ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Isu Bahasa Melayu: Kerajaan perlu lebih tegas


Mukadimah

SELASA lalu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegur Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya memainkan peranan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan dengan menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan.

Beliau percaya jika PBT menguatkuasakan undang-undang itu, tidak akan ada lagi papan iklan dan nama bangunan yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan.

Sebenarnya isu tidak ada penegasan terhadap papan-papan iklan dan nama bangunan yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan bukan baru. Ada sesetengah pihak berkuasa tidak menggunakan kuasa untuk memartabatkan bahasa kebangsaan. Tidak ada maknanya mempunyai akta kalau tidak menguatkuasakan pelaksanaannya.

Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan yang juga pejuang bahasa, DATUK DR. HASSAN AHMAD berkata, tindakan yang tegas mesti dilakukan untuk meletakkan bahasa kebangsaan di tempat yang selayaknya seperti yang termaktub dalam undang-undang.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menegaskan, tanpa tindakan di segi undang-undang perkara ini akan terus dilakukan seolah-olah tidak ada akta mengenai bahasa kebangsaan.

“Jika tidak, buat apa ada undang-undang dan biarkan saja semua pihak bebas sesuka hati mereka menggunakan bahasa apapun untuk iklan mereka,” tegas Dr. Hassan ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL ABDUL HAMID Jumaat lalu.

MINGGUAN: Bagaimana Datuk melihat masalah penguatkuasaan Undang-Undang Kecil Iklan?

HASSAN: Pada saya dalam soal iklan ini mesti melambangkan institusi negara iaitu salah satunya adalah bahasa kebangsaan. Ia tidak ada kena mengena dengan etnik Melayu tetapi melibatkan soal negara. Iklan boleh melambangkan identiti atau jati diri negara Malaysia. Bila melibatkan bahasa kebangsaan semua orang faham bahasa tersebut. Oleh itu kita perlu faham bahawa bahasa kebangsaan adalah bahasa komunikasi yang paling luas penggunaannya di negara ini. Sama ada orang Melayu atau bukan Melayu mereka faham bahasa ini, tetapi jika ditulis dalam bahasa Inggeris, Cina atau Tamil bukan semua orang faham apa yang ditulis. Namun ia tidak bermakna kita merendahkan bahasa-bahasa lain. Ini bukan soal bahasa atau linguistik tetapi ia soal bahasa kebangsaan yang berfungsi merentasi kepentingan kaum. Bila kita tanya orang kampung adakah mereka faham iklan dalam bahasa Inggeris.

Ramai yang tidak faham namun mereka faham jika ia ditulis dalam bahasa kebangsaan. Lagipun ia bukan membabitkan iklan yang perlu menggunakan bahasa saintifik ataupun matematik. Ia hanya iklan yang menggambarkan apa yang kedai mereka jual dan pasarkan. Kita telah ada undang-undang kecil mengenai iklan sejak tahun 1960-an. Secara prinsipnya bahasa kebangsaan hendaklah digunakan secara ketara contohnya dalam nama-nama kedai. Dalam erti kata lain bahasa kebangsaan hendaklah diutamakan. Tulisan iklan bahasa Melayu mesti besar dan bukan diletak secara tersorok. Itu iklan melibatkan pihak swasta dan peniaga.

Satu lagi yang membabitkan iklan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Contohnya iklan seperti “Jangan buang sampah merata- rata”. Ada antara iklan melibatkan kerajaan yang dibuat dalam bahasa Inggeris. Contohnya saya lihat di Petaling Jaya di depan balai polis saya tidak berapa ingat namun ia membabitkan iklan pihak polis. Saya geram rasa macam nak padam iklan tersebut.

Kenapa pihak penguatkuasaan gagal bertindak tegas dalam soal ini?

