ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Warkah Buat Tuhan Di Hari Kelahiranku Di Bulan Masehi


++ Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Maha Suci Engkau Ya Allah, Tiada Kuasa Yang Lebih Besar selain dari Kuasa-Mu. Maha Suci Engkau Jua Ya Allah, Engkaulah Pemilik Serambi Langit, juga Lantai Bumi ini . Dan Tiada seorang hulubalang atau dari seribu, atau jutaan pahlawan di seluruh muka bumi ini berjaya menentang-Mu dengan kudrat yang datang dari-Mu Jua. Dan kepada-Mu jua Ya Allah, aku (hamba-Mu) merafak sembah memohon agar segala dosa yang aku perbuat, dari segala bentuk cacamarba yang dizahirkan dari seluruh tubuh bermula dari rambut hingga ke hujung kaki, tak lupa juga dari akal fikiran, dan bisik hati kecilku yang kadang tersasul dan kadang terlajak melanggar suruhan-Mu dalam keadaan sedar mahupun tidak. Semoga Engkau mengampuni  pendosa sepertiku ini, Ya Allah.

Hari ini Ya Allah, merupakan hari kelahiran bulan pada tahun masehi (menyusul selepas ini bulan hijrah pula pada 9 Rabiul'awal) bagi diriku. Aku memohon pada-Mu agar dipermudahkan segala urusanku di dunia dan di akhirat. Tiadalah mampu aku menghalang maut dari datang bersinggah kepada diriku kerana aku tahu bahawa aku (sekalian manusia) akan mati jua suatu hari nanti. Dan atas kesedaran itulah aku terus cuba untuk memperbaiki diri kerana aku tahu bahawa diriku ini tidaklah memiliki sebarang harta di dunia yang mampu aku bawa selepas hamba-Mu, malaikat maut menjemputku kembali menemui-Mu. Entah sama ada baik atau buruk cara kematianku, hanya Kau sahajalah yang mengetahui Ya Allah. Namun sebagai hamba tetap jua aku pohonkan agar nyawaku dicabut dalam keadaan yang baik tanpa ada cela atau terbuka sebarang aib tak kira dari segi apa pun.

Ya Allah, dunia ini ibarat penjara bagi orang mukmin, manakala ia ibarat syurga bagi orang yang membelakangkan segala hukum-hakam yang dari firman yang Engkau turunkan di dalam al-Quran yang disampaikan melalui perantara iaitu kepada sekalian para nabi-nabi bermula dari Bapa segala manusia, Nabi Adam a.s sehinggalah kepada penutup segala Nabi iaitu Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Aku maklum dan memahaminya kendati hanya sedikit sahaja yang mampu dicernakan dalam hatiku yang kecil (tapi tetap jua mampu memuatkan seluruh isi dunia andai aku lupa, hanyut atau berpaling dari jalan-Mu). Sesungguhnya Ya Allah, kelupaan itu ibarat suatu warisan yang Engkau anugerahkan kepada kami (hamba-Mu) sebagai petanda bahawa kami ini (hamba-Mu) mewarisi kelemahan dan kelemahan itu antaranya adalah LUPA. Sejauhmana aku (hamba-Mu) berada di dalam kelupaan? Hanya Engkau sahajalah yang mengetahuinya dan aku tiada dapat merungkai satu pun dari Rahsia Suci-Mu yang terlampau banyak tak terbilang itu.

Ya Allah, Maha Suci Engkau Yang Mengetahui Akan Segala Sesuatu, aku (hamba-Mu yang lemah ini) maklum benar bahawa Engkau menjaga akan diriku (sekalian makhluk jua) dan senantiasa mengawasiku (sekalian makhluk di alam dunia) sebagaimana yang Engkau firmankan,
"Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu."
Surah an-Nisa (4): 1

Dan tiada seorang pun yang bakal terlepas atau berjaya melarikan dari pandangan-Mu.

Ya Allah, jadikanlah diriku sebagai seorang insan yang sentiasa bersyukur atas pemberian yang Engkau berikan padaku. Berilah aku petunjuk seandainya aku terkhayal atau mabuk dengan hiasan dunia yang Kau ciptakan buat kami sekalian hamba-Mu.

Ya Allah, cukupkanlah diriku dari segala segi. Kayakanlah diriku dengan akal budi yang bersih suci tanpa sebarang unsur khianat, dengki yang tersembunyi di balik hatiku ini. Aku mohon pada-Mu Ya Allah, andai diriku Engkau anugerahkan kuasa, janganlah hendaknya aku menjadi kacang lupakan kulit, yang menjadi dalang kepada kehancuran dan perbalahan di antara umat hanya kerana mabukkan kuasa yang sedikit itu. Jauhkanlah Ya Allah.

Ya Allah, segala yang dibuka pasti akan kembali ditutup. Segala isi hati yang cuba aku sampaikan di sini biarlah aku sambung kembali ketika menghadap-Mu di lima waktu sehari semalam yang Kau wajibkan ke atas diriku dan sekalian hamba-hamba-Mu yang merasakan diri mereka berada masih belum bersih dari segala noda, juga dosa.

Ya Allah, Maha Suci Engkau Yang Maha Agung. Tiada Sesuatu Yang Lebih Kuat dan Gagah Selain Engkau. Maha Suci Engkau Jualah yang memegang ubun-ubun lembut aku (hamba-Mu) ini. Kepada-Mu Ya Allah, berpulang kembali segala kekuasaan dan darjat yang ada pada pundak manusia, yang sering merasa bangga dengan apa yang mereka ada, yang kurang berwaspada serta mawas diri, yang kerap mengikut telunjuk orang lain tanpa menyelidiki baik atau buruk benda yang dibawakan oleh mereka (yang segenlintir antara mereka berfaham songsang itu). Semoga dijauhkan diriku segala sifat mazmumah (termasuklah perkara yang sesat lagi menyesatkan akal fikiranku) yang menjadi penghalang cahaya kebenaran dari menembus masuk ke dalam hatiku, dan sesungguhnya diriku ini Ya Allah masih meraba dan sentiasa akan memohon petunjuk daripada-Mu selalu-selalu.

++ Nota: Setiap kata yang tertulis di sini ditaip (bahasa tak tersusun rapi) tanpa sebarang edit kembali, mohon maaf seandainya ada bahasa yang bersalahan dari segi makna bagi kalian yang membaca namun bagiku ia tetap sama, Insya-Allah tetap akan difahami Allah s.w.t kerana daripada Allah s.w.t lah segala bahasa itu datang, dan disebabkan itu tiadalah menjadi kesalahan bagiku untuk menulis apa sahaja yang terlintas di hati kerana yang mengalami dan merasai pengalaman itu aku; bukannya kalian. Sekian. Wassalam [...]

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top