ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Tuhan Sudah Mati...

++ Nota: Entri ini merupakan entri pertama dimuat naik ke laman ini bertujuan untuk menaikkan lagi semangat pengkarya baharu terutama daripada pelajar Sekolah Pengajian Seni (SPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS). Disebabkan hanya beberapa kerat sahaja yang berada dalam akaun facebook aku, hanya pelajar seorang ini menjadi pelajar yang pertama aku muatkan karyanya dalam blog (semoga akan ada lagi insan yang menulis cerpen dari sekolah berkenaan selepas ini). Komentar aku? Aku tak tahu nak komen apa. Teruskan apa yang telah atau sedang dibuat sekarang. Itu sahaja (tetapi, adalah terlebih baik sesebuah cerpen itu diselidiki dan dihakimi oleh diri sendiri dahulu manalah tahu terdapat kesilapan ejaan, atau meminta seorang pensyarah meneliti hasil karya sebelum menghantar karya berkenaan ke media. sekali lagi tetapi, adalah terpaling baik setiap nukil cerpen tidak di keluarkan di mana2  sesawang maya, ini melanggar etika penulisan adanya). Sekian. Terimalah, karya yang mungkin menimbulkan kontroversi iaitu 'Tuhan Sudah Mati', nukilan pena Nuruljannah Mat Sidik.



Fahmi memanjangkan langkahnya memasuki kamar tempat dia dan isterinya beradu. Di badannya tersarung baju melayu dan kain pelikat. Langkahnya terhenti apabila kakinya sampai di birai katil di samping isterinya yang masih enak dibuai lena. Dilabuhkan duduknya dan dipandang wajah isterinya penuh kasih. Kasih yang menggunung. Diusap anak rambut yang terdapat di dahi isterinya. Tangannya menyentuh ubun-ubun isterinya dan terdiam di situ. Direnung penuh kasih wajah insan yang sedang menjamah pandangan matanya. Air matanya menitik apabila fikirannya ligat mengimbau kembali segala salah yang telah diperlakukan selama ini.

Fahmi melebarkan senyumannya apabila novel terbaru yang ditulisnya berada di deretan rak buku yang terdapat di dalam kedai yang menjadi persinggahan kakinya saat ini. Diambil salah satu karyanya yang telah berjaya dibukukan itu dengan perasaan bangga yang membuak. Dia semakin melebarkan senyuman apabila ada yang melemparkan senyum padanya. Mungkin mengenali yang dirinya adalah penulis buku yang sedang hangat dalam kalangan peminat novel cinta. Setakat ini sudah lima buah novel yang telah berjaya dihasilkan olehnya. Peminatnya semakin hari semakin bertambah. Namanya sudah sebati dengan dunia penulisan dan itulah yang membuatkan dirinya merasa bangga yang teramat kerana dikenali dalam masyarakat. Itulah apa yang diimpikan selama ini.

Impiannya adalah menjadi seseorang yang dikenali dan mampu membuatkan orang yang dekat dengan dirinya berbangga dengan kejayaannya. Terutama sekali isterinya. Selama dia bergelar seorang penulis, telah banyak sokongan yang telah diberikan isterinya kepada dirinya. Sokongan yang tidak berbelah bagi. Tiada yang dapat menandingi sokongan yang telah dihulurkan kepadanya melebihi sokongan yang lahir daripada isterinya. Memang dia tidak salah memilih wanita itu sebagai suri dalam hidupnya sejak 3 tahun yang lalu.

Cuma dia sedikit terkilan apabila isterinya itu makin galak menyuruhnya untuk melakukan sesuatu yang dikatakan wajib. Dia cukup rimas apabila isterinya itu bersuara seakan memberikan arahan. Pernah sebulan yang lepas mereka bergaduh kerana perkara itu. Barannya muncul dengan tiba-tiba apabila aturan isterinya seakan menyekat setiap apa yang mahu dilakukannya dan dicurahkan di dalam penulisan.

Fahmi melangkahkan kakinya ke arah pintu yang bertanda keluar. Sebelum sempat dia menerobos pintu itu, langkahnya dihalang. Dia dikerumun oleh golongan muda yang mengenali dirinya sebagai seorang penulis yang berbakat. Tandatangan diturunkan di muka surat hadapan di dalam novel yang ditulisnya. Anak-anak muda yang muhrim dengannya menghadiahkan pelukan dengan erat. Hampir lemas dia diperlakukan begitu. Fahmi merasa bangga. Tekadnya di dalam hati yang dalam masa yang terdekat dia mahu menghasilkan sebuah lagi novel terbaru yang sudahpun dirangka ideanya.

Fahmi menghadap komputer riba yang menemaninya saban hari dengan penuh rasa cinta. Bait-bait ayat ditulis di aksara itu dengan penuh rasa yang dijiwainya. Pujukan isterinya untuk makan malam bersama tidak dihiraukan. Suruhan emaknya supaya tidak terlalu menghadap komputer juga tidak dihiraukan. Jam di dinding bilik dipandangnya sekilas. Sudah menyentuh ke angka 5 pagi. Dia menutup mulutnya yang menguap. Terundang rasa mengantuk yang teramat. Tidak dikisahkan isterinya yang telah lama lena tanpa teman.

