ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Kesultanan Sulu: Antara Fakta dan mitos

KESULTANAN SULU ANTARA FAKTA DAN MITOS

Oleh: S.M. Zakir

Wilayah Sabah atau dikenali sebagai Borneo Utara merupakan sebuah wilayah yang agak kabur dalam soal hak milik kekuasaan politik antara kesultanan yang ada pada sekitar kurun ke-17 hingga kurun ke-19. Wilayah ini dari segi geografinya juga bukan sebagaimana wilayah yang wujud hari ini. Wilayah Borneo Utara ini dikatakan dihadiahkan oleh Kesultanan Brunei kepada Kesultanan Sulu setelah Kesultanan Sulu yang mempunyai pertalian saudara tersebut membantu Kesultanan Brunei dalam peperangan.

Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu selalu bergabung tenaga dalam peperangan, terutamanya peperangan menentang Sepanyol sejak kurun ke-16 lagi. Atas persekutuan dan persaudaraan ini maka wilayah Borneo Utara (perkataan Borneo itu sendiri ialah berasal daripada perkataan Brunei) diserahkan kepada Kesultanan Sulu. Setelah itu Kesultanan Sulu menguasai wilayah Borneo Utara sehingga ke Zamboanga meliputi pulau Tawi-tawi, Pulau Jolo, Pulau Basilan, melebar ke Pulau Palawan di Laut China Selatan.

Peperangan besar dalam sejarah kesultanan di Selatan Filipina ialah peperangan ratusan tahun dengan Sepanyol yang dikenali sebagai Peperangan Moro yang bermula pada abad ke-16. Orang Sepanyol datang ke Filipina dalam tahun 1565 melihat orang-orang Islam di Filipina yang menguasai wilayah politik Filipina melalui kesultanan-kesu­ltanan ketika itu mengamalkan ajaran Islam yang sama dengan bangsa Moor Islam. Bangsa Moor dari Afrika Utara datang sebagai tentera Bani Umayyah Islam berkurun lama menguasai Sepanyol sebelum kejatuhan Islam di Sepanyol yang juga dikenali sebagai Andalusia.

Maka apabila berlaku peperangan antara orang Sepanyol dengan kesultanan di Filipina ini maka ia dinamakan sebagai Peperangan Moor atau Peperangan Moro yang bermakna peperangan menentang orang Islam. Bangsa Melayu yang beragama Islam di Filipina terus sahaja dikenali sebagai Bangsa Moro sehingga hari ini. Peperangan Moro ini berlaku sepanjang sejarah 400 ratus tahun ekspedisi penjajahan Sepanyol di Filipina.

Pada Disember 1848, ketika Sepanyol masih berperang dengan wilayah-wilayah­ kesultanan di selatan Filipina, James Brooke gabenor British di Labuan dan konsul Jeneral bagi wilayah Borneo tiba dengan kapal perang British iaitu Maeander di Jolo, pusat pemerintahan Kesultanan Sulu. Sebelum itu Brooke telah mengadakan beberapa perjanjian perdagangan dengan Sultan Brunei sehingga mendapat kepercayaan besar British untuk mewakili kepentingan British dalam Syarikat Borneo Utara British.

Pada 28 Mei 1849, James Brooke telah menandatangani persetiaan atau perjanjian perdagangan dengan Sultan Sulu. Percubaan Perancis untuk membeli Basilan, Belanda yang cuba memperluaskan pengaruh ke Pulau Borneo dan paling genting ialah kemasukan kuasa British di Sulu telah membuatkan Sepanyol mengambil keputusan drastik untuk melancarkan ekspedisi menakluki Sulu dan wilayah Selatan Filipina tersebut.

