ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Interlok: Ada Apa Dengan Pa…….

Oleh: Dr Jeniri Amir

Kali terakhir saya bertemu dengan Datuk Abdullah Hussain, penulis novel yang kini hangat dan kontroversi adalah pada tahun 2005, ketika saya mengikuti PhD di Universiti Malaya. Beliau tinggal di rumah banglo setingkat yang dibeli dengan harga RM70,000 pada akhir 1960-an di Petaling Jaya, tidak jauh dari Universiti Malaya. Beliau mengatakan terdapat beberapa orang yang berminat membeli rumah itu dengan tawaran sehingga RM1 juta, tetapi beliau tidak berhasrat menjualnya.

Sasterawan Negara yang lebih mesra dengan panggilan Pak Lah dalam kalangan penulis, sasterawan dan peminat sastera saya kenali ketika beliau menjadi Karyawan Tamu di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1981. Ketika itu, kami sering keluar berjalan-jalan di bandar Pulau Pinang, termasuk sekali-sekala dengan Datuk Jamil Sulong, pelakon dan penerbit filem tersohor. Pak Lah yang bersuara lembut memang seorang pencerita yang hebat, sebagaimana terpancar dalam novel dan cerpen beliau.

Sebagai pelajar saya sering berborak-borak dan makan-makan bersama-sama beliau termasuk di dalam kampus USM yang indah permai. Pak Lah saya anggap sebagai mentor dan ayah angkat saya, malah beliaulah insan yang bertanggungjawab memperkenalkan saya kepada Islam. Beliaulah yang membetulkan tulisan saya, termasuk rencana dan puisi ketika saya baru belajar menulis, selain membantu saya menghantar karya berkenaan kepada editor Dewan Masyarakat dan Dewan Sastera.

Jasa Pak Lah tidak mungkin saya lupai. Ketika saya mengunjungi beliau di Petaling Jaya kira-kira enam tahun lalu, Pak Lah, tidak lagi seperti Pak Lah yang saya kenali pada awal 1980-an. Pendengaran beliau tidak lagi begitu baik sehingga saya perlu bercakap kuat atau menulis sesuatu di atas kertas. Saya begitu pilu mengenang nasib yang menimpa Pak Lah yang suatu ketika begitu bertenaga, gigih, berdisiplin dan prolifik. Kini Pak Lah menggunakan kerusi roda untuk bergerak dan beliau menjawab pertanyaan wartawan dengan menulis jawapan di atas kertas.

Sebagai orang yang rapat dengan Pak Lah, saya berani mengatakan bahawa kontroversi yang melanda karya yang ditulis beliau pada 1967 itu di luar jangkaan beliau, apatah lagi karya itu pernah digunakan sebagai teks di sekolah menengah dan universiti sebelum ini. Sebagai sasterawan dan insan yang berjiwa lembut dan begitu berbudi bahasa, kata-kata dan perbuatan 100 orang India yang membakar novel berkenaan, sudah pasti menghiris jiwa lembut beliau.

Saya tidak hairan, jika beliau menitiskan air mata mengenang nasib yang menimpa karya itu. Sedangkan ketika beliau menulis novel berkenaan hampir 40 tahun lalu, beliau telah membuat kajian, termasuk bertanya pensyarah India di Universiti Malaya. Tujuannya bagi mendapatkan maklumat dan mengesahkan fakta khususnya berkaitan dengan kehidupan kaum India.

Sebenarnya, novel Interlok merupakan satu daripada empat buah novel yang memenangi hadiah sagu hati dalam Peraduan Sepuluh Tahun Menyambut Kemerdekaan anjuran DBP. Tiga lagi novel lain ialah Sandera karya Arenawati, Pulanglah Perantau nukilan Aziz Jahpin, dan Merpati Putih Terbang Lagi oleh Khatijah Hashim. Pak Lah, kini berusia 91 tahun, telah menghasilkan 20 novel, dengan Imam, Kuala Lumpur Kita Punya dan Interlok sebagai antara yang terkenal.

Interlok, teks sastera untuk pelajar Tingkatan Lima tahun ini merupakan novel yang paling hangat dan kontroversi dan banyak diperkatakan dalam sejarah sastera Melayu tanah air. Jika Shit karya Shahnon Ahmad pada 1999 dahulu heboh kerana persoalan yang mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, Interlok pula kontroversi kerana penggunaan perkataan “paria” sebanyak dua kali.

