ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Sebuah Epik Moden — Pendidikan Kaum Tertindas

//Pendidikan Kaum Tertindas

"Pendidikan Kaum Tertindas" tidaklah tertumpu kepada isi buku Paulo Freire – Pedagogy of the Oppressed semata-mata, namun ide dan pemikirannya yang telah menjadi inspirasi kepada ramai orang harus dihargai dan dihormati. Maka dengan itu, cetusan ide beliau dikongsi dalam "Pendidikan Kaum Tertindas", selain ide dan hujah dari sarjana-sarjana lain.
 
Adapun istilah "Pendidikan" digunakan berbanding "Pedagogi" kerana ingin mencari istilah yang lebih dekat dan tidak jargon bagi sesetengah kita. Ini kerana kita ingin mencari dengan mudah, siapa yang penindas dan siapa yang tertindas. Boleh dikatakan bahwa penindasan adalah penggunaan kuasa yang tidak adil untuk menafikan hak-hak atau nilai orang lain. Ini boleh dirumuskan dalam beberapa perkara; Sistem yang memaksakan 'marginalization', 'subordination', 'dehumanize' dan 'devalue'. Ini kerana ia telah menafikan hak dan status seseorang individu mahupun kelompok masyarakat sehinggakan timbul sikap yang negatif kepada mereka. Identiti mereka (selepas ini akan dirujuk sebagai kaum tertindas) turut akan menjadi stereotaip. Apabila ia berlarutan, lama-kelamaan kaum tertindas itu sendiri mempunyai 'destructive belief' terhadap diri mereka sendiri. Inilah yang dinamakan sebagai 'internalized oppression'.
 
Oleh yang demikian, boleh dikatakan bahwa sesiapa pun boleh jadi penindas ataupun yang tertindas. Ini boleh difahami dalam beberapa tingkat;
 
 (1) Menglibatkan diri secara aktif dalam penindasan
(2) Mengabaikan atau menafikan akan adanya penindasan
(3) Tahu ada penindasan tetapi tidak bertindak
 
Maka dengan itu, ada kewajipan untuk berganjak dari "tingkat-tingkat penindasan" ini kepada "tingkat-tingkat anti-penindasan" iaitu;

 (1) Tahu ada penindasan dan melakukan tindakan
(2) Mendidik diri sendiri dan orang lain
(3) Melakukan perubahan serta menghalang penindasan
 
Tan Malaka pernah menyatakan bahwa pendidikan adalah membangun proses berfikir, membudaya dialetika dan menghaluskan perasaan. Maka dengan itu, fokus bagi pendidikan adalah menghasilkan subjek yang manusiawi dan humanisasi. Ini kerana kaum tertindas cenderung untuk menerima apa sahaja perlakuan dari kaum penindas. Bahkan mereka diam kerana BISU dan bukannya MEMBISU. Ini disebabkan oleh sistem pendidikan yang ada cuba untuk mempertahankan ideologi kapitalisme tanpa membenarkan kritikan keatasnya. Pendidikan juga dijadikan sebagai komoditi dan bahan jualan yang dapat menjana keuntungan semata-mata. Kerja yang 'mahal' harganya pasti akan mendapat tempat. Ini boleh dilihat apabila bidang falsafah dan sastra tidak menjadi perhatian kerana bagi mereka, itu tidak menguntungkan. Apa yang mereka mahu adalah sesuatu yang dapat memenuhi kehendak industri ketika ada robot-robot yang boleh menjalankan ekonomi semata-mata.
 
Maknanya, apabila pendidikan yang sedia ada hanya bergerak dalam lingkungan 'distribution machine' ketika ia cuma memindahkan pengetahuan yang sudah ada kepada pelajar, dan mereka perlu hafal untuk peperiksaan. Mereka menerima ini secara bulat-bulat, tanpa kritikan, tanpa dialetika. Ini telah menjadi ritual dalam kalangan kita, sehinggakan ia jadi norma serta sebagai 'tempat penjinakan'. Seusainya nanti dari sekolah dan masuk ke alam pekerjaan, perkara atau ritual yang sama turut akan berlaku. Namun dalam konteks ini, ia adalah antara pekerja dan majikan. Bahkan pasti jarang yang mempertanyakan kepada orang yang lebih tua dan atas, "Mengapa saya perlu bersekolah?". 
 
