ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

PROPHECY IN THE MAKING II by Abdillah SM


PROPHECY IN THE MAKING II
Oleh: Abdillah SM

Bangsa Melayu Sarawak punya ikatan teras bangsa dengan bangsa Melayu di mana-mana saja di seluruh dunia. Melayu Sarawak itu nama bangsa dan mereka beragama Islam. Maksud Melayu teras wajib digugurkan sementara kita melihat ke dalam kewujudan Melayu Sarawak dengan entitinya yang unik.

Melayu Sarawak punya status bangsa, adalah kaum terawal menduduki bumi sebuah wilayah di pulau Borneo ini. Mereka membina negara bangsa di wilayah (dalam skala kawasan pentabirannya waktu itu), dikenali sebagai Sarawak. Pentadbiran itu sudah ada sebelum kedatangan James Brooke (1824). Pentadbiran kerajaan inilah yang dirujuk bila James Brooke memperkenalkan dirinya seorang pelaut berbangsa Inggeris.

James Brooke mendekati Melayu Sarawak bukan tanpa tentangan tapi terlalu rendah peratusnya. Itu kira manifestasi pengaruh pekerti bangsa Melayu Sarawak yang tulus tanpa tepu prejudis. Mereka dikenali sebagai bangsa yang beretika tinggi. Peristiwa sejarah penerimaan Brooke sebagai pentadbir oleh Melayu Sarawak tidak boleh diambil ukur sebagai menyerah atau bertindak dayus pada watan dan tanah air.

Brooke hadir sebagai pelaut Inggeris yang baik. Negeri Sarawak bukanlah jajahan British sejak kemasukan Brooke 1824 sehingga tahun 1946. Brooke menghormati bangsa Melayu Sarawak kerana Melayu Sarawak bangsa yang mempunyai sejarah temadun yang murni dan amat cocok bersama dalam mentadbirkan negeri ini. Malangnya, di tangan Brooke yang ke tiga – Vyner, cucu saudara James Brooke, negeri Sarawak telah diserahkannya kepada penjajah British. Vyner Brooke sudah tentu mendapat laba yang besar termasuk penghormatan daripada penjajah British kerana bertindak wira dalam menambah jumlah tanah jajahan pertiwinya. Telah berlaku bantahan besar-besaran daripada seluruh anak negeri ini terhadap penyerahan itu sehingga berlaku penentangan bersejarah di negeri Sarawak yang dikenali sebagai ‘anti cession’.

Pepatah inggeris ‘blood is thicker than water’ itu memang jelas maksudnya bahawa persaudaraan sedarah dan sebangsa itu besar peranannya apa lagi dalam politik penjajah British. Sarawak sebenarnya waktu itu adalah sebuah wilayah perlindungan British. Dalam keadaan kucarkacir setelah pendudukan Jepun yang berakhir pada tahun 1945 itu, Vyner Brooke mulai berpolitk tentang keperihatinan dan kesanggupan British membantu, maaf cakap, sekalipun bantuan keselamatan itu bersifat tanggungjawab negara-negara bersekutu. Tapi masih juga kalau berterima kasih Vyner Brooke harus dulu kepada bangsanya sendiri. Sejak 1 Julai 1946 bermulalah sejarah negeri Sarawak sebagai sebuah negeri jajahan Britain.

Pertuanan bangsa Melayu Sarawak dalam sejarah amat jelas. Mengikut sose-sose bincang sejarah kebelakangan, James Brooke disebut sebagai amat berusaha menjiwai Melayu dalam mentadbir dan juga dalam pergaulannya. Kajian lain pula menyebut beliau telah memeluk agama Islam, jadi Melayu, dan telah berkahwin secara rahsia dengan seorang wanita bangsa Melayu. Mungkin inilah sebahagian daripada jawapan semu kepada pertanyaan mengapa tiada penentangan daripada orang Melayu Sarawak terhadap James Brooke. Lagipun kalau menyerah itu bukan kuasanya di tangan pembesar Melayu Sarawak sebab pada zaman itu negeri ini adalah dalam kekuasaan kesultanan Brunei. Raja Muda Hashim adalah wakil pentadbir kesultanan Brunei bagi negeri Sarawak.

