ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Buya Hamka masih HIDUP

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
2011/10/03

GAMBAR atas, Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka, Tasik Maninjau, Sumatera Barat. Gambar bawah, Antarabahan yang dipamerkan di Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka.
GAMBAR atas, Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka, Tasik Maninjau, Sumatera Barat. Gambar bawah, Antarabahan yang dipamerkan di Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka.
Rumah peninggalan ibunya dijadikan muzium bagi memperingati sumbangan tokoh ulung

"KITA punya Hamka, tetapi yang memilikinya adalah Malaysia. Mengapa?"

Itulah luahan Pengelola Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka, Hanif Rasyid, yang boleh ditafsirkan sebagai rasa terharu pada sanjungan rakyat Malaysia terhadap ulama besar negara jiran itu, Allahyarham Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka.Penghargaan itu menumbuhkan rasa bangga dalam diri penulis kerana secara tidak langsung memperlihatkan jiwa besar rakyat Malaysia yang menghargai tokoh ulung dunia Melayu yang memberi sumbangan keilmuan, keintelektualan dan kesusasteraan dalam tradisi persuratan Nusantara.
Sebahagian besar buku Hamka memang dicetak di Malaysia sehingga tidak banyak bukunya di sini, tetapi Gramedia dalam usaha menerbitkannya kembali secara satu persatu. - Hanif Rasyid, Pengelola Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka
Bagaimanapun, pada masa sama, pengakuan Hanif juga seolah-olah menyembunyikan kekecewaannya terhadap sanjungan rakyat Indonesia sendiri dalam mengangkat dan menobatkan ulama dari alam Melayu yang tidak ada duanya itu.

Pada tahun lalu, Hanif diundang ke Seminar Hamka Sebagai Ulama Nusantara - Penerokaan Hikmah Tokoh Ulama Nusantara Menerusi Penelitian Terhadap Karisma, Intelektual Islam dan KeMelayuan di Kolej Universiti Insaniah (INSANIAH), Alor Setar.

Dalam sesi soal jawab dalam seminar itu, Hanif berkata, beliau mendapati generasi muda di Malaysia lebih mengetahui dan mengenali Hamka berbanding anak muda di tanah airnya sendiri.
“Pengunjung Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka juga 90 peratus dari Malaysia, manakala selebihnya barulah dari Indonesia.

“Rakyat Malaysia lebih mengenali Hamka kerana karya beliau pernah dijadikan teks sastera pelajar Tingkatan Enam, selain sering dibaca oleh generasi muda Malaysia. Novel Merantau Ke Deli beliau juga pernah dijadikan sebagai teks Sastera pelajar Tingkatan Dua di Singapura,” katanya kepada Sastera di Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka, Tasik Maninjau, Sumatera Barat.

Malah, penubuhan muzium itu juga asalnya dicadangkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di tapak rumah asal keluarga ibu Hamka yang musnah pada zaman pendudukan Jepun.

“Muzium ini juga hanya menyimpan 30 judul buku karangan Hamka, manakala selebihnya, iaitu 107 judul masih berada di Malaysia dan saya berharap kalau dapat dana untuk ke sana bagi melengkapi koleksi sedia ada.

“Sebahagian besar buku Hamka memang dicetak di Malaysia sehingga tidak banyak bukunya di sini, tetapi Gramedia dalam usaha menerbitkannya kembali secara satu persatu,” katanya yang juga anak saudara kepada Hamka.

Hanif enggan mendedahkan dana yang diterima oleh muzium berkenaan, tetapi mengakui ia tidak mencukupi sehingga terpaksa bergantung juga kepada sumbangan yang diberikan oleh pengunjung.

Bagaimanapun, Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka yang menyimpan koleksi buku, pakaian dan peralatan yang pernah digunakan Hamka itu tidak mengenakan sebarang tiket masuk.

Antara bahan yang dipamerkan ialah gambar Hamka dan jubah yang dipakainya ketika menerima Ijazah Kehormat daripada Universiti al-Azhar, Mesir, pada 1958 serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1974).

Bahan lain yang turut dipamerkan ialah tongkat dan kerusi yang sudah berusia seabad serta katil yang dikatakan menjadi tempat Hamka dilahirkan, selain beg yang digunakan ketika menunaikan haji.

Hamka dilahirkan di Kampung Molek, Maninjau pada 17 Februari 1908 dan meninggal dunia di Jakarta pada 24 Julai 1981, menerima jolokan Buya, iaitu panggilan penghormatan masyarakat Minangkabau yang berasal daripada bahasa Arab, iaitu abuya atau ayah.

Bapa Hamka, iaitu Syeikh Abdul Karim Amrullah pula menjadi pelopor gerakan pembaharuan di Minangkabau, manakala rumah dan pusaranya terletak tidak jauh dari Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka.

Hamka mengikuti pengajian agama secara tradisional melalui pengajaran di surau dan masjid oleh ulama tempatan, sebelum mencurahkan khidmat baktinya sebagai guru di Medan dan Padang Panjang.

Beliau juga pernah menjadi pensyarah di Universiti Islam, Jakarta dan Universiti Muhammadiyah, Padang Panjang, sebelum dilantik sebagai Rektor Perguruan Tinggi Islam dan Profesor di Universiti Mustopo di Jakarta.

Hamka turut terbabit dalam dunia kewartawanan apabila menjadi wartawan Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam, dan Seruan Muhammadiyah serta editor majalah Kemajuan Masyarakat, al-Mahdi, Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.

Antara khazanah ilmu yang ditinggalkan oleh Hamka ialah Tafsir al-Azhar dan Sejarah Ummat Islam, Falsafah Hidup, Lembaga Hidup, Revolusi Pikiran serta Revolusi Agama, manakala novelnya yang terkenal ialah Di Bawah Lindungan Ka’bah, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Merantau ke Deli.

Sumber: Berita Hairan (Terima kasih Nazmi, lain kali baca Twit tu botul2 yo).

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top