ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Sejarah Melayu: Kegemilangan Melayu Melaka

Oleh: Djazlam Zainal

Melayu mempunyai titik perjalanan yang paling panjang. Dalam sejarah Cina ( 664 M ) telah disebut kerajaan Mo-lo-yue ( juga disebut Mo-lau-yu, Wulai-yu, Ma-lai-ren, Ma-la-yu, Ma-li-yi-er dan Wu-ren ) yang berada di sekitar Selat Melaka. Ada yang menyatakan kerajaan itu adalah kerajaan Jambi. Menurut I-Tsing, kerajaan Melayu ketika itu adalah kerajaan merdeka, namun setelah beliau kembali dari Nalanda ( India ) pada tahun 685 M, kerajaan tersebut telah ditakluki kerajaan Sriwijaya. Sriwijaya adalah sebuah kuasa besar ( lih. Djazlam Zainal : Melayu Sumatera Selatan ) berbanding Kalingga, Kediri, Singasari, Majapahit yang bersifat wilayah. Dari wilayah inilah asal usul Melayu yang ketika itu bersifat kejawaan ( sebelum Islam ) derngan pengaruh Hindu-Buddha. Selepas Islam bertapak, Melayu berpusat di Melaka, Pasai, Aceh, Giri, Demak, Bentan dan Perlak menjadi faktor penyatuan dari segi rohani dan ukhwah. Bahasa dan tulisan Sanskrit bertukar bahasa dan tulisan Melayu-Arab ( jawi ) sebagai asasnya.

Wilayah Melayu menjadi gemilang setelah Islam sebagai sumber rohani. Di Melaka, setelah Parameswara memeluk Islam dan bergelar Sultan Muhamad Shah, Melaka memuncak perkembangannya menggantikan Pasai yang terlebih dahulu sebagai wilayah Islam tetapi malap setelah diserang Majapahit pada tahun 1365. ( * ada pendapat lain mengatakan Raja Melaka yang pertama memeluk Islam ialah Raja Kecil Besar dan nama Islamnya Sultan Muhamad yang diIslamkan oleh Syed Abdul Aziz dari Jedah pada tahun 1414 M. Sedangkan Parameswara dinyatakan nama Islamnya Iskandar Shah sejak dari Temasik lagi, sedangkan baginda belum Islam lagi. Wualahu Alam. ) Motif pengislaman Parameswara selain kepercayaan dan kebenaran agama tersebut, juga dipengaruhi unsur politik, kuasa, perdagangan dan pembangunan agama Islam itu sendiri. Dengan Islamnya baginda, hal ini tentu akan menarik lebih banyak saudagar Islam ke Melaka sekaligus Melaka akan mendapat sokongan dari kerajaan Pasai dan lain-lain negeri Islam di Sumatera. Hal ini penting kerana sebagai sebuah perkampungan nelayan, Melaka dibentuk menjadi sebuah negara maratim yang bergantung hidup barangan makanan dari Pedir dan Pasai. Ini perlu hubungan antarabangsa yang lebih rapat antara lainnya ialah persaudaraan Islam.

Seterusnya dengan Islam juga perkawinan dapat dilangsungkan merentasi negeri Pahang, Siak, Kampar, Inderagiri dan Jambi. Perkawinan pada zaman itu seakan komuditi dan alat silaturahmi serta diplomasi antarabangsa yang paling berkesan, Malah negeri-negeri jauh dari lingkaran ini seperti Brunei dan Kalimantan dapat dirapatkan melalui perdagangan dan perkawinan. Mengenai Parameswara, baginda adalah anak raja dari Palembang yang melarikan diri ke Temasik setelah gagal dalam perebutan kuasa kerajaan Sumatera antara Virabumi dari Jawa Timur dengan Vikrama dari Majapahit. Di Temasik, Parameswara membunuh Tamagi yang menjadi wakil raja Siam dan menjadikan dirinya raja Temasik. Keluarga Tamagi yang mempunyai persaudaraan dengan raja Pahang dan Patani mahu Parameswara dibunuh. Parameswara bersembunyi di Selitar di utara Temasik lalu meloloskan diri ke Muar dan akhirnya berhenti di sebatang pohon. Pohon inilah pohon melaka yang menjadi titik tolak pembukaan Melaka. Dari sebuah penempatan nelayan, ia menjadi empayar Melayu dan emporium perdagangan yang masyhur. Ini ditambah dengan syiar Islam yang menjadi asas kanun undang-undang pemerintahan Melaka.

