ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Pelajar Nigeria Terlibat Dalam Penyeludupan Dadah Antarabangsa!


Rampas dadah 40kg
Oleh HAYATI IBRAHIM

SEPANG: Dadah seberat 40 kilogram (kg) bernilai RM10 juta yang disembunyikan dalam tin makanan dan tiga pelajar warga Nigeria yang dipercayai terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah ke negara ini, ditahan Bahagian Penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Dadah jenis Methaphetamine (syabu) itu diseludup ke negara ini menerusi Zon Perdagangan Bebas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, yang diletakkan di dalam dua kotak yang mengandungi pelbagai jenis makanan lain, dan diisytiharkan sebagai barangan peribadi untuk dihantar di sebuah rumah di Damansara Damai, Selangor.

Kotak yang diterima dari Lagos, Nigeria, pada 17 Oktober lalu, turut diletakkan ikan masin dipercayai untuk mengelakkannya dikesan anjing pengesan.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk M Govinden, berkata beliau percaya modus operandi sindiket penyeludupan dadah antarabangsa itu dilakukan golongan profesional berikutan ia dijalankan dengan rapi dan teliti.

“Semua tin berkenaan ditebuk terlebih dulu di bahagian tepi untuk mengeluarkan kacang hijau dan air, serta hirisan ayam berkenaan.

“Kemudian mereka memasukkan dadah sebelum tin itu dipateri semula dan dilekatkan label pembungkusan bagi mengelakkan sebarang keraguan,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA di sini, semalam.

Govinden berkata, semua dadah berkenaan diletakkan di dalam 67 tin yang masing-masing seberat 500 gram dan 700 gram.

Beliau berkata, kes berkenaan dikesan selepas pegawai yang bertugas di pintu keluar zon berkenaan menahan sebuah van berkunci untuk pemeriksaan fizikal ke atas konsaimen yang diikrarkan sebagai barang peribadi pada jam 5.30 petang, kelmarin.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati barangan berkenaan hanya terdiri daripada makanan dalam tin pelbagai jenis tetapi ia menimbulkan keraguan pegawai berkenaan.

“Berikutan itu, satu daripada makanan tin iaitu ‘Macedonia French Garden Peas’ dan Chicken Luncheon Meat’ dibuka, dan ia didapati mengandungi serbuk putih kristal dipercayai dadah.

“Bahan berkenaan kemudian diuji dengan kit ujian dan didapati positif dadah jenis Methaphetamine (syabu),” katanya.

Berikutan itu, katanya, bahagian penguat kuasa JKDM melakukan serbuan di sebuah rumah di Damansara Damai, pada kira-kira jam 10 malam kelmarin, dan menahan tiga pelajar kolej swasta warga Nigeria berusia 20-an di rumah berkenaan.

Dalam serbuan itu juga, beliau berkata, pihaknya merampas wang tunai berjumlah RM31,500 dan menemui pembuka tin yang mempunyai kesan dadah.

Susulan kes berkenaan, Govinden berkata, pihaknya sedang mengesan seorang lagi warga Afrika yang dipercayai terbabit secara langsung dalam kes itu.

“Selain itu, kita juga menahan pemandu lori berkenaan untuk siasatan lanjut. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Merbahaya 1953 dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mandatori,” katanya.

Sumber: Harian Metro, Ahad 23 Okt 2011

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top