ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

KHUTBAH Jumaat 28 Oktober 2011


Sidang Jumaat Yang Di Muliakan,

Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari akan memperkatakan mengenai tajuk: “MENCARI SINAR HARAPAN ”.

Sidang Jumaat Yang Dihormati Sekalian,

Menurut sejarah negara Samolia adalah negara Islam yang bernaung di bawah pemerintahan Khilafah Turki Uthmaniyah sebelum dijajah oleh Itali dan Inggeris. Negara yang satu ketika dahulu merupakan negara yang selamat dan makmur, akan tetapi disebabkan perang saudara yang berterusan ia kini merupakan antara negara pertumpahan darah yang paling dahsyat di dunia. Diburukkan lagi dengan bencana alam yang membawa kepada kebuluran dan kesangsaraan kepada rakyatnya. Kanak-kanak terpaksa mengikat perut berbulan-bulan malah ramai yang mati kebuluran. Berdasarkan kepada pemerhatian, keadaan ini berlaku mungkin merupakan balasan Allah SWT keatas umatnya yang tidak tahu bersyukur atas nikmat, perpaduan, penyatuan dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Perebutan kuasa antara puak yang bertelagah telah membutakan mata mereka sehingga sanggup berbunuhan sesama Islam dan sesama bangsa.

Justeru, Islam menolak segala gerakan yang mengugat keamanan samada menggunakan kekerasan, pembunuhan dan peperangan. Persoalan ini perlu di ambil perhatian oleh semua pihak kerana ia membabitkan masalah keselamatan rakyat. Sekiranya perkara ini tidak dipenuhi, maka akan jatuh sesebuah bangsa dan huru hara negara. Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 112:


Maksudnya: “Dan Allah memberikan satu misalan; Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, tetapi penduduknya kufurkan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka telah lakukan.”

Sidang Jumaat Yang Dihormati Sekalian,

Secara prinispnya, keamanan akan wujud apabila semua pihak saling hormat-menghormat dan tidak melampau dalam sesuatu tindakan. Dunia sendiri telah menyaksikan banyak peristiwa berdarah yang disebabkan oleh tindakan yang melampau ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 190:


Maksudnya: “Dan perangilah kerana agama Allah akan orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang menceroboh. ”

Berdasarkan ayat ini, apa yang jelas bahawa keamanan yang tulen hanya diperolehi apabila semua pihak berkerjasama demi keadilan sosial. Dalam konteks dunia hari ini, mimbar yakin rakyat Malaysia yang telah mengecapi nikmat keamanan adalah lebih waras berbanding dengan negara-negara yang tidak aman. Islam telah mengatur prinsip-prinsip dasar semua bidang kehidupan umat manusia termasuklah konsep toleransi dan cara hidup bermasyarakat dalam berbilang bangsa. Inilah prinsip yang dipegang oleh negara Islam dan menjadi amalan pemimpin agung Islam sejak dulu.

Namun berdasarkan pemerhatian mimbar, terdapat segelintir umat Islam yang cuba menghuru-harakan keamanan yang dinikmati masa kini. Justeru, mimbar menggesa kepada mana-mana pihak yang cuba menyalakan api perpecahan sehingga mencetuskan keganasan supaya memainkan peranan bagi menamatkan dengan segera mana-mana pertikaian. Sekiranya pihak yang bersengketa menerima dan menghormati satu sama lain, masalah itu akan dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin. Namun, jika ada pihak yang masih ingin meneruskan permusuhan, iaitu tidak mahu mengikut pendapat umum, maka mereka boleh ia dianggap menderhaka dan mencabul keamanan serta perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Sidang Jumaat Yang Dihormati Sekalian,

Dalam mencari sinar harapan untuk rakyat Samolia ini, sesungguhnya ajaran Islam telah menetapkan bahawa aktiviti amar makruf ( menyuruh melakukan kebaikan) adalah suatu tuntutan atau agenda tertinggi dan ianya melangkau sempadan negara dan bangsa. Andaikata aktiviti amar makruf ini dilengah-lengahkan atau tidak dipedulikan, maka kita akan menyaksikan keperitan dan kesusahan hidup yang dialami ini akan berpanjangan . Persoalan besar timbul disini, masihkah ada sinar harapan rakyat Samolia untuk kembali hidup seperti sediakala?. Jawapannya, pastinya ada jika semua pihak dapat menghulurkan segala bantuan yang termampu samada dari segi fizikal atau pemikiran demi membebaskan segala permasalah yang dihadapi agar rakyatnya dapat hidup sempurna, aman dan damai sebagaimana umat Islam di negara lain. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2,


Maksudnya “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). ”

Sabda Rasulullah SAW:


Maksudnya: “Tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya”(Riwayat: Muslim)

Berdasarkan peringatan Rasulullah ini maka mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian marilah melaksanakan amar makruf ini kerana ianya akan meningkatkan prestasi keimanan dan ketakwaan kita. Selain daripada itu, amalan ini sebenarnya mampu meningkatkan persaudaraan dan semangat keinsanan kepada kita. Marilah sama-sama kita menjadi masyarakat yang prihatin terhadap apa yang terjadi kepada umat manusia. Ambillah iktibar bagaimana prihatinnya seekor kucing dan ular seperti yang diceritakan oleh Imam Malik bin Dinar RA. Menurut beliau ketika hendak makan, tiba-tiba seekor kucing menyambar sepotong daging dari pinggannya. Lalu beliau mengekori ke mana ia dibawa. Rupa-rupanya kucing itu telah mencampakkan daging tersebut ke dalam lubang berbatu yang dihuni oleh seekor ular buta yang kelaparan. Renungilah, betapa prihatinnya haiwan ini walaupun berlainan jenis. Allah SWT sengaja mempamerkan naluri sayang binatang ini untuk menjadi pengajaran buat manusia. Walaupun ada antaranya bersifat ganas, tetapi keperihatinanya sangat tinggi.

Sidang Jumaat Yang Dihormati Sekalian,

Mimbar memperingatkan kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita menjadi masyarakat yang bertanggungjawab diatas suasana yang berlaku ini. Mimbar juga menyeru seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia untuk sama-sama memikul bebanan ini dengan menggerakkan aktiviti dakwah, menghulurkan segala bantuan agar bebanan yang ditanggung oleh umat seagama kita di Samolia dapat diringankan. Maha Suci Allah SWT menganugerahi manusia di pelusuk dunia ini dengan nikmat keamanan dan kebebasan agar kita menjadi umat yang bertakwa, yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Semoga dengan itu iman kita terus bertambah dalam matlamat memakmurkan bumi Allah dengan benih-benih kebaikan akan berpanjangan. Ingatlah bahawa sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah sesuatu kaum kepada keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya jika mereka tidak mahu berusaha mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri . Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ra’d ayat 11:


Maksudnya: “ Bagi setiap seorang ada malaikat penjaganya dari hadapan dan belakangnya, yang menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.”

Sumber: e-Khuthbah JAKIM

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top