ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Randau Sastera Sabah - Proses Kreatif

++ Nota: 28 februari 2011 tercatat sudah dalam perut sejarah diriku. Tidaklah sampai terkejut beruk kerana sudah menjadi kebiasaan bagi beruk yang kerap terkejut berulang-ulang kali. Tiadalah aku berkehendak sangat untuk berada di atas pentas, di hadapan para penonton yang bijak pandai. Tiadalah aku mengetahui akan ketentuan Allah SWT buat diriku, namun pada tarikh ini aku benar-benar berada di situ. Duduk di kerusi sebagai tetamu. Pertama kali namaku diletak jujur menggunakan nama sebenar, dan ia berada di hujung sekali kerana aku maklum bahawa namaku sekadar ada (wujud) tapi tiadalah ternama seperti nama yang berada di depanku. Tidak mengapa. Tiadalah aku kisah akan hal itu kerana aku sedar di mana tempat dudukku. Beberapa hari sebelum majlis ini, aku diminta menulis sebuah kertas kerja 'Proses Kreatif' dalam helaian kertas sekitar 10 - 15 halaman. Pada mulanya aku memikirkan sempat atau tidak kertas kerja ini disiapkan? Dan aku dikhabarkan, 5 halaman pun tidak menjadi masalah. Asal ada kata pegawai program DBP majlis tersebut. Akhirnya berjaya juga aku siapkan 'Kertas Kerja' yang tak seperti kertas kerja bentuknya. Pemilik nama terakhir yang tertulis pada banner sekadar mampu bergeleng kepala, 'Ya Allah, ke manalah aku hendak Engkau humbankan...', bisik hati si empunya nama yang tak ternama itu.

"Entah siapa empunya nama,
Tiada terkenal juga ternama;
Entah wujud tiadalah dikira, 
Asal ia ditampal mencukup kuota."


Proses Penulisan Kreatif
Ampuan Awang
ryujin69@gmail.com

Mukadimah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Tiadalah ada kerajaan yang lebih besar daripada Kerajaan Allah, Dialah Raja kepada sekalian raja di dunia, dan dengan kebesaran-Nya jua yang menciptakan segala yang bernyawa, daripada tiada kepada ada, begitulah seterusnya sehingga sekalian kita dikembalikan ke asal mula iaitu tanah sebelum dihidupkan semula untuk dihitung kira segala amal yang diperbuat di dunia di hadapan Allah S.W.T di hari akhirat. Segala yang bermula pasti akan ada penamat, dan itulah ketentuan yang pasti dalam kehidupan manusia. Maha Suci Allah Yang Maha Abstrak, tiadalah karya yang lebih hebat yang mampu mengalahkan Maha Karya-Nya Allah.


Sastera dan Saya

Ramai yang berpendapat bahawa abstrak sesuai dengan maksudnya di dalam kamus dewan iaitu,

abstrak tidak berupa atau bersifat kebendaan (tidak dapat dilihat atau dirasa dgn pancaindera), tidak konkrit atau maujud, niskala, mujarad: kesetiaan adalah sesuatu yg ~;
mengabstrakkan menjadikan sesuatu abstrak;
keabstrakan perihal atau sifat abstrak: kematangan seseorang pelukis boleh dilihat dlm ciri-ciri ~ lukisannya

dan akhirnya keluarlah pelbagai hasil sastera dalam bentuk-bentuk yang mudah untuk difahami dan tidak kurang pula yang datang dari bentuk yang sulit untuk dimengerti. Namun bagi diri saya, abstrak itu sukar hendak dinyatakan kerana ia akan membuka kepada persoalan yang lebih besar. Akan tetapi, seandainya kita sama-sama melihat dari perkara pokok yang membawa keabstrakan (dalam sastera) seperti yang dikatakan oleh Soedjijono:

“Ungkapan pemasungan kebebasan kreativitas umumnya hanya dikaitkan dengan intervensi penguasa. Padahal, jika kita jujur, banyak hal yang mempengaruhi kebebasan berekspresi: konvensi bahasa, konvensi sastra, nilai-nilai, pemilik modal, selera pasar, pembaca. Selain itu, pengarang juga perlu mendengarkan bisikan hati nuraninya pada saat mencipta. Bisikan nurani itulah yang membimbing pengarang untuk menghasilkan karya sastra dengan penuh tanggung jawab.”

Fikrah dalam masyarakat yang condong menatap karya sastera sebagai sebuah perjalanan seni perseorangan, dengan meletakkan seorang individu terkenal, pada akhirnya akan menghukum kepada individu yang tidak terkenal, konon mencuplik atau dalam bahasa kasarnya, melakukan plagiat ke atas karya insan tersebut seolah-olah penggunaan ayat dan perkataan itu khusus buat dirinya sahaja. Sebagai contoh, puisi ‘Kesusahan Itu Satu Nikmat’ karya saya sendiri.

