ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Duka Tuan Bertakhta - Dedikasi Buat Sdr Isa Kamari



~ Duka Tuan Bertakhta ~
(Dedikasi buat sdr Isa Kamari)
Nukil : A.BulanRimba

Takkan berjaya kita
atau mereka memadam sejarah
yang telah terpahat lama di kepala kita
yang sengaja dipadam dek tangan celaka.

Takkan luput dari kotak minda
seorang insan nan cukup segala
ilmu zahir dan batinnya
ilmu dunia dan akhiratnya
kedua-duanya ada - lengkap
tak seperti kita yang kurang serba-serbinya.
Kunjung tiba dirinya tak lama - sebaik sahaja
Raffles mendarat di sana
di negeri jolokan nama 'Kota Singa'
takkan berjaya kita
melupakan sejarah yang ada
kerana inilah pejuang agama
dia inilah pejuang bangsa
dipenjara dirinya dek Gabenor
- Crawford - si penjajah.
Tangan, dan kaki dirantai
namun bisakah ia membuat dirinya longlai?
Tidak! Rantai tak mampu merantai ikhlas hati
takkan bisa menggugat kibaran panji agama
bagai penjara hilang fungsinya
bisa sahaja dirinya bebas bila-bila masa

Takkan kita lupa jasa insan - yang bersemadi di sana
di Palmer Road, Tanjong Pagar, Singapura.
Tak sangka telah lama 'Duka Tuan Bertakhta'
di jiwa diri - di jiwa marhaen sekian lama
yang semakin sunyi, hampir kehilangan suara dan bunyi.
Orang lain mengucapkan salam harijadi, sementara aku sekadar mampu menitip sebuah dedikasi terimalah 'Duka Tuan Bertakhta' hasil nukil dari sebuah buku yang tak pernah langsung aku baca.
++ Nota: Segala yang baik datang dari Allah SWT, dan yang buruk itu pasti datang dari kelemahan tangan yang menitip bait ini. Tiadalah terniat langsung di hati hendak bertumpang nama orang yang sudah ternama kerana ia tidak bermakna apa-apa. Tetapi sebenarnya sekadar terpanggil secara tiba-tiba, seakan ada yang mendesak agar menitipkan sesuatu. Kalau ditanya soalan, "Pernah baca buku ini tak?", aku pasti jawab, "TIDAK,", dan kalau ditanya lagi "Habis macam mana kau tahu kalau kau tak baca?". Dari sudut teori mudahnya aku memerhati sesuatu berdasarkan penilaian pertama melalui benda yang dilihat. Contoh?. Kulit buku. Kalau ditanya, "Tapi kalau grafik muka hadapannya kartun bagaimana?". Aku jawab, cuba lihat ciri-ciri pada karektor kartun itu. Pasti ada sedikit jawapan terselit di mana-mana. Dan yang terakhir (sebenarnya banyak lagi tapi cukuplah sekadar ini), betapa luasnya ilmu Allah SWT, yang kita tak tahu bisa tahu, dan ada yang sudah tahu lupa pula hal yang ditahu itu. Sekian. Dedikasi hari lahir terlunas sudah. Semoga tangan yang menulis 'Duka Tuan Bertakhta' terus menulis dengan gembiranya, dan sentiasa berjujur untuk kekal muda dalam setiap karyanya. Segala yang datang 'kan berpulang - ilmu yang baik disampaikan - kepada Allahlah kita mohon rahmat diberikan. Salam, dari seorang hamba Allah yang langsung kautak pernah kenal di alam nyata.

1 comments :

syahir said...

errrrr....

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top