HASSAN: Saya berpandangan mereka tidak faham mengenai soal hubungan antara bahasa dengan budaya negara. Ramai yang beranggapan apabila melibatkan bahasa kebangsaan ia membabitkan orang Melayu. Kita perlu tanya berapa ramai yang memahami bahasa Inggeris. Malah kalau kita faham pun kenapa iklan itu perlu ditulis dalam bahasa Inggeris. Saya faham bahasa Inggeris tapi perlukah kita menulis iklan dalam bahasa Inggeris jika kita mempunyai bahasa kebangsaan. Dalam soal iklan bahasa Inggeris di balai polis pihak paling berkuasa perlu melihat perkara ini. Begitu juga di jabatan atau kementerian lain mereka perlu lebih prihatin dengan penggunaan bahasa kebangsaan dalam iklan melibatkan pihak kerajaan. Kita perlu jelas bahawa kita berada di Malaysia dan bukan England atau Amerika dan negara ini mempunyai dasar bahasanya sendiri. Bukan kita mahu merosakkan bahasa-bahasa lain. Malah dalam Perlembagaan bahasa-bahasa lain tetap dipertahankan namun bahasa kebangsaan perlu dipertahankan untuk kepentingan negara. Jika kita lakukan dengan lebih bersungguh-sungguh maka orang akan lebih memahami tentang kepentingan bahasa kebangsaan dalam urusan seharian.

Adakah terdapat usaha untuk merendahkan penggunaan bahasa kebangsaan?

HASSAN: Mungkin ada pihak yang mempunyai niat sebegitu tetapi pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadap iklan yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan. Ini kerana adalah jelas terdapat undang-undang tentang perkara ini. Kalau tidak ada itu soal lain. Oleh itu perlu dipastikan bahawa bahasa kebangsaan perlu digunakan sepenuhnya terutama di sektor awam. Adalah ganjil dan aneh jika pejabat kerajaan tetap menggunakan bahasa asing untuk iklan mereka. Bagi saya hanya tindakan tegas yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan kekusutan ini. Jika tidak, buat apa ada undang-undang ini dan biarkan saja semua pihak bebas sesuka hati mereka menggunakan bahasa apapun untuk iklan mereka. Bagi saya minta maaf cakaplah, komitmen dari pihak kerajaan tidak jelas dalam soal ini dan lebih menyedihkan kebanyakannya ditadbir oleh orang Melayu sendiri. Dalam soal ini saya melihat kepentingan budaya kebangsaan yang dilambangkan melalui bahasa kebangsaan dan ia bukan melibatkan etnik Melayu. Iklan di tempat awam adalah jelas ia mesti melibatkan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai satu kemestian kerana ia telah termaktub sebagai satu undang-undang. Jika di rumah tidak ada halangan dan masing-masing bebas untuk menggunakan bahasa apa sekalipun.

Dalam soal penggunaan bahasa kebangsaan orang faham kerana rakyat negara ini mesti belajar bahasa kebangsaan tanpa perlu sebarang terjemahan ke bahasa lain. Selalunya orang akan melihat gambar produk selain jenama dan keterangan yang ditulis mengenai produk tersebut. Saya juga berasa aneh selepas negara ini merdeka selama 53 tahun masih terdapat iklan dan tanda no smoking di tempat awam. Padahal sudah terdapat gambar dilarang merokok dan tanpa tulisan pun orang sudah faham apa yang dimaksudkan dengan iklan tersebut. Malangnya di bawahnya masih terdapat tulisan no smoking. Perkara ini perlu diambil tindakan kerana ia seolah-olah menunjukkan terdapat usaha anti bahasa kebangsaan. Perkara ini perlu dibersihkan kerana jika tidak kempen Bulan Bahasa Kebangsaan hanya sia-sia. Malah saya lihat kempen ini hanya sekadar ritual sahaja jika masalah mudah seperti larangan merokok dalam bahasa Inggeris tidak mampu diselesaikan. Jika ada yang tidak bersetuju atau menentang kita perlu berhujah bahawa ia dilakukan atas nama kepentingan negara. Bahasa kebangsaan adalah kepentingan negara dan dalam soal iklan jangan ada pihak lain terutama swasta yang menidakkan perkara ini.

Mungkin kesedaran itu tidak ada di kalangan pihak yang menguatkuasa undang-undang ini?