Sarawak adalah sebuah negeri yang didiami oleh pelbagai golongan etnik. Tidaklah begitu payah menentukan golongan mereka. Pertama dengan membeza pertuturan dan bahasa. Kedua mungkin diketahui tentang kepercayaan dan agama mereka. Akhir sekali tentu saja dengan mengenalpasti kawasan dominasi tebaran penduduknya. Bangsa keturunan yang terdapat di negeri Sarawak bersumber teras bangsa Melayu induk yang tepu mewarnai seluruh alam Melayu. Tapi dalam taburan populasi di negeri Sarawak, mereka wajib dilihat dalam kelompok masing-masing yang jelas. Bahkan Melayu Sarawak juga wajib dilihat dari perspektif itu kerana kelainan adat budaya dan resam serta agama adalah formula penting untuk penyimpulan.

Melayu Sarawak bukan bangsa Melanau. Di pihak lain, bangsa Iban juga bukan Melayu Sarawak tetapi dari segi bahasa, kemiripannya amat ketara sehingga terasa wujud hubungan kejiwaan antara kedua bangsa itu. Mirip wajah dan sifat tegas keturunan bangsa Iban sesekali penuh diplomasi sungguh persis Melayu Sarawak. Ikatan Melayu-Iban amat ketara serasi disebabkan komunikasi bahasa yang berkesan itu. Satu citra politik yang amat baik kalau perlu diterokai. Maaf cakap, bangsa Iban tidak memerlukan percantuman etnik dengan bangsa Melayu Sarawak untuk keluar sebagai juara populasi maupun politk. Bangsa Iban mempunyai jumlah penduduk yang teratas sekali. Melayu Sarawak berada di tempat ke tiga.

Perbezaan bangsa Melayu Sarawak dan bangsa Melanau amat ketara apabila kita mengkaji pertuturan mereka. Lokasi penyebaran penduduk juga tidak sama dengan kependudukan bangsa Melayu Sarawak. Oleh kerana agama Islam bukanlah agama dominan bagi bangsa Melanau maka perkahwinan campur antara orang bangsa Melanau dan kaum-kaum lain yang bukan beragama Islam itu sangat berleluasa. Sekalipun bangsa Melanau mempunyai pelbagai dialek pengucapan bahasa, masih juga mereka dikenali oleh orang bangsa Melayu Sarawak sebagai berbangsa Melanau.

Kesempatan percantuman bangsa untuk tujuan politik telah digunakan secara amat berkesan oleh pemimpin bangsa Melanau. Akibatnya bangsa Melayu Sarawak setelah berdekad persemendaan itu kini sudah hilang unggul nama bangsanya dalam beberapa format rasmi kerajaan. Kenapa semenda seperti ini tidak terjadi antara bangsa Bidayuh dengan bangsa Melanau sedang terdapat persamaan bahasa bagi kedua-dua bangsa ini? Pemimpin bangsa Melanau memilih untuk bercantum dengan bangsa Melayu Sarawak disebabkan sejarah ketuanan bangsa Melayu Sarawak yang sukar dapat dinafikan. Pengaruh ini masih ada dan sukar dipadamkan sebelum imej bangsa Melayu Sarawak dicemari oleh caturan politik. Sebab lain mungkin kebetulan saja pucuk pimpinan bangsa Melanau itu beragama Islam. Maaf cakap, sebab yang paling ajaib ialah negeri Sarawak merdeka melalui gagasan Malaysia. Kepimpinan di peringkat persekutuan (UMNO), berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Kini bangsa Melayu Sarawak dikenali sebagai Melayu/Melanau dalam pelbagai format rasmi Jabatan Perangkaan Negara maupun Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia. Ini satu kesilapan yang amat perlukan dibetulkan. Satu pendustaan sejarah bagi bangsa Melayu Sarawak. Saya percaya inilah satu-satunya dosa politik yang tidak dapat dimaafkan oleh bangsa Melayu Sarawak terhadap mereka yang berwewenang kerana kesannya membawa banyak akibat penyingkiran dan pengurangan peluang yang sepatutnya orang Melayu Sarawak dakapi untuk pelbagai kesempatan ekonomi, politik dan pendidikan berasas pada kedudukan populasinya. Maaf cakap, peribahasa ‘bagai kacang lupakan kulit’ sangat-sangat menjelaskan situasi bahawa bangsa Melayu Sarawak dalam persemendaan ini berada pada status keutamaan terakhir di hati pemimpin-pemimpin berbangsa Melanau. Pemimpin bangsa Melanau kini sudah punya kuasa politik, ekonomi dan berpengaruh sosial di peringkat negeri dan juga di kalangan pemimpin persekutuan.

