ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Dirgahayu Kampung Tradisional Warisan Melayu Kampung Baru


Dirgahayu kampung tradisional warisan Melayu - KG BARU, Kuala Lumpur yang telah berusia 111 tahun pada 6 Januari 2011. Mengapa sibuk nak ganti Kg Baru dgn bangunan konkrit sedangkan boleh dijadikan produk pelancongan warisan seperti Kg Morten di Melaka? (persoalan yang dilempar oleh sahabatku, Arif Atan)
Oleh: Kulimambang Damit
Indah seni rupa Melayu,
Namun kini tiada begitu;
Semakin hari semakin layu,
Apa bangsamu juga begitu?
Ada baiknya kita (kerajaan Malaysia) wartakan Kampung Baru sebagai Kampung Warisan sebagaimana Kampung Morten di Melaka yang mendapat jolokan daripada para pelancong yang berkunjung ke Melaka sebagai 'Muzium Hidup'. Mari meraba fakta yang seterusnya seperti berikut:
"Kampung Morten merupakan satu-satunya kampung Melayu di bandar bersejarah ini yang masih memiliki identiti tersendiri walaupun melewati beberapa zaman seperti reka bentuk rumah, cara menghias rumah dan landskapnya.

Rumah tradisional Melaka dibina dengan reka bentuk warisan masyarakat Melayu berciri bumbung atap yang panjang dan tangga batu bersalut jubin.

Tangga batu merupakan ciri-ciri utama di samping ukiran kayu di bahagian serambi yang unik. Halaman rumah tradisional ini biasanya dihias dengan pelbagai jenis pokok bunga.

Ini menjadikan Kampung Morten begitu istimewa dan berupaya menarik pelancong dalam dan luar negara.

Pengunjung akan berpeluang melihat kesemua deretan rumah tradisional yang tersusun dari segi bentuk bumbung, tangga dan hiasan dalaman. Ia seolah-olah membawa pengunjung kembali kepada zaman kerajaan Melayu Melaka.

Kampung Morten mendapat perhatian penuh kerajaan Melaka dan diwartakan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya pada tahun 1988 sebagai kawasan perkampungan tradisional Melayu dan pusat tarikan pelancong.

Kini perkampungan ini dikelilingi bangunan moden dan aliran air sungai Melaka yang semakin bersih dengan kedua-dua tebing sungai diperindah oleh kerajaan negeri.

Mereka yang menaiki Melaka River Cruise, perkhidmatan bot untuk menyusuri kira-kira empat kilometer sungai berkenaan, tentunya terpegun melihat rumah tradisional Melayu yang terdapat di kampung ini."
Dari satu sudut, kita dapat lihat persamaan di antara kedua kampung ini. Kampung Morten berada di tengah-tengah kepesatan Bandar Melaka, dan Kampung Baru juga memiliki ciri yang sama, dan tak salah jika kita labelkan bahawa Kampung Baru seharusnya lebih ke hadapan kerana ia berada di tengah Bandar Raya Metropolitan. Persoalannya, apakah kita sengaja mahu memadamkan khazanah warisan bangsa dengan memberikan laluan tanpa sebarang tentangan. Perlu diingat bahawa tidak semua projek-projek Mega yang bakal dibina di atas tanah itu mampu mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda kepada pemerintah. Jika dilihat dari segi untung dan rugi, apalah sangat nilainya dibanding dengan kehilangan 'BUDI' pada jati diri bangsa itu sendiri?

Apakah kerajaan tidak mahu mencontohi Kampung Morten yang dibangunkan oleh Pesuruhjaya Tanah Inggeris Frederick Joseph Morten, dan kemudiannya nama 'Morten' itu diambil bersempena dengan nama beliau, sementara pengasasnya pula dikatakan Allahyarham Othman Mohd Noh. Kadang rasa hairan menyelubungi diri sendiri, bagaimana Kampung Morten masih boleh dipertahankan kerana hanya terdapat 85 buah rumah, termasuk 52 rumah tradisona di atas tapak tanah itul? Jumlah yang sekecil ini selalunya akan cuba dikuasai oleh para cukong untuk membangun projek mega-mega. Tetapi mengapa tidak berlaku di kampung ini? Pasti saudara sebangsa setanah air dapat membayangkan sesuatu di sebalik ceritera yang timbul di kawasan Kampung Baru ketika ini.

Kembalilah mempertahankan hak, waima ianya bukanlah mutlak untuk kita pusakai di dunia kerana kita akan pergi ke pangkuan Tuhan Yang Maha Esa. Dan sebelum kita pergi kenalah kita menaburkan bakti, agar anak bangsa terkemudian tidak menjadi abdi di bumi sendiri.

Ayuh, bangunlah sekalian bangsaku!

** NOTA: Apakah yang bakal terjadi seandainya hak peribumi tidak dihirau, tidak dipeduli? Apakah akan terjadi sebagaimana bait sajak [Tanah Sekangkang Di Kota Batu]yang pernah aku nukilkan pada tahun lepas yang berbunyi begini,
Tanah sekangkang
    di celah kota batu itu
        Mengundang seribu makna
            Jauh-jauh mata memandang
        Sejarah tersirat tak tersingkap
    Rahsia bersama bukti mahu dikuburkan
Bersemadilah luka bangsa sendirian
    Di sini; Sambil mata menatap langit
        cuba melakar mimpi suram yang tak pasti
            Sayup-sayup kedengaran jeritan
        datang dari celah kota batu
    berangkat ke tengah
lalu dimusnahkan
dek mereka yang mencintai
Kemajuan; sehingga geran di tangan
... sanggup digadaikan!
Tidak semua perkara yang kita rasakan baik kita untuk laksana bisa dilaksanakan mengikut perancangan yang diaturkan oleh pihak kerajaan. Betul atau tidak? Sama-samalah kita melemparkan buah fikiran kita yang lama tak digua pakai. Sekian,

Wassalam...

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top