ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Menjejak Pendekar dalam Susur Semasa [Oleh: Muhammad Jailani Abu Talib]

Muhammad Jailani Abu Talib
Akademi Pengajian Melayu
Universiti Malaya

“Gempak gempita negeri Melaka
Guruh berdentum bumi bergegar
Jaguh tersanjung bertarung nyawa
Rasuk ajal teman pendekar”

– Hikayat Raja-Raja


Barisan pendekar seperti Hang Tuah dan Hang Jebat pernah memainkan peranan yang besar dalam perkembangan peradaban Melayu. Apatah lagi, para pendekar tersebut turut disanjung tinggi sebagai tokoh ilmu bela diