ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Kisah Kerabat Maharaja Perba Jelai dan Orang Kaya Haji



BERSATULAH SELURUH KERABAT MAHARAJA PERBA JELAI DAN ORANG KAYA HAJI!!

Suatu masa dahulu, Hulu Pahang atau separuh tanah Pahang menjadi milik keluarga Maharaja Perba Jelai. Di sebalik mitos, lagenda serta fantasi yang membaluti kisah mula kewujudan institusi Raja Di Hulu Pahang ini, kedaulatannya tetap diakui oleh penduduk di rantau tersebut, walaupun kurang popular di rantau sebelah hilir yang merasa tergugat dengan kebenaran yang cuba dipadamkan.

Sejak zaman Sultan Abdul Ghafur Mohaiden Shah (1590-1614), Hulu Pahang berkerajaan sendiri dengan pusat pemerintahannya di Jelai (tidak termasuk daerah Tembeling). Terjadi perbauran di antara darah keturunan Sultan Abdul Ghafur dengan darah bangsawan Pagaruyung dengan ketibaan Maharaja Perba yang pertama dari Kota Lima Puluh, Minangkabau sekitar tahun 1590. Barangkali yang dimaksudkan dengan Kota Lima Puluh itu ialah Luhak Lima Puluh Koto di Payakumbuh. Walaupun kemelut melanda pemerintahan di Kuala Pahang, sehingga berakhirnya (kalau pun boleh dikatakan berakhir dalam ertikata yang sebenar?) institusi Kesultanan Pahang warisan Melaka pada tahun 1614, namun kebangsawanan di Hulu Pahang, atau lebih tepatnya di Jelai tak pernah goyah.

Kekacauan sejarah mulai melanda apabila singgahsana raja Melayu dialihkan dari jalur raja yang asal kepada jalur Bendahara. Di sinilah titik tolaknya segala pemalsuan sejarah, salasilah serta hak-hak pemerintahan dalam kerajaan Melayu di Semenanjung. Situasi diparahkan lagi dengan wujudnya tangan-tangan Bugis di belakang tabir, diikuti pula dengan kemasukan jarum-jarum penjajahan bangsa barat seperti Portugis, Belanda dan Inggeris.

Benarkah Sultan Mahmud Syah Kota Tinggi mangkat tak meninggalkan zuriat? Benarkah baginda dibunuh di Kota Tinggi? Benarkah baginda beristerikan orang bunian atau peri? Siapa sebenarnya gundik baginda yang digelar Che Apong? Kalau pun benar baginda tiada berzuriat, demi untuk menyambung nasab raja-raja Melayu yang kononnya warisan Raja Iskandar Zulkarnain itu, mengapa tidak dicari saja anak raja lain yang nasabnya masih tidak putus seperti yang ada di Perak sebagai ganti? Tidakkah ini menjadi suatu tanda bahawa sememangnya ada komplot di kalangan bangsawan istana Johor untuk memindahkan mahkota Melayu ke puncak kepala keluarga Bendahara? Dan tindakan ini dihalalkan pula dengan tindakan mencanangkan ke serata alam bahawa keluarga Bendahara adalah dari keturunan ahlul bait, nasab Rasulullah SAW, Bani Hasyim yang mulia, dari kaum Quraisy yang keutamaannya disebut oleh Nabi sendiri dalam urusan pemerintahan. Kalau pun benar keturunan ahlul bait, apakah mereka itu terlepas dari melakukan khilaf dan dosa? Soal kebesaran, kekuasaan, dan kemewahan dunia sesiapa pun tak akan terlepas, kerana semuanya dibekalkan dengan nafsu!

Setelah runtuhnya institusi Kesultanan Johor-Pahang-Riau, berpindahnya kekuasaan kerajaan Melayu ke tangan Raja Bendahara, maka benteng terakhir kaum keluarga raja-raja Melayu yang asal beralih ke Hulu. Ramai yang tahu ini. Kerana itu rantau hulu dipandang sebagai duri dalam daging, tidak akan aman penguasa dari jalur yang baru selagi pemilik asal masih wujud. Usaha pembanterasan sesama sebangsa tidak begitu berhasil, dan peluang terbuka apabila penjajah Inggeris tiba!

Pemerintahan keresidenan bermula pada bulan Oktober 1888. Jauh sebelum itu, ejen-ejennya sudah dihantar meninjau ke Hulu terlebih dahulu, 1875, 1884, 1886. Berturut-turut orang asing berkulit merah, berambut kuning bagai bulu jagung, berhidung mancung dan angkuh yang tidak pernah dilihat seumur hidup kini telah berkeliaran dengan bebasnya di Hulu. Mereka telah mengenalpasti keluarga penguasa di Tanah Hulu. Tindakan selanjutnya diatur. Jarum penjajahan mulai disuntik secara halus sehingga tak terasa, tindakan mengadu-domba kini dimulai!!