Penderaan politikal terhadap bangsa Melayu Sarawak apakah diketahui dan mendapat simpati daripada pihak pucuk pimpinan persekutuan? Mereka mungkin mengetahui tapi termakan budi politik itu berbahaya. Termakan budi kepimpinan bangsa Melanau, mulut itu terkatup sekedapnya. Mengunyah sajalah kalau ada kesempatan. Maaf cakap, tidak boleh dibuka untuk bercakap, apa lagi bertanya, dan menyoal. Tidak payah berangan pimpinan Melayu di peringkat persekutuan akan campur tangan dalam hal orang Melayu Sarawak.

Melayu/Melanau ini kelihatan hebat dalam gejolak politik dan pembangunan di negeri Sarawak. Begitulah senarionya yang dapat dimaklumi tanpa berenang menyelami ke dasar prahara sebenar yang berlaku terhadap bangsa Melayu Sarawak disebabkan persemendaan itu. Tapi bilakah sebenarnya bermula percantuman Melayu/Melanau ini? Sekali-kali rasanya bukan sejurus selepas Negeri Sarawak merdeka menerusi Malaysia. Idea itu memerlukan masa pemeraman yang secukup sebelum dilestarikan.

Ketua Menteri Sarawak yang pertama ialah Dato Stephen Kalong Ningkan (mendiang), seorang pemimpin ulung keturunan Iban. Doa dan ingatan kasih kami untuk marhum ayahnda itu. Yang kedua Dato Tawi Sli (mendiang). Marhum ayahnda ini seorang negarawan keturunan Iban berbudi tinggi. Yang ketiga Abd Rahman Yakup, seorang Melanau. Bekas ketua menteri Sarawak inilah jaguh bagi bangsa Melanau kerana di tangannya tercatur nasib untung bangsanya.

Pada zaman pra Malaysia lagi telah mula era berpolitik bangsa Melayu Sarawak seperti juga bangsa lain di negeri ini dalam menyahut tuntuan merdeka. Maaf cakap, lewat perancangan dan diplomasi politik itulah Abd Rahman Yakup, dengan serba kecekapannya disebarkanlah sose-sose politik beliau bagaimana konon British tidak menyukai orang Melayu Sarawak sebagai sebab beliau memilih untuk jadi Melanau! Pengurbanan ini dilakukan, menurut beliau, cuma untuk mendapat biasiswa belajar undang-undang di luar negara. British tidak suka bangsa Melayu Sarawak, tambah beliau lagi, seorang gebenur penjajah British pernah mati akibat tikaman seorang pemuda belasan tahun berbangsa Melayu Sarawak. Itu memang benar. Itulah dia wira bongsu nusantara, marhum kekanda Rosli bin Dobi. Wira bangsa Melayu Sarawak ini telah dihukum gantung sampai mati oleh penjajah British.

Perihal almarhum kekanda, buah hati lambang juang bangsa Melayu Sarawak memang kisah sejarah. Itulah manifestasi terakhir paling tragik terjadi sehubung dengan gerakan anti-cession orang Melayu Sarawak terhadap penjajah British. Apabila fakta itu diadun dengan sedikit fiksyen daripada Abd Rahman Yakup ianya cukup menjadi. Beliau sebagai lulusan undang-undang tentunya punyai pakej istimewa dalam membenar-benar dan melogikkan sesuatu persepsi. Percaya orang Melayu Sarawak dengan alasan yang kedengaran sungguh murni dan baik hati ini. Dengan maneuver politik inilah Abd Rahman Yakup bertindak ala James Brooke terhadap bangsa Melayu Sarawak.