Sesungguhnya
Kesusahan yang kita dapat
Sebenarnya adalah rahmat
dan satu nikmat yang paling padat
Anugerah dari Dia Yang Maha Hebat!

Menurut sahabat saya, puisi ini mirip dengan puisi A. Samad Ismail. Berulang kali saya nyatakan bahawa ia langsung tidak sama, tetapi menurutnya saya wajar membaca terlebih dahulu. Kesudahannya, saya terpaksa membeli buku A. Samad Said yang tersangatlah tebal dengan harga RM 90 semata-mata untuk membaca empat baris ayat di bawah.

Segala yang dihasrat
tapi tak didapat
adalah nikmat
yang paling padat.

Persoalannya, adakah karya sastera itu milik individu? Ilham bukan datang dari penulis tetapi ia datang dari Tuhan yang menciptakan si penulis. Inilah salah satu daripada penyebab besar yang mendorong saya mula menghasilkan karya dalam bentuk puisi.


Puisi

Sajak atau puisi? Puisi adalah salah satu dari cabang sastera yang menggunakan kata-kata sebagai wadah untuk menghadirkan imaginasi dan ilusi, persis sebuah lukisan yang menggunakan barisan warna bagi menggambarkan gagasan pelukisnya. Seiring dengan pengertian ini, ia menjelaskan kepada peminat puisi yang sering kali diajak bermonolog sendirian agar dapat memberikan kefahaman langsung tentang keindahan, lalu dibawa masuk dalam angan-angan sambil memikir dan membayangkan isi tersurat, tersirat pada puisi berkenaan di akhir rangkap.

Putu Arya Tirtawirya, seorang penyair Indonesia berkata:

Sajak adalah puisi, tetapi puisi belum tentu sajak. Puisi mungkin saja terdapat dalam prosa seperti cerpen, novel, atau esai sehingga sering orang mengatakan bahwa kalimat-kalimatnya puitis (bersifat puisi). Puisi menjadi suatu pengungkapan secara implisit, samar, dengan makna yang tersirat, di mana kata-kata condong pada artinya yang konotatif.


Saya sendiri menemui ungkapan implisit untuk difikir-fikirkan dalam karya Baha Zain (Dato’ Baharuddin Zainal). Contohnya, puisi ‘Hujan Pagi’.

Hujan turun


titik


titik


berhimpun


membasahi lidah


memuji


maha suci.




Bernyanyi burung


membawa cahaya


awal pagi.

Apa pula sajak itu? Seperti tidak pernah surut perbalahan dan percanggahan pendapat berkenaan dengan hal ini. Ulasan demi ulasan di keluarkan, namun ternyata tidak ada satu pun yang dapat mendefinisikan pengertiannya dengan sempurna . Pada dasarnya, sajak diertikan sebagai sebuah karangan pendek yang berirama dan memiliki bentuk tertentu. Oleh kerana masyarakat cenderung menyamakan sajak dengan puisi, lalu saya singkatkan jalan bagi memudahkan saya beroleh kefahaman dengan mengambil kenyataan Hasyim Awang, menurut beliau,

sajak adalah puisi baru yang bebas daripada peraturan-peraturan dalam pembentukan rangkap, baris, kata-kata dan rima. Sajak bersifat demikian untuk dapat mengucapkan fikiran penyair dalam cara yang lebih indah, segar dan bebas.

Pernah seorang penyair Russia, Boris Pasternak, seakan mahu melempar jawapan kepada pengertian sajak dalam sajak beliau yang berjudul ‘Batasan Sajak’ hasil terjemahan Taufiq Ismail, seorang penyair terkenal Nusantara.

sajak adalah siul melengking suram
sajak adalah gemertak kerucut salju beku
sajak adalah daun-daun menges sepanjang malam
sajak adalah dua ekor burung malam menyanyikan duel
sajak adalah manis kacang kapri mencekik mati
sajak adalah air mata dunia diatas bahu

Sementara Dr. Awang Had Salleh berkata dalam sebuah buku berjudul ‘Di Penjuru Matamu’ terbitan Utusan Melayu (M) Berhad pada tahun 1975:

"Sajak adalah suatu kesenian. Kesenian dinikmati tidak dengan dihujahkan tetapi dirasakan keindahannya. Keindahan sesebuah lukisan terletak pada gabungan garis lurus dan bengkoknya; keindahan sajak terletak tidak sahaja pada keharmonian kombinasi bunyi, sanjak dan kata-kata tetapi juga pada keikhlasan erti. Kombinasi warna dan gabungan bentuk pada kanvas dapat dirasakan keindahannya dengan diratapi, direnungi dan diamati dari jauh dan dari dekat; kombinasi kata, sanjak; bunyi dan erti dapat dirasakan keindahannya dengan disuarakan - dibacakan dengan hentian yang betul dan nada yang tepat."