Bukan mudah mahu menundukkan rantau Hulu jika dengan kekuatan senjata, kerana separuh hulubalang Pahang duduknya di bawah pemerintahan pembesar hulu.

Hasilnya, Maharaja Perba Jelai berjaya diceraikan adik-beradik dengan Orang Kaya Haji Wan Daud. Mereka itulah benteng dan tunggak kekuatan di Hulu. Pertalian kekeluargaan dan darah kini hancur berderai akibat permusuhan yang direkacipta oleh penjajah, dibantu pula oleh anasir-anasir tempatan yang berani menjual maruah bangsa dan agama dengan harga yang paling murah.

Orang Kaya Haji tewas ditembak dengan peluru emas penghujung Disember 1889. Berbagai versi kita akan dengar mengenai kejadian mengharukan yang menimpa pahlawan tua tersebut. Ada yang kata Maharaja Perba Wan Muhammad yang menembaknya, ada yang kata polis Sikh yang diberi peluru butang emas oleh Maharaja Perba yang melakukannya, dan ada pula yang menyebut Wan Tanjong, putera Maharaja Perba Wan Muhammad pula yang melakukan jenayah tersebut. Benarkah semua itu? Kenapa banyak benar versi yang timbul, sedangkan kejadiannya cuma satu saja?

Hati keluarga besar Orang Kaya Haji semuanya panas membara akibat kejadian tersebut. Putuslah persaudaraan dan silaturrahim dengan darah dagingnya sendiri, keluarga Maharaja Perba Jelai. Dan inilah yang dikehendaki oleh penjajah dan sekelompok pembesar tempatan yang berkepentingan sendiri!!

Mereka tidak ambil kisah lagi untuk mengkaji, meneliti dan merenung dengan hati yang tenang, siapakah perancang utama di sebalik kejadian malang tersebut. Siapakah sebenarnya mangsa? Siapakah sebenarnya boneka atau kuda tunggangan? Siapakah tok dalang yang memainkan segala patung kulitnya di sebalik tabir? Yang rugi siapa? Yang untungnya siapa?

Kini, 120 tahun sudah berlalu semenjak kembalinya Orang Kaya Haji Wan Daud yang teraniaya ke rahmatullah. Dan 90 tahun pula sudah berlalu semenjak saudara sepupunya, Maharaja Perba Jelai Wan Muhammad yang dikeji oleh banyak pihak kembali ke rahmatullah pula. Masa berlalu, dunia berputar seperti biasa menurut ketetapan Sang Penciptanya Yang Maha Tahu. Zuriat keturunan semakin berkembang-biak. Cerdik pandai makin ramai pula yang terlahir dari kalangan keluarga bertuah tersebut.

Marilah duduk bersama, bertafakur, muhasabah diri dan merenung jauh ke dalam diri. Apakah perlu permusuhan yang lama itu diperpanjangkan lagi? Apakah perlu kerugian bangsa Melayu tersebut diperbesarkan terus-menerus sehingga menambah lagi jumlah kerugian yang akan dikecapi?

Inilah masanya untuk kembali ke akar persoalan. Bersatulah wahai seluruh kaum keluarga Maharaja Perba Jelai dan Orang Kaya Haji!!! Sambunglah kembali tali silaturrahim atas nama agama Islam yang suci! Bukankah darahmu itu satu? Bukankah nenek-moyangmu itu satu? Bukankah kebesaran keluargamu itu satu? Bersatu bukan untuk meraup sebarang kebesaran duniawi, tetapi bersatu untuk menjernihkan kembali sejarah leluhur yang telah dicemari oleh tangan-tangan keji lagi serakah selama ratusan tahun. Hanya untuk itu!!!

Di akhir zaman ini masih perlukah berebutkan kebesaran duniawi yang hanya sementara itu? Bersatulah, dan hadapkan seluruh kekuatan ke muka penjenayah yang sebenarnya bersalah!! Kamukan tahu siapa golongan itu? Kalau keseorangan musuh tak akan gentar, tapi kalau sudah bersatu dengan kukuh, musuh akan terkapar kelemasan dalam lautan fantasi yang mereka cipta sendiri sedari mula dulu!!

Jadilah mereka itu seumpama bidalan orang tua-tua kita, “ibarat anjing tamak yang takutkan bayang-bayang sendiri!”.

