ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

KHUTBAH Jumaat 21 Oktober 2011

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI PEMACU TRANSFORMASI UMMAH .”

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah mengubah corak pentadbiran dengan meletakkan Sultan atau Raja menduduki hierarki yang paling tinggi dalam struktur sosial politik pemerintahan dan sebagai ketua agama. Alim ulama pada ketika itu dilantik menjadi penasihat dengan diberi gelaran Guru Sultan. Raja-Raja Melayu dan pemimpin-pemimpin Melayu telah mengubal dasar dan undang-undang yang dilaksanakan dengan mengambil kira kedudukan Islam sebagai agama negara dengan memasukkan Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam dibawah kuasa Sultan dan Raja.

Mereka telah menyempurnakan amanah tersebut dengan memastikan kesucian Islam tidak ternoda, syair Islam terus berkembang dan umat Islam dilindungi dari penyerapan fahaman lain. Justeru sebagai umat Islam kita hendaklah memberi taat setia yang tidak berbelahbagi kepada Sultan atau Raja pemerintah negara lebih-lebih lagi kita telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 59:

Bermaksud: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

Bagi melaksanakan pentadbiran agama dan menjalankan kuasa Sultan , maka Majlis Agama Islam negeri ditubuhkan. Majlis Agama Islam pada hakikatnya merupakan satu badan bagi menasihati Sultan atau Raja dalam perkara-perkara yang berhubung dengan agama Islam. Di samping itu beberapa objektif penubuhannya yang perlu di capai demi kemajuan umat Islam samada dari segi sosial dan ekonomi antaranya Pertama: Membentuk dan mewujudkan sebuah masyarakat Islam yang dinamis dan progresif yang sentiasa mencari keredhaan Allah SWT. Kedua: Memupuk keimanan dan mengukuhkan perpaduan ummah. Ketiga: Memperbanyakkan usaha-usaha kebajikan dan mencegah kemungkaran.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Sudah terlalu lama umat Islam di bumi ini, berfikiran selesa dengan status bangsa, agama dan sejarah. Berpendirian selesa sebagai penduduk majoriti di sebuah negara merdeka. Keselesaan umat Islam telah mengulitkan mereka leka tidur di siang hari bermimpikan bahagia. Hari ini segala-galanya telah berlalu, tanpa langkah yang strategik, berani, umat Islam dibimbangi sedang menghitung hari, berada di ambang untuk menghadapi nasib bermusafir kelana di rumah sendiri. Disebabkan keadaan ini maka kedudukan dan kedaulatan agama Islam semakin hari makin dicabar, perpaduan umat Islam juga semakin rapuh serta imej Majlis Agama Islam diperlekehkan samada dari segi bidang kuasa dan fungsi. Ramai dikalangan umat Islam pada hari ini tidak menghormati pandangan serta kewibawaan bahkan ada yang mempertikaikan titah Sultan yang menaungi kuasa Majlis Agama Islam. Mimbar ingin menegaskan antara punca kepada berlakunya perkara ini ialah terdapat sesetengah pihak yang mengutamakan kepentingan politik mengatasi kepentingan agama. Kedudukan Majlis Agama Islam dipandang rendah dan dianggap hanya sebagai agensi kerajaan semata-mata, akibatnya kedaulatan dan bidang kuasa sebagai pihak berkuasa agama dinafikan, kesucian akidah Islam diseret menjadi percaturan politik dan perpecahan dikalangan umat Islam menjejaskan fungsi dan peranan Majlis Agama Islam.

Muslimin Yang di Rahmati Allah sekalian,

Penghakisan martabat Islam di bumi ini bukanlah sesuatu yang tidak mungkin terjadi atau tidak di rancang secara tersirat baik dari dalam mahupun dari luar negara. Jika dihalusi pencerobohan terhadap Islam bukan sahaja tampak berlaku, tetapi berlaku dalam terang lagi bersuluh. Ia mungkin bermula dengan satu jamuan, satu nyanyian, satu perkhemahan, satu lawatan. Ia mungkin bermula dari segenggam garam, setahil emas, ia mungkin dari satu kalimah, satu ceramah. Raja Nazrin Shah Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan dalam titahnya pernah menzahirkan peringatan bahawa: pencerobohan besar bermula dari perbuatan kecil, ia mungkin bermula dari sebuah surau, madrasah atau masjid atau sebuah mimbar. Ia bermula dari satu ungkapan, satu ucapan, satu khutbah, satu tazkirah atau satu doa. Jika umat Islam masih lagi belum insaf, masih lagi berdegil dan masih lagi sombong mempertahankan ego, memilih untuk bertelagah, maka umat Islam sebenarnya telah memberikan petanda yang salah, petanda seolah-olah menggalakkan pencerobohan lebih besar boleh berlaku ke atas umat Islam dan institusi Islam.

