleh maka ianya akan dipenuhi nafsu syaitan yang akan menguasai diri kita dan mendorong kita melupai Allah SWT.

Oleh sebab itu terdapat dua penanda aras atau pengukuran nilai prestasi puasa iaitu apakah puasa Ramadhan kita semata-mata menahan lapar, atau kita berpuasa dan pada masa yang sama mengambil berat aspek pembersihan jiwa dan akhlak kita. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu" (Riwayat Bukhari)

Bermuhasabahlah sebagai seorang insan yang lemah kita sering melakukan kesalahan dan kesilapan dalam kehidupan seharian. Kita tidak boleh menafikan kita ada melakukan pelbagai dosa, maka dalam bulan yang mulia ini, mimbar menyeru marilah sama-sama kita mengambil kesempatan untuk menyempitkan ruang hawa nafsu serta bermuhasabah dan bertaubat agar segala tindakan kita selama ini tidak lagi dinaungi oleh nafsu yang boleh menjerumus ke lembah yang hina. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Semua anak adam berdosa, maka sebaik-baik orang yang berdosa ialah bertaubat. (Riwayat Ahmad)

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Percayalah bahawa bulan Ramadhan yang mulia ini tidak menghalang umatnya untuk berjuang dijalan Allah. Sejarah membuktikan bulan suci ini penuh dengan kemenangan yang besar yang mampu diraih, bukannya bulan untuk malas dan lemah akan tetapi bulan untuk jihad dan kemenangan. Lihatlah pahatan sejarah di dalam perang Badar yang berlaku pada bulan Ramadhan merupakan kemenangan pertama yang menentukan kedudukan umat Islam dalam menghadapi kekuatan kemusyrikan dan kebatilan musuh.
Begitu juga dengan peristiwa fathul Makkah yang mana Rasulullah keluar dari Madinah pada 10 Ramadhan untuk menakluki Makkah tanpa pertumpahan darah. Kemenangan umat Islam dalam perang Tabuk. Perang ini menjadi medan terakhir yang diikuti oleh Rasulullah SAW yang berakhir dengan kemenangan umat Islam pada 8 Ramadhan tahun 9 Hijrah. Peristiwa pembebasan Sepanyol yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad yang berlaku dalam bulan Ramadhan. Pada peperangan ini untuk menambah semangat pasukannya, Tariq bin Ziyad membakar kapal-kapal mereka sebelum bertempur dengan tentera raja Frederick dan beliau berkata: Sesungguhnya syurga Allah terbentang luas di hadapan kita, dan di belakang kita terbentang laut, kamu semua ada dua pilihan, apakah mati tenggelam atau mati syahid."

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Bersempena dengan Sambutan Hari Pahlawan Negara,mimbar mengajak umat Islam yang cintakan agama dan negara bahawa amatlah wajar bagi kita menghargai jasa dan pengorbanan besar pahlawan dan pasukan keselamatan dalam mempertahankan maruah agama, kedaulatan negara dan jati diri bangsa negara kita. Mereka terdiri samada daripada warga Angkatan Tentera Malaysia, Polis diRaja Malaysia dan lain-lain agensi keselamatan serta individu yang secara bersama mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara. Mereka berjuang penuh keberanian, pantang undur di dalam mempertahankan negara, bangsa dan Agama. Mereka berjuang dengan semangat: Hidup dengan menempa kemuliaan dan mati dengan penuh kehormatan dan kemuliaan. Firman Allah dalam surah at-taubah ayat 20:

Maksudnya: "Orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar darjatnya di sisi Allah; dan mereka itulah orang yang berjaya ."

Ingatlah bahawa perjuangan para pahlawan kita bukan sekadar bingkisan sejarah semata-mata tetapi perjuangan mereka menjadi inspirasi dan menjadi dorongan yang kuat untuk kita lebih bersungguh-sungguh, lebih bersemangat untuk menghadapi apa jua cabaran yang akan datang. Percayalah bahawa perjuangan yang paling besar ialah jihad di medan perang dan perjuangan bagi memerangi hawa nafsu sendiri. Firmannya di dalam surah al-Anfal ayat 60 yang berbunyi:

Bermaksud: "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya".

Ayat ini memberikan pengajaran sekaligus perintah agar umat Islam sentiasa bersiap sedia dengan kekuatan dalam apa jua keadaan bagi menghadapi pelbagai bentuk ancaman dari mereka yang bernama musuh. Tanpa kekuatan masakan pejuang dan pahlawan silam mampu meraih kejayaan dan kemenangan. Tuntutan ayat 60 surah al-Anfal ini dimengertikan benar oleh Pahlawan Negara seiring hadith Qudsi yang bermaksud:

"mana-mana hambaku yang menunaikan jihad pada jalanKu kerana mengharap dan mencari keredhaanKu, Aku jamin untuk mengembalikannya (jika Aku kembalikannya) dengan segala apa yang didapatinya berupa pahala atau harta rampasan. dan jika Aku mematikannya, dia akan Aku ampuni, Ku berikan rahmah dan akan Ku masukkan ke dalam syurga".

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, selari dengan bulan yang mulia lagi berkat ini menyeru, kepada para jemaah sekalian marilah sama-sama kita bermujahadah dengan diri sendiri, mengawal segala perbuatan agar ianya bertepatan dengan kehendak syariat dan tuntutan agama. Mimbar juga menyeru marilah sama-sama kita menghiasi diri kita dengan amalan kebaikan dan menutup segala pintu-pintu nafsu kejahatan, bentuklah ahli keluarga kita menjadi insan bertakwa dengan amalan puasa wajib dan digilap pula dengan amalan-amalan sunat siang dan malam di sepanjang Ramadhan. Walaupun bulan impian ini kelihatan memberi kesukaran dan ujian berat kepada umat Islam tetapi ia adalah anugerah Allah kepada hamba-Nya yang hanya datang setahun sekali dan merupakan satu jihad daripada seorang hamba kepada tuhannya. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah faatir ayat 10:

Maksudnya: " Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada-Nyalah naik segala perkataan yang baik dan amal yang soleh pula di angkat-Nya naik. Dan orang yang merancang kejahatan, adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka akan rosak binasa".

SUMBER teks: JAKIM

#sekian sama-sama kasih

Dihantar melalui peranti BlackBerry milik sementara 'saya' di dunia ®

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top