ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Buat Anak Bangsa Di Hujung Masa

Kepada kalian aku bertanya
Apakah kata-kata pendita ini bernyawa
meluru masuk ke ruang hati kita yang sempit lorongnya
sehingga membuat segala pancaindera kita hampir hilang fungsinya

"Adapun hal ini dahulu telah ada disebut peri kalah dan kecewa
yang terjadi pada orang-orang dan bangsa yang tidak bergantung
kepada diri mereka sendiri, atau tiada percaya akan kebolehan dirinya sendiri.
Mereka sentiasa berkehendakkan pertolongan orang dan selalu tertadah-tadah
mengharapkan kiranya ada orang-orang besar mahu menolongnya:
sekiranya kerajaan atau orang besar-besar mahi menolong. terlebih baik!"

Aku semakin tertarik untuk menjamah hujah pendita ini,
seolah aku sedang berbicara dengannya kendati pun aku tahu
bahawa dia sudah lama tiada; tiada pernah kutemui dirinya...

"Misalnya (pada perkara dunia) jika hendak memasukkan anak ke sekolah,
rendah atau tinggi, maka sentiasalah mereka hendak mendapat 'free' (percuma tanpa bayaran),
atau mereka terharap-harap mendapat pertolongan kerajaan
akan memberi 'Scholarship' (biasiswa) kepada anak itu. Jika tiada 'Biasiswa'
tiadalah upaya mereka membelanjainya, kerana mereka miskin
dan sentiasa mengaku miskin dan mengaku tiada tahu berusaha
dan tiada pandai berikhtiar mencari wang sendiri atau berjimat-jimat
mengumpulkannya untuk membelanjai sendiri anak-anak itu ke sekolah."

Dalam kesamaran, aku mula meraba-raba kulit kepalaku yang tak gatal
Entah apa yang harus aku jawab untuk menepis hujah beliau yang tak dangkal
Dan segala berakhir dengan ulasan-ulasan yang terbit dari insan berakal
kata beliau,

"Padahal orang-orang bangsa lain walaupun mereka sendiri tiada pelajaran tetapi sehabis dayanya berkebun sayur, berjual kayu api, berjual air batu, mengkayuh basikal kereta (Trishaw), berjimat belanja, berceking makan minum, dapat mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah dengan belanja mereka sendiri dan membayar tiap-tiap perkaranya. Kerana walau di sekolah bangsa mereka sendiri pun, mereka tidak mendapat 'Peri' semuanya seperti kita dengan anak-anak kita di sekolah Melayu. Maka yang demikian ialah terutamanya oleh sebab mereka kuat bergantung kepada usaha dan ikhtiar mereka sendiri dan percaya kepada kebolehan dan keledar diri mereka sendiri, serta malu meminta tolong."

Namun bangsaku mampu berbuat apa?
Hanya mampu melopong dengan mulut ternganga
Teringin hati mencari segala beza antara kita dan mereka
mencari kesamaan dalam kejar mengejar untung dan juga rugi
Akhirnya aku pula terpunduk membatu sambil bertanya kepada diri
apakah yang bakal terjadi pada anak bangsaku suatu hari nanti...


** Hadiahkanlah surah al-Fatihah teristimewa buat Allahyarham Zainal Abidin bin Ahmad (Pendita Za'ba), tulisan beliau wajar diangkat dan seharusnya menjadi bahan bacaan anak-anak bangsa dewasa ini. Dan tak lupa juga, aku hadiahkan al-fatihah buat diriku sendiri. Sekian...

Wassalam


Dinukil-olah oleh: Ampuan Awang

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top