Itulah dia kenyataan dari Dr. Awang Had Salleh terhadap sajak menurut persepsi beliau. Kata-kata beliau menarik minat saya untuk memahami dengan lebih lanjut dan apa yang saya temui ialah suatu kerahsiaan bersifat peribadi. Sukar bagi diri saya menterjemah kerana ia bergantung kepada penulis itu sendiri untuk menjelaskan tentang apa yang ditulisnya dan bersedia untuk dikritik, seterusnya untuk mempertahankan karyanya.

Hasilnya? Saya mula tercari-cari watak dari kalangan manusia sastera sewaktu saya berada di tingkatan 3, dan saya menemui karya manusia sastera, Rendra.


Rendra

Kehadiran watak Rendra sebagai seorang manusia telah berjaya membukakan sedikit pintu kefahaman saya atas izin Allah S.W.T jua. Sebagaimana yang diterapkan dalam tulisannya yang mudah untuk difahami dan akhirnya melahirkan satu inspirasi tanpa perlu berselindung atau bersifat talam dua muka. Kadang-kadang saya merasakan bahawa watak Rendra, walaupun tak pernah barang sekali pun saya menemuinya, kehadiran karya beliau saya terima baik hingga ke hari ini. Namun, Rendra adalah Rendra, dan saya tetap akan menjadi saya tanpa ada dua atau tiganya di alam dunia manusia. Melalui 'Sajak Seorang Tua Untuk Isterinya', tanpa prejudis Rendra menyatakan,

Kita, menyandang
tugas


Karena tugas adalah tugas
Bukannya demi sorga atau neraka
Tetapi demi kehormatan seorang manusia!


Karena sesungguhnya, kita bukan debu
Meski kita telah reyot, tua renta dan kelabu
Kita adalah kepribadian
Dan harga kita adalah kehormatan kita…


Apa yang saya perolehi di sini? Rendra telah menyampaikan perasaan cintanya yang berisi beserta lantunan kemas selepas saya menyaksikan sendiri di mana beliau mendeklamasikan sajak cinta melalui sidang video maya, Youtube. Perihal ‘Sajak Seorang Tua Untuk Isterinya’ seakan memberi khabar kepada saya bahawa setiap kita masing-masing menyandang tugas selama mana kita hidup di dalam dunia dan hendaklah sentiasa memakukan niat bahawa kita menulis kerana Tuhan, dan bukan kerana tuan. Bahasa yang digunakan tidaklah berat sehingga saya terpaksa membelek kamus untuk mencari makna ayat yang disampaikan. Dan, saya mulai memberontak dalam setiap tulisan saya waktu itu.

Walaupun saya tidak menguliti karya Rendra sepenuhnya, namun saya tetap memandang karya beliau sebagai hasil karya berani melontarkan idea-idea bernas dengan nada sinis seolah cuba memerli golongan tertentu di peringkat atasan. Ini bukan sesuatu yang senang untuk dilakukan. Dalam melahirkan sebuah karya yang berani berterus terang tidaklah semudah yang disangka. Ramai yang berpendapat bahawa menulis puisi atau sajak adalah suatu pekerjaan yang mudah. Malangnya saya tidak dapat menerima kenyataan ini, dan saya menolaknya mentah-mentah. Kerana bagi saya, puisi atau sajak yang dihasilkan mempunyai hati dan nyawa.

Di mana hati dan nyawanya? Ia bergantung pada diksi yang diatur oleh si penulis (penyair). Andai ditanya, bagaimana sekiranya kita tidak berjaya memahami hasil karya tersebut? Saya akan jawab dengan jawapan mudah. Kefahaman datang daripada Allah S.W.T, berserahlah kepada Dia. Para pembaca yang gemar membaca karya-karya sastera harus merasakan bahawa diri mereka berada dalam situasi seperti burung pulang ke sarang. Dengan cara ini dapatlah kita fahami bahawa setiap proses naratif bergantung kepada buah fikir si penulis itu sendiri. Dan apa yang terhasil akan dipecahkan (ibarat sebuah teka-teki) sehingga ia berjaya membentuk tema pada karyanya. Inilah yang berlaku kepada diri saya, dan apa yang saya lakukan hanya satu; meneruskan aktiviti penulisan saya dengan memulainya dengan rangkap mudah. Contohnya, puisi ‘Rindu Itu’ di mana saya cuba meluahkan perasaan yang ada dalam diri saya ke dalam bentuk tulisan.

