ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Dunia adalah ilusi sebelum menuju ke alam realiti yang kekal Abadi

Tiadalah mampu kita berbuat apa-apa dengan segala yang ada pada diri kita. Usah terlalu berbangga dengan apa yang kita ada kerana malang tiada dapat dihidu dengan hidung, tak dapat kita rasa dengan anggota tubuh kita.

"Setiap insan lahir wajar berperi budi,
Sebagaimana makhluk lain di bumi ini;
Asal hidup kita ini sekadar terima jadi,
Tiadalah bisa kita bantah ketentuan ilahi."

Selama kita hidup di dunia ini, pernahkah kita terfikir atau memikirkan tentang asal kejadian kita seperti yang kita lihat pada ketika termenung sambil bermonolog sendiri di hadapan cermin? Pernah kita terfikir atau memikirkan segala suka, duka, bahagia, dan juga malang yang datang bertimpa ke atas diri kita berpunca atas kesilapan siapa? Pernahkah kita terfikir atau memikirkan suatu keadaan bahawa segala pemberian yang kita perolehi daripada Allah adalah amanah yang bakal ditanya dan dipertanggungjawabkan di hari perhitungan di mana sekalian insan meronta-ronta, berlari berkejar-kejaran mencari payung untuk berlindung, sementara sebahagiannya sibuk mencari perahu bagi menyelamatkan diri dari lemas dalam keringat sendiri?

Ingatan buat diriku sendiri, apa yang ada diriku (kita semua) sekarang ini prinsipnya mudah, asal terima jadi. Tidak pernah aku mengetahui sebelum kelahiran aku bakal menjadi apa. Tidak pernah pula Allah membukakan sebarang permintaan untuk menjadi apa sebaik sahaja lahir dan hidup di atas dunia. Kalaulah Allah lebih dahulu memberi maklum, pasti aku (kita semua) mahu dilahirkan sebagai orang-orang besar yang hidup tanpa susah. Tidak ada seorang pun manusia yang mahu dilahirkan memegang status 'SUSAH' pada pundak mereka. Berat dirasakan. Namun ternyata benar, Maha Suci Allah, Segala Rahsia Ada Pada-Nya, dan segala yang diberikan buat kita adalah kurnia, juga anugerah yang paling cocok dan terbaik buatku (kita semua), selama mana aku hidup dalam sebuah ilusi yang bernama 'DUNIA'.

Dunia adalah ilusi berimej realiti. Kita juga adalah ilusi. Dan setiap yang bernama ilusi akan kembali ke alam realiti. Di manakah dia alam realiti? Sebaik sahaja diriku (kita semua) kembali kepada tanah, aku (kita semua) mulakan hidup di alam barzakh, lalu apabila dunia ilusi ini lenyap, aku (kita semua) kembali dihidupkan. Dan seterusnya dikumpul untuk diperhitungkan segala amalan. Akhirnya? Aku (kita semua) menantikan keputusan sama ada untuk kekal di taman syurga idaman, atau duduk merengkok di dalam neraka yang terpaling dalam. Inilah dia realiti abadi yang tiada tamat; tiada berkesudahan.

Salam hangat dan secangkir teh buat diriku sebelum memulakan perjalanan mati sementara, sehinggalah dikejutkan kembali menunaikan perkara wajib ke atas diriku di subuh hari. Sekian. Wassalam...

"Usahlah percaya dengan apa yang aku kata,
Anggap saja ia sekadar omelan semata-mata;
Namun pada akhirnya kita bertemu jua di sana,
Alam Abadi di mana tiada insan bisa membantu kita."

TAMMAT!

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top