ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Neraka: Digazet istimewa buat mereka yang lupa akan kalam Tuhan-Nya

Tidak ada manusia yang dilahirkan dalam keadaan waras otaknya ke dunia, mahukan neraka menjadi rumah kediaman selepas dia kembali menjadi mayat. Andai sekiranya ada manusia yang mempunyai kemahuan, berkehendakkan neraka yang Allah ciptakan, ternyata terdapat sedikit masalah atau mungkin kerosakan pada akal pemikirannya. Kenapa? Kerana tidak ada seorangpun yang bernama manusia mahu berada di sana atas sebab yang mereka tahu bahawa neraka itu sudah digazetkan oleh Allah teristimewa buat orang yang bersalah.

Maka dengan mudahnya terlahirlah suatu kenyataan yang barangkali sedikit mengucar-ngacirkan hati kita yang serba dhaif ini. Apakah dia? Mengapa masih ada keinginan, berdoa kepada Tuhan, saban hari doa asyik benar dipanjatkan (memohon syurga; dijauhkan dari neraka), tapi pelakuan seperti tidak mahu berada di sana (syurga)? Setiap hari melakar mimpi melalui doa-doa, dengan harapan hajat badan terkabul, sedang hak Allah dikorbankan tanpa ada perasaan takut dengan neraka yang dicptakan-Nya. Kita lihat sahaja keadaan persekitaran sekarang ini penuh dengan bunga-bunga penipuan yang tumbuh tanpa batas, tumbuh tanpa penguatkuasaan. Meskipun sebenarnya penguatkuasaan itu wujud, namun keberanian yang dimiliki manusia, ia akan tetap memilih haluan kiri. Kerana apa? Kerana bagi mereka, segala benda yang diciptakan Tuhan di bumi ini perlu diselesaikan sepenuhnya, perlu disedut segala kemanisan yang berkait padanya (alasan ini seringkali kita temukan di mana-mana dewasa ini.).

Pertanyaan yang penting buat sekalian mata yang membaca tulisan ini. Sudah berapa kali al-Quran usang yang kita simpan di atas almari itu kita khatamkan pembacaannya? Apakah benar kita sudah lancar, lurus hukum tajwidnya? Hairan sekali, terdapat segelintir manusia yang sengaja memulaukan kalam Tuhan yang diturunkan buat mereka. Malah ada yang berasa panas, mahu melarikan diri daripadanya. Panas? Dari mana datangnya rasa panas? Bukankah kalam Tuhan itu penyejuk batin yang kucar-kacir? Pertanyaan semacam inilah yang perlu kita kerap ajukan kepada diri sendiri setiap hari, sehinggalah kita dijemput kembali menemui Allah Yang Maha Suci. Apalah gunanya berdoa setengah mati, andai kalam Allah diminggirkan ke tepi? Siapalah agaknya yang mahu menjadi saksi terakhir di hari perhitungan, kala Allah menjatuh hukum di padang Mahsyar nanti, sekiranya kita memulaukan al-Quran dari dibaca dan difahami? Bacalah. Tunaikanlah hak kalam Allah. Biarlah sedikit, Insya-Allah akan diberikan apa yang layak buat kita. Bukankah orang kita selalu sangat berkata:

"Sikit-sikit; lama-lama menjadi bukit!"

Nah, apalagi? Mari mengaji! Dekatilah kalam Allah sedekat-dekatnya, selama mana kita masih bisa menghembus nafas di alam dunia. Gunakanlah kelebihan yang ada padanya tanpa syak wasangka kepada Allah SWT.

(PERHATIAN: ini bukan ceramah para ustaz. Mohon jangan mudah membuat tafsiran yang salah. Ingat tuan-tuan, setiap manusia akan mendapat kebaikan dari perbuatan baiknya, dan dia akan dinilai oleh Allah, sementara mereka yang sering berbuat dosa pun menerima pertimbangan yang sama. Perlu diingatkan bahawa neraka itu bukan sahaja menjadi tempat diamnya orang-orang yang berdosa dari kalangan orang yang buruk buku amalannya, ia juga bakal menjadi tempat para ustaz atau ulama yang berpaling pada jalan-Nya. Inilah salah satu dari bukti betapa Allah berlaku adil kepada hamba-Nya.)

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top