Rindu
tak pernah
kunjung pergi
menyapa
diri.
aku
cari
rindu
itu datang
menemuiku
dalam lena dan jagaku.


Tema

Sebagai seorang manusia biasa, saya tidak terlepas dari mengambil cebisan ilham dari alam ciptaan Tuhan kerana ia memang dianjurkan dalam agama di mana kita diajak agar mengingati akan kebesaran Allah S.W.T. Demi memenuhi peringatan tersebut, saya mula bermonolog sendirian. Persoalan alam diri dan ketuhanan, mistik dan kerohanian, rentetan pengalaman hidup saya dan orang lain diterap masuk dalam tulisan saya. Manakala waktu untuk saya berkarya tidaklah dapat saya khabarkan kerana ilham bukan datang daripada saya melainkan dari Allah S.W.T jua.

Di awal proses penulisan, saya suka dengan kesamaran; pada gelap malam atau gelap tanpa sinaran lampu. Dalam tempoh waktu tertentu, saya akan menerangkan kembali suasana persekitaran, lalu meluahkannya melalui tulisan di atas kertas sewaktu berada di alam persekolahan.

Kini, arus perubahan zaman saya dapati seakan mahu menindih saya dengan menyuguhi teknologi yang sedemikian maju pada akal fikiran saya yang terbatas. Ternyata teknologi memudahkan proses untuk saya menulis tak kira tempat menggunakan telefon bimbit dengan berbekalkan aplikasi ‘Notes’ yang tersedia di dalam peranti berkenaan.

Dan ia berlanjutan sehingga ke hari ini. Kadang saya tinggalkan tulisan saya di komputer riba, kemudian saya lanjutkan ceritanya di laman sosial facebook, di blook sebagai perantara kedua dalam menyampaikan suara hati saya kepada dunia. Kemudahan internet menyumbang perubahan yang besar pada tulisan saya. Di dunia maya, saya bebas menggunakan apa sahaja nama tanpa perlu orang lain tahu siapa saya yang sebenarnya. Dan Anonymous, adalah gelaran yang sering menjadi pilihan saya. Namun kini, Anonymous sekadar layak saya jadikan kenangan dalam perjalanan hidup saya yang terdahulu.

Tidak pula saya berasa ia bersalahan dengan etika penulisan (pada pendapat saya) kerana saya tahu apa yang saya fikirkan, apa yang saya mahu dalam kehidupan, dan yang terpaling penting, setiap kita (manusia) akan menafsir segala sesuatu berlandaskan neraca akal yang terbatas, dan saya kira inilah yang menyebabkan saya menyenaraikan diri saya sebagai seorang yang bukan penulis.


Bukan penulis

Saya bukanlah seorang penulis prolifik yang berjaya mengarang puluhan buku dalam bentuk novel, cerpen, esei kritikan atau antologi. Tetapi saya berdiri teguh di belakang para karyawan sastera walaupun kehadiran saya langsung tidak dipandang orang dengan alasan (pendapat saya) bahawa saya bukan dari kalangan penulis mapan. Dan saya menerimanya dengan rela tanpa berkecil hati barang sedikit kerana kemampuan saya menulis adalah terbatas dan mungkin hanya bisa diterima oleh diri saya sendiri sahaja.

Suhaimi Haji Muhammad dan Agi Ghafar Ibrahim (Abdul Ghafar Ibrahim) merupakan bayang-bayang kedua selepas Rendra yang saya ikuti perjalanan sastera mereka. Hujah yang diguna pakai oleh beliau (Suhaimi Haji Muhammad) membuatkan saya berfikir dan terus berfikir ribuan kali.

Seperti biasa, saya terus berpegang bahawa surealisme merupakan hasil seni yang mendominasi hasi-hasil seni daripada aliran-aliran lain – realisme, naturalisme, ekspresionisme dan sebagainya. Paling tidak jika sesebuah hasil itu mahu disebut hasil seni, ia mesti mengaplikasikan unsur-unsur yang dipakai oleh karya-karya surealisme seperti metafora, simbol, indeks, dan ikon, termasuk juga kias, perumpamaan, pepatah petitih, personifikasi, bahasa ambiguiti dan sebagainya. Tanpa mengaplikasikan unsur-unsur ini, karya-karya realisme, naturalisme dan ekspresionisme tidak akan menjadi hasil seni yang baik. Ia akan menjadi tulisan yang hambar, malah kadang-kadang sangat hambar dan tidak boleh digelar hasil seni. Lantaran, saya menolak karya realisme, naturalisme dan ekspresionisme itu, kerana saya menganggap karya-karya tersebut bukan hasil seni.