Mendekati untuk bersosialisasi dengan bangsa Melayu Sarawak bukanlah perkara yang sukar. Cubalah kenali hati budi, resam budaya, tradisi dan agama mereka. Tunjukkan anda gemar kepada amalan adat tradisi mereka, serta menyukai makanan yang mereka ikhlaskan. Hendaklah turut berjaga-jaga pada tiap pantang larang budaya dan pemali-pemali yang sering mereka hindari. Hormati orang tua mereka dan sayangi anak-anak mereka. Bersantun pada wanita mereka dan berkerjasamalah dengan pria-pria mereka dalam segala hal melibatkan gotong royong. Tiap perkara yang disebut itu adalah ciri kejatian bangsa Melayu Sarawak.

Secara tradisinya rumah panjang itu lambang kehidupan orang bangsa Iban, bangsa Melayu Sarawak hidup berkampung. Kampung Melayu Sarawak itulah khazanah tradisi peninggalan moyang mereka. Dalam kampung Melayu Sarawak ada rumah kediaman sesebuah, bagi masing-masing keluarga. Dalam kampung juga ada sebuah surau tempat beribadat orang lslam. Di situ ada imam yang mengetuai tiap solat. Sesekali beliau juga bertindak sebagai guru agama selaras pengetahuan yang ada pada beliau. Di kampung ada guru mengajar membaca kitab suci al quran. Mengajar membaca al quran itu pada paraktisnya adalah tugas sukarela sesiapa yang berkebolehan, atas nama tanggungjawab sesama lslam. Pendekata, mereka yang terlibat dengan hal-hal bersifat keagamaan itu mendapat penghormatan yang tinggi dalam kehidupan di kampung Melayu Sarawak.

Sawah bendang dan tanah tempat bercucuk tanam adalah dalam keluasan perkampungan. Yang tidak kurang pentingnya ialah perkuburan. Orang Melayu Sarawak memberi rasa hormat dan komitmen yang tinggi terhadap kesejahteraan kawasan perkuburan. Perkuburan yang berada dalam kampung itu adalah tanggungjawab semua penduduknya. Di situlah nenek moyang mereka dikebumikan. Perkuburan Islam itu adalah hak temurun orang Melayu dan disandarkan padanya tanggungjawab keagamaan dan hormat keturunan dan bangsa.

Yang tersebut di atas diantaranya punya nilai sakral kepada orang Melayu Sarawak. Dalam sejarah, orang bangsa Melayu akan menyingsing lengan dan bertumpah darah kalau kehormatan bersabit perkara tersebut disentuh dan dihina. Tetapi sekarang sudah ada perancangan untuk meleburkan kawasan perkampungan bangsa Melayu Sarawak khususnya di Bandaraya Kuching. Sesuai dengan perancangan itu, maka ada beberapa kawasan perkampungan Melayu Sarawak di bandaraya Kuching sekarang sudah tidak halal lagi bagi mereka. Sekalipun masih berwujud, kediaman di situ sudah dianggap sebagai pendudukan haram. Maaf cakap, mereka boleh dihambus pada bila-bila masa. Kejatian semangat bangsa Melayu Sarawak tercabar dari semasa ke semasa.

Bandaraya Kuching didiami oleh ramai penduduk pelbagai bangsa, tetapi tanah yang diduduki bangsa Melayu Sarawak juga yang lebih manis dan lemak serta sering diancam! Bukan saja kawasan kampung tradisi kediaman bangsa Melayu yang mulai dirancang musnahkan bahkan keinginan itu sudah melelat mencakari kawasan perkuburan. Yang dimusnahkan itu semuanya lambang eksistensi bangsa Melayu Sarawak di Bandaraya Kuching, satu lokaliti yang kita perhatikan sebagai contoh. Tempat lain itu mungkin secara pengaruh politkal tidak sepenting pusat pentadbiran negeri ini.

