ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Khutbah: Kesenian Mempromosi Hedonisme Perosak Seni, Masyarakat

*KHUTBAH JUMAAT, negeri Sabah, 2 November 2012*

TAJUK: Kesenian Mempromosi Hedonisme Perosak Seni, Masyarakat

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!

Maha Suci Allah yang menciptakan segala yang indah-indah dan menyukai keindahan. Maka, bersama- samalah kita memperindahkan dan menyerikan hidup ini dengan cahaya keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT, dalam erti kata melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya Allah Ta'ala akan membalas setiap amal yang kita lakukan dengan ganjaran yang lebih baik jika kita beriman serta bertakwa, sebagaimana firman-Nya:

"(Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan takwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu dan Dia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya)." (S. Muhammad: 36)

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!

Allah SWT menjadikan alam ini dengan penuh seni,iaitu indah, cantik dan disenangi. Ia melambangkan kekuasaan, kebesaran serta rahmat Allah SWT yang tidak ada tolok bandingannya. Semoga keindahan, kecantikan dan keunikan penciptaan alam ini dapat dinikmati dan diambil pengajaran oleh semua makhluk ciptaan-Nya dan direnungi oleh setiap insan berimanyang mahu berfikir mengenai kejadian alam yang menakjubkan ini.

Sehubungan itu, Islam membuka ruang yang seluas-luasnya kepada umatnya untuk melahirkan pengucapan rasa kesyukuran, kekaguman, keindahan, pengalaman dan sebagainya yang lahir dari naluri asasi manusia yang secara fitrahnya menyukai sesuatu yang indah dan cantik.

Hikmahnya adalah untuk menimbulkan keinsafan terhadap kekerdilan serta kekurangan manusia dalam segala hal, seterusnya tunduk kepada kehebatan Allah SWT. Perasaan seumpamanya dapat mendorong manusia melakukan kebaikan dan patuh kepada segala suruhan dan larangan Allah SWT.

Maknanya, golongan karyawan mahupun seniman boleh memanfaatkan kegiatan bercorak kesenian sebagai media bagi menyalurkan mesej serta saranan jiwa keinsafan, jiwa kehambaan, melakukan kebaikan dan taat kepada ajaran agama. Ini termasuklah aktiviti kesenian seperti nyanyian, muzik, sastera, drama, filem dan sebagainya.

Begitupun, agak mendukacitakan kerana kegiatan kesenian kerap disalahgunakan oleh sesetengah pengamal hiburan yang tidak dapat membezakan antara seni dan hiburan melampau. Mereka bertanggapan semua aktiviti dalam dunia hiburan sebagai seni. Padahal kebanyakannya lebih menjurus kepada fahaman serta pengaruh hedonisme yang bukan sahaja merosakkan seni, malahan merosakkan akhlak dan budaya hidup masyarakat.

Sebagai contoh, rancangan realiti di televisyen yang menampilkan seni nyanyian dan muzik. Pemenangnya ditentukan oleh undi para penonton melalui "SMS". Bilamana kuasa wang dan selera penonton berperanan, maka yang diadili bukan lagi ketinggian dan nilai seninya, tetapi aksi yang menarik dan menghiburkan kerana sebahagian besar daripada penonton kita bukanlah arif sangat tentang seni dan kesenian. Yang penting bagi mereka ialah dapat menonton dan dapat berperanan menentukan peserta yang menang. Dalam erti kata yang lain, pemenang dipilih dan diadili oleh mereka yang mengagumi hedonisme.

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!

Hedonisme berasal dari bahasa Yunani, hedonismos yang bermaksud "kesenangan". Ia muncul pada sekitar tahun 433 sebelum masihi dengan memperjuangkan fahaman bahawa matlamat hidup manusia adalah kesenangan dan hiburan. Hedonisme mempromosi gaya hidup yang melanggar tata susila budaya dan garis agama sehingga menimbulkan fahaman bahawa yang menghiburkan itu semuanya adalah seni.

Padahal, tiada persamaan antara hedonisme dan seni. Ini kerana seni lebih menyuburkan pemikiran dan tidak melanggar batas agama. Sedangkan hedonisme pula menyalahi kehidupan berbudaya dan beragama kerana memperkenal dan mempopularkan tuntutan hiburan yang melampau hingga ke tahap pergaulan bebas, seks luar nikah dan sebagainya. Dan, gejala ini merupakan penjajahan bentuk baru yang menyasarkan golongan muda yang sebahagian besarnya teruja untuk meneladani budaya yang merosakkan itu.