Sementara Agi (Abdul Ghafar Ibrahim) melemparkan persoalan yang banyak, kadang seolah memaksa saya berfikir dan menelannya serentak.

Dari apakah penulis kreatif itu dibentuk? Adakah penulis kreatif itu dibentuk dari pendidikan formal seperti Anis Sabirin atau tidak formal seperti Usman Awang? Siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab membentuk penulis kreatif itu? Universitikah yang membentuk Muhammad Haji Salleh atau Kuala Sedili, hutan rimba, Melaka, Mersing, Singapura, Utusan Melayu, ASAS 50, Dewan Bahasa dan Pustaka, PENA, Petaling Jaya, Sungai Kelang, Sungai Gombak, Benteng, Masjid Negara, kawan-kawan dalam UMNO dan PRSM, iklim korporat Penerbitan Federal, Syed Nasir, Ungku Aziz, Keranda 152, Teluk Gong, Hamid Tuah, Said Zahari, Peugeot, Pengangguran, Budak Pejabat, Polis Hutan, Seni Untuk Seni, Seni Untuk Masyarakat, Catan Ibrahim Hussein, Kebohemian Latif Mohidin, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Dasar Ekonomi Baru, Hari Puisi, Cempaka Berbunga, Malam Gema Puisi, Genta Rasa, Manifestasi Dua Seni atau Gudang Garam, lawatan ke Amerika Syarikat, USSR atau putera-puterikah yang memperkayakan bakat seni Usman Awang atau isterinya yang setia bernama Hasnah bt. Din, itukah yang membentuk Usman Awang sebagai sasterawan?

Seusai noktah dititikkan. Saya diam seketika. Kedua-dua hujah di atas membuatkan saya duduk lama. Kefahaman datang bertandang tapi saya tidak tahu bagaimana cara untuk mengulasnya. Setelah penat berfikir, saya mula memandang deretan buku-buku milik saya sendiri. Saya tidak mahu diibaratkan bagai keldai yang memikul kitab-kitab. Akhirnya saya kembali menulis, lalu menyimpan sebahagiannya di dalam blook peribadi, dan yang selebihnya saya sekadar simpan dalam diari lama, buku catatan saya yang bertaburan di merata-rata tempat di bilik saya.

Pernah juga saya menghantarkan karya-karya saya untuk perhatian akhbar tempatan dan ia berjaya di keluarkan, sebagai contoh, saya hantarkan tulisan saya ke Utusan Borneo, tetapi tidak sekerap mana. Dahulu pernah terniat hendak menghantar karya ke Berita Harian, Utusan Malaysia, Tunas Cipta, Dewan Sastera dan sebagainya, namun tidak juga saya hantarkan ke sana atas sebab rendahnya kualiti penulisan saya (tidak bermakna saya cengeng dalam perkara ini). Mungkin inilah yang menjadi penyebab hasil karya saya kurang mendapat perhatian umum. Dengan ini saya isytiharkan bahawa saya hanyalah seorang manusia yang gemar menyimpan dan membaca buku (yang menarik perhatian saya sahaja).



Buku Sarat Kadang Tak Habis Baca

Antara tabiat saya adalah membeli buku. Buku yang saya beli terdiri dari buku-buku yang berjaya menarik minat saya membacanya, ataupun buku-buku yang kebetulan ada isi penting yang terdapat di dalamnya. Isteri saya merangkap si tukang dorong kerana tidak pernah menghalang minat saya membeli buku, tetapi apabila buku-buku semakin sesak menyempitkan ruang bilik, isteri saya berkata robohlah rak buku itu nanti tak menahan beban berat buku di atasnya. Saya kata tidak mengapa, kalau kita tak baca, Insya-Allah anak-anak kita akan sambung pembacaannya nanti, itu pun kalau mereka berminat dengan buku yang saya baca. Si tukang dorong ketawa, seolah cengeng kerana tidak berjaya menghalang aktiviti saya untuk membeli buku. Apa pun, dorongan yang itu tidak datang dari isteri saya seorang sahaja, kedua ibu bapa saya tidak pernah menghalang usaha saya untuk terus menulis. Hanya satu pesanan yang selalu diulang-ulang oleh ibu saya,

“Hubaya-hubaya, berpakat-pakatlah kamu adik-beradik. Hati-hati mengunakan tangan. Jangan sampai merosakkan diri sendiri dan orang lain. Dari kecil kamu dijaga sampai ke besar, peliharalah diri kamu jangan sampai binasa.”

Dan, ucapan inilah (nasihat terbaik) yang sering menerpa masuk ke dalam telinga sedari sekolah rendah, menengah hingga ke hari ini. Tak pernah pula saya bosan barang sekali.

