ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Pendeta Za'ba: Kisah Dua Ekor Keldai Yang Sarat Muatan

++ Nota: Buku ini wajar dibaca oleh sekalian manusia yang memahami dan mengerti akan bahasa Melayu. Kiasan yang disampaikan dalam buku ini juga padat dan berisi. Seakan menjitak diri sendiri rasanya. Isu taklid buta antara topik yang paling aku sukai di mana arwah Za'ba dengan terang-terangan berkata bahawa bertaklid buta itu dikeji oleh agama dan oleh sekalian orang yang berakal. Sebabnya? Alasannya mudah, kerana terlalu banyak mudarat dan kemungkinan yang bisa memesong dan menyimpangkan kita kepada jalan yang tidak betul, yang tidak langsung kita perasan.

Arwah Za'ba turut menyatakan bahawa ulama-ulama Mujtahidun dahulu tidak menggemarkan orang-orang yang bertaklid buta kepada mereka atau mahu sekalian manusia menerima segala fahaman dan pendapat mereka tanpa menyelidik, meneliti dan menimbang sendiri apa yang mereka anjurkan. Persoalannya, semakin ramai daripada sekalian kita sekarang ini kuat benar bertaklid buta tanpa memikirkan langsung sebab musabab kita berbuat demikian? Kita tidak pernah cuba mengkaji lebih untuk kebaikan diri sendiri. Yang kita tahu hanyalah sekadar mengambil pendapat seseorang itu sebagai hujah, lalu mengetepikan pendapat orang lain yang kita rasa tiada langsung memberikan manfaat.

Ah, cerita panjang lebar pun tiada guna. Ada baik kita renungkan sebuah kita yang ditulis oleh arwah Za'ba dalam bukunya berjudul 'Perangai bergantung kepada diri sendiri'. Dan semoga aku yang menulis 'entri' ini terus berusaha lagi dan lagi 'tuk kembali berjalan di atas landasan yang betul tanpa perlu membelok ke kanan atau ke kiri. Amin Ya Rabbal Alamin.

Bertaklid Buta

Bagi mencontohkan mudaratnya bertaklid buta itu orang-orang bijaksana telah merekakan suatu cerita yang dibuat sebagai cerita kiasan; tetapi rekaan sahaja namun teladan dan pengajaran yang diberinya amatlah besar juga:

Kononnya pada suatu hari dua ekor keldai telah dibawa oleh tuannya mengangkat barang: seekor membawa garam di dalam beberapa karung diikatkan di atas belakangnya, dan seekor lagi membawa sepan (iaitu bunga karang) diikatkan kepada belakangnya juga. Maka tatkala mengharung sebuah anak sungai keldai yang membawa garam itu tergelincir beberapa kali dan jatuh tergolek ke dalam air. Maka garam itu beransur hancur; tiap-tiap kali ia bangkit air garam itu berlelehan turun dari kiri kanan rusuknya. Akhirnya ia pun merasa ringan. Setelah sampai ke tebing sebelah, melompat-lompatlah ia oleh kesukaan.

Apabila dilihat oleh keldai yang membawa sepan itu ia pun hairan lalu berteriak kepada tolannya dalam bahasa keldai: "Hai! Apa sebabnya awak telah menjadi terlampau suka ini? Tadi kawan tengok awak terbengkul-bengkul di bawah beban awak itu; sekarang nampaknya awak sudah ringan dan boleh berlari melompat-lompat dengan riang pula!"

Jawab tolannya itu: "Masa kawan mula-mula terkelicik dan jatuh sungai itu tadi kawan rasa beban di atas belakang kawan hancur menjadi air serta ringan rasanya. Sebab itu kawan pun sengaja membuat-buat jatuh lagi beberapa kali, supaya banyak lagi beban kawan itu hancur. Sekarang sudah ringan betul!"

Maka keldai yang membawa sepan itu pun menetapkan dalam hatinya hendak membuat-buat jatuh pula dalam air bila menyeberang sungai yang lain kelak, supaya bebannya pun menjadi ringan juga. Oleh itu apabila terjumpa sebuah anak sungai lagi dan ia turun mengharunginya bersama tolannya itu hendak menyeberang, ia pun berpura-pura tergelincir lalu rebah ke dalam air hingga bergolek-golek. Maka sengaja ia lambat bangun, kerana menantikan biar banyak bebannya itu hancur pula! Tetapi kasihan! Apabila ia bangun dirasanya jangankan beban itu bertambah ringan, malahan telah bertambah berat pula berganda-ganda daripada dahulu, sebab sepan itu semuanya telah penuh dimasuki air. Dalam demikian pun mau tak mau berjalanlah juga ia naik ke tebing sambil mengerang dan mengeluh oleh terlalu beratnya, sepertikan hendak patah belakangnya!

Ketika itu tuannya, yang dari tadinya telah memerhati sahaja akan kelakuan itu dengan perasaan lucu, datang hampir kepadanya lalu berkata: "Hai Si Dungu yang bebal! Sungguhlah engkau ini bodoh dan tongong! Tiada engkau mengerti bahawa  beban engkau dengan beban tolan engkau itu tidak sama jenisnya! Engkau hanya meniru dan mengikut-ngikut dengan buta tuli, tidak dengan fikiran dan faham yang terang! Padanlah balasan yang engkau terima ini dengan bodoh engkau itu!! Bangsaku manusia pun banyak berbuat seperti engkau ini, mengikut-ngikut perkara yang mereka tiada tahu dan tiada mengerti!"

++ Tutup Nota: apakah aku (kita semua) mahu melakukan yang sama seperti keldai tadi? Ataupun sebenarnya aku (kita semua) dah tergolong dalam kelompok mereka yang gaya fikirannya tak ubah seperti keldai? Segalanya ada di dalam dada. Orang kata tepuk dada tanya selera, iman segala; malangnya orang tetap tak mampu membuka minda, memikirkan baik buruk sebelum berpegang hujah kepada benda bernyawa.

2 comments :

Mohamad said...

dimana bleh sya peroleh buku tersebut? terima kasih

Ampuan Awang said...

sdr Mohamad,

ia sebuah buku lama tapi sekarang ini dengar khabar ada edisi terbaharu. silakan berkunjung ke dbp yang berhampiran. terima kasih

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top