ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Apabila Obama Berbahasa Indonesia (repost)

Oleh: Nazmi Yaakub

Pengguna Twitter di Indonesia agak sedikit kecoh dengan ucapan spontan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama dalam bahasa Indonesia - mereka membanding-bandingkan dengan pelakon Indonesia, Cinta Laura yang dikhabarkan bercakap Indonesia dengan slang Inggeris.

Saya tidak ingin memanjang-manjangkan perbandingan itu, tetapi mahu menyorot sepintas lalu tentang rasa keghairahan sesuatu bangsa apabila ada manusia dari bangsa lain terutama apabila lebih superior pada pandangan dunia (baca: pascakolonial) dapat berbicara walaupun sepatah dua dalam bahasa mereka dengan fasih.

Kekaguman itu mungkin didorong oleh rasa teruja apabila tokoh atau pelancong masih mengingati bahasa yang pernah diketahuinya atau cuba belajar sepatah dua perkataan daripada bahasa yang baru diakrabinya.

Hal ini kita boleh rasai sendiri contohnya apabila ada susuk korporat mat salleh yang membaca teks ucapan dalam bahasa Melayu atau ada kenalan atau ahli akademik dari sebelah Asia Timur yang boleh berbicara dengan fasih dalam bahasa Melayu serta adakalanya dalam loghat sesuatu negeri.

Barangkali ia adalah rasa kebersamaan atau keakraban yang tercetus apabila manusia daripada bangsa lain boleh berbicara dalam bahasa ibunda kita atau mungkin juga ia didorong oleh sifat yang ada pada bangsa yang berasa diri mereka rendah apabila tidak menyangka bahasa ibunda mereka dapat dituturkan oleh bangsa lain.

Namun, wajar juga untuk kita persoalkan, apakah kita layak untuk berasa berbangga atau kebersamaan apabila ada bangsa lain yang dapat berbahasa ibunda kita seperti masyarakat Indonesia (sekurang-kurangnya sebahagian pengguna Twitter mereka) rasa teruja apabila sosok penting kuasa besar dunia boleh berbahasa Indonesia?

Ini kerana manusia asing yang datang ke Indonesia untuk satu tempoh yang agak lama, tidak dapat tidak, perlu belajar bahasa Indonesia untuk membolehkan mereka melalui kehidupan harian di negara itu. Malah, semua rakyat Indonesia wajib fasih berbahasa Indonesia meskipun keluasan negara itu berlipat-lipat kali ganda berbanding Malaysia.

Hal yang sama sangat jauh berbeza dengan Malaysia. Pelancong asing atau ekspatriat asing atau bahkan pelajar asing yang datang ke negara ini tidak perlu untuk belajar bahasa Melayu kerana bahasa Inggeris saja sudah cukup untuk mereka tidak mati kebuluran atau mati kesunyian dek penggunaan bahasa Inggeris yang sangat meluas. Bukan saja mereka tidak perlu berbahasa Melayu, bahkan sebahagian rakyat Malaysia sendiri baik pengguna asal bahasa ibunda atau rakyat yang berteriak-teriak mahukan persamaan hak dalam semua segi (tetapi anehnya tidak dalam soal bahasa), pun tidak dapat menguasai bahasa Melayu.

Malah, lebih malang apabila ada sebahagian pemimpin yang agak lancang pula mencadangkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua di negara ini. Manusia jenis ini barangkali menyesal dilahirkan di negara ini atau sekurang-kurangnya tidak berbangga dengan bahasa kebangsaannya. Kebanggaan golongan ini terhadap bahasa bahasa kebangsaan barangkali lebih kecil daripada telur mereka, itupun dengan mengandaikan mereka ada telur.

Ya, kebanggaan sebahagian orang Indonesia terhadap kespontanan Obama bertanya khabar dalam bahasa Indonesia mungkin disebabkan banyak faktor tetapi sekurang-kurangnya mereka layak untuk berbangga kerana bahasa Indonesia sudah melata dan meluas penggunaannya, sedangkan bangsa kita kalau berbangga dengan rakyat asing, hanyalah kerana bangsa asing itu sendiri yang bersungguh-sungguh untuk belajar bahasa Melayu.

Bukannya kerana kita yang berusaha memperluas dan memartabatkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan kita.

Barangkali, kita harus melihat telur kita, kalau-kalau telur itu juga hilang sebagaimana hilangnya kebanggaan terhadap bahasa kebangsaan itu.





** Kredit buat sdr Nazmi Yaakub (klik pada nama). Entri ini menarik! Wah!

P/S: Status Nazmi pada dinding facebooknya di awal pagi menarik hati aku,

Apabila Obama bertanya khabar dalam bahasa Indonesia, ada pula pemimpin di Malaysia yang mahu mencadangkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua. Ini manusia lapis paling bawah dalam senarai pencacai kolonial.

Memang ayat yang menarik. Aku suka mendengarnya. Tahniah, Nazmi.

Ulang siar oleh: Ampuan Awang

1 comments :

yuza said...

benar adanya yang sahabat katakan,
kita patut bangga dengan bahasa asli turun temurun yang di lahirkan oleh nenek muyang sendiri.ada utama ada cadangan jelas lebih bagus untuk mengedepankn yang utama.
itulah yang dinamakan CIRI KHAS
salam

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top