ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Usman Awang: Ucapan Konvokesyen Universiti Malaya 1983

++ Nota: Aku berjalan di atas landasan bernama pengalaman. Dan ia membuatkan aku senantiasa mengenang dan asyik terkenang tatkala duduk bersendiri di dalam bilik, sambil menaip, atau pada ketika aku sibuk mengelamun membayangkan apa akan terjadi pada besok hari. Tidak pernah aku mengimpikan untuk hidup di alam dunia, kalau diberikan pilihan, mahu saja aku memilih untuk tidak dilahirkan. Tetapi, inilah dia ketentuan yang Tuhan berikan. Aku tetap lahir dan aku terima apa yang diberikan kepadaku dengan bersyukur atas segala pemberian-Nya. Maha Kuasa-Nya Dia.

Besok hari resah? Tidak. Ia di luar pengetahuan kita. Dalam dunia yang semakin sarat dengan kelam-kabutan, tak terkecuali aku antara turut sama tercampur gaul dalam rempah ratusnya. Namun dalam kelam-kabutan itu, semakin lama semakin mematangkan. Baharulah sedikit demi sedikit tuntas dan bertunas percambahan ilmu pengetahuan yang tidak pernah aku minta selama ini. Aku bukanlah seorang pelajar lulusan tinggi yang punya sijil dari sekalian diploma, atau ijazah yang disimpan kemas di dalam fail. Apa yang aku ada hanyalah sedikit pengetahuan melalui tulisan atau perkataan ucap mulut yang kadang disalahertikan sesetengah insan. Kepada para pelajar yang sedang belajar sama ada di unversiti atau di mana-mana sahaja kalian mengaji, sebaiknya kalian membaca dan cuba membawa minda kalian masuk ke daerah sunyi dalam ucapan Dr. Usman Awang pada ketika beliau dianugerahi Ijazah Kehormat di Universiti Malaya pada khamis, 11 ogos 1983. Al-fatihah buat arwah... Sekian

Ucapan Konvokesyen Universiti Malaya 1983

Bagaikan tersepuh sinar matari pagi
terbancuhlah seri seribu warna
di rumput-tumput daun-daun dan kuntum bunga-bunga
demikian hati ini membuka kelopak seribu warna
terjulang terapung di arus awan sedang berarak.

Dewan bertuah ini menjadi saksi
ribuan graduan datang dan pergi,
dan pagi manis ini untuk kesekian kali
penuh upacara tradisi dan perarakan
meyambut kelahiran para graduan sekalian.

Dan tertumpanglah saya di upacara keramat ini
datang dari latar belakang pendidikan
yang agak berberza berlainan.
Sumber ilmu saya ialah pengalaman
di tengah alam manusia seluas lautan
dengan deru ombak alun gelombang badai taufan.
Dunia saya cakrawala Tuhan luas terbentang.

Punca ilmu saudara lebih banyak dari buku dan kuliah
dari para profesor dan pensyarah
serta timbunan buku di perpustakaan yang melimpah ruah.

Dunia saudara umumnya
tenang bagaikan kolam malam bulan terang
aman bagaikan bayu berhembus petang.
Persekitarannya deretan bangunan konkrit
dikelilingi taman dan tasik
megah gagah permai indah
lengkap pula dengan para pengawal keselamatan.

Saya ibarat anak seluang
terhanyut dilambung ombak ke samudera luas
dengan rendah hati bersyukur
ke hadrat Tuhan Maha Esa
menerima ijazah kehormat
yang sangat mulia ini
bukanlah kerana pencapaian saya
tetapi kerana saya yakin dan percaya
bahawa universiti ini masih terdapat
mereka yang mempunyai idealisma tinggi,
yang menghormati cita-cita kerakyatan dan kemanusiaan
yang saya ungkapkan melalui tulisan-tulisan.

Pada saat yang mengharukan ini
muncul dalam kenangan beberapa orang yang dikasihi
yang memberikan ilham, semangat dan sumbangan murni
dalam kehidupan berkarya saya.
Di antara mereka yang patut saya sebutkan
saudara Abdul Samad Ismail, Keris Mas, Asraf
di samping keluarga saya dan orang-orang yang akrab.
Juga saya tidak melupakan jasa syarikat Utusan Melayu
tempat saya mencanai bakat
yang merupakan Maktab Penulisan yang besar jasanya
kepada perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu.
Segala budi dan kasih mereka ini
selamanya terkalung di tangkai hati.