Satu peristiwa yang paling menyayat hati seluruh penduduk Melayu Sarawak bandaraya Kuching ialah kisah kubur marhum wira bangsa Melayu Sarawak. Kubur marhum waktu itu masih terletak dalam kawasan Penjara Pusat, Kuching. Atas arahan siapakah maka kubur marhum dibongkar dan dikorek. Maaf cakap, dihambus pulang tulang temulang marhum yang berbaki, untuk dikebumikan semula di kampung halaman marhum di Bandar Sibu. Bayangkan saja bahawa sekecil tanah makam marhum itu tidaklah mengganggu pembangunan pesat bandaraya Kuching. Beliau adalah wira bagi seluruh penduduk negeri Sarawak. Lebih daripada itu dimanakah rasa hormat kerajaan negeri Sarawak terhadap perjuangan wira masa lampau yang menentang penjajah. Cuma saja marhum itu berbangsa Melayu Sarawak! Tidak lain keperluannya tindakan itu kalau bukan kerana takutkan pengaruh dan ketuanan bangsa Melayu Sarawak yang masih berbekas itu. Yang baki itulah semakin rakus dileburkan dari sejarah dan eksistensi sewajibnya.

Dalam aktif kehidupan Melayu Sarawak bandar Kuching sekitar awal 1960an, Abd Rahman Yakup menyusup masuk lengkap dengan strategi wibawa dan politiknya. Pertama memang beliau sudah dikenali sebagai lulusan luar negara dalam bidang undang-undang, satu status yang dipandang gah. Seterusnya kedudukan itulah meletakkan beliau sebagai orang pandai dan serba tahu dalam undang-undang. Pembinaan auranya mengambil masa tetapi beliau sudah berjaya berada di tengah-tengah appresiasi yang mulai renyah takjub terhadapnya.

Mulanya beliau berusaha tegas membina sifat dan wibawa ampuh untuk menguasai dan kemudian bangun sebagai jaguh pada tiap bidang yang menjadi lambang kejatiandiri bangsa Melayu Sarawak. Melayu Sarawak terbilang dengan pencak silat, suatu budaya cara mempertahan diri. Melayu Sarawak menganggap guru silat itu mempunyai pengaruh mistik. Abd Rahman Yakup boleh pergi jauh mematahkan ketakjuban Melayu Sarawak terhadap pencak silat warisan moyang mereka. Dibawanya masuk aikido dari Jepun untuk menandingi pencak silat Melayu Sarawak. Demikian beliau telah meletakkan dirinya sejajar dengan guru persilatan tradisional Melayu Sarawak yang dalam sejarah dan amalannya sangat-sangat digeruni mesyarakat Melayu.

Dengan bertindak selicik itu, beliau sekali gus telah merobohkan institusi persilatan Melayu Sarawak yang gah dalam sejarahnya. Dengan pelbagai kemasukan kreatif serba sedikit, tambah sana tambah sini wujudlah pelbagai mazhab silat yang diberi nama baru. Maaf cakap, jangan lupa nama-nama persilatan baru itu tidak masin dan magis kalau tidak dikaitkan dengan nama maha guru silat, Abd Rahman bin Yakup. Bermulalah Abd Rahman bin Yaakup dikenali sebagai maha guru persilatan walaupun bukan lagi pencak silat warisan budaya Melayu Sarawak.

Orang Melayu Sarawak seperti bangsa-bangsa lain juga, mereka mudah takjub ke atas perkara-perkara semasa yang dianggap ajaib. Mereka bukan tidak sedar tentang hipnotisma, amalan yang boleh dipelajari dan boleh diamal. Tetapi bukan semua orang Melayu Sarawak mahu mencuba dan mendekati sesuatu yang mereka anggap boleh membuat seseorang jadi senteng kalau silap guru. Tapi kalau seseorang itu memang punya kebolehan hipnotisma maka dengan sendiri beliau itu dianggap seorang yang istimewa. Lebih istimewa daripada pawangan dan sihir dalam amalan tradisi. Maaf cakap, di sini sekali lagi Abd Rahman Yakup meletakkan dirinya sebagai yang berkebolehan dalam bidang yang dianggap ajaib itu. Ramai juga murid Abd Rahman Yakup dalam aktiviti hipnotisma ini. Maka dengan kebolehan itu maka bertambah lagilah appresiasi orang Melayu Sarawak terhadapnya.

