eh notebook?

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Bahasa Dan Budaya Melayu (Oleh: Djazlam Zainal)

Oleh: Djazlam Zainal

Bahasa dan budaya Melayu bergerak seiring. Seawal abad ke 14 bahasa Melayu telah digunakan sebagai lingua franca antara negeri-negeri Melayu dengan dunia luar seperti China, India, Portugis, Belanda dan Inggeris. Sekaligus ia membentuk budaya di mana bangsa-bangsa ini cuba berkomunikasi dan berinteraksi dalam bahasa dan budaya Melayu.

Wilayah gugusan pulau-pulau Melayu atau nusantara mempunyai kira-kira 350 buah bahasa. Dari kesemua ini bahasa Melayu menjadi pelantaraannya. Kerana bahasa Melayu ditutur juga oleh kaum dari luar rumpun Melayu, bahasa Melayu tidak dapat dianggap sebaagai bahasa yang monolitik. Bahasa Melayu pasar ( basahan basahan ) adalah satu ragam bahasa Melayu yang dipijinkan, dengan kosa kata, bentuk kata dan struktur ayat yang disederhanakan. Bentuk pijin dijadikan bahasa kelompok tertentu seperti Baba Nyonya, Chetty dan Portugis. Bahasa Melayu yang telah digunakan sejak zaman Sriwijaya pada zaman kemuncaknya dipakai di Melaka, Kampar, Jambi, Aceh dalam kata bual seharian. Apabila penjajah Portugis menakluk Melaka, dikatakan bahasa Melayu menuju zaman gelapnya. Bahasa Melayu di zaman penjajahan coba dipencil dan dikecilkan mengikut kehendak penjajah.

Namun pengucapan tersebut masih bisa menghasilkan bahan-bahan penulisan seperti kitab Hikayat al-Salikin yang ditulis oleh Abdul Samad al-Falembani dan Syair Rakis oleh Pengeran Shahbandar Muhamad Salleh. Sabil al-Mahtadin oleh Arshad al-Banjari dan Mata'al- Badrain dan Furu'al al-Ma sail oleh Muhamad Ismail Daud Pattani. Kemuncak kepada kegiatan alam persuratan ini ialah di Penyengat ( Riau ) yang menjadi Pusat Kebudayaan Melayu dan pusat intelektual Islam ke seluruh Alam Melayu. Ternyata, bahasa Melayu yang mula bertapak sejak abad ke 7 merupakan alat perhubungan dan bahasa perdagangan yang sangat penting. Ia sebagai wahana pengucapan sastera, budaya, filsafat, sosial dan ekonomi memang telah diakui.

Pengaruh lain mengenai bahasa dan budaya, tidak terkecualai negara-negara Arab, Parsi, Pakistan dan negara-negara Telok di samping Asia Timur seperti China, Korea, Taiwan, Jepang dan Hong Kong. Pengajaran bahasa Arab dan pengajian Islam serta pergerakan politik memberi impak yang besar dalam kes ini. Sebagai sebuah zon silang budaya di Asia Tenggara yang mana Islam sebagai agama majoriti penduduknya, Asia Tenggara tidak dapat dipisahkan sebagai zon Islam selain induknya di Asia Barat iaitu negara-negara Arab.

Satu contoh bagaimana hubungan Arab dengan pesisir Mediteranean ke dalam dunia Melayu ialah metos asal-usul raja-raja Melayu dari keturunan Iskandar Zulkarnain. Sebenarnya tokoh Iskandar Zulkarnain dibawa ke nusantara melalui Islam bersama-sama tema kembar penaklukan ke seluruh dunia dan usaha untuk hidup selama-lamanya. Hikayat Iskandar sendiri wujud dalam beberapa versi, berkembar versi barat Roman d' Alexandre. Malah dipercayai umum masyarakat nusantara, pusara Iskandar Zulkarnain terdapat di Palembang, Sumatera Selatan.

Ini terbukti dari segi bahasa, walau pun pengaruh asing begitu kuat, seperti Sanskrit, Tamil, Cina, Arab, Parsi, Portugis, Belanda, Inggeris, namun struktur asas bahasa Melayu dan juga kebanyakan bahasa daerah yang lain seperti Jawa, Banjar, Sunda, Bugis, Tagalog dan lain-lainnya masih dapat dikekalkan. Semua bahasa yang dipertuturkan di nusantara tergolong dalam rumpun bahasa Austronesia yang dipertuturkan dari wilayah Madagascar hingga ke Polynesia. Ia juga mempengaruhi pertumbuhan tulisan. Kerana pada abad ke 5, prinsip suku kata India telah disesuaikan ke dalam beberapa bahasa di nusantara. Tetapi dengan kedatangan Islam, tulisan Arab kemudian berkembang bersama berkembangnya Islam di nusantara sekitar abad ke 13. Namun kedatangan penjajah Eropa, sekitar abad ke 15 hingga ke 17, struktur tulisan huruf Latin terus berkembang mempengaruhi tulisan di wilayah Melayu. Aneh, jati diri kukuh komuniti Cina dan India, tulisan mereka dapat dikekalkan.

Selaras dengan penyebatian unsur barat dalam pendekatan ' eurosentrik ' yang dibayangkan bagi ' kegemilangan tamadun ' di nusantara, kecelaruan metode bahasa dan budaya Melayu telah bercampur-gaul dengan Eropa, Cina, India selain Aceh ke dalam satu sistem yang kompak menjadi sistem nusantara.

Menjadi pertanyaan juga bagaimana bahasa Melayu bisa bertahan dan bersaing dengan bahasa penjajah? Kerana salah satu sifat positif bahasa Melayu adalah keterbukaannya. Bahasa Melayu telah dapat memperkayakan kosa kata dan dunia konsepnya sejak awal lagi. Keperluan mendesak bagi bahasa Melayu mengutip beberapa banyalk perkataan asing ke dalam bahasa Melayu yang disesuaikan sedikit dari segi fonologinya. Di samping bahasa Melayu mempunyai peraturan tertentu dalam tatabahasanya. Kedua sifat ini iaitu ' kelenturan ' dan ' keteraturan ' itulah yang menjadi alat penerima bahasa asing ke bahasa Melayu.

Bagi pemantapan bahasa Melayu ayang digunakan di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura, satu majlis yang dinamakan Majlis Bahasa Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia ( Mabbim ) telah ditubuh bagi mencari persamaan dan mengurangkan berbedaan aspek sintaksis, morfologi dan fonologi di samping ejaan harus diminimakan perbedaannya. Ya, kita harus berusaha keras dalam menangani aspek bahasa ini kerana ia adalah alat komunikasi di mana seluruh perundingan dua hala melaluinya. ' Kelindan lurus kerana jarum, rundingan lulus kerana maklum ' harus menjadi pedoman dalam kita merumus mencari persamaan. Kitalah pewaris bahasa Melayu dan berbanggalah menggunakan bahasa Melayu yang baik hatta berhubung dan menulis dalam fb, apatah lagi kalau bisa mengungkapkan di PBB. Huallahu 'Alam Bissawab...


Diulangtayang kembali secara eksklusif ke laman ini oleh: Ampuan Awang
** Kredit buat bapak Djazlam Zainal atas nota ini

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top