Ekspedisi penaklukan Sepanyol ke atas Sulu ini merupakan peringkat keenam dan peringkat terakhir Perang Moro yang bermula dengan ekspedisi tentera Sepanyol pada tahun 1851. Perang ini telah melemahkan Kesultanan Sulu dan menyaksikannya bukan sahaja kehilangan penguasaan terhadap wilayahnya tetapi juga memansuhkan kuasa Kesultanan Sulu sebagai kuasa ketenteraan dan politik di Selatan Filipina. Sultan Sulu ketika berlaku ekspedisi ini ialah Sultan Pulalun.

Ekspedisi ketenteraan Sepanyol ini menyaksikan Basilan, Pollok dan Cotabato (di bawah kuasa Sultan Maguindanao), Sungai Pulangi (di bawah kuasa Kesultanan Buayan), Mindanao, dan wilayah-wilayah­ di sekitar lain diletakkan di bawah kuasa Sepanyol yang berpusat di Manila. Pada tahun 1862, kapal perang Sepanyol tiba di Sandakan yang menjadi milik Sultan Sulu untuk menuntut datu-datu di situ menerima kekuasaan Sepanyol. Pada tahun ini juga, Sultan Pulalun mangkat dan digantikan oleh puteranya Jamalul Azam.

Datu Daniel yang seorang pembesar yang berjasa menentang Sepanyol di Jolo turut menuntut takhta dengan hasrat menabalkan menantunya Datu Jamalul Kiram, cucunda Sultan Shakirullah untuk menjadi Sultan. Campurtangan Datu Aranan dan pengiktirafan Sepanyol terhadap Jamalul Azam membuatkan datu-datu Sulu menyokong Sultan Jamalul Azam.

Walaupun Sepanyol mengiktiraf Sultan Sulu tetapi peperangan antara Sepanyol dan Sulu terus tercetus dan semakin sengit. Pada tahun 1873, sebahagian Pulau Palawan telah diduduki oleh garison tentera Sepanyol. Pada tahun 1876 Sepanyol dengan armada besar menyerang Pulau Jolo yang menjadi pusat pemerintahan Sultan Sulu. Sepanyol dapat mengawal Jolo telah termeterai perjanjian dengan Sultan Jamalul Azam pada tahun 1878.

Pada waktu itu, kuasa British yang berpusat di Labuan mula melihat kepentingan wilayah Borneo kepada mereka. Malah pedagang British Alfred Dent dan Baron Von Overbeck seorang bangsa Austria yang menjadi konsul British di Borneo telah mendirikan syarikat memajukan kawasan pertanian yang luas di utara Borneo ini. Pada mulanya Overbeck mendapatkan pajakan daripada Sultan Brunei tetapi kemudiannya diketahui bahawa Sultan Brunei tidak lagi mempunyai kawalan terhadap wilayah Borneo kerana telah diserahkan kepada Sulu.

Maka pada tahun 1878 Overbeck berjaya mendapatkan pajakan daripada Sultan Sulu iaitu Sultan Jamalul Azam ke atas kawasan "bermula dari Sungai Pandassan di sebelah timur, dan dari situ ke sepanjang pantai sehingga Sungai Sibuku di sebelah selatan, termasuklah semua wilayah, di Sungai Pandassan dan kawasan pantai, yang dikenali sebagai Paitan, Sugur, Banggai, Lubuk, Sandakan, China-Bantangan­, Mumiang dan semua wilayah yang lain dan kawasan ke selatan, bersempadan dengan Teluk Darvel, dan sejauh Sungai Sibuku bersama semua pulau yang terletak dalam lingkungan sembilan batu dari pantai".

Sebagai bayaran pajakan, syarikat Overbeck dan Dent yang mewakili kepentingan British membayar 5 ribu dollar setiap tahun kepada Sultan. Malah Sultan Jamalul Azam melantik Overbeck sebagai Datu Bendahara dan Raja Sandakan "dengan kuasa mutlak ke atas hidup matinya semua penduduk negeri itu dengan segala hak mutlak ke atas harta benda di atas bumi negeri itu". Dalam laporan Treacher, pemangku Gabenor British di Labuan menyatakan bahawa kawasan yang ditentukan dalam pajakan tersebut mewakili wilayah tempat Sultan Sulu dan datu-datu beliau berada dan tempat beliau sebenarnya menjalankan kedaulatan beliau.