Antara perenggan yang menggunakan perkataan paria adalah apabila penulis menceritakan latar belakang Maniam yang berasal dari Tircur, Kerala ke Tanah Melayu sebelum negara ini mencapai kemerdekaan. Kata penulis: “Di dalam kapal dia tidak susah. Sebahagian besar daripada penumpang dek yang bersama-samanya itu dapat bercakap dalam satu bahasa sahaja, bahasa Tamil…Satu perkara besar yang membuat mereka senang bergaul adalah mereka tergolong dalam satu kasta paria.”

Jika Shit disarankan supaya diharamkan pengedarannya, kaum India termasuk MIC mahu supaya Interlok ditarik balik dan tidak digunakan sebagai teks. Jika Shit meledak di pasaran gara-gara kontroversi sehingga terjual sehingga lebih 300,000 naskhah, tidak termasuk cetak rompak, Interlok tidak menerima nasib yang sama. Saya percaya jika kontroversi sedemikian berlaku di Indonesia atau di Barat, sudah pasti, Interlok telah menggelegak di pasaran dan berada di papan atas buku terlaris.

Tetapi, pihak DBP kelihatan tidak berminat memanfaatkan kontroversi berkenaan untuk mencetak dan mengedarkan seluas-luasnya novel itu supaya orang ramai dapat membaca dan memahami kewajaran hujah kedua-dua pihak. Ketika ke Kuala Lumpur minggu lalu, sukar sekali mencari buku itu di pasaran.

Ada apa dengan paria? Paria mengikut Kamus Dewan bermaksud orang atau golongan yang paling rendah dalam kasta India. Dalam sistem kasta, sebenarnya terdapat lima kelas, iaitu Brahmin, Ksatria, Vaisya, Sudra dan Pariah. Jika kaum Brahmin berkulit putih, golongan paria pula berkulit hitam dan bekerja sebagai buruh kasar. Sebagai kelas terendah, golongan paria merupakan golongan yang tidak boleh disentuh atau “untouchables”.

Adakah kaum India di negara ini mahu menafikan kewujudan sistem kasta? Sistem kasta sebenarnya turut diperincikan dalam banyak karya seperti Nectar in a Sieve karya Kamala Markandaya yang diterjemahkan menjadi Madu Dalam Saringan oleh DBP. Juga, dalam Sweet Vendor oleh RL Narayan, Untouchable karya Mulk Raj Anand, dan Kanthapura nukilan Raja Rao.

Kewujudan perkataan tersebut tidak disenangi oleh kaum India, kerana dianggap menghina mereka. Mereka begitu marah, sampai ada yang bertindak biadab dan tidak bertamadun dengan membakar novel terbabit. Sedangkan jika dibaca dengan teliti, penulis sama sekali tidak membuat komen atau cuba menghina kaum India seperti didakwa pemimpin, NGO dan masyarakat India. Adakah kita sudah terlalu sensitif atau sudah hilang sifat toleran? Atau sebenarnya kita sudah hilang kewarasan dan pertimbangan?

Bayangkan jika tuntutan seperti ini dilayan, apakah yang akan berlaku selepas ini? Kerajaan perlu sedar bahawa ini hanya permulaan. Hanya kerana perkara kecil, masyarakat India akan mencari alasan untuk membuat tuntutan dan tekanan. Kini pun mereka sudah memberi tekanan kepada kerajaan, malah Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (PRIMA) sudah bertindak kurang ajar dan keterlaluan apabila menyifatkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran sebagai “penipu, pendusta, dan pengkhianat”.

Interlok menjadi mangsa manipulasi pemimpin politik dan pihak tertentu kerana agenda tersembunyi. Berapa orangkah yang telah habis membaca dan benar-benar memahami tema, persoalan dan mesej dalam buku itu? Interlok bukan sahaja memaparkan realiti zaman atau semangat zaman, tetapi juga diadunkan dengan teknik penceritaan yang menarik. Interlok perlu dibaca dengan kepala dingin dan bukan dikupas dengan hati panas.

Sesungguhnya, Interlok mendukung mesej 1 Malaysia apabila tiga kaum – Melayu, Cina dan India bersatu hati dan bekerjasama, sanggup berkorban demi keharmonian dan keamanan, memperlihatkan semangat perpaduan, selain memaparkan realiti sejarah awal negara ini. Kita tidak harus mentafsir Interlok dari kaca mata perkauman; sebaliknya membacanya dalam konteks zaman dan mesej sebenar yang cuba disampaikan.

*Penulis ialah pengkritik sastera yang sering memenangi hadiah kritikan
** Sumber: Sarawak Update di facebook (Terima kasih buat sahabat di Kuching atas kesudian berkongsi. Sampaikan salam buat Dr. Jeniri Amir)

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top