Penghormatan mulia ini bukan semata
untuk diri saya peribadi tetapi lambang kehormatan
kepada golongan penulis dan idealisma
yang sekian lama kami sanjung tinggi
dan kamu nyanyikan dari hati nurani kamu.

Golongan penulis melalui pencapaiannya
seperti juga golongan terpelajar melalui pendidikannya
sama-sama merupakan sebahagian dari golongan
    cendiakiawan.
Ada bahayanya bahawa golongan ini.
akan tersisih dan terpencil dari masyarakat.
Malah besar pula kemungkinan bahawa  di antara kita
ada yang akan menjadi penindas rakyat.
Sejarah banyak menceritakan hal ini.

Tetapi sekiranya kita cukup menyedari hal ini
maka kita akan melihat tugas dan peranan penting kita.
Para penulis dan golongan terpelajar
dalam sejarah singkatnya telah ikut berjuang
menegakkan kemerdekaan dan keadilan.

Tercapai sudah kemerdekaan politik
tetapi sisa-sisa penjajahan masih ujud
dalam bidang-bidang ekonomi dan kebudayaan.
Di seluruh jagat ini
khususnya negara-negara sedang membangun
termasuk negara kita yang tercinta
masih ada masalah lama yang berlanjutan belum selesai.

Segala bentuk penindasan dan kecurangan
rasuah dan kekejaman tajam mencengkam.
Dan alangkah ngerinya hidup kita
serta masa depan anak-anak kita yang tak berdosa
yang dicakar oleh kejahatan kuasa-kuasa besar
yang saling bertentangan berebutan pengaru
di sampung perlumbaan persenjataan maut yang mengancam
kelanjutan umat manusia dan peradabannya.

Oleh itu kepada graduan unversiti yang gagah ini
kepada graduan yang terhutang budi
saya ingin mempertaruhkan impian dan harapan saya.

Saya yakin jauh di lubuk hati dan pikiran saudara
berkilau sinar cahaya kemanusiaan
yang dapat menjadi sumber harapan rakyat.
Mungkin pada sebahagian daripada saudara
sinar kemanusiaan ini bakal malap dan pudar
dan saudara akan menjadi sebahagian daripada
golongan penindas rakyat.

Sedang sebahagian lain pula sinar cahaya itu
begitu rawan  meliuk-lintuk kerana saudara terumbang-
    ambing
separuh hati berasa terpanggil oleh cita-cita rakyat
separuh hati lagi didesak oleh kepentingan dan ambisi
    sendiri.

Impian dan harapan saya agar sinat cahaya kemanusiaan
akan semarak menyala di lubuk hati saudara --
menyala dan membesar untuk membakar hangus
kemiskinan kekejaman dan ketidakadilan
di bumi kita yang indah subur,
cantk bagaikan permata zamrud ini.

Penulis lemah seperti saya sekadar mampu memiliki harapan
dan memberikan wajah serta suara.
Sesungguhnya melalui saudara-saudaralah,
dengan kemuliaan dan kebijaksanaan pikiran,
Impian itu menjelma menjadi kenyataan.

Hadirin yang saya muliakan,

Izinkan saya mengutip beberapa baris sajak saya
yang sudah lebih sepuluh tahun tergantung
di pintu masuk perpustakaan unversiti ini,
kerana sajak ini mengungkapkan secebis
dari harapan dan impian saya agar universiti ini
tegak sebagai lambang merupakan:

    Pelabuhan kebudayaan peradan zaman
    Gedung akal laut bicara manusia
    Mutiara pendeta tasik pujangga
    Kota kebenaran penaung kebebasan ucap suara

Dan beberapa baris dari sajak Mahasiswa
yang saya tulis lebih dua puluh tahun dulu:

    Lepaskan tangan halus kekasih di tasik
    Atau bersamanya berjalan ke parlimen
    Kerana tenagamu dengan ilmu di dada
    Akan merombak erti hidup sebuah negara.

Kepada Universiti ini, serta anggota Dewan Senat
yang sudi mengangkat saya untuk berdiri
di atas pentas yang sangat keramat ini,
saya menjunjung budi dan kasih setinggi-tingginya.

1 comments :

lylaROCKprincess said...

suka rangkap 9...
ayat2 yang sungguh bermakna...

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top