Selain dari Rendra, Suhaimi Haji Muhammad dan Agi Ghafar Ibrahim. Saya juga meneliti karya beberapa individu penting (bagi diri saya) antaranya Jalaluddin ar-Rumi, Ibn Arabi, Hassan al-Banna, Hamzah Fansuri, Syeikh Ahmad al-Fatani dan Shahnon Ahmad (sekadar menyebut beberapa nama). Dengan izin Allah S.W.T jualah nama-nama di atas sedikit sebanyak meluaskan lagi kotak pemikiran saya yang serba kekurangan ini sehinggalah membawa kepada sedikit rumusan dalam kesimpulan.


Kesimpulan Bagi Diri Saya

Kerap kali saya ingatkan diri saya bahawa keberadaan saya di dunia hanya sementara. Sementara jalan yang saya tempuh dalam kehidupan ini atas kehendak Allah S.W.T. Tidaklah saya pernah berbangga dengan apa yang ada pada genggaman tangan saya kerana yang ada itu bakal tiada suatu hari nanti. Saya tidak memiliki ijazah dari mana-mana IPTA mahupun IPTS, hanya ijazah jalanan dari pengalaman-pengalaman yang mematangkan diri saya agar terus berkenal-kenalan dengan sekalian yang bernyawa di dunia sementara saya masih lagi bernadi dan diberi peluang hidup oleh Tuhan.

‘Tiada kata secantik bahasa’, dalam sastera seharusnya tidak ada satu proses menghukum karya orang lain atas alasan karyanya tidak bermutu, atau tidak cantik dan sebagainya. Andai hendak dihitungkan dengan cantik, bagi saya yang cantik itu adalah relatif. Ia bergantung kepada siapa yang memandang. Pada pandangan saya cantik, tetapi pada sisi diri orang lain kadang menidakkannya. Dan andai menurut orang lain cantik, tetapi belum tentu cantik pada pendapat saya, begitulah sebaliknya.

Pertanyaan yang sering berlegar di minda saya (kita semua secara umumnya), apa yang saya mahukan dalam dunia penulisan dalam erti kata yang sebenar-benarnya? Adakah menjadi satu kesalahan sekiranya saya menempatkan diri di kalangan insan seperti Noor S.I, A.S Amin, M. Ghazali, Yahya M.S dan lain-lain dengan kekaburan dalam ‘Puisi Kabur’ yang mereka terapkan? Contohnya ada dalam ‘Dalam Kolam’ koleksi peribadi saya.

Dalam kolam
... terjun aku ke dalam
ke dalam malam-malam


Naik turun timbul tenggelam
Air pasang aku pun pulang


Akhir sekali, biarlah saya paparkan kembali kata-kata Agi Ghafar Ibrahim dalam himpunan artikel beliau yang dibukukan berjudul ‘Cita Cinta Puisi’.

Orang gemar berkata bahawa keganjilan-keganjilan yang aku lakukan itu adalah tidak sengaja. Ini tentu aku bantah. Kesengajaanku meletakkan kata-kata dan penyusunan barisan yang tidak konvensional itu bukannya suatu keganjilan. Ia satu tugas sajakku.


Tanpa bentuk dalam cara yang begitu tentulah tiada apa-apa yang baru. Tentulah tiada apa-apa percubaan yang baru. Tak adalah kesegaran, tak ada keaslian. Tanpa percubaan yang baru bererti kita hanya berlegar pada yang lama. Yang lama itu tak seharusnya baik. Yang baru tak seharusnya buruk.


Perhubungan adalah matlamat sajak-sajakku. Cara aku membuat perhubungan dengan orang lain merupakan cara aku memperkenalkan diriku kepada mereka. Tak semestinya aku mengekori cara orang lain. Tak semestinya orang mengakui baik cara aku berkenalan itu.


Tapi itu tak salah. Seseorang yang tak mengikut undang-undang tak mengapa. Tangkap saja dia dan didenda. Dan, dia akan membayar dendanya dengan senang hati. Membayar untuk mengulangi kesalahannya itu. Sampai satu hari orang barkata: Lepaskan dia. Dia tak bersalah. Dia faham akan perbuatannya. Kini perbuatan salahnya itu telah kita jadikan undang-undang baru pula. Barang siapa wang tidak mengikut undang-undang baru ini akan kita tangkap. Begitu yang terjadi pada Hamzah Fansuri dan Chairil Anwar.


Begitu jugalah yang terjadi kepada Muhammad Yasin Maamur. Dia telah melanggar undang-undang pantun dan syair. Dengan segala keberaniannya sebagai Ketua Pengarang Majalah Guru dalam tahun 1933, dia telah menerbitkan sajak-sajaknya dalam majalah yang amat utuh mempertahankan tradisi pantun dan syair itu.


