ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Karya Picisan Membadai Di Pasaran: Apakah ia baik untuk minda remaja masa kini?

Oleh AHMAD J. HUSEIN

Kalau kita mengatakan bahawa novel-novel cinta picisan merupakan salah satu penyumbang kepada gejala sosial yang semakin dahsyat dalam kalangan remaja perempuan Melayu, Islam waktu ini, tentu tidak ada pihak yang menyetujuinya. Sebaliknya tentu mereka akan menentang hujah itu.

Mereka memberi alasan kehadiran novel-novel remaja yang bercorak picisan itu sebenarnya merupakan usaha yang terbaik bagi menggalakkan para remaja membaca. Ini kerana para remaja ini tidak mungkin membaca novel-novel yang berat dan serius. Justeru untuk menggalakkan mereka membaca, bacalah apa saja asalkan mereka suka membaca.

Memang itulah juga tujuan utama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memberikan ruang yang terbuka luas kepada penulisan dan penghasilan novel remaja. Setiap tahun DBP mengadakan bengkel penulisan novel remaja di sana sini yang dikhaskan kepada para penulis muda. Kemudian menerbitkan novel-novel remaja ini.

Pengiktirafan demi pengiktirafan telah diberikan kepada penghasilan novel remaja. Kini dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia juga diwujudkan kategori novel remaja. Novel remaja juga turut dijadikan teks pelajaran Bahasa Melayu di sekolah menengah.

Para penerbit pula kelihatannya berlumba-lumba menerbitkan novel remaja terutama yang sensasi untuk dijadikan tarikan pembeli. Motif para penerbit ini ialah semata-mata untuk menangguk keuntungan yang besar.

Justeru tidak hairanlah kalau ada novel remaja yang terjual hingga 1,000 naskhah dalam sehari ketika diadakan pameran buku di Kuala Lumpur, Para penulis novel remaja pula menerima royalti hingga mencecah jutaan ringgit setiap tahun.

Ada antara penulis novel remaja ini yang berjaya memperolehi royalti lebih RM20,000 hanya dengan cetakan pertama sebuah novel remaja. Para pengulas pula terus “memartabatkan” penulis muda yang hanya menghasilkan sebuah novel remaja ini dengan gelaran ”novelis.” Lalu “novelis mi segera” ini bertekad berhenti kerja untuk menjadi penulis sepenuh masa kerana hasil penulisan novel remaja memberikan pulangan berlipat-ganda.

Justeru para “novelis mi segera” pun muncul bersepah-sepah seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Dan yang lebih malang lagi ada akhbar-akhbar yang sanggup memberikan ruang kepada para penulis ini walaupun hanya baru menghasilkan sebuah novel remaja.

Tidak cukup dengan keistimewaan itu, para sarjana di pusat-pusat pengajian tinggi juga turut menggemari novel-novel ringan ini. Ramai yang menggunakannya sebagai buku teks untuk kursus-kursus bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu yang mereka ajar di universiti-universiti. Alasannya karya-karya seperti ini tidak perlu memerah otak untuk mengkajinya, Apa yang lebih penting lagi, para pelajar menyukainya. Para pensyarah ini memang tidak ambil peduli etika pembelajaran di sebuah universiti yang memerlukan tahap akademik yang tinggi.

Namun di sebalik perkembangan penghasilan novel remaja yang pesat ini, tidak ada ahli masyarakat yang sedar akan kesan negatifnya terhadap para pembaca remaja.

Ini adalah kerana novel-novel remaja ini bukan sahaja menggalakkan remaja membaca, tetapi turut mempengaruhi emosi, mengembangkan daya imaginasi mereka untuk melakukan aksi-aksi sumbang dalam jalan ceritanya.

Karya-karya fiksyen yang berbentuk serius dan berat yang mengandungi pengisian ilmu pengetahuan sampingan falsafah, politik, agama, psikologi dan ada nilai estetika yang tinggi, tidak mungkin mendapat tempat di kalangan para pembaca khasnya para pelajar. Ini adalah kerana sebahagian besar pelajar ini memilih untuk membaca karya- karya ringan yang hanya mengandungi cerita cinta remaja.

Betapa bertuahnya para penulis yang menulis karya picisan. Namun di sebalik kepopularan karya-karya ringan bervisi cinta ini tidak ada siapa yang sedar bahawa karya-karya ini juga turut meninggalkan kesan negatif yang menjadi salah-satu penyumbang kepada gejala maksiat kalangan remaja.

Lebih malang lagi apabila para ibu bapa turut merasa sangat senang hati melihat anak-anak mereka berminat membaca. Pada fikiran para ibu bapa ini, tentulah tabiat suka membaca ini akan menambahkan pengetahuan sampingan kepada anak-anak mereka dan akan “terselamat” dari segala bencana sosial yang berlaku di sekeliling pinggang saban waktu sekarang ini.

Hakikat yang lebih buruk lagi ialah kehadiran novel-novel cinta picisan ini akan merosakkan peribadi remaja itu sendiri.

ARKIB UTUSAN: 24/10/2010

P/S: Tepuk dada, selerakan diri sesuka hati anda. Terserah, setiap kita punya hujah masing-masing. Bukankah perbezaan dan percanggahan pendapat itu suatu rahmat ;)

Aku yang mengulang cerita: Ampuan Awang

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top