Pada 22 Julai 1878, Sepanyol telah menandatangani perjanjian damai dengan Sultan Jamalul Azam dan mengiktiraf kuasa autonomi Kesultanan Sulu. Bagaimanapun Sepanyol menjadi pemerintah sebenar di wilayah kesultanan Sulu. Pada tahun 1880 dikatakan 25 buah pulau yang dikatakan milik kesultanan Sulu dikibarkan bendera-bendera­ Sepanyol menanda kuasa garison tentera Sepanyol di situ. Pertempuran-per­tempuran kecil terus berlaku antara orang-orang Sulu dan tentera Sepanyol.

Ekspedisi tentera Sepanyol di Jolo pada tahun 1876 tersebut telah mewujudkan kekuasaan Sepanyol ke atas Sulu dan menghalang kuasa Eropah yang lain daripada menguasai Sulu. Kuasa British yang tidak mengiktiraf kekuasaan Sepanyol ini oleh kerana kepentingan perdagangan British akhirnya pada tahun 1882 telah mengakui kedaulatan Sepanyol ke atas kepulauan Sulu "tertakluk kepada penolakan Sepanyol ke atas semua tuntutannya terhadap wilayah yang menjadi naungan Sultan Sulu yang terletak di tanah Besar Borneo".

Ekspedisi Ketenteraan Sepanyol 1876 dikatakan telah mencapai cita-cita dan matlamat Sepanyol untuk menguasai Kepulauan Sulu. Pada masa yang sama tuntutan Sulu terhadap seluruh Borneo yang diperolehinya daripada Brunei hasil daripada persekutuan mereka sejak tahun 1578 itu gugur selama-lamanya.­ Pertamanya kerana pajakannya kepada Overbeck dan Dent yang mewakili Syarikat Borneo Utara British itu sendiri turut memasukkan bukan sahaja wilayah Borneo tetapi keseluruhan wilayah Kesultanan Sulu secara licik. Keduanya, penguasaan dan kedaulatan Sepanyol ke atas kesultanan Sulu sehingga setiap Sultan Sulu harus diiktiraf oleh Sepanyol terlebih dahulu sebelum mereka secara rasmi menjadi Sultan. Malah setiap Sultan Sulu dibayar gaji oleh Sepanyol.

Wilayah kesultanan Sulu terbahagi kepada dua iaitu wilayah asal yang terdiri daripada Jolo, Basilan, Zamboanga, Tawi-tawi dan Palawan; dan kedua wilayah taklukan atau 'sandera' (tebusan/­hadiah) iaitu Borneo Utara atau Sabah. Setelah tahun 1876, semua wilayah asal Sulu secara legitimasi sudah tidak mempunyai kedaulatannya lagi. Sementara setelah tahun 1878, wilayah sandera iaitu Sabah secara rasmi telah menjadi milik Syarikat Borneo Utara British atas 'kuasa mutlak' yang diberikan Sultan Jamalul Azam kepada Overbeck.

Kesimpulannya tuntutan Sulu ke atas Sabah dari segi sejarahnya juga telah lama termansuh akibat perjanjian Jamalul Azam. Malah Sabah itu sendiri bukan wilayah asal Kesultanan Sulu. Oleh itu sebarang tuntutan yang melihat dari sentimen hak nenek moyang yang dibangkitkan oleh orang-orang Sulu tersebut adalah salah dan sama sekali tidak tepat. Sabah secara sejarah dan undang-undang adalah sebuah wilayah yang bebas daripada romantisme 'bumi orang Sulu'.

#demikian panjang artikel saudara S.M Zakir,

sekian sama-sama kasih
Dihantar melalui peranti BlackBerry milik sementara 'saya' di dunia ®

1 comments :

vina devina said...

blogwaking

nice to meet you

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top