HASSAN: Memang perkara ini tidak ada terutama pada masa sekarang di kalangan pegawai-pegawai muda. Mereka seolah-olah tidak ada semangat patriotisme atau nasionalis kebangsaan. Ini bukan membabitkan soal nasionalis kaum Melayu dan sebagainya tetapi di dalam konteks nasionalisme Malaysia. Ia sama seperti patriotisme yang menuntut kita taat kepada negara, yang kemudian menuntut pula ketaatan rakyat kepada raja, undang-undang, perlembagaan dan sebagainya. Ini bukan melibatkan dasar kepada kaum tertentu tetapi kepada dasar kebangsaan. Dulu tidak ada istilah kebangsaan, hanya selepas merdeka baru ada istilah ini, contohnya Dasar Pendidikan Kebangsaan yang merentasi hubungan kaum. Ada yang berpandangan sekolah kebangsaan untuk orang Melayu sedangkan itu salah. Itu silapnya sedang ada orang Cina, India dan sebagainya belajar di sekolah itu. Tapi uniknya di Malaysia ada sekolah untuk kaum-kaum lain malah di Singapura pun tidak ada. Kenapa di sini ada? Mereka ini perlu berterima kasih kerana di beri peluang sebegini dan oleh itu mereka mesti menerima hakikat bahawa bahasa kebangsaan itu adalah bahasa rasmi negara ini. Kalau kita lihat ramai orang Melayu tidak menguasai bahasa Malaysia dengan baik malah ramai orang Cina dan India lebih fasih. Ini kerana mereka belajar betul-betul berbanding orang Melayu kerana ia bahasa sendiri maka mereka tidak perlu belajar dengan betul.

Bagaimana Datuk melihat peranan DBP?

HASSAN: Kalau mengikut undang-undang dalam Artikel 152 berdasarkan tafsiran saya, bahasa Melayu hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi negara. Kalau ada sesiapa yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan negara, kerajaan boleh ambil tindakan kerana melanggar Akta Bahasa Kebangsaan. Undang-undang itu masih ada sehingga sekarang. Nasihat saya janganlah menimbulkan ketidakadilan dalam dasar-dasar negara kerana ia akan menimbulkan keadaan tidak menentu dalam semua dasar yang telah digubal seperti Dasar Pelajaran Kebangsaan. Berdasarkan keadaan sekarang ia berubah-ubah mengikut selera menteri. Bagi saya kita perlu berpegang kepada satu perkara iaitu undang-undang itu wujud maka laksanakanlah. Parlimen boleh menyoal kenapa tidak dilaksanakan dan kemudian ada pula yang berjumpa dengan parti pembangkang kenapa pelaksanaannya tidak tegas. Bagi saya ini penting kerana ada undang-undang dan kita perlu ikut dan laksanakan. Jangan hanya seperti endah tak endah, jika begitu baik kita tidak payah ada undang-undang, buatlah apa yang rasa perlu sesuka hati.

Pihak yang berkuasa penuh dalam hal ini adalah PBT manakala DBP hanya boleh menasihat. Malangnya pelaksanaannya tidak begitu serius?

HASSAN: Bagi saya mesti ada pihak seperti NGO Melayu contohnya Gapena yang membuat gesaan secara berterusan dan konsisten. Tidak ada pihak yang boleh marah atau saman jika NGO ini mendesak kerana ia telah termaktub di dalam undang-undang. Bahasa kebangsaan perlu digunakan sebagai bahasa utama di papan-papan iklan manakala bahasa-bahasa lain pula boleh digunakan namun dengan tulisan yang lebih kecil berbanding bahasa Malaysia. Kita tidak menghalang penggunaan bahasa lain namun kita perlu menghormati bahasa kebangsaan kerana ia bahasa rasmi dan utama di negara ini.

Di negara ini juga terdapat kecenderungan menggunakan bahasa-bahasa lain seperti Inggeris dan Perancis sebagai nama kediaman mewah. Kenapa perkara ini boleh berlaku?