Perbuatan itu dianggapnya sebagai satu percubaan. Manakala pembaca waktu itu berkata, ia membawakan satu keganjilan dalam dunia puisi Melayu, keganjilan yang penuh percubaan itulah yang kita akui akhirnya.

Saya memahami isinya dengan baik dan insya-Allah akan saya cuba ladeni lagi dan lagi. Teringat pula kata-kata (komentar) Pak Baha Zain kepada saya, sedaya upaya saya ingatinya sampai bila-bila.

"Kuasa yang ada pada kita hanya suara kata dan bahasa. Itupun lebih banyak menyuarakan kesedihan tentang nasib sejarah yang semakin luka. Namun itu pun sebahagian daripada iman, kecil sekalipun , untuk menentang ketidakadilan. Teruskan menulis kerana puisi yang baik tetap lahir daripada emosi yang sejati di hati."


Sebahagian Dari Koleksi Peribadi (Puisi / Sajak)

- Merantai bulan; menghambat matahari –

Merantai bulan,
Menghambat matahari
terbit pagi
Sentuhan magisnya
mengesankan jiwa;
Memporak-perandakan
segala
... Diri ini seolah mati
Sedang jasad di enam kaki itu
telah luluh dimakan ulat
dan bertukar gelar
menjadi BANGKAI!
... Oh bulan telah pergi;
matahari begitu jua

- Mimpi Sang Penyair –

Mimpi sang penyair
sebenarnya bukan istimewa
atau tertuju buat dirinya sahaja
dia berceritera; menggalas tugas
di atas pundak yang kadang tak terpikul
oleh dirinya sendiri

Mimpi sang penyair
sebenarnya ditujukan istimewa
buat seluruh umat manusia di dunia
yang kadang beralah dengan kesumat dendam
yang berkeringat melabuh diri di perhentian menyusur jalan

Tiada yang istimewa bagi dirinya sang penyair
selain dari melahirkan buah bahasa yang ranum
melahir kata yang bisa sampai menembus jantung
hinggakan adakala luahan kata itu menzahirkan segalanya
membuat insan gembira bercampur duka; riang bertukar hampa
dan akhirnya ada yang berpaling dari jalan gelap;
berpulang kembali ke jalan terang yang penuh liku ranjaunya
menemui diri lalu memikirkan semula asal mula kewujudan
merenung kecampingan yang ada pada diri di hadapan cermin
lalu berkata:

"Duhai, Jiwa. Aku tiada ingin meraih mimpi sang penyair
yang sekadar ingin menyalur naluri egois dalam bahasanya.
Tapi saat ini aku sekadar mahu berbicara tentang kata
kerana aku mahukan setiap untaianku tiba dalam fikrah manusia
kerana aku tahu, bahasa yang tulus pasti datang dari hati luhur
dan aku sedia maklum tentang perkara ini
membuat daku membiarkan diri terapung di tengah sana
kubiarkan tetanggaku meraih rasa gembira
sepertinya aku tahu bahawa bahasa itu
bisa membuat diri terus membuka fikir;
bukan memandulkan bak pepohon tanpa buah
di atas tanah yang subur tanpa perlukan sebarang baja."

- Ke mana harus kita pergi lagi, Ibu? –

(Pernahkah kita memikirkan bagaimana keadaan sekiranya tanah yang kita duduki kini dijajah dan akhirnya dijarah rakus oleh mereka yang tak sepatutnya menuntut hak yang keterlaluan? Ikuti persoalan anak bersama ibu kesayangannya yang bertanya ke mana lagi harus mereka pergi andai hal itu terjadi....?)

ke mana harus kita pergi lagi, Ibu?
tanah kita seolah mahu dijarah kembali
tanah kita seolah mahu diperjudi seinci demi seinci
yang merasa pahit itu kita, orang melumpuk pahit itu senang sekali
lalu ke mana harus kita mengadu nasib, Ibu?

ke mana lagi harus kita pergi, Ibu?
dahulu derita perut kita dialas hanya sekadar ubi
ubi yang kita tanam, kita makan hari-hari
yang sedihnya kita, orang yang menjarah gembira ketawa
ke mana harus kita langkahkan kaki, Ibu?

