ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

KERAJAAN: Sang Lebah dan Sang Tebuan


~ KERAJAAN: Sang Lebah dan Sang Tebuan ~

MAHA Suci Tuhan, Tiada Tuhan Selain Dia, Tiada Kerajaan Yang Lebih Gagah yang berupaya menyaingi kerajaan-Nya di langit mahupun di bumi. Tidak ada sesuatu yang diciptakan oleh-Nya sia-sia tanpa sebarang makna untuk diambilrenungkan dek sekalian insan (kita) yang juga adalah ciptaan Dia.

Keberadaan kita di dunia ini adalah suatu proses sebelum proses akhir dilakukan setelah kita dihimpunkan semula di Yaumil Mahsyar iaitu saat segalanya (amal) diperhitungkan di hadapan Dia Yang Esa. Dan saat itu, tiada lagi bantuan selain amal perbuatan yang pernah diperbuat semasa hidup. Demikanlah prosesnya.

TIADA sesuatu yang diciptakan Tuhan sia-sia waima yang hidup sehalus hama, pasti segalanya berada pada ketentuan-Nya dan takkan berlaku akan sesuatu tanpa izin-Nya jua.

ALKISAHNYA, sungguh diri yang menitip nukil ini menggemari madu yang terhasil daripada lebah; manisnya asli tanpa sebarang perasa dan pewarna tambahan yang merosakkan tubuh badan. Ya, sang lebah itu binatang yang unik ciptaan Tuhan dan ia jelas difirmankan di dalam Al-Quran.


"Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah Engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari Segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang Engkau sukai), serta Turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu Yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (dengan itu) akan keluarlah dari Dalam badannya minuman (madu) Yang berlainan warnanya, Yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada Yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir."

Surah An-Nahl ayat 68-69

OLEH kerana yang menitip nukil ini mahu berfikir dan memperingati diri sendiri, maka teringatlah akan sebuah kisah panjang yang sengaja dipendekkan bagi memudahkan kefahaman diri sendiri jua. Kisahnya melibatkan dua binatang ciptaan Tuhan iaitu antara Sang Lebah dan Sang Tebuan.

Sang tebuan runsing mengenangkan dirinya tiada memiliki sebuah rumah yang indah bagi menempatkan seluruh isi keluarganya yang kepalang ramai. Hari demi hari diusung runsing itu ke mana-mana, berterbanglah sang tebuan dari satu tempat ke satu tempat yang lain mencari ilham bagaimana hendak membangun sebuah istana besar berbanding gubuk reyot miliknya sekarang ini.

Kini sang tebuan berada di sebuah wilayah besar di hutan dara yang luas. Matanya tajam memerhatikan kawasan berkenaan.

"Kalaulah istanaku seluas hutan ini, alangkah baik." bisik hati sang tebuan

Tiba-tiba, saat mengelilingi sebuah lembah di hutan dara berkenaan, terpandang olehnya akan sebuah istana yang tersergam indah di atas sebuah pokok besar.

"Aduhai, siapalah gerangan pemilik istana yang indah ini agaknya ya? Sungguh, istana ini membuatku iri." suara hati sang tebuan berbunyi lagi

Lalu sang tebuan berterbang terus menuju ke istana indah yang berpaut pada dahan pokok sambil melakukan pusingan 360 darjah. Indah sungguh katanya. Tanpa segan silu sang tebuan bertanya di muka pintu masuk istana,

"Selama hidupku, tidak pernah aku melihat istana sebegini indah. Apa boleh aku menemui rajamu, duhai soldadu lebah?"

"Apa tujuanmu, sang tebuan?"

"Tiadalah diriku berniat yang tiada elok selain dari memohon kepada rajamu agar mengajar daku bagaimana hendak membina sebuah istana seindah ini."

"Oh, begitu. Sebentar, akan kuusulkan kepada raja. Kau tunggu di sini."

Sang tebuan menanti di luar istana sambil matanya liar menatap sekian banyak bucu berbentuk heksagon yang berwarna kuning keemasan. Bertambahlah irinya dia.

"Duhai sang tebuan, sudah lama beta tidak kamu. Apa khabarmu sekarang?"

"Seperti yang tuanku lihat sekarang, patik hidup seperti binatang lain di lembah lain di dunia lain tetapi sekarang ini patik sedang runsing memikirkan akan sesuatu ...,"

"Apakah yang sedang membeban pundakmu, sang tebuan?"

"Tentang gubuk, tuanku."

"Gubuk? Gubuk kamu bermasalah?"

"Bukan begitu tuanku, gubuk patik tersangatlah sempit sehingga memaksa patik hidup bersempit-sempit seisi keluarga."

"Oh, begitu. Jadi apa yang boleh beta bantu?"

"Ampun tuanku sekalian lebah. Sebaik saja patik terpandang akan istana tuanku yang indah ini, terdetik rasa di hati inginkan istana yang saling tak tumpah sepertinya. Apa boleh tuanku ajarkan patik cara hendak membangunkan akan ia?"

Raja lebah berfikir sejenak, lalu

"Boleh, tiadalah menjadi masalah tentang hal itu."

Seraya itu raja lebah mengarahkan salah seorang komander briged yang mahir dalam hal pembinaan sarang supaya memberikan tunjuk ajar kepada sang tebuan.

"Terima kasih tuanku, amat-amatlah patik yang hina ini bertunduk malu."

Terangguk-angguk kepala sang tebuan tanpa pengetahuannya tatkala mengucapkan terima kasih kepada raja lebah.