Sultan sebagai pemerintah lebih kepada doktrin kalifah yang memegang amanah berbanding institusi raja yang didewakan pada zaman Hindu-Buddha. Yang demikian, walau pun Melaka seringkali diserang oleh Siam, rakyat Melaka masih dapat mempertahankan Melayu. Melayu dari seluruh nusantara dengan paduan persefahaman Islam telah datang membantu Melaka. Dalam kegemilangan tersebutnya, maka wira-wira Melayu dilahirkan antaranya Bendahara Tun Perak, Laksamana Hang Tuah Lima Bersaudara, Megat Sri Rama dan lain-lain. Tetapi sifat keintelektualan Melayu, Sejarah Melayu telah dicipta sedemikian rupa. Berpandukan Islam sebagai agama yang melarang pemujaan tokoh, maka Hang Tuah dan Hang Jebat diletakkan dalam peraturan dan prinsip masing-masing. Jadi tidaklah diantara mereka berdua, Hang Tuah dan Hang Jebat dijadikan tokoh. Bagi pemuja faudalisme, Hang Tuahlah pahlawan tetapi bagi pencinta keadilan dan kebenaran, Hang Jebatlah pahlawan. Interpritasi hanya sesuai pada keadaan. Inilah minda Melayu. Sebagai intelektual, Tun Perak amat terserlah. Tun Perak berkhidmat kepada 4 sultan Melaka iaitu Sultan Muzaffar Shah ( 1446-1477 ) Sultan Mansur Shah ( 1459-1477 ) Sultan Alauddin Riayat Shah ( 1477-1488 ) dan Sultan Mahmud Shah ( 1488-1511 ) Sebagai pentadbir, Tun Perak menjadikan Melaka dari sebuah perkampungan nelayan kepada manca negara yang terbilang.

Susunan hirarki pemerintahan pun dilembagakan bermula dari Sultan, Bendahara, Shahbandar, Penghulu, Bendahari, Laksamana dan lain-lain. Mereka dikenal sebagai orang besar berempat, delapan, enam belas dan tiga puluh dua. Lihatlah cara gandaan bilangannya. Aturan pemerintahan digubal dengan Hukum Kanun Melaka iaitu Undang-Undang Temenggong ( undang-undang laut dan darat ) Undang-undang ini berteraskan Islam sebagai undang-undang bagi menjamin ketenteraman Melaka. Malah Sultan Alaudin Riayat Shah menyamai Saidina Umar al-Khatab yang meyamar pada waktu malam bagi melihat keadaan sebenar kecurian yang berlaku di Melaka ketika itu. Sebagai negara yang sentiasa terancam oleh Siam, Tun Perak mengambil inisiatif melindungi negeri-negeri Melayu di semenanjung serta beberapa bahagian Sumatera seperti Riau-Lingga, Pulau-Pulau Karimun, Bintang, Pasai, Siak, Kampar, Inderagiri, Jambi dan Bengkalis. Naungan ini menyerlahkan kehebatan Melaka menarik pedagang luar seperti Gujarat, Coromandel, Benggal, Burma, Mesir, Eden, Parsi, Turki, Cina, Sumatera di nusantara selain pedagang ialah hubungan silaturahmi bangsa Melayu dan agama Islam. Melaka telah setaraf tamadun Babylon, Mesir, Rome atau Greek.

