ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Sandiwara cabar tamadun sendiri [Oleh A Murad Merican]

Oleh: A Murad Merican

Indonesia memiliki sejarah yang hebat. Sebahagian daripada kehebatan itu adalah cetusan-cetusan mitos seperti kehebatan Majapahit sebagai asas kepada perpaduan nasional Indonesia, atau usaha melakar sejarah 6,000 tahun bendera Indonesia.

Hambatan-hambatan sejarah nasionalis menghantui sejarawan Indonesia. Negara itu mengalami perbalahan antara persejarahan Melayu, Jawa, Bugis, Eropah dan Indonesia moden pasca merdeka.

Inilah reaksi saya apabila 'bertembung' dengan buku tulisan Rosihan Anwar di sebuah toko buku di Jakarta baru-baru ini. Beliau ialah antara wartawan tersohor di dunia Melayu. Kali ini, Rosihan 'menjelma' melalui buku bertajuk 'Sejarah Kecil Petite Historie Indonesia'. Pertama kali diterbitkan pada 2004 oleh Kompas, buku set tiga jilid itu telah dicetak kali keempat pada September 2009.

Rosihan amat akur tanggungjawabnya kepada generasi muda sebagai wartawan. Dengan itu, beliau telah menggabungkan pendekatan ilmiah dengan jurnalistik dalam mengukir sebuah sejarah. Menurutnya, persembahan jurnalistik bererti menulis dengan bahasa yang mudah, padat, ringkas, menarik, pendek dan bersifat human interest. Dan ini diisi dengan 'fakta-fakta sejarah' yang boleh 'dipertanggungjawabkan dari sudut ilmiah, dikemas dalam suatu bentuk yang mudah ditelan dan enak dicernakan' (h.ix jilid 1).).

Dan ramuannya adalah konsep sebuah 'sejarah kecil' atau petite historie. Beliau mengakui banyak mengarang berkaitan sejarah. Rosihan merujuk dirinya sebagai 'tukang kabaa' (tukang cerita) (h.x jilid 1).

Jilid satu petite historie memuatkan 13 bab, jilid dua (12 bab), dan jilid tiga (37 bab). Jilid satu membawa kita melewati kawasan geografi Indonesia dengan meninjau beberapa peristiwa seperti di Timor Timur, Aceh, Pulau Nias, Sumatera Barat, Bengkulu, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur dan Jakarta.

Jilid tiga pula menceritakan tentang pendidikan dan pergerakan politik abad ke-21 serta tokoh dan institusi. Ia turut memuatkan tema pendidikan, tokoh dan institusi.

Namun, apa yang lebih menarik kepada saya ialah catatan Rosihan pada Jilid dua. Jilid itu memuatkan cerita wartawan, persuratkhabaran serta pengalaman penulis sebagai tukang cerita sejarah besar Indonesia.

Dalam bab 'Indonesia: Sejarah dan Kebudayaan Selayang Pandang,'(h. 92-115), Rosihan bercerita tentang istilah 'Indonesia.' Menurut Rosihan, istilah nama negara itu dicipta oleh ahli etnologi Inggeris, J. K. Logan pada 1850, setelah melalui perjuangan lama dengan Belanda sebagai kuasa kolonial kepulauan itu.

Logan menggunakan istilah Yunani, Indonesos yang bermaksud 'pulau-pulau Hindia' sebagai penunjuk geografi yang memanjang di hujung tenggara daratan Asia.

Akan tetapi, tanya Rosihan, apakah makna Indonesia sebagai satu konsep politik dan sosial? Beliau merujuk kepada geografi, jumlah penduduk, dan sumber alam. Indonesia adalah negara kepulauan terbesar di dunia, dengan jumlah penduduk seramai lebih 220 juta iaitu keempat terbesar di dunia selepas China, India dan Amerika Syarikat.

Dari abad ketujuh lagi, negara-negara kecil maritim di sepanjang Selat Melaka menikmati perdagangan melalui perjalanan pelayaran. Rosihan merujuk kepada negara yang lebih besar, Sriwijaya yang berpusat di Palembang, Pulau Sumatera. Beliau kemudian menyelusuri kerajaan Mataram di Jawa pada abad kesembilan. Antara tahun-tahun 778 dan 850, dibangunkan candi Borobudur. Pada 1292, Kublai Khan iaitu raja dinasti Mongol menghantar kira-kira 20,000 askar ke Jawa untuk menuntut pembayaran upeti.

Menurut Rosihan, Raja Wijaya telah mengalahkan tentera China dan menyuruh mereka membangun sebuah istana di Majapahit, Jawa Timur.

Majapahit pada separuh pertama abad ke-14 menjelma sebagai negara yang memiliki angkatan laut yang kuat, berkat bantuan orang- orang China dari ekspedisi Kublai Khan yang tidak balik ke China dan membawa teknologi China dalam pembuatan kapal.

Majapahit mengawal perdagangan rempah dari Maluku dan lada dari Lampung yang diminta oleh China dan Eropah. Di bawah Raja Hayam Wuruk yang memerintah dari tahun 1350 hingga 1389 dan perdana menterinya Gajah Mada, Majapahit mencapai puncak kekuasaan.