Sose-sose propaganda waktu itu, kalau mendekati Abd Rahman Yakup beliau tidak perlu lagi membuka bunga pencak silat. Dari jauh beliau sudah boleh melakukan terkam bathin terhadap musuhnya. Wah! Itu sudah hebat? Tapi betulkah semua itu. Yang ajaibnya, maaf cakap, percaya orang Melayu Sarawak. Kalau dulu mereka sekadar hormat terhadap Abd Rahman Yakup sekarang ditambah pula dengan rasa gerun. Permainan minda dan psikologi Abd Rahmat Yaakup terhadap bangsa Melayu Sarawak bagi saya tidaklah begitu sukar dianalisa. Maka menghormati dan gerun psikologi pada nama itu sudah memberi tambahan kredit bagi pembentukan aura tepu magis Abd Rahman Yakup dalam kehidupan Melayu Sarawak.

Abd Rahman Yakup beragama Islam dan memang seorang pemimpin yang warak. Ini satu lagi kesempatan manupulatif yang digunakan oleh beliau untuk berada sebagai pemimpin yang serba boleh di mata orang Melayu Sarawak. Orang Melayu Sarawak memang taat kepada agama. Berada pada wadah religius itu dan duduk sebaris dengan iman dan ustaz, berbicara serba sedikit tentang Islam dan pembangunan, orang Melayu Sarawak mudah terpengaruh bahawa Abd Rahman Yakup itu pakar rujuk dalam hal-hal berkaitan agama Islam. Satu lagi kredit bagi aura Abd Rahman Yakup.

Semasa pengumpulan kredit pengampuhan wibawanya, warna asal bangsa Melanau yang masih lagi dalam lipatan jelma panji Abd Rahman Yaakup tidak mudah terkucir. Inilah lakonan beliau yang sungguh bisa melentur hati orang Melayu Sarawak yang suka pada rasa sepunya, satu gengsi, sekalipun mereka sedar itu kepura-puraan. Perangai orang Melayu Sarawak tidak mudah tergamak menyergah atau memberi malu pada tetamu, kalau itu dapat dielakkan. Tapi dengan Abd Rahman Yaakup apa yang tidak menyenangkan datang daripada dia? Dia pelakon dalam kehidupan sosial yang sangat-sangat memerlukan peran agung itu demi mendapat tangga yang belum sepenuhnya diserahkan kepadanya mereka.

Memang Datuk Patinggi Haji Abd Rahman seorang yang baik hati. Berbudi mulia, beliau adalah antara negarawan (kalaupun beliau masih dilihat sebagai seorang negarawan setelah analisis ini) yang harus dikaji sejarah politiknya. Beliau pernah menjadi menteri pendidikan di peringkat kerajaan persekutuan. Kenapa di Kementerian Pendidikan? Di tangannya bermula sebuah momentum bagi kejayaan dirinya dan bangsa Melanau. Maaf cakap, kalau bangsa Melanau berkorban merancang dan menghantar pelajarnya ke peringkat pengajian tinggi adalah untuk disediakan apabila kembali nanti jadi pemimpin. Sering pula mereka kembali membawa isteri keturunan asing. Memang itulah antara strategi arkitektur pembinaan generasi masadepan bangsa Melanau dalam perancangan politik pemimpinnya.

Orang Melayu Sarawak, ampun-ampun, berusaha menghantar anak mereka untuk belajar ke peringkat tinggi, dalam kesukaran ekonomi yang mencakar kehidupan, cuma sekadar ditunggu kembalinya untuk makan gaji dengan kerajaan! Kepimpinan bangsa Melanau tidak akan percaya pada orang bangsa Melayu Sarawak dan perkara itu sangat jelas dan senang dibaca. Melayu Sarawak yang mendapat kepercayaan kepimpinan Melanau, paling ketara kalau dipilih sebagai calon wakil rakyat, cumalah individu-individu kacukan dan anak angkat. Kebencian kepimpinan bangsa Melanau terhadap bangsa Melayu sejak tiga dekad kebelakangan ini sangat-sangat terasa dan ketara. Kebencian mereka sudah tidak dapat diselindungkan lagi. Apa dosa bangsa Melayu Sarawak terhadap kepimpinan bangsa Melanau?

