ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Khutbah: Keistimewaan Huffaz Di Sisi Allah SWT

Muslimin Yang diRahmati Allah,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: "KEISTIMEWAAN HUFFAZ DI SISI ALLAH SWT".

Muslimin Yang diRahmati Allah,

Golongan huffaz merupakan gelaran yang diberikan kepada seseorang yang telah berjaya menghafaz dan menjaga al-Quran sepenuhnya. Kebiasaan golongan ini wajahnya berseri- seri dengan nur al-Quran, hatinya senantiasa tenang dan hidupnya diberkati oleh Allah SWT. Golongan ini begitu istimewa di sisi Allah SWT kerana di dalam minda dan hatinya dipenuhi dengan wahyu Ilahi dan mengekalkannya di dalam kehidupan .Mereka sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9:

Maksudnya: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur'an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya".

Bardasarkan kepada hadith-hadith menunjukkan bahawa mereka yang menghafal al-Quran adalah merupakan golongan istimewa yang diangkat kemuliaannya dan diberi ganjaran terbaik di dunia mahu pun akhirat. Ia dibuktikan melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah SWT memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia". Lalu mereka bertanya: "Siapakah mereka ya Rasulullah?". Jawab baginda: "Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah dan orang-orang pilihannya".

(Riwayat Ibnu Majah)

Kaum kerabat golongan pencinta al-Quran ini juga turut diangkat kemuliaannya di sisi Allah SWT sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: Sesiapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, maka kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini".

(Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Barang siapa membaca al-Quran dan mengamalkannya, menghalalkannya yang halal dan mengharamkan yang haram, maka Allah SWT memasukkannya ke dalam syurga dan dia boleh memberi syafaat 10 orang keluarganya yang sudah pasti masuk neraka.

(Riwayat Tirmizi)

Penghafal al-Quran termasuk mereka yang hanya membaca ayat suci itu layak mendapat bonus berlipat kali ganda daripada Allah SWT. Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala. Sabda Rasulullah SAW :

Bermaksud : "Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan(alif, lam, mim) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf".

(Riwayat Tirmizi)

Dan Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya : " Bacalah kamu akan al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya ".

(Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan para sahabat yang membaca al-Quran dan yang menghafal dibandingkan dengan sahabat yang lain. Ini dibuktikan dengan tindakan Rasulullah SAW apabila menghantar sesuatu utusan, baginda akan memilih darpada kalangan sahabat yang banyak menguasai al-Quran sebagai pemimpin. Begitu juga ketika berhimpunnya para syahid yang terkorban untuk dikebumikan, Rasulullah SAW sendiri menguruskannya sehingga ke liang lahad dengan mendahului para syahid yang hafaz di kalangan sahabatnya.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Rasulullah SAW menggesa umatnya agar sentiasa membaca al-Quran dan mendalami dari segi bacaannya. Abu Zar (RA) pernah berkata bahawa beliau meminta Rasulullah SAW memberi pesanan yang berpanjangan, Rasulullah SAW bersabda:

"Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber kepada amalan-amalan baik". Aku meminta supaya Baginda menambah lagi, "Tetapkanlah membaca al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehidupan ini dan bekalan untuk akhirat".

Kita dapati para sahabat (RA) seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas'ud, Ubay bin Ka'ab dan lain-lain lagi, mereka ini sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat. Jika diimbas kembali, amalan tradisi orang-orang tua kita dahulu juga mewajibkan pendidikan al-Quran kepada anak-anak. Anak-anak tidak di benarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan pembacaan al-Quran setiap malam selepas waktu magrib secara beramai-ramai.

Walaupun perkara ini tiada dalam syariat, tetapi membuktikan mereka sangat mengambil berat tentang pembacaan dan pendidikan al-Quran. Alhamdulillah, saat ini peranan guru–guru al-Quran dalam masyarakat sangat diberi perhatian dan sokongan oleh pihak pemerintah melalui pelbagai elaun dan insentif yang disalurkan melalui pelbagai agensi - agensi yang tertentu.