Rosihan memetik penyair Kraton Prapanca yang menulis dalam Negarakertagama pada tahun 1365, bahawa kekuasaan Majapahit meliputi Bali, Sumatera, Kalimantan Selatan, serta turut menakluk daerah dari Sumatera Utara hingga Filipina selatan dan New Guinea sekarang ini.

Malah pada abad ke-14, Majapahit berpengaruh dari segi perdagangan dan budaya di kawasan Asia Tenggara. Kedatangan Islam telah menghancurkan Majapahit. Seterusnya, setelah memberi naratif kedatangan Islam dan penaklukan Belanda, Rosihan beralih kepada gerakan kebangkitan nasional. Semasa Revolusi Indonesia, Rosihan merupakan wartawan akhbar Merdeka dan kemudiannya menjadi editor Pedoman.

Ujarnya selama empat tahun dari 1945 hingga 1949, rakyat Indonesia dengan Pemuda di barisan hadapan berjuang menentang kolonialisme dan imperialisme. Angkatan 45, yang telah berjuang memimpin revolusi itu diungkap sebagai 'Generasi Indonesia Paling Agung' oleh Menteri Pertahanan Indonesia pada 2005, Profesor Dr. Juwono Sudarsono.

Lalu Rosihan bertanya, apakah gerangan yang telah dicapai oleh generasi paling agung itu? Apakah Indonesia ketika itu dan di manakah Indonesia hari ini?

"Inilah Indonesia di mana sebenarnya tidak ada yang substantial berubah tatkala kedaulatan dan kekuasaan politik berubah pada awal 1950," kata Rosihan.

Beliau menyingkap soalan yang ditanya kepada Sukarno tentang kesan revolusi ke atas kebebasan nasional. Sukarno menjawab bahawa, "Bila kami harus menunggu sampai setiap orang Indonesia menjadi bebas, maka kami tidak pernah akan merdeka" (h. 109 jilid 2).

Rosihan yang dilahirkan di Sumatera Barat pada 1922, dan mendapat pendidikan di Columbia School Journalism, Columbia University di New York pada 1954, dengan nada kesal berkata: "Inilah Indonesia dengan Jawa sebagai pusat Nusantara. Budaya Jawa menaruh suatu rekaman kuat ke atas masyarakat Indonesia. Sisi-sisa feudalisme masih subur. Rasa hormat terhadap orang-orang yang lebih tua usia dan tinggi pangkat, ketergantungan pada tokoh-tokoh kaya dan kuasa masih merupakan norma kehidupan sehari-hari" (h.109, jilid 2).

Petite historie juga sejarah Rosihan. Ia bukan hanya sebuah cerita tentang Indonesia, tetapi cerita seorang manusia yang menyaksikan bibit-bibit sejurus sebelum penubuhan sebuah negara bangsa pada usia 22 tahun.

Beliau menyaksikan pemerintahan Jepun di Pulau Jawa mengizinkan kibaran bendera Merah Putih, di samping bendera Nippon, dan dinyanyikan lagu Indonesia Raya, tetapi dengan syarat tidak mengucapkan Indonesia Merdeka, sebaliknya Indonesia Mulia.

Apakah Indonesia telah berubah sejak 65 tahun lalu? Jawapan Rosihan "...tidak banyak yang dapat dibanggakan...Inilah Indonesia yang terkadang disebut negara yang gagal, orang sakit dari Asia, negara yang paling korup di dunia. Ini suatu gambaran yang menekan jiwa. Ini bukan pujian besar ke alamat Indonesia's Greatest Generation. Dan, sebagai anggota Angkatan 45, saya berasa sedih" (h.115 jilid 2).

Sayang, di sebalik kemerduan keroncong yang berkumandang di Malaysia, negara besar yang memiliki sejarah hebat itu menghina dan mengeji tamadun serumpunnya sendiri. Apa yang terjadi adalah rentetan daripada pelbagai rasa gundah gulana, tuduhan dan tohmahan termasuk Malaysia 'mencuri' budaya Indonesia, masalah sempadan dan kedaulatan kedua-dua negara. Apakah sebuah negara hebat seperti Indonesia, tidak kira jika segelintir rakyatnya yang terlibat sanggup terjerumus ke dalam perbuatan yang tidak bertamadun itu?

Mungkin betul kata Rosihan, 'tidak banyak yang dapat dibanggakan,' walaupun Indonesia telah mengalami pelbagai pasang surut sejarah.

Sejarah nasionalis telah membezakan kedua negara bangsa Indonesia dan Malaysia. Wayang kulit yang dimainkan juga berbeza. Dalam buku bertajuk The Religion of Java (1960) oleh ahli antropologi Amerika, Clifford Geertz, Indonesia dilabel sebagai sebuah negara sandiwara (Theatre State). Kita harap sentimen dan upacara 'Ganyang Malaysia' oleh Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) itu hanyalah satu sandiwara mitos wayang kulit. Cuma, janganlah sandiwara itu mencabar tamadunnya sendiri.

Profesor Dr. A Murad Merican ialah Profesor Ilmu Kemanusiaan, Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Petronas

Artikel: Utusan Malaysia

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top