Suraya bangkit dari pembaringan dengan mata yang masih mahu terpejam. Laungan azan subuh yang terdengar di telinganya mengajaknya untuk menunaikan tanggungjawab kepada yang Esa. Dipandang wajah suaminya yang galak menaip setiap baris ayat. Dia yakin yang lelaki itu tidak tidur. Duduknya hanya di situ sejak tengah hari semalam. Dia yakin itu. Itulah rutin yang selalu dibuat oleh lelaki yang bergelar suaminya.

Terdengar suara emak mentuanya yang hari demi hari sentiasa memberi nasihat kepada suaminya itu. Namun langsung tidak diendahkan. Baginya, dunia penulisan adalah satu nikmat yang tidak langsung boleh diabaikan. Tanggungjawab kepada yang Esa juga terabai dan laungan azan yang berkumandang lima kali sehari seakan hanya sekadar lagu indah yang bermain di telinganya dan dibiarkan berlalu tanpa ada rasa tanggungjawab yang perlu ditunaikan.

Suraya memanggil suaminya dengan penuh kelembutan yang dizahirkan untuknya. Mengajak lelaki itu mengimamkan solat subuh yang kian menjenguk suria. Fahmi menggeleng dengan alasan yang penulisannya perlu disudahkan. Ideanya akan menghilang seandainya duduknya tidak setia di situ. Itulah apa yang sering diperdengarkan kepada isterinya sejak dia semakin taksub dengan dunia penulisan. Akhirnya, wuduk diambil dan solat dikerjakan tanpa imam yang diketuai oleh seorang lelaki yang bernama suami.

Setelah berkarya dengan sepenuh perasaan, akhirnya novel ke enam berjaya menjadi sebutan peminat-peminatnya. Promosi yang dilakukan dihadiri oleh peminatnya dari pelusuk negeri. Sekali lagi kebanggaan menghuni hatinya. Seorang teman menghulurkan tangan untuk mempersembahkan salam. Ucapan tahniah dilontarkan dengan penuh keikhlasan.

“ Syukurlah kerana rezeki Tuhan melimpah ruah untuk kau sejak kau jadi penulis yang berjaya ni.”

“ Aku tak percaya dengan rezeki Tuhan Zam. Semua ini adalah usaha aku dan memang ini apa yang sepatutnya aku dapat. Tuhan itu pada aku bukanlah sesiapa yang mampu memberikan aku semua ini. Ini adalah kerana apa yang aku usahakan. Bukan kerana rezeki Tuhan.”

“ Astagfirullahhalazim Fahmi. Kau terlalu taksub dengan penulisan sampai kau boleh perkatakan semua itu. Aku akui yang kau hebat dalam berkarya. Tapi kau gagal dalam mengenal apa sebenarnya yang mampu membawa kau kepada semua ini. Apa yang kau dapat hari ini adalah apa yang diizinkan oleh Tuhan.”

“ Aku berkarya kerana aku seadanya aku Zam.”

“ Sampai kau terlupa yang kau adalah seorang hamba kan? Sebab pada kau yang Tuhan sudah mati. Aku dengar sendiri daripada isteri kau yang kau dah mula tinggalkan solat. Tak hiraukan apa-apa. Kau abaikan isteri kau. Kerana kau terlalu taksub dengan penulisan kau. Itu salah Fahmi.”

“ Tahniah! Aku suka dengan ayat kau yang mengatakan Tuhan sudah mati. Tapi maaf! Kau bukan sesiapa yang boleh membuatkan hati aku terkesan dengan bicaramu. Kau takkan dapat menguasai keindahan bahasa yang aku agungkan.”

“ Tengok! Kau sendiri mengaku yang kau agungkan penulisan kau. Satu jer nasihat aku Fahmi. Jangan menjiwai sesuatu itu melebihi kau menjiwai yang Esa.”

“ Ah sudahlah. Malas aku mendengar kau bercakap tentang perkara yang bukan-bukan. Pokoknya, apa yang ada sekarang adalah bukan rezeki Tuhan. Tetapi kerana apa yang selayaknya aku dapat dengan usaha aku.”

“ Baiklah Fahmi. Kalau itu yang kau rasakan, terserahlah. Aku hanya seorang kawan yang hanya mampu untuk memberi nasihat. Dan aku harap yang kau takkan tolak ajakan aku untuk dengar satu perkongsian yang akan dilakukan minggu depan. Di syarikat aku. Berkait rapat dengan penulisan. Selepas kau dengar apa yang diperkatakan di dalam perbincangan tu, kau nilailah sendiri sama ada aku atau kau yang silap.” Fahmi ketawa dengan percakapan kawannya itu. Namun dia tidak menolak untuk hadir pada perbincangan yang akan berlangsung itu. Mungkin boleh dijadikan sebagai bahan rujukan terbaru untuk penulisan yang sedang dalam peracangannya.

