ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Tercicirnya seorang penyair sufi

Oleh DR.TALIB SAMAT
(dr.talibsamat@yahoo.com)

Seminar Antarabangsa Pemikiran Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali PK 2010 anjuran bersama Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Persatuan Karyawan Perak dengan kerjasama Persatuan Penulis Budiman (Budiman) pada 5 dan 6 Mac lalu di UPSI, Tanjong Malim, Perak berlangsung dengan jayanya.

Seminar hari pertama pada 5 Mac menampilkan sebelas kertas kerja tentang ketokohan Suhaimi Haji Muhammad sebagai penyair. Salah sebuah kertas kerja yang saya dikira cukup penting dalam menelusuri perjalanan sufi Suhaimi bertajuk Perjalanan Sufi Suhaimi Dalam Simfoni Perjalanan. Kertas kerja ini ditulis oleh Datuk Jaafar Abdul Rahim, mantan pegawai perancang bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang kini bersara tetapi aktif dengan kegiatan sastera.

Beliau membicarakan sebuah kumpulan puisi Suhaimi Haji Muhammad, Simfoni Perjalanan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Lumpur tahun 1999. Dalam kertas kerja itu beliau membicarakan tazkiyah al-nafs yang menunjang proses kreatif penghasilan puisi dalam kumpulan tersebut. Selain itu beliau menyusuri alam kepenyairan Suhaimi menerusi bahasa dan simbol yang menyentuh persoalan dan mesej kumpulan puisi tersebut.

Menurut Jaafar, "proses tazkiyah al-nafs atau penyucian diri (jiwa) memang dilakukan oleh seseorang ahli sufi dalam melakukan ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Proses ini sebenarnya dikaji dalam bidang kejiwaan sufi."

Menurutnya, proses penyucian diri ini bermula daripada al-nafs (nafsu) manusia yang paling bawah iaitu daripada al-nafs al-ammarah, membawa kepada al-nafs al-lawwammah, al-nafs al-mutma'innah, al-nafs al-mulhalmah,al-nafs al-raddiyyah dan al-nafs al-mardhiyyah. Tingkat jiwa yang terakhir dan tertinggi ialah al-nafs al-kamiliyyah."

Ahli-ahli sufi menjalani proses tazkiyah al-nafs ini demi mendekatkan diri kepada Allah. Demikian juga penyair sufi dan dalam konteks ini tidak terkecuali Suhaimi.

Suhaimi mendapatkan ilham berkarya daripada usahanya memanfaatkan alam metafizik. Malah menurut Suhaimi dalam kata pengantar kumpulan puisi, "Pengalaman berada di alam sunyi ini sinonim dengan apa yang disebut pengalaman dari alam metafizik, sinonim juga dengan apa yang dipanggil pengalaman dari alam mistik, pengalaman dari alam kerohanian, pengalaman dari alam semadi."

pengalaman

Jaafar menegaskan, "Sama seperti ahli sufi yang lain, Suhaimi menggunakan kaedah mendekatkan diri dengan Allah. Kaedahnya ialah khalwat, uzlah, suluk, tafakur, zikir, zuhud, fakir dan lain-lain lagi.

Menurut Jaafar, Suhaimi manfaatkan pengalaman sufi untuk menyair melalui mata batin. Ada bezanya mata batin daripada mata fizikal, mata telanjang atau mata terbeliak (yakni yang melihat dunia inderawi). Mata batin, melalui pengalaman sufi yakni pengalaman melakukan tazkiyah al-nafs melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat dalam dunia inderawi.

Suhaimi yang sudah menghasilkan 32 buah kumpulan puisi persendirian memiliki bahasa dan simbol kepenyairan sufi. Jaafar merumuskan, "Bahasa yang penyair sufi gunakan termasuk Suhaimi disebut sebagai bahasa yang anagogik iaitu mengungkapkan makna kerohanian, makna batin yang esoterik. Bahasa ini, kendatipun menggunakan kata yang bersifat material tetapi mempunyai makna kerohanian.

Suhaimi menampilkan 117 buah puisi dalam Simfoni Perjalanan. Dalam kertas kerja itu Jaafar berkesempatan mentafsirkan beberapa puisi tokoh ini seperti Dari Cetera Abu Nawas, Mencipta Laut Sunyi, Mari Kau Renungkan Sendiri dan Biarkan Burung Hantu Berbunyi menurut kaca mata sendiri.

Pada akhir kertas kerja, Jaafar menyimpulkan sesuatu untuk direnung iaitu, perjalanan sufi Suhaimi serupa dengan perjalanan penyair besar sufi sebelumnya seperti Maulana Jalaluddin al-Rumi , Yassin al-Bustami, Mansor Al-Halaj, Al-Junaid, Ibrahim Adham, Jami, Amir Hamzah, Rabiatul Adawiyah dan ramai lagi. Puisi-puisi mereka, kendatipun mengambil citra-citra peribadi, malah terlalu peribadi namun menuju pada matlamat yang sama; mendekati Allah dan mengabdikan diri kepada Allah.

Simfoni Perjalanan adalah sumbangan batin melalui kreativiti kerohanian yang cukup tinggi. Sumbangannya kepada pengabdian kepada Allah dilakukan dengan penuh tanggungjawab hablumminannas dan hablumminallah.

produktif

Dengan ini kita boleh menganggap Simfoni Perjalanan merupakan karya sufi terbesar yang diilham oleh seorang penyair sufi terbesar bernama Suhaimi Haji Muhammad. Jelaslah Suhaimi berada setaraf dengan penyair sufi besar yang mendahului kita.

Sumbangan produktif Suhaimi sepatutnya sudah lama diiktiraf sebagai Sasterawan Negara. Bagaimanapun disebabkan politiking dunia sastera nama ini sering tercicir meskipun sudah berusia 78 tahun.

Mungkin sudah sampai masanya sarjana atau peneliti sastera bersikap adil, telus, jujur dan amanah sebagai Panel Anugerah Sastera Negara.


** Sumber: ARKIB UTUSAN 14/03/2010
Arkib berkaitan: UTUSAN MALAYSIA 21/02/2010

P/S: Buat Bapak Suhaimi Haji Muhammad, karya-karyamu itu benar-benar makan dalam. Tak sangka masih ada orang yang mampu menentang arus dalam dirinya sendiri di Malaysia. Tahniah, bapak. Sememangnya bapak layak untuk mendapat gelaran SN yang menjadi idaman para karyawan sastera di mana-mana di seluruh dunia.

Ulang Siar oleh: Ampuan Awang

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top