ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Akulah Strauss yang kalian puja-puja itu (Bahagian Satu)

Oleh: SiLipurLara

Akulah bernama Levi Strauss atau lebih mesra kalian ucapkan sekarang ini sebagai Levi's. Sebagaimana orang lain yang mempunyai asal usul kelahiran, aku juga ada. Aku dilahirkan di Buttenheim, di kawasan-kawasan Franconian dari Bavaria, German, di mana situlah tanah asal tempat tumpah darahku. Maka dengan mudah, pasti kalian akan berkata bahawa aku ini seorang imigran. Ya, aku seorang imigran; imigran yang datang dari kelas kakap yang kalian sendiri tidak tahu hujung pangkal sejarah hidupku. Akibat mahu lari dari kebuntuan daya fikir yang kerap menghantui diriku, aku dengan beraninya membuat keputusan nekad.

"Aku harus ke Amerika!"

Lalu aku pun berangkat dengan berbekalkan nekad, aku pun berimigrasi ke lubuk rezeki yang kebanyakan orang puja-puja. Amerika!

"Ya, Amerika. Barangkali di sinilah tempat yang bakal menyelesaikan kebuntuan yang semakin memburukkan kelancaran sistem otakku."

Sekian lama mencari, akhirnya aku berjaya menemukan tempat yang sangat sesuai sekali untuk aku jadikan permulaan menempa nama di bumi Amerika. Lalu, dalam tahun 1850-an, aku memilih San Francisco sebagai landasan keberjayaanku. Ternyata bumi ini tidaklah terlalu banyak bezanya dengan negeriku. Mungkin hanya sekadar emas yang melimpah-ruah dan janji manis orang-orang atasan yang meniti di bibir orang bawahan yang kadang terpaksa menjilat di hujung kaki penguasa kerana kekuasaan mereka.

"Ah, orang-orang di sini hanya berminat memandang emas sebagai tuan. Seluruh tanah berlubang akibat tabiat gila mereka mencari emas. Seperti tiada benda lain yang lebih menarik selain emas. Apakah mereka tidak mahu memiliki benda lain yang lebih penting dari........."

Tiba-tiba aku terfikir sesuatu sehingga aku terpaksa menghentikan hujahku dengan ayat sekadar titik noktah. Agak lama juga aku berada di dalam kebuntuan daya fikir, sekalipun aku telah berjaya melepaskan diri dari alam miskin di negeriku sendiri. Mungkinkah akan ada sinar yang bakal mencerlang gemerlapan bak cahaya bulan di langit? Atau mungkin usaha nekadku ini sebenarnya bom jangka yang bakal meletup tanpa aku sedari?

"Ah, buat dahulu kerja yang penting itu."

Inilah kata-kata yang seringkali menaikkan kembali semangatku yang hampir lusuh; selusuh kain buruk yang sudah layak dijadikan kain perca bagi mengelap cermin yang kotor berdebu. Apakah kalian mahu tahu apa yang menghantui daya fikirku selama ini? Sebenarnya diari hidupku bukanlah sama seperti diari orang lain, yang mana ada di antaranya lahir dan membesar sebagai orang atasan, kaya dan memiliki harta yang berlonggok-longgok. Tapi Entah mengapa sejak kebelakangan ini, aku asyik bermimpi dan tak pernah berhenti memikirkan tentang kain. Tidak pula aku termimpikan hantu atau apa-apa benda selain dari kain. Kalau ada pun, hanya benang; itupun barangkali kerana benang itu merupakan teman rapat kepada kain.

Emas, seperti yang aku katakan tadi, telah menjadi topik perbualan hangat di San Francisco. Hampir setiap hari aku menyaksikan pembukaan lombong emas di atas bumi Indian yang dirampas oleh imigran yang kini menggelarkan diri sebagai golongan yang berhak ke atas Amerika; mereka berkulit putih dan bermata biru, sama seperti aku. Aku tidak menafikan bagaimana signifikannya emas dalam menentukan jatuh bangun sesebuah negara. Akan tetapi aku memikirkan lebih ke hadapan, bagaimana aku bisa membangunkan negara ini dengan pembangunan tanpa had iaitu pencapaian dagangannya takkan berhenti sehinggalah aku mati?

Kehidupan di San Francisco hampir sama dengan kehidupan orang lain di muka bumi. Bayangkan sahaja bagaimana pesatnya pembangunan negeri baru ini sehingga terjadinya perebutan tanah di antara dua kerajaan iaitu Amerika dan Mexico. Kerana apa, kawan? Hanya kerana lokasinya sebagai ladang emas. Emaslah yang menjadi tuan di masa itu. Setelah Amerika berjaya menebus San Francisco melalui perang, dibangunkan negeri baru ini dengan urat-urat permodenan, sehinggalah sampai satu tahap bahaya, di mana terpaksa mewujudkan undang-undang bagi membendung penularan masalah pelacuran, perjudian dan sebagainya. Apakah kalian tidak mengetahui bahawa sebuah pantai yang bernama Barbary itu seakan menjadi syurga para kriminalis?

"Ah, biarlah. Apa yang terlebih penting adalah tujuan diriku; yang lain persetankan saja ia ketepi! Aku akan membina perusahaan besar barang-barang kering dan aku akan mulakannya di sini, di California Gold Rush. Impianku bakal lunas!"

Akhirnya aku berjaya juga membuka perniagaan borong barang-barang kering, dan aku menuruti mimpi yang menghantui malamku itu dengan mulai memborong barangan kering. Aku menjual segala jenis pakaian, selimut, sikat, dompet dan bermacam-macam produk yang lain. Boleh dikatakan bahawa aku ini insan yang bernasib baik kerana mempunyai saudara-mara di New York. Merekalah yang menjadi tempatku mengambil barang untuk didagangkan dan apabila pernigaan semakin maju, aku mengajak sekalian saudaraku untuk bersama-sama meluaskan empayar di sini.

Sejarah perabadan tidak pernah bohong tentang kebijakpandaian bangsaku, Yahudi. Aku merupakan salah seorang dari bijakpandai itu. Masakan kalian tidak tahu tentang hal ini? Mari dengarkan ceritaku berkenaan dengan kain fabrik 'Denim' yang disanjung tinggi di zaman kalian. Sebenarnya ia berlaku secara kebetulan. Cuba kalian bayangkan betapa payahnya hidup menggunakan pakaian yang mudah sekali koyak dalam masa yang tak sampai setahun. Apa yang aku lakukan? Aku mulai mencari formula dan akhirnya menemukan fabrik yang sesuai untuk tujuan pekerjaan, dan Kain layar cukup sesuai untuk itu.

"Kain terpal itu kain termurah, lagipun ia kuat dan tahan lasak. Bukankah barang yang tahan lama itu yang orang mahukan? Jadi aku akan sediakan barangan itu. Pasti maju!"


bersambung........

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top