ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Kampung Kabu Tidak Pernah Ada Jalan Raya!

Ulang Siar: ARTIKEL KOSMO 16/03/2010
Lokasi Tumpuan: Kampung Kabu, Sempadan Pensiangan - Kalimantan Timur.
Bilangan Rumah: 11 buah sahaja
Jumlah Penduduk: 130 penduduk (Undi barangkali)
Lawatan YB: Pernah dilawati Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi (namun ketempat ini entah pergi atau tidak), YB yang turut disebutkan pada artikel di bawah. YB yang terbaru atau yang lain-lain tidak pula diketahui ke mana mereka pergi. Mungkin pergi bersembunyi di celah-celah batu (agaknyalah).
Sumber Foto: Ketika membuat pemantauan dari ruang udara menggunakan helikopter (kira eksklusiflah ini).
Harga Barangan Catuan Kering: harga sekilogram garam yang dijual di sempadan Kalimantan Timur dikatakan bernilai RM15! (wah, mahal gila!). Manakala barangan yang lain, kenalah tanya sendiri penduduk di sana.
Kemudahan: Solar dan satelit (itupun sekiranya anak-anak yang kembali ke kampung, barulah ada tangan yang tahu serba sedikit mengguna perkakasan tersebut. sementara yang lain mungkin bertanggungjawab menjaganya sahaja. barangkali juga JKKK di sini bijak meggunakan kemudahan satelit yang diberikan. mudah-mudahan.)
Jalan Raya: tidak pernah wujud sebatang jalan pun di sini walaupun negara sudah lama merdeka. Rakyat terutamanya anak-anak terpaksa berjalan kaki sehari perjalanan untuk sampai ke sekolah rendah berasrama penuh Saliliran. Eh, berasarama penuh! Pertama kali didengar. Sementara perjalanan ke pekan terdekat (Tenom) mengambil masa 5 hari perjalanan (guna kaki! ikut laluan hutan! Ngaum...).


"TAK kenal maka tak cinta." Itulah ungkapan yang sering bermain dalam fikiran Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang selama ini hanya mendengar keluhan rakyat Sabah dari jauh terutama yang berkaitan masalah sekolah di kawasan luar bandar di negeri itu.

Berbekalkan keazaman untuk membela nasib warga pendidik dan pelajar sekolah di luar bandar, rombongan Kementerian Pelajaran baru-baru ini melakukan satu perjalanan yang jarang sekali dilakukan oleh orang Kuala Lumpur.

Mohd. Puad dan rombongannya sanggup berjalan kaki menyusuri sungai, bukit-bukau dan meredah hutan belantara sejauh 12 kilometer (km) dari Kampung Kuala Sinapar, ke Sekolah Kebangsaan (SK) Saliliran, Pensiangan yang terletak berhampiran dengan sempadan wilayah Kalimatan Timur, Indonesia.


Sebaik tiba di SK Saliliran, rombongan Mohd. Puad menyelami cara hidup dan pelbagai masalah yang dihadapi oleh penduduk terutama berkaitan pendidikan dan keciciran pelajar.

"Selama ini saya hanya dengar keluhan rakyat di sini melalui wakil rakyat mereka dan hari ini saya lihat rungutan mereka ternyata berasas.

"Saya amat bertuah berada di sini. Walaupun baru sampai saya dapat merasakan apa yang orang kampung harapkan selama ini, kita perlu tolong mereka," katanya kepada pemberita yang mengikuti beliau ke kawasan terpencil itu.

Program turun padang memberi harapan baru kepada penduduk luar bandar khususnya di daerah Nabawan. Daerah kecil Pegalungan dan perkampungan sekitar Pensiangan terletak di bawah jagaan Pejabat Daerah Nabawan.

Selama ini hanya mereka yang tahan dan bersemangat mampu meneruskan pendidikan sehingga ke sekolah menengah di Nabawan atau di Keningau iaitu dua bahagian pedalaman di Sabah.