Nah, legasi kuasa bangsa Melanau dilanjutkan apabila bermula penyerahan kepimpinan dari tangan Tun Datu Patinggi Haji Abd Rahman Yakup kepada ketua menteri Sarawak yang ke empat, Abd Taib Mahmud, seorang Melanau, anak saudara beliau sendiri. Ampun-ampun, apakah tidak ada pemimpin politik dari kalangan pelbagai bangsa di negeri Sarawak punya pendidikan selayak Abdul Taib bin Mahmud? Maaf cakap, memang betul ‘air ditetak tak kan putus’ dan ‘blood is thicker than water’ kata pepatah Inggeris. Legasi wajib berlaku dalam kontek menurunkan kuasa politik dari tangan Tun Abd Rahman Yaakup ke pengakuan Abd Taib bin Mahmud demi membina kekuatan, kekebalan dan mengekalkan eksistensi politik licik kepimpinan bangsa Melanau!

Apakah janji semu, tanpa rela bangsa Melayu Sarawak atas cantuman Melayu/Melanau itu memberi sebarang faedah kepada bangsa Melayu Sarawak? Meneliti secara rinci sejarah perkembangan politik, ekonomi, dan pendidikan di negeri ini sejak zaman Abd Rahman Yakup hingga ke hari ini, maaf cakap, saya yakin tidak. Tiap orang Melayu Sarawak wajib meneliti hal ini, tapi usahlah bersedih hingga hilang fikir. Memang betul hangat silaturahmi percantuman politik bangsa Melayu Sarawak/bangsa Melanau semakin pudar dan dingin setelah pemimpin mereka berjaya mendapat kesempatan politik seperti yang kita saksikan pada hari ini. Bangsa Melayu Sarawak dianaktirikan. Tidak siapa mengakui hal ini kerana bangsa Melayu Sarawak sudah tidak berwujud lagi. Yang ada cuma Melayu/Melanau.

Kegagalan politik Tun Abd Rahman bin Yakup cuma satu saja. Sungguhpun Tun pernah jadi Yang Di Pertua Negeri Sarawak setelah bersara daripada politik (?) Tun gagal dalam kempen mencari pengiktirafan suntikan di raja untuk beliau diiktirafkan sebagai pewaris kerajaan negeri Sarawak zaman silam. Dalam kempen itu Tun pernah berhubung dan berusaha membina semenda kekeluargaan dengan di raja negeri yang dianggapnya tepu semangat Melayu/Islam di semenanjung Malaysia. Kempen beliau juga pernah membawanya berusha mendapat suntik semenda di raja di sebuah negara jiran. Maaf cakap, tak payahlah menyentuh panjang lebar perkara ini kerana ia membuat rasa tidak elok di hati kita. Beliau pernah jadi ejekan orang ramai kerana misi itu dan kita orang bangsa Melayu Sarawak sungguh rasa menyesal apabila seorang pemimpin selayak Tun dicemuh tanpa rasa hormat pada orang tua seperti beliau. Maaf cakap, Tun masih lambang bijaksana orang kita juga!

Satu lagi perkara lucu tapi penting diambil perhatian, walau mungkin sudah terlewat dan basi. Bahawa retak perhubungan keluarga, antara bapa dan anak saudara (Tun Rahman / Abd Taib ) adalah sebenarnya persembahan sebuah lakonan teater perdana. Sekilas padanya kita melihat wujud dua kem (Rahman-Taib). Distrategikan semu dua kem ini bukan ditujukan kepada bangsa Melayu Sarawak sahaja. Kem itu diharap dapat memecah konsentrasi massa daripada sedar dan bertindak kritis terhadap strategi politik-ekonomi bias kepentingan peribadi kepimpinan waktu itu yang sedang memasuki era pelestariannya di tangan Abd Taib bin Mahmud. Air dicincang tak akan putus. Maaf cakap, hubung genting antara dua beranak itu adalah dusta semata-mata.

Ampun-ampun, perlukah Melayu Sarawak menuntut hak gantirugi semenda itu lewat tindakan politik tanpa huru hara? Jangan berdendam kepada sesiapa. Kesilapan itu mungkin juga berlaku kerana campurtangan orang-orang tua kita juga. Maaf cakap, ingat bahawa kita orang bangsa Melayu Sarawak beragama Islam. Kita wajib kekal sebagai bangsa yang beretika tinggi sekalipun kemiskinan itu mencakar rakus kehidupan kita. Anggun budi bahasa itu adalah kemuliaan dan identiti kita. Mulakan saja sedikit demi sedikit perjuangan pembersihan nama dan bangsa Melayu Sarawak. Bangsa Melayu Sarawak wajib sudah bangkit kembali sekarang! Berjuanglah secara aman demi memberi kesempatan kepada generasi anak bangsa Melayu berpolitik secara aktif.

