ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Apakah Kita Sudah Lupa Akan Firman Tuhan?


Apakah Kita Sudah Lupa Akan Firman Tuhan?

|Apabila kita diajukan sebarang bentuk persoalan, maka perlulah kita menyediakan jawapan kerana umumnya kita tahu bahawa setiap soalan yang berkaitan perlu ada jawapan, dan diam itu kadang bukanlah sebuah jawapan yang baik kerana gelombang fikrah dalam minda kita bersifat 'asing-asing'. Sama ada logik atau tidak akan jawapannya, ia bergantung kepada individu yang menjawab persoalan. Dan kini ingin aku bertanya menurut logika akal fikiran cetek yang diberikan Tuhan. Begini, apakah gunanya loji pemprosesan nadir bumi diwujudkan di bumi yang permai ini? Apakah benar ia menguntungkan penduduk yang hidup termasuk sekalian haiwan di lautan dan daratan, atau yang sedang berterbang di langit dan yang sedang menyemai gembira rasa di dalam hutan belantara?

Baiklah, barangkali ada fakta yang perlu kita ingati kali-berkali tentang 'kejadian' ini. Pada lewat tahun 80-an, loji Asian Rare Earth (ARE) pernah diwujudkan di Bukit Merah. Apa terjadi pada projek ini? Ia ditutup ekoran bantahan awam pada tahun 1992. Dan hampir dua dekad loji yang dikaitkan dengan lapan kes leukemia di kalangan penduduk tempatan masih berhadapan dengan kerja-kerja pembersihan yang menelan kos RM303 juta menurut hujah yang baharu dipaparkan di dada akhbar harian negara kita. Lalu apa pula tindakan kita? Berpeluk tubuh? Bertikam kata sesama sendiri? Atau mahu menyalahkan penguasa yang sedia bersalah kerana membenarkan loji ini terus dibina atas dasar menerima kemajuan, dan kononnya kita mampu mengatasi masalah yang timbul akibat kesan radiasi yang terhasil daripadanya? Berpeluk tubuh tidak akan menyelesaikan masalah yang ada sampai bila-bila, malah akan mengeruhkan pula keadaannya. Samalah juga dengan bertikam kata, kalau diteruskan maka semakin sempitlah daya fikir kita yang sebenarnya bisa dibuka dengan lebih luas lagi andai kita saling menerima segala hujah yang dilontar, mahupun yang sedang dilemparkan.

Ingin benar diri bertanya, apakah sebabnya negara Australia yang besar dan luas tanahnya itu menyasarkan kiblat loji pemprosesan nadir bumi layak dibina di bumi ini kerana kesesuaian yang berstatus muktamad? Dan kita (penguasa) seolah bangga dengan fakta berstatus 'sengkek' itu dengan terus mengiya-iyakan konon kita (rakyat) seharusnya menerima segala bentuk perubahan yang membawa kebaikan kepada negara. Namun, sejauhmana kebenarannya? Wahai sekalian hamba Tuhan yang faham akan selok-belok percaturan dalam pentadbiran: tidak semua niat baik yang hendak kita lakukan itu baik buat sekalian insan di bumi Tuhan. Apakah kalian lupa akan firman yang Tuhan telah nyatakan terang-terang di dalam al-Quran, bacalah kembali agar kita semua dapat memikir akan baik dan buruknya kedudukan. Semoga pada akhirnya kita bisa bersatu dan berjaya meroboh benteng kejahilan yang menyelubungi hidup kita hari ini dan hari kemudian di mana setelah kita kembali ke pangkuan Tuhan, dan seharusnya kita bertanya kepada diri sendiri, apakah pula nasib anak cucu kita di hari kemudian.

Sekian, sama-sama kita kasih - yang bermusuh jua 'kan saling berkasih-kasihan

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top