Islam mengenallan Melayu kepada identitas Melayu lebih jelas. Melayu di zaman Hindu-Buddha lebih bersifat wilayah dan tenggelam dalam budaya terpencil. Dengan menerima Islam, Melayu telah dipereratkan melampaui batas geografi dan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca penyebaran agama Islam. Sebagai pemacu tamadun, Melaka menjadi negara ilmu di mana melalui institusi-institusi surau, balai, langgar, masjid serta pelbagai institusi lain menjadi tempat pengajaran ilmu oleh Maulana Yusuf dan Kadi Munawar. Puncak kepada fenomina mengajar ilmu ialah apabila istana menjadi pusat pembelajaran ( seperti universitas ) bagi kegiatan politik dan kebudayaan. Maulana Abu Bakar merupakan ulama sufi dari Mekah mengajar Sultan Mansur Shah pelbagai persoalan theosophic melalui kitab karangannya berjudul ad-Durr'l-Manzum ( Rangkaian Mutiara ) yang isinya topik-topik ilmu tasawuf dan teologi. Sultan Mahmud berguru dengan Maulana Yusuf dengan kitab ' Maklumat.' Profesor Syed Naguib al-Attas mendapati al-Insanu'l-Kamil karangan Abdul Karim al-Jili ( 1365-1406 ) mengenai filsafat, dipelajari di Melaka pada pemerintahan Sultan Mansur Shah ( 1459-1477 ) Ilmu-ilmu filsafat ini juga disebarkan ke negeri-negeri perlindungan Melaka seperti Pasai yang menjadikan Melayu sebagai pusat penyebaran ilmu. Sunan Bonang dan Sunan Giri pernah datang belajar ke Melaka dan merupakan Wali Yang Sembilan ( Wali Songo ) menyebarkan Islam di Jawa.

Satu negeri yang jauh di timur yang telah Islam ketika itu ialah Brunei. Brunei dikatakan lebih awal menerima Islam dari Melaka sekitar abad ke 13. Walau bagaimana pun Brunei tidak dapat menonjolkan keislamannya kerana tekanan dari raja Majapahit Hayam Wuruk. Pada tahun 1406, Brunei mengunjungi Melaka untuk turut menyaksikan pengislaman Parameswara sekaligus perkawinan Sultan Muhamad ( nama Pameswara setelah Islam ) dengan putri Raja Pasai. Hubungan erat Melaka-Brunei, Melaka telah menghadiahkan kepada Brunei wilayahnya di Kalimantan iaitu Sambas, Samarahan, Sarawak dan Mukah. Persoalan bagaimana Kalimantan berada di dalam kekuasaan Melaka barangkali kerana Kalimantan pernah dikuasai Sriwijaya dan Majapahit. Sri Tri Buana ( Sang Nila Utama ) kakek Parameswara yang berasal dari Palembang yang menguasai kerajaan Sriwijaya beranggapan Kalimantan menjadi warisan turun temurun. Barangkali begitulah Parameswara menafsir lantas menghadiahkan wilayah di Kalimantan itu kepada Brunei.

Begitulah kegemilangan Melaka dalam sejarah empayar Melayu. Sebagai emporium perdagangan, kebudayaan, penyebaran Islam dan bahasa terbesar di Asia Tenggara, Melaka mengangkat bahasa Melayu sebagai lingua franca yang diucap oleh pedagang dari timur dan barat. Bahasa Melayu telah mendunia sejak beradab yang lalu dan hanya sekarang kehilangan pamor di tangan penguasa yang buta sejarah. Wualahu Alam...

** Kredit diberikan kepada tuan empunya tulisan iaitu Pak Djazlam Zainal, nota di atas ibarat pembuka mata yang hampir redup, kuyu dan layu buat bangsa Melayu. Perjalanan seorang pejuang takkan pernah mulus, ada saja pahit yang bakal kita temukan di jalanan. Bangsa Melayu itu bukan lahir dari baka yang gagal, dan itulah yang aku pegang hingga ke hari ini, waima diri masih berada di indicator yang rendah parasnya, namun aku tetap akan terus mencari. Kerana apa? Kerana diri sendirilah yang melalui liku-liku jalan kehidupan; hari ini, esok, lusa bukan milik kita, ia milik Allah SWT jua!

Diulang kembali ke laman ini secara eksklusif oleh: Ampuan Awang

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top