Aku bertanya lagi kepadamu, Ibu.
ke mana harus kita pergi lagi
ke mana lagi harus kita pergi
apa salahkah aku bertanya begini, Ibu?
tanpa tanah kita terjajah
dengan tanah juga kita dijarah
menantikan pembela entah kunjung tibanya bila
si musang berbulu ayam hadir memalit lumpur noda
lumpur dicoreng-coreng tanpa henti waima sepatah kata
kita ditikam kali berkali tepat kena di tengah dada;
bukan di belakang sebagaimana biasa orang lain kena

Aduh, Ibu...
Sampai bila kita harus begini
ke mana lagi harus kita pergi; menggalas duka seorang diri
Sedang musuh semakin mara ke hadapan;
meninggalkan kita jauh di belakang
sambil ketawa riang berjoget songsang!

- Akulah yang bernama sang bunga raya –

Dahulu aku pernah kau angkat martabatnya
sebagai sebuah perlambangan waja
istimewa ditujukan buat negara merdeka

Namun kini hanyalah tinggal sebuah nama
layuku tak seharum mawar yang kau puja-puja
akulah sang Bunga Raya; gugur di bumi yang parah lukanya

- Menghukum bukan tugas kita sebagai hamba di bumi Tuhan! –

Jalan mana lagi yang kita mahukan?
Bukankah jalan itu telahpun dibukakan?
Jalan abadi kita kembali kepada Tuhan;
Dan bukannya berakhir dengan berpaling lalu mengikuti langkah syaitan?

Jalan mana lagi yang kita mahukan?
Allah bukakan jalan namun kita sengaja menjauhkan
Sifat diri yang angkuh seringkali mahu mengganti Tuhan
Sesuka hati kita menentu hukum lalu menjatuhkan hukuman.

Hak hamba terbatas berbanding Pencipta-Nya
Hilanglah kelayakan kita dalam menentukan sebarang keadaan
Pelacur-pelacur kita hukum sebagai pendosa yang terlari pedoman
Namun kita bagaimana? Pastikah kita bahwa syurga itu berada dalam tangan?

Tugas hamba melunas misi daripada Tuhan
Lalu dijadikan kita berbangsa-bangsa agar kita saling kenal-kenalan
Bukan bertujuan untuk kita ambil kesempatan dalam kesempitan
Sempat dan sempit itu bukan menjadi pucuk dan pangkal dalam perdebatan

Lihat... Lihatlah akan dunia yang serba maju
Norma amalan hidup jauh tertinggal di belakang
Kita siapa untuk menyatakan ketidakpuashatian terhadap sesuatu
Apakah kita punya hak merasa bahagia tanpa perlu susah dan beroleh malang?

Jalan mana lagi yang kita mahukan?
Segalanya sudah terbentang luas
Tinggal menunggu kita memulakan jejak pencarian
Sebelum ditamatkan riwayat; di sana menanti hukum bakal dibalas
Pintu syurga neraka luas dibukakan; namun untuk masuk ke sana bukan kita yang tentukan!

-Tanah Sekangkang Di Kota Batu-

Tanah sekangkang
di celah kota batu itu
Mengundang seribu makna
Jauh-jauh mata memandang
Sejarah tersirat tak tersingkap
Rahsia bersama bukti mahu dikuburkan
Bersemadilah luka bangsa sendirian
Di sini; Sambil mata menatap langit
cuba melakar mimpi suram yang tak pasti
Sayup-sayup kedengaran jeritan
datang dari celah kota batu
berangkat ke tengah
lalu dimusnahkan
dek mereka yang mencintai
Kemajuan; sehingga geran di tangan
... sanggup digadaikan!

-Sajak Ikatan Bangsa Merdeka-

Andai bangsa kita ini datang berbutir bak bebiji tasbih
Aku mengharapkan ada kekukuhan pada bebutirnya

Andai bangsa kita ini kuat bak tetali jut
Aku mengharapkan ada kekuatan pada ikatannya

Akan tetapi,
perasaan khuatirku memuncak
sebaik sahaja memandang kembali
akan kekukuhan serta kekuatan
yang ada pada diri bangsaku
kian rapuh
malah kini saling bergocoh
hampir sahaja mahu berkerambit
berbunuhan sesama sendiri
Imejan yang terpancar
dari biasan cahaya
pada dinding itu
menyatakan
bahawa
kita
bakal menanti
untuk dilenyapkan
Apakah kita mahu berlaku sedemikian
atas kehendak diri sendiri kita beralas alasan
Apakah kepekaan diri kita hilang akibat terlalu perasan
dan tiada menyangka bumi tercinta ini
bakal lenyap kerana telah diperjudikan
Dilapah maruah bangsa sehingga ke tulang sulbi
Lalu kini, apalah yang tinggal lagi?
Isi negara sudah bertukar ke sisi
semakin susut dari hari ke hari
Dari nilai majoriti telah beralih
turun menjadi minoriti!

1 comments :

-- Thiya Renjana™ -- said...

senang bisa mampir ke sini...
Salam sastra...

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top