Sempena lawatan kerja selama tiga hari itu, Mohd. Puad mengumumkan pembinaan lebih banyak asrama di kawasan luar bandar dan sebuah sekolah menengah rendah di pekan Pensiangan, sebuah kawasan strategik yang pernah menjadi pusat pentadbiran bagi daerah Pensiangan Nabawan satu ketika dahulu.


"Pembinaan asrama ini amat penting bagi mengatasi masalah murid yang terpaksa berjalan kaki meredah hutan ke sekolah. Terutamanya pelajar atau murid SK Saliliran yang terdiri daripada penduduk Kampung Saliliran, Kampung Lilimpi, Kampung Siubol, Kampung Holobon, Kampung Tampuluk dan Kampung Malalia.

"SK Saliliran adalah sekolah pilihan mereka kerana di sekitar kawasan itu tidak ada sekolah rendah dan kedudukan geografinya yang berbukit-bukau dan berjauhan antara satu dengan yang lain," kata beliau. Berdasarkan tinjauan, antara kekangan utama mengapa berlakunya keciciran ialah faktor kemiskinan serta jarak sekolah yang jauh dari kampung asal pelajar.

Sebenarnya, isu seumpama inilah yang cuba diatasi segera oleh Kementerian Pelajaran yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat termasuk di luar bandar, yang jelas menuntut pengorbanan besar termasuk mengadakan program turun padang seperti yang dilakukan di Nabawan.


Mohd. Puad berkata, sebagai contoh murid dari Kampung Kabu iaitu kampung yang bersempadan dengan Lumbis, Indonesia di Nabawan mengambil inisiatif menjadikan sebuah rumah guru sebagai asrama. Penduduk kampung secara bergilir-gilir setahun sekali akan menjaga penghuni asrama itu.

"Hanya apabila cuti sekolah, mereka akan pulang ke kampung dengan meredah hutan selama lapan jam dan berhadapan dengan pelbagai cabaran ketika dalam perjalanan termasuk ancaman binatang buas," katanya.
Kos pengangkutan

Mohd. Puad berkata, sebagai individu yang bertanggungjawab dalam soal pendidikan beliau akan memastikan masalah yang dihadapi murid dan warga pendidik di sekolah-sekolah terpencil diatasi.

Sementara itu, Antabu Enih yang merupakan Ketua Kampung Kabu menyambut baik cadangan kerajaan untuk membina sebuah sekolah menengah di kawasan itu.

"Dengan adanya sebuah sekolah menengah di kawasan ini sudah pasti lebih ramai pelajar dari mukim ini dapat meneruskan pelajaran di peringkat sekolah menengah.

"Untuk bersekolah di Nabawan, ia memerlukan perbelanjaan yang cukup besar termasuk kos pengangkutan yang tinggi. Sebab itulah ramai pelajar yang tercicir dan apabila ada sekolah menengah di Pensiangan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami," kata Antabu.

Antabu mempunyai dua orang anak bersekolah di Nabawan. Tidak lama lagi seorang lagi anaknya akan masuk ke alam persekolahan. Anak sulungnya kini bersekolah di Indonesia yang terletak di kawasan sempadan Pensiangan-Kalimatan Timur dan menumpang dengan saudara-mara.

Bagi Pengerusi JKKK Kampung Saliliran, Agim Sula, perhatian yang diberi oleh kerajaan untuk membangunkan rakyat melalui pendidikan dapat dilihat daripada kesungguhan yang ditunjukkan oleh Mohd. Puad yang sanggup berjalan kaki untuk melihat sendiri keperluan penduduk di kawasan itu.



Selain SK Saliliran, Mohd. Puad turut melawat SK Kuala Salong, SK Pensiangan, SK Loggongon, SK Tinanduk dan SK Sibanggali dalam lingkungan kawasan daerah kecil Pagalungan.

Turut menyertai rombongan itu ialah Pengarah Pelajaran Sabah, Dr. Muhiddin Yusin, Ketua UMNO Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Datuk Yassin dan Pegawai Pelajaran Daerah Nabawan, Osman Aganduk. - Bernama

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top