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!

Islam menginginkan penganutnya memelihara akhlak terpuji dan mempunyai kedudukan lebih tinggi dan terbaik berbanding umat yang lain. Bersesuaian dengan tuntutan tersebut, aktiviti kesenian yang diceburi mahupun yang ditontoni atau diminati haruslah kegiatan seni yang mampu menumbuhkan jiwa kehambaan terhadap Allah Tuhan Yang Maha Esa. Ini bertepatan dengan konsep kesenian menurut perspektif Islam yang membimbing manusia ke arah tauhid dan pengabadian diri kepada Allah SWT selaras firman-Nya:

"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al- Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (S. Al-Ankabut: 45).

Berpandukan kepada mafhum firman Allah SWT tersebut, Islam tidak melarang umatnya bergiat cergas dalam aktiviti kesenian kerana ia boleh menjadi sumber hiburan yang memberi ketenangan dan merehatkan minda. Namun kita diingatkan bahawa tiada ketenangan hakiki kecuali mengingati Allah SWT. Mengingati Allah SWT juga tidak semestinya dibatasi dengan ibadat khusus sahaja seperti solat, puasa, haji dan sebagainya, tetapi perlu juga dizahir dan dimanifestasikan melalui aktiviti-aktiviti manusia lainnya.

Ini bererti, aktiviti seni tanpa mengira generenya perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menyeru dan mengajak manusia mengingati Allah SWT. Aktiviti kesenian sama ada berbentuk nyanyian, muzik, tarian, sastera, lukisan, drama dan lain-lainya meskipun dilihat bermotif hiburan, namun ia tidak harus dicemari dengan unsur-unsur hedonisme atau hiburan melampau. Setiap aktiviti yang menampilkan kesenian seharusnya menjurus ke arah melahirkan manusia yang benar-benar baik dan beradab. Ini selaras dengan motif hakiki seni yang mempromosi keindahan, kecantikan, kebaikan dan keluhuran hidup bertunjangkan akhlak yang mulia.

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke-2 pada 12 - 13 Mei 1981 memutuskan:

a) Nyanyian yang seni katanya baik, tidak lucah, tidak biadab dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus;

b) Jika nyanyian seni katanya tidak baik, lucah, biadab, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;

c) Pancaragam yang melalaikan hukumnya haram;

d) Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat seni katanya baik, tidak lucah, tidak biadab, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan

e) Menyanyi untuk menaikkan semangat jihad adalah harus.

Dengan ini, Islam tidak menghalang masyarakat berhibur malah dalam beberapa keadaan ia sangat digalakkan jika ia boleh membangkitkan semangat untuk bergerak maju, berusaha, membentuk masyarakat bertepatan dengan saranan menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran.

Tambahan pula, segala yang ada di alam ini berakar umbi daripada keagungan Allah SWT, yang hikmahnya dinikmati oleh manusia dan makhluk lainnya. Ini secara tidak langsung menyarankan kalangan penggiat dan peminat seni supaya memanfaatkan segala saluran kesenian yang ada sebagai platform untuk menyeru serta mengajak masyarakat ke arah mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Pencipta.

KAUM MUSLIMIN RAHIMAKUMULLAH!

Menyimpul bicara, mimbar Jumaat minggu ini ingin menegaskan bahawa hiburan yang dimahukan oleh Islam adalah yang berasaskan kepada penghayatan Islam sebagai suatu cara hidup yang lengkap dan syumul. Untuk itu, golongan karyawan serta seniman mahupun pengamal hiburan diharap tidak menyalahgunakan program mahupun aktiviti kesenian sebagai medan untuk mempromosi hedonisme. Adalah lebih afdal dan baik pula kesannya jika program-program kesenian atau hiburan yang ditampilkan itu membawa tema serta mesej yang betul lurus, iaitu memburu kesejahteraan hidup akhirat tanpa meminggirkan tuntutan memburu kebahagiaan hidup di dunia, selaras firman Allah SWT:

Yang bermaksud: "Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagiaanmu dari (kenikmatan) duniawi, dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan." (S. Al-Qasas: 77)

Dihantar melalui peranti BlackBerry milik sementara 'saya' di dunia ® melalui peranti tanpa wayar Celcom

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top