ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Apakah Kita Mahu Membiarkan Bangsa Jadi Bahan Ketawa?

(Bangsa ditertawakan orang? Apakah kita mahu diperlakukan begitu? Apakah kita ini dilahirkan ke dunia hanya sebagai perencah perisa, atau sekadar hidup menjadi bahan ketawa orang? Ulasan sahabatku Arif Atan meleraikan segala persoalan.)

Oleh ARIF ATAN
(Utusan Melayu Mingguan, 4 Oktober 2010, hlm.8)

“Senyum seindah suria yang membawa cahaya, senyumlah dari hati duniamu berseri”. Demikianlah antara lirik sebuah lagu yang mengajak rakyat Malaysia untuk murah dengan senyuman.

Rasa senang hati, mesra dan gembira mengundang reaksi senyum dan ketawa tambahan pula apabila berdepan dengan keadaan, tindakan atau pengucapan yang lucu atau bersifat jenaka. Benar, hidup kita ini terlalu singkat untuk hanya berkerut dahi serius sepanjang hari asalkan sesuai dengan masa, tempat dan suasana.

Malah, Nabi Muhammad S.A.W pun diriwayatkan ada bergurau-senda dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda tetapi tidaklah sampai ketawa terbahak-bahak memadai sekadar menampakkan barisan gigi depan sahaja.

Dari sudut kesihatan pula, tanpa mengeluarkan modal tekanan darah boleh turun sebaliknya meningkatkan kemasukan oksigen dalam darah dengan hanya melemparkan senyuman . Ini sekaligus menjauhkan kita daripada risiko tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan strok walaupun tidak dinafikan terdapat pelbagai faktor lain yang mempengaruhi tahap kesihatan seseorang.

Dalam masyarakat Melayu dahulu lagi unsur jenaka menjadi perencah hidup hingga mengundang minat penjajah Inggeris untuk mengumpulkan pelbagai kisah jenaka Melayu.

Antaranya, buku “Cherita Jenaka” (1908) oleh R.O Winstedt (1878 – 1966) terbitan di Singapura yang memuatkan lima buah cerita iaitu kisah Pak Kaduk, Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Belalang dan Si Luncai. Watak-watak ini terdiri daripada yang pintar, dungu dan malang.

Cerita Mat Jenin pula dikatakan berasal dari sastera Hindu. Ada juga cerita jenaka yang banyak menerima tempias dari Arab seperti cerita Abu Nawas dan Musang Berjanggut.

Malah, unsur jenaka juga banyak terkandung dalam pantun Melayu. Antaranya berbunyi “Limau purut di tepi rawa, Buah diranting belum masak, Sakit perut sebab tertawa, Melihat kucing duduk berbedak”.

Wayang kulit yang dikatakan salah satu seni drama rakyat juga turut menyelitkan unsur jenaka. Pengalaman penulis sendiri boleh terleka menonton persembahan wayang kulit sehingga tamat walaupun dalam loghat negeri Kelantan yang sesetengahnya kurang difahami kerana kesan lawak jenaka yang berjaya dihidupkan oleh Tok Dalang.

Dalam sejarah filem tempatan pula, P.Ramlee adalah penggiat filem tanahair yang telah terbukti mampu menggeletek penonton dan dalam masa sama menyampaikan nasihat kepada masyarakat.

Misalnya, teguran supaya kita menyapa individu lain dengan kata panggilan yang sopan dapat dilihat dalam filem ‘Seniman Bujang Lapok’ (1961). Ini selari dengan ingatan daripada pujangga Melayu masyhur, Raja Ali Haji (1809–1873) dalam gubahannya, Gurindam 12 yang berbunyi “Jika hendak mengenal orang berbangsa, lihatlah kepada budi dan bahasa”.

Persoalannya, sejak kecil kita dibesarkan dengan kisah daripada watak-watak jenaka Melayu serta pelbagai filem P.Ramlee tetapi sejauhmana kita sedar terhadap teguran, nasihat, amaran atau pesanan yang disampaikan?

Selain itu, sejauhmana pula media kita bermula daripada majalah komik kegilaan remaja tidak terkecuali filem-filem komedi tempatan hari ini benar-benar mampu berjenaka serta dalam masa sama beradab, tidak menjatuhkan maruah orang lain serta mampu menyampaikan teguran dan nasihat secara berhemah kepada masyarakat?

Sedar atau tidak, cerita jenaka juga ada kaitan rapat dengan citra bahasa dan budaya sesebuah bangsa. Dalam sebuah negara yang berbangga dengan gagasan 1Malaysia, tidakkah kita harus berasa malu apabila terpapar di dinding perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini dengan petikan lawak jenaka yang datang dari budaya Inggeris dan dipaparkan pula dalam bahasa itu?

Tujuan KTMB untuk membuatkan para penumpangnya tersenyum dan terhibur memang tercapai tetapi penulis percaya bagi mereka yang peka tentang jati diri bangsanya hanya akan “senyum kambing” sahaja memikirkan rendahnya akal budi pihak yang membuat keputusan menampal dialog-dialog jenaka seperti yang dapat kita baca dalam majalah Reader’s Digest itu.

Dalam tekanan politik dan isu jenayah yang menakutkan hari ini, alangkah baiknya, jika pada hari ini kita diperdengarkan kembali dengan lagu-lagu yang menyenangkan hati serta dihidangkan dengan filem yang benar-benar “masak” bentuk dan fungsi jenakanya. Paling penting usah jadikan diri sebagai bahan ketawa orang lain yang jengkel melihatkan sikap kita tidak menghargai bahasa, budaya dan jati diri bangsa sendiri.

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top