Mimbar ingin mengingatkan pencerobohan boleh berlaku melalui manipulasi fakta sejarah, melalui perbuatan mempersendakan lagu kebangsaan, penghinaan bendera negara, melalui pelanggaran menghormati kalimah suci Allah yang sekian lama eksklusif kepada umat Islam. Oleh kerana itu umat Islam wajib menghayati semangat Bersatu Teguh Bercerai Roboh. kita hendaklah berpegang teguh kepada ajaran Islam supaya kita tidak diceroboh, hilang pedoman, dihina dan sebagainya. Firman Allah SWT dalam Surah Al-An’aam ayat 153:

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Imam Hasan al-Bana dalam kitabnya Usul Ishrin mengariskan Islam ialah sistem yang syumul, merangkumi seluruh aspek kehidupan, Islam adalah negara dan watan, pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan, rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang, ilmu dan kehakiman. Islam merangkumi material dan harta benda, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan fikrah, akidah yang benar dan ibadat yang sah. Majlis Agama Islam wajib menghayati tafsiran yang sedemikian dalam hasrat melakukan transformasi peranan, agenda dan pendekatan. Justeru mimbar menyeru kepada semua pihak demi kedaulatan agama Islam di negara ini, marilah sama-sama kita memperkasakan kedudukan Majlis Agama Islam, mengembalikan bidangkuasa dan fungsinya, memperbetulkan pandangan terhadap Majlis, meningkatkan komitmen untuk mempertahankan kedaulatan agama Islam dan perlaksanaan dasar-dasar Majlis Agama Islam.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Berdasarkan kepada Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia kali pertama yang diadakan pada 26-27 September yang lepas, beberapa resolusi telah dicapai bagi memperkasa peranan Majlis Agama Islam sebagai pemacu transformasi ummah. Antaranya ialah mendaulatkan kedudukan Sultan dan Raja-Raja Melayu yang mempunyai kuasa terhadap agama Islam terus terjamin dan terpelihara. Majlis Agama Islam hendaklah dirangka sebagai satu Dewan pentadbiran Islam di bawah naungan, pengawasan dan pemantauan Raja-Raja Melayu. Bertindak sebagai jambatan penghubung di antara umat Islam dengan Raja pemerintah, di antara umat Islam dengan kerajaan dan di antara umat Islam dengan warga yang tidak beragama Islam. Untuk melakukan perubahan ini maka Majlis Agama Islam perlulah melantik mereka yang mempunyai kepakaran sebagai tenaga pengerak dalam bidang masing-masing. Mengemaskini Enakmen atau Akta Majlis agar ianya mempunyai bidang kuasa yang membolehkan berfungsi secara lebih berkesan, memiliki kuasa autonomi dan akauntabiliti kepada Allah SWT dan Raja-Raja Melayu. Lebih penting lagi bagi memperkasakan peranan Majlis Agama Islam ini maka keahliannya mestilah bebas dan bersih dari sebarang pengaruh, campur tangan dan penglibatan politik kepartian kecuali perlantikan mereka itu diperkenankan oleh Raja pemerintah. Mimbar ingin menegaskan kepada pihak yang berkenaan agar segala resolusi yang diputuskan ini tidak hanya tinggal sahaja dalam rekod catatan dan berakhir sebagai satu lagi timbunan kertas yang disimpan, sebaliknya ia perlu kepada tindakan segera.

Muslimin Yang di Rahmati Allah sekalian,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru kepada sidang jemaah dan umat Islam sekalian marilah sama-sama kita menyokong segala usaha memperkasa Majlis Agama Islam Negeri demi memacu transformasi ummah. Marilah kita bersatu padu segala kekuatan yang ada agar kebaikan bersama ini dapat di warisi oleh generasi akan datang. Ingatlah bahawa sekiranya umat Islam berterusan berpecah belah, hilang integriti dan diperalatkan pihak lain, maka lambat laun umat Islam di negara ini akan menerima nasib yang malang seperti yang berlaku di sesetengah negara di mana rakyatnya diburu dan dihalau daripada tanah air mereka sendiri. Marilah sama-sama kita menyekat suara-suara sumbang pihak tertentu yang memperlekehkan kedudukan dan peranan Majlis Agama Islam. Janganlah kita sanggup mengadai maruah dan kepentingan agama demi kepentingan diri dan kumpulan tertentu. Ingatlah kepada pepatah orang Melayu: Dimana bumi dipijak, disitu langit dijunjung. Teruskanlah perjuangan yang telah ditinggalkan oleh pemimpin kita terdahulu agar kesinambungan ini dapat menjamin kedudukan agama Islam sentiasa dimartabatkan. Ingatlah usaha kita ini merupakan sebahagian daripada amanah yang akan diberi ganjaran syurga oleh Allah SWT di akhirat nanti. Mengakhiri khutbah marilah sama-sama kita mengambil iktibar firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzaab ayat 72 :

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil .”

Sumber: E-Khutbah JAKIM (Klik Muat Turun Khutbah)

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top