HASSAN: Ini silapnya kenapa kita perlu menggunakan bahasa luar sedangkan banyak perkataan dalam bahasa tempatan yang sedap bila digunakan. Kita guna perkataan seperti presint dan pelbagai lagi, kenapa tidak guna perkataan seperti melati dan sebagainya. Apa yang lebihnya menggunakan bahasa luar ini. Kalau kita kata sebagai prestij langsung tidak kena sedangkan kita perlu berbangga dengan bahasa sendiri. Penggunaan bahasa luar hanya sekadar psikologi bahasa. Bagi saya apa yang perlu dilakukan adalah membuat satu kempen bagi menampilkan penggunaan budaya bahasa yang betul di khalayak umum. Ini tidak sahaja membabitkan iklan tetapi mesti melibatkan penggunaan bahasa yang betul kepada semua orang termasuklah para menteri. Misalnya seorang menteri, beliau perlu menunjukkan contoh dalam menggunakan bahasa kebangsaan. Misalnya jika mereka ditanya di dalam bahasa Inggeris mereka mestilah menjawabnya di dalam bahasa Melayu, apa salahnya. Kalau kita lihat terdapat 7,000 perkataan dalam bahasa Melayu yang tidak boleh diterjemah kepada bahasa Inggeris. Saya bagi satu contoh, adakah terdapat perkataan besan dalam bahasa Inggeris, tidak ada. Bahasa Melayu sudah meringkaskan perkataan yang panjang dalam bahasa Inggeris kepada satu perkataan sahaja iaitu besan. Sebab itu saya sering menekankan bahawa kita akan menjadi satu bangsa yang maju dan kreatif jika kita berfikir dalam bahasa kita. Jika kita lihat pada zaman dahulu walaupun mereka buta huruf tetapi mereka boleh mencipta pantun, peribahasa dan pepatah dan maknanya masih tetap kekal sampai sekarang. Cuba kita fikir dalam bahasa rojak pasti kita tidak boleh mencipta idea yang sehebat itu. Saya bagi satu contoh, alah membeli menang memakai. Siapa yang boleh mencipta semua peribahasa yang sebenarnya menunjukkan contoh konsep konsumerisme masyarakat Melayu. Orang dahulu boleh berfikir dan mencipta peribahasa sebegini cantik sedangkan mereka buta huruf dan ini berlaku kerana mereka berfikir dalam bahasa sendiri. Oleh itu dalam soal iklan ini pada saya ia adalah gambaran paling ketara tentang imej bahasa kebangsaan. Ini kerana semua orang tahu dan faham bahasa ini dan merupakan medium yang popular untuk semua kaum.

Kenapa selepas lebih 50 tahun merdeka perkara ini masih berlaku?

HASSAN: Bagi saya kita memerlukan pemimpin yang berbudaya serta memahami keaslian kita. Mereka perlu melalui proses pendidikan budaya sosial kita barulah mereka sedar tentang kepentingan perkara ini. Jika tidak ia umpama kita memusnahkan akar yang ada di dalam masyarakat kita. Maka apa bezanya kita dengan bangsa lain. Apa bezanya kita dengan bangsa Jepun dan Inggeris dan akhirnya kita tidak dapat melebihi mereka. Ini berlaku kerana kita cuma meniru budaya, gaya dan bahasa mereka untuk digunakan dalam kehidupan kita.

Kita lihat sendiri bagaimana orang Jepun berjaya dalam ekonomi mereka tanpa perlu mengorbankan bahasa mereka. Kita perlu berbangga dengan bahasa Melayu kerana ia merupakan bahasa kelima terbesar di dunia. Ini termasuk dengan penggunaan meluas bahasa Melayu di Indonesia. Ramai ingat itu adalah bahasa Indonesia dan bukan bahasa Melayu. Ini adalah salah. Kalau diikutkan bahasa Melayu kelima terbesar selepas bahasa Inggeris, bahasa China, bahasa Sepanyol dan bahasa Hindi. Tidakkah kita perlu berbangga dengan kenyataan ini dan lebih 218 juta manusia yang faham dan menggunakan bahasa Melayu sebagai medium komunikasi mereka.

** Artikel Mingguan Malaysia

P/S: Hendak aku kata apa tentang kenyataan ini? Bacalah dahulu. Apa yang penting, kerajaan perlu memartabatkan kembali bahasa Melayu ke asalnya seperti sediakala. Dalam perlembagaan, yang hanya ada bahasa Melayu dan bukannya bahasa Malaysia sebagaimana yang kita lihat kini.


Yang bertindak menyampai isi: Ampuan Awang

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top