ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Bacaan Talqin dan Doa

*Talqin dan doa ke atas mayat*

Tiada Tuhan selain daripada Allah dan Muhammad SAW adalah Pesuruh Allah. Tidak ada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, dan tidak ada sekutu bagi-Nya. Tuhan yang satu dan yang Maha Esa lagi tiada bersekutu. Dialah yang mempunyai kerajaan dan bagi-Nya segala pujian. Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Dia Maha Hidup, Mentadbir dengan penuh berkuasa, Mampu melakukan segalanya, Maha Bijaksana, Dialah yang tidak tidur, tidak akan mati, tidak akan lemah, tidak akan berubah dan tidak akan binasa selama-lamanya. Maha Agung dan Maha Mulia Tuhan, padanya terdapat segala kebaikan dan Dia Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.

Allah telah berfirman: Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Dan sesungguhnya kamu akan diberikan pahala-pahala di hari kiamat. Maka barangsiapa yang dijauhkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Ini bermaksud dia telah mendapat kebahagiaan dan tidaklah dunia ini kecuali hanya kesenangan yang akan menipu dayakan. Apa yang ada di sisi kamu akan binasa dan apa yang ada di sisi Allah, itulah yang akan kekal selama-lamanya. Segala sesuatu akan musnah kecuali Allah. Kepada-Nyalah segala keputusan dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan. Segala sesuatu yang berada di atas dunia ini akan musnah dan yang akan kekal hanya kekuasaan Tuhan kamu yang Maha Berkuasa dan yang Maha Mulia. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad SAW) akan mati dan mereka juga pasti mati. Dan sesungguhnya kamu nanti di hari kiamat d hadapan Tuhan kamu akan saling berhujah.

Wahai fulan atau fulanah. Ingatlah di saat janji di waktu engkau keluar dari dunia menuju ke alam akhirat iaitu dua kalimah syahadah tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Nabi Muhammad SAW adalah Peseuruh Allah. Bahawasanya syurga itu benar, dan neraka itu benar, dan sesungguhnya mati itu benar, dan kubur itu benar, dan sesungguhnya malaikat Munkar dan Nakir itu adalah benar, dan soal jawab di alam barzakh itu juga adalah benar. Dan sesungguhnya hari dihisab itu adalah benar, dan tempat penimbang amal itu benar, dan hari kebangkitan itu benar, dan titi Sirat al-Mustaqim itu benar, dan hari berkumpulnya makhluk di Padang Mahsyar itu benar, dan Allah akan memperlihatkan syurga kepada orang-orang Mukmin itu benar, dan hari kiamat itu pasti datang, dan Allah akan membangkitkan semua orang-orang dari dalam kubur semua itu merupakan haq dan benar.

Sesungguhnya engkau telah redha menjadikan Allah sebagai Tuhan kamu yang satu dan Maha Esa, dan Islam itu adalah agama kamu, dan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul dan Nabi kamu. Ini adalah tahap pertama dari kehidupan dunia seperti mana firman Allah yang bermaksud: Daripada-Nyalah kamu diciptakan dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan dan daripada-Nyalah kamu akan dibangkitkan semula. Sekarang akan datang kepada kamu dua malaikat yang mulia ditugaskan untuk memeriksa kamu. Janganlah engkau berasa takut, gentar, dan risau. Ini kerana mereka berdua adalah dua makhluk ciptaan Allah. Kalau mereka bertanya kepada kamu tentang siapa Tuhan yang engkau sembah, siapa Nabimu, apa peganganmu, apa agama kamu, di mana kiblatmu dan siapa saudara kamu. Maka jawablah dengan lancar dan fasih katakanlah Allah Tuhanku, Nabi Muhammad SAW Nabiku, kitab suci al-Quran sebagai peganganku, Ka'bah kiblatku, Islam agamaku dan orang-orang Mukmin semua adalah saudaraku.

Kerana itulah engkau diciptakan dan di atas itu engkau hidup dan dengan itu engkau mati dan bersama itu juga engkau akan dibangkitkan. Dengan izin Allah, engkau akan berada dalam keadaan aman. Semoga Allah menetapkan keimanan dan keyakinan. Semoga Allah menetapkan keimanan dan keyakinan. Allahlah yang menetapkan iman dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan di dunia dan di akhirat kelak. Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhan dalam keadaan redha dan diredhai. Masuklah di kalangan golonga hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu. Ya Allah! Ampunilah keseluruhan penghuni kubur dari Mukminin dan Mukminat. Engkau berikanlah cahaya di dalam kubur mereka, kelapangan, kesenangan, kegembiraan, kebahagian dan keampunan. Sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha Berkuasa lagi Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Maha Suci Engkau wahai Tuhan dan ucapan mereka di dalam syurga ialah salam dan akhir seruan mereka ialah segala pujian bagi Allah Tuhan sekalian alam.

*Doa selepas membaca talqin ke atas mayat*

Ya Allah! Telah diserahkan Si Mati kepada-Mu oleh orang-orang yang mempunyai rasa kasih cinta kepadanya, iaitu dari kalangan anak isteri, kerabat dan juga saudara maranya. Si Mati telah berpisah dengan orang-orang yang menyintainya lalu keluar dari keluasan rumahtangga dan kemewahan hidupnya menuju ke liang kubur dan kesempitannya. Dia telah menuju kepada-Mu ya Allah! Sedangkan Engkau sebenarnya adalah tempat tujuan yang sebaik-baiknya. Jika Engkau seksa akan Si Mati ini disebabkan oleh dosanya, sebaliknya jika Engkau mengampuninya, maka Engkau sahaja yang berhaq mengampuninya.

Ya Allah, wahai Tuhan kami! Engkau Maha Kaya dari menyeksanya sedangkan Si Mati benar-benar berhajat kepada limpahan kurniaan rahmat-Mu ya Allah. Ya Allah, wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kebaikan kepada arwah Si Mati. Ampunilah dosa-dosa kejahatannya. Kurniakanlah syafaat kumpulan kami ini kepadanya. Maafkanlah segala kesalahannya dan luaskanlah kubur untuknya. Lindungilah dia dari azab kubur. Masukkanlah ke dalam kuburnya itu rasa ketenangan, kesejahteraan dan kerehatan. Dan lepaskanlah halangan yang menyekatnya jalan menuju ke syurga yang paling tinggi dengan kemurahan sifat-Mu wahai Allah Yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani.

Dihantar melalui peranti BlackBerry milik sementara 'saya' di dunia ® melalui peranti tanpa wayar Celcom

1 comments :

Ashraf Ali said...

Alhamdulillah.. terima kasih kerana berkongsi talkin dan dua ini. Semoga Allah SWT memberkati jasa baik encik. Ameen.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top