"Maha Suci Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kepada Dialah harus kamu labuhkan terima kasih kerana daripada-Nyalah segala ilmu ini datang buat kerajaan beta."

"Ya, benar!" balas sang tebuan

DEMIKIAN halnya setelah mendapat perkenan raja lebah maka bermulalah pelajaran membina sarang baik mahligai istana yang gilang gemilang indah terbilang. Sang tebuan seekor binatang yang bijak dan mudah faham dengan rekabentuk luaran dan bentuk dalaman istana lebah. Tak sampai berbulan, sang tebuan berjaya menguasai ilmu pembinaan sarang yang diajarkan oleh komander briged lapangan kejuruteraan kerajaan lebah.

Tiba suatu ketika,

"Tuanku, patik sudahpun khatamkan ilmu pembinaan sarang. Izinkan patik kembali ke lembah petualangan, mudah-mudahan ilmu yang diajarkan ini bisa patik realisasikan."

"Baiklah, semoga kamu berjaya hendaknya." ucap raja lebah

Tempoh seminggu diambil oleh sang tebuan untuk tiba ke lembah petualangan - kampung kelahirannya. Dengan penuh yakin sang tebuan membayangkan sebuah istana besar indah akan menggantikan gubuk usang di atas tanah. Setelah memikirkan bahan apa hendak diguna pakai, sang tebuan memilih tanah sebagai sumber, tidak seperti sarang si raja lebah. Jauh berbeza sekali adunannya.

Dalam tempoh tiga purnama, sebuah istana tersergam indah di hadapan mata. Sang tebuan mula berasa bangga dan mula mengklaim bahawa istana yang diperbuatnya terlebih baik malah lebih indah berbanding istana kerajaan lebah. Keindahan istananya itu tersebar di sekitar hutan dara di lembah petualangan. Sang tebuan bertambah bangga sehingga timbul sifat sombong bongkaknya hendak mencabar keindahan istana kerajaan lebah.

Suatu hari, sang tebuan mengadap raja kerajaan lebah.

"Membawa hajat apakah kamu, wahai sang tebuan?"

"Ampun tuanku, sembah patik harap diampun. Mohon limpah perkenan ke bawah duli tuanku agar sudi mencemar duli bertandang ke istana patik yang telah patik siapkan kerana patik ingin sekali menunjukkan bahawa istana istana patik terpaling indah dibanding istana milik tuanku ini."

Tersenyum raja lebah.

"Baiklah, akan beta lawat istanamu itu, wahai sang tebuan. Komander briged udara, siapkan rombongan beta." raja lebah memberi titah

Di hati kecil sang tebuan terselit ...

"Kerajaanmu akan mendapat malu tuanku kerana istanaku lebih indah daripada istana tuanku." getus hati sang tebuan

Sesampainya raja lebah di lembah petualangan di hutan rimba dara. Raja lebah berpusing mengelilingi sarang buatan sang tebuan. Hasil binaannya cukup baik, malah raja lebah mengakui bahawa itulah istana yang terbaik. Lalu sang tebuan dengan angkuh berkata tanpa berlapik.

"Tuanku, apakah tuanku tidak berasa malu sebaik saja menatap istana patik yang indah ini."

"Maksudmu apa, wahai sang tebuan?" balas raja lebah sambil mengarahkan komander briged supaya tidak melakukan serangan asbab keceluparan mulut sang tebuan

"Begini tuanku, seharusnya tuanku punya rasa malu kerana patik telah berjaya membina istana yang lebih indah dan terlebih indah daripada istana tuanku. Ternyata patik telah mendahului tuanku dalam soal ini." nada sombong terpamer daripada kata-katanya

Raja lebah tersenyum simpul seraya berkata,

"Sang tebuan, beta akui istana binaanmu indah. Ya, memang indah dan beta tak sangka kamu berjaya mempejari selok-belok pembinaan sarang dalam tempoh masa yang sangat singkat. Itu tidak memusykilkan beta kerana kamu memang seekor tebuan yang bijak. Tetapi beta ingin bertanya, seindah-indah istana buatan kamu ini, MADUnya mana?" balas raja lebah

Bagaikan terkena panahan petir mengenai dirinya, sang tebuan terpunduk menahan malu. Madu. Ya, madu - istanaku tiada madu. Dan sehinggalah ke hari ini, hanya lebah sajalah yang berupaya menghasilkan madu, manakala sang tebuan hanya mampu membina sarang yang indah tanpa secuitpun isinya berupa madu.

DEMIKIANLAH adanya

Maha Suci Tuhan Yang Esa. Segala manfaat yang ada pada binatang yang bernama lebah wajar dijadikan sumber demi memikirkan bahawa setiap kejadian alam ciptaan ini saling bertautan antara satu dengan yang lain. Dengan kata lain yang lebih mudah, kita hidup di dunia ini saling perlu-memerlukan. Namun, apakah bisa kita memikirkan dan seterusnya menjadikan ia sebagai pelajaran? Maka ingin sekali diriku berkata,

"Yang mana satu daripada nikmat Tuhan hendak aku dustakan?"

Wallahu A'lam

~ Ajikara a.k.a Ampuan Awang

1 comments :

luahfikiran said...

SALAM,
MAHA KUASA ALLAH. MENCIPTA DAN MENENTUKAN SEGALA2NYA. SEMESTINYA KITA MENGABDIKAN DIRI KEPADANYA ..... BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top