Selain dari pendidikan yang hanya untuk tujuan kepentingan pasaran, ia sebenarnya jauh dari realiti apabila tidak berangkat dari kenyataan masyarakat yang sebenar, iaitu apabila realiti kehidupan sebahagian besar kita yang ada di kelompok luar bandar, pertanian dan desa tidak digarap dengan baik dalam pendidikan. Realiti kehidupan mereka yang masih miskin dan terbelakang tidak jadikan bahan untuk menentukan sistem pendidikan. Lalu, sekolah lebih dekat pada industri kapitalisme.
 
Perlu difahami bahwa pendidikan bukan tujuan tapi seharusnya menjadi medium untuk mencapai tujuan perjuangan yang memerdekakan manusia. Kita selalu tersilap bahwa kaum tertindas ini tidak berada dalam sistem kerana mereka diketepikan namun hakikatnya mereka berada dalam sistem itu sendiri, yakni ada dalam 'social trap'. Sebab itulah perlu ada pendidikan yang membebaskan dari belenggu kemiskinan dan penindasan.
 
Di Indonesia, Romo Mangun pernah mewujudkan Laboratorium Dinamika Edukasi Dasar (DED) yang bertujuan untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak miskin kerana beliau merasakan bahwa mereka ini tidak mempunyai peluang untuk belajar dan kurikulum pendidikan yang ada tidak sesuai dengan kehidupan mereka. DED ini turut memberi kesempatan kepada anak-anak jalanan, petani, buruh dan gelandangan. Bagi Romo Mangun, seharusnya tidak ada guru sebagai penguasa, dan tidak ada murid sebagai yang dikuasai.
 
Augusto Boal mendapat ilham dari Pedagogy of the Oppressed – Paulo Freire, lalu beliau mewujudkan 'Poetics of the Oppressed' dan dari sini, beliau berhasil pula membangunkan 'Theatre of the Oppressed'. Apa yang menarik dalam teater ini adalah apabila Augusto Boal mengubah masyarakat penonton yang pasif dalam teater kepada subjek ataupun aktor tindakan. Mereka boleh bangun dan memberhentikan teater yang sedang berjalan serta meminta pelakon-pelakon tersebut untuk memainkan peranan seperti apa yang masyarakat penonton ini mahukan. 
 
Perkara yang sama ini turut dilakukan di Filipina menerusi "Philippine Educational Theatre Association - PETA". Mereka mengajak kaum petani, buruh dan pelajar untuk membangunkan dan menghasilkan teater mereka sendiri. Teater ini pula diambil dari pengalaman kehidupan mereka ini yang ditindas. Prinsip ATOR – Artist, Teacher, Organizer dan Researcher, turut diajukan oleh mereka demi menghasilkan kelompok masyarakat yang memberdayakan.
 
Ivan Illich dalam konsepnya "Deschooling Society" menyatakan bahwa pemindahan ilmu dan sosialisasi tidak seharusnya hanya menjadi monopoli sekolah semata-mata. Pembelajaran boleh dilakukan di mana-mana sahaja, dan oleh sesiapa pun. Menurut beliau lagi, kebanyakan proses pembelajaran terjadi secara informal. Bahkan institusi sekolah yang ada sekarang, telah menghambat makna pembelajaran yang sebenar. Oleh yang demikian, pendidikan yang sebaik-baiknya adalah apabila ia membenarkan manusia untuk memilih bila dan apa yang mereka mahu belajar.
 
Berdasarkan penyampaian yang terbatas ini, ada beberapa persoalan yang harus kita tanyakan dan bincangkan;
 
(1) Kenapa perlu ada pendidikan bagi kaum tertindas? Apakah selama ini pendidikan bagi setiap kaum berbeza sehingga perlu ada pendidikan bagi kaum yang tertindas?
 
(2) Bagaimana dan apa pendidikan yang ditawarkan oleh kapitalis?
 
(3) Mengapa perlu ada pendidikan yang membebaskan?
 
(4) Di mana kesilapan pendidikan yang diberikan oleh kapitalis?
 
(5) Apakah jalan keluar bagi semua ini, dan apakah ini boleh diaplikasikan di Malaysia?
 
Barangkali, apa yang seperlunya menjadi perhatian bukanlah rights to education, tetapi right education.
 
Sharifah Nursyahidah
2.36 a.m
18 Jun 2013

#Maaf, entri ini dibaca sepintas lalu sahaja. Insya-Allah, akan diulang baca nanti. Sekian sama-sama kasih.

Dihantar melalui peranti BlackBerry milik sementara 'saya' di dunia ®

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top