“ Best ke? Aku tak nak buang masa. Penulisan terbaru aku sedang menanti.” Zam tersenyum sinis.

“ Best ke tak itu pun kau nilailah sendiri.”

“ Apa tajuknya?”

“ Tuhan sudah mati.” Fahmi melebarkan senyumannya. Hatinya tidak sabar untuk mendengar tentang isu yang bakal dibincangkan. Fahmi menyambut persetujuan di dalam hati. Hadirnya akan pasti untuk menyinggah duduk di salah satu kerusi yang disediakan untuk penonton.

Zam menghulurkan sapu tangan kepada sahabatnya. Fahmi menyambutnya dengan perasaan yang berbaur. Dia sedar kini apa yang diperkatakan oleh temannya itu mempunyai kebenaran yang tidak lansung boleh disangkal. Entah banagiamana dia boleh buta dalam menghadapi hidupnya yang selama ini dianugerahkan Ilahi. Selama ini memang benar yang dia menganggap yang seakan-akan Tuhan sudah mati dengan mencipta takdirnya sendiri. Satu ciptaan yang dibanggakan oleh dirinya yang tanpa pernah dia sedar yang setiap apa yang berlaku adalah kerana keizinan yang Esa.

Perbincangan yang seakan motivasi yang berlangsung selama dua jam memberikannya satu nafas yang baru. Seakan memberinya satu kehidupan yang baru dilahirkan dari perut ibu. Dia mengenal kembali dirinya yang jahil dalam memperhebatkan dirinya sendiri dan mengagungkan apa yang dilakukannya tanpa pernah mengungkapkan syukur pada yang berhak. Dia lalai dalam menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya dikerjakan sebagai seorang hamba. Dia terlalu leka dengan keduniaan yang sengaja diciptanya. Dia sentiasa menjadi raja dalam penulisannya sehingga tidak lagi mengenal Tuhan untuk mensyukuri segala nikmat yang diperoleh.

Terngiang dengan jelas apa yang diperkatakan oleh pengacara majlis. Satu kesimpulan yang disimpulkan bagi menutup perbincangan. Suatu ayat yang menjunamkan dirinya ke dalam jurang yang terdalam dan kalah dengan penulisan yang diagungkan selama ini.

“ Kita menafikan Tuhan apabila kita khayal dengan sesuatu perkara atau benda sehingga lalai melakukan ibadah. Tuhan maha berkuasa dan kita sebagai manusia hanya kosong. Tuhan maha mengetahui segalanya. Kita adalah bodoh sebenarnya. Dalam bodoh ada kepandaian dan dalam kepandaian ada sedikit kebodohan. Itulah fitrah manusia.

Jadi, jika anda merupakan salah seorang yang taksub dengan sesuatu perkara, carilah Tuhan untuk melafazkan taubat anda. Jangan pernah menganggap yang Tuhan sudah mati kerana terlalu berbangga dengan apa yang kita dapat melalui kejayaan. Di sebalik kejayaan, pastinya ada kasih Tuhan yang perlu anda hargai. Jangan pernah sesekali menganggap yang Tuhan sudah mati kerana apa yang memperkatakan tentang Tuhan sudah mati itu adalah mereka yang lalai dan suka menghukum. Dan kita seharusnya bijak untuk tidak mengambil tugas Tuhan.”

Fahmi mencari batang tubuh Zam. Dipeluk erat tubuh itu.

“ Aku insaf Zam. Aku lalai.”

“ Kenapa abang menangis?” Fahmi tersentak. Alam realitinya kembali. Isterinya sudah terjaga dan menyedarkannya dari mimpi yang panjang.

“ Abang insaf dengan segala apa yang abang lakukan selama ini. Banyak dosa abang. Dengan Sue pun abang banyak melakukan silap. Maafkan abang.”

“ Tak payahlah nak dikenang benda yang lepas. Sue telalu bersyukur dengan diri abang seadanya. Abang terlalu elok untuk Sue. Lelaki dan suami terbaik yang Tuhan anugerahkan.” Tangan runcing Suraya menyapu lembut air mata yang mengalir di lekuk pipi suaminya. Fahmi mencapai tangan itu dan mengucupnya dengan penuh kesyukuran. Seketika kemudian, ditarik insan yang tidak pernah jemu memberinya sokongan itu erat ke dalam pelukannya. Dicium penuh kasih ubun-ubun isteri yang diakui terlalu disayanginya.

“ Bangunlah! Kita sama-sama ambil wuduk dan abang akan imamkan solat subuh.” Suraya mengucapkan syukur pada yang Esa. Itulah rutin yang selalu mereka lakukan sejak seminggu lalu. Sejak suaminya itu menghadiri satu perbincangan yang memberikan sejuta makna dalam kehidupan mereka. Satu lagi anugerah yang maha Esa yang diakui oleh Fahmi. Mengakui dengan air mata yang dirinya adalah pendosa yang telah berjaya menghidupkan kembali Tuhan yang pernah mati di dalam hatinya.

Bicara Malam,
4 April 2011
1.00 am

1 comments :

cemomoi said...

jangan mati dari dalam kita sudah la

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top