Mimbar yang mulia ini ingin berpesan, sewajarnya al-Quran dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Yakinlah bahawa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini. Janganlah kita hanya membaca al-Quran pada masa-masa tertentu sahaja seperti ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian atau pada hari tertentu sahaja.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Berdasarkan kedudukan istimewa golongan huffaz ini di sisi Allah SWT, maka pada hari ini kita dapat melihat kecenderungan di kalangan ibu bapa menghantar anak-anak mereka di sekolah-sekolah tahfiz sama ada yang dikendalikan oleh pihak kerajaan, Jabatan Agama Islam Negeri atau pihak persendirian. Ini menunjukkan bahawa tahap kesedaran masyarakat kepada agama semakin tinggi dan sudah pasti ianya kerana kejayaan dan kesungguhan pihak pemerintah yang mementingkan pembangunan agama selari dengan pembangunan fizikal. Namun, persoalan besar timbul disini ke mana saluran peningkatan pengajian boleh berlaku sekiranya tidak terdapat pengkhususan di peringkat lebih tinggi supaya sistem pendidikan al- Quran menjadi lebih komprehensif lantaran proses pendidikan al-Quran bukan sekadar menumpu kepada proses hafazan semata- mata. Bahkan ianya menuntut para pelajar mendalami bidang Qiraati, Taranum dan Tafsir supaya maksud dalam al-Quran itu difahami. Ilmu dalam al-Quran tidak hanya terbatas dalam bidang Akidah, Ibadah, Syariah, Feqah dan Akhlak tetapi ia merentasi ilmu-ilmu sains dan teknologi dan mampu menghasilkan profesional dan teknokrat yang Islami.

Justeru, pengumuman Perdana Menteri mengenai penubuhan Kolej Universiti al-Quran Malaysia adalah sesuatu yang bertepatan dengan kehendak semasa dan kehendak rakyat. Ianya memberi makna yang besar kepada ibu bapa yang ingin melihat anak anaknya terdidik dengan disiplin ilmu al-Quran secara lebih luas akan tercapai. Justeru, Mimbar yang mulia pada hari ini ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada pihak pemerintah di atas komitmen ini, mudah mudahan ianya akan menghasilkan satu generasi al-Quran sebagai pewaris bangsa dan negara ini. Percayalah, dengan peranan yang dimainkan oleh pemerintah kini, sudah pastinya masa depan anak – anak kita terutamanya belia lebih terjamin dan akan bebas dari sebarang masalah sosial dan keruntuhan akhlak. Oleh itu, marilah sama–sama kita menyokong dan bekerjasama dengan pemerintah demi untuk menjayakan misi yang murni ini demi kebaikan kita bersama.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru sekali lagi khususnya kepada ibu-bapa, marilah sama-sama kita mendidik anak-anak dengan didikan al-Quran, ajarlah mereka dengan ajaran al-Quran, mudah-mudahan dengan cara ini hidup yang bakal dilalui oleh mereka akan diterangi oleh cahaya kebenaran dan keinsafan. Ingatlah bahawa Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan umatnya yang mana hatinya terpaut dan terdidik dengan al-Quran.

Mimbar juga mengambil kesempatan pada hari ini untuk menyatakan sokongan dan penghargaan sepenuhnya kepada anggota keselamatan dan pahlawan negara yang ketika ini sedang berjuang di dalam Ops Daulat bagi membebaskan bumi Sabah dan khususnya di Lahad Datu. Kita mendoakan agar negara kita dikekalkan keamanan dan keselamatan yang berkekalan dijauhkan segala bentuk pencerobohan yang boleh menggugat kestabilan negara dan rakyat.

Kami juga memohon kepadamu Ya Allah agar engkau cucuri rahmatMu keatas arwah - arwah pahlawan tanah air negara kami ini yang telah pergi mendahului kami, kurniakanlah ganjaran pahala yang setimpal dengan jasa dan bakti yang telah mereka taburkan.

Ya Allah, engkau angkatlah darjat mereka sepadan dengan budi pengorbanan yang telah mereka curahkan. Tempatkan mereka bersama- sama syuhada' dan solihin, Amin , Amin Ya Rabal A'lamin. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalm surah al-Qamar ayat 17:

Maksudnya : "Dan sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur'an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan".

#teks khutbah: JAKIM

Dihantar melalui peranti BlackBerry milik sementara 'saya' di dunia ®

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top