Wujud Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak adalah sebuah mimpi ngeri bagi perjuangan bangsa Melayu Sarawak dalam suasana sesal sebak dewasa ini. Yayasan Budaya Melayu Sarawak tidak payah disebut gunanya apa di sini? Terakhir ini disebarkan cerita bahawa Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak memilih tidak akan menyentuh hal-hal politik. Sasaran kononnya cuma hal-hal pendidikan. Kenapa tidak boleh menyentuh hal politik? Apakah pendidikan itu tidak termasuk dalam agenda politik bangsa Melayu Sarawak? Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak itu masih relevan, ampun-ampun, semangatnya yang sudah tidak relevan lagi. Wajib dibersihkan persatuan itu demi tampil ia sebagai persatuan berdiri tegak perkasa; pembela bangsa Melayu Sarawak. Itu seharusnya yang berlaku.

Siapa yang memberi amaran jangan berpolitik itu? Apakah bangsa Melayu Sarawak tidak ingin mempunyai pemimpin-pemimpin jati bangsa Melayu Sarawak yang berwibawa dan bebas daripada perangkap politik? Maaf cakap, memang tidak dinafikan bahawa bilangan bijak pandai kita amat berkurangan disebabkan oleh bangsa Melayu Sarawak sudah jauh ketinggalan dalam perlumbaan mendapat hak pendidikan tinggi. Bagaimana dengan kelayakan keahlian persatuan itu? Masih relevan atau tidak dengan keadaan yang didepani oleh bangsa Melayu Sarawak sekarang ini? Maaf cakap, memang amat perlu diwujudkan satu persatuan baru bagi bangsa Melayu Sarawak: Persatuan Bangsa Melayu Jati Sarawak. Tidak payah guna ‘kebangsaan.’

Eksistensi bangsa Melayu Sarawak untuk bertahan sebagai satu bangsa bermaruah dan berwujud semakin hari semakin nipis dan rangkup. Majoriti orang Melayu Sarawak adalah golongan miskin dalam segala bidang. Ironinya mereka dikatakan kaya. Itulah tragiknya tentang Melayu Sarawak dalam drama politik semenda Melayu/Malanau. Bangsa Melayu menyembunyi tiap kegelisahan bangsanya dengan senyum dan gurau jenaka. Bangsa ini amat dihormati Brooke apabila antara lain kata James; orang Melayu banyak berkorban demi keamanan negerinya. Maaf cakap, cuba tanya Tun Dato Patinggi Haji Abd Rahman Yaakup apakah pandangan Tun tentang bangsa Melayu Sarawak?

Pengalaman politik Tun Dato Haji Abdul Rahman Yakup bukan sekadar perhiasan maujudnya di dunia. Maaf cakap, sewajarnya pengalaman beliau andai ia berteraskan kejujuran adalah ibadah yang harum manis menghiasi akidah islamiahnya. Tuhan itu maha pengampun, tapi orang Melayu Sarawak insan biasa. Bertanya kita kepada Tun, kalau beliau masih boleh mengenang kembali, apakah bangsa Melayu Sarawak di tangan kepimpinan dan semendaan itu mendapat keadilan politik?

Frasa iktikad ‘adil dalam sunyi’ sewajarnya jadi perenungan dan amalan setiap muslim yang diamanahkan. Tidak kira amanah tentang apa asalkan ia melibat keadilan. Ampun-ampun, itulah teras wibawa seorang muslim biasa dalam segala tindak tanduknya. Aplikasi kewajaran ini tidak berubah ke atas seorang pemimpin. Bahkan tanggung jawab semakain berat dan berisiko tinggi. Tabungan duniawinya mungkin menggunung tinggi tapi belum tentu lagi tabungan itu halal untuk mengharum arwahnya di akhirat nanti.

Maaf cakap!

P/S: Wah, sebuah sisipan artikel sejarah yang menarik dan panjang. Terima kasih, Pak Abdillah SM

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top