JAUHAR ALAM SYAH

Nama-nama penting yang timbul dalam artikel ini:

1. Orang Kaya Haji Wan Daud
2. Maharaja Perba Jelai Wan Muhammad
3. Sultan Abdul Ghafur Mohaiden Shah (1590-1614)
4. Sultan Mahmud Syah Kota Tinggi
5. Wan Tanjong
6. Che Apong
7. Iskandar Zulkarnain
8. Ahlul Bait dan Nasab Rasulullah S.A.W

Pertalian antara:

1. Orang Kaya Haji Wan Daud
2. Maharaja Perba Jalai Wan Muhammad
=> Saudara sepupu

Sistem Kesultanan & Penjajahan Asing:

1. Kesultanan Johor-Pahang-Riau
2. Kesultanan Pahang warisan Melaka
3. Institusi Raja di Hulu Pahang
4. Sistem Residen

Nama-nama tempat yang dinyatakan:

1. Hulu Pahang
2. Tembeling
3. Kota Lima Puluh, Minangkabau
4. Pagaruyung
5. Kota Tinggi
6. Jelai

p/s: Putaran masa yang terkebelakang pasti tidak dapat kita kembalikan kerana ia telah menjadi sejarah tapi mengingat serta mengenangnya kembali adalah menjadi satu kemestian kerana sejarah itulah yang membentuk peradaban kita. Di sinilah akhirnya kita merenung kembali zaman yang gilang-gemilang, kehebatan, kegagahan, kekuasaan dan kemewahan. Bukan gilang gemilang itu saja yang patut kita banggakan, kejahatan pun perlu diambil kira juga kerana di situlah kita akan mengambil iktibar dan pedoman agar tidak mengulangi perbuatan yang sama untuk kesekian kali.

Menjadi satu persoalan, mengapa kita semua harus bertelagah antara satu sama lain? Mengapa harus bertumpah darah, berputus saudara hanya kerana mengejar pangkat dan nama semata-mata? Berbaloikah kita menggadaikan keharmonian dalam hubungan kekeluargaan dengan berperang sesama sendiri? Jangan disebabkan nila yang setitik itu merosakkan susu sebelangga. Lukanya pasti lama, berbekas di hati, berparut walaupun tidak dapat kita melihatnya.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

"Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah an-Nisaa’, 4: 1)

“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara…” (Surah al-Hujuraat, 49: 10)

“Dan tidak ada yang disesatkan oleh Allah kecuali orang-orang yang fasiq,(iaitu) orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan di muka bumi. Mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Surah al-Baqarah, 2: 27)

Ditambah lagi dengan hadis dari Baginda Rasulullah s.a.w dari Abdullah bin Amr r.a

“Orang yang menjalinkan hubungan kekeluargaan bukanlah mereka yang membalas sesuatu kebaikan, tetapi adalah mereka yang menyambungkan (menjalinkan semula) suatu perhubungan yang telah terputus.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda “Baragsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia menjalinkan silaturrahim.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

“Barangsiapa yang suka agar diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menjalinkan hubungan tali silaturrahim.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

“Tidak masuk Syurga mereka yang memutuskan silaturrahim.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“ Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan sikap yang buruk dalam tetangga." - Riwayat Ahmad dan Hakim

Daripada Abu Ayyub al-Anshari radhiyallahu ‘anhu, bahawasanya seorang laki-laki datang bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Wahai Rasulullah, beritahukanlah kepadaku suatu amal yang dapat memasukkanku ke dalam Syurga dan menjauhkanku dari Neraka”. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Engkau beribadah kepada Allah dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, dan menjalinkan silatur rahim”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Perhatikan kembali dalil-dalil dari Al-Quran dan Hadis di atas. Tidak ada satu saranan dari kedua-dua sumber tersebut yang menyuruh kita agar memutuskan hubungan silaturrahim sesama manusia. Malah dinyatakan lagi bahawa Allah s.w.t menjanjikan syurga,dipermudahkan rezekinya, dipanjangkan umurnya dan bagi mereka yang memutuskan hubungan pasti akan mendapat balasan yang sebaliknya.

Adakah kita mahu diazab oleh Allah s.w.t?

Seperti biasa, tidak perlulah mengulas panjang tentang hal ini dengan panjang lebar. Cukuplah saja dengan menyatakan behawa tindakan memutuskan hubungan silaturrahim sudah jelas bertentangan dengan apa yang dianjurkan oleh Al-Quran dan As-sunnah.

Akhir kata, cukuplah dengan tragedi yang terdahulu itu sekadar dijadikan iktibar, sebagai pedoman dan jangan pula diikuti, diteladani dan seterusnya memanjangkan lagi permusuhan yang lama. Cukuplah, hentikan! Bersatulah kembali. Sekian...


Perantara Sidang Oleh: Ampuan Awang
30 Januari 2009

2 comments :

gravier said...

salam...boleh saya dapatkan beberapa salahsilah keturunan orang kaya haji dan maharaja perba jelai..kerana saya pernah di ceritakan tentang ini dlm keluarga saya...email kan kepada saya...gravier21@mail.com

terima kasih...mudah2an boleh kita menyatukan semula sejarah dan salahsilah keluarga..

Warisan Perba said...

Salam saudara gravier. Salasilah Maharaja Perba ni ramai yang menyimapannya.

Sila maklum Salasilah Keluarga saudara terlebih dahulu - hubungi saya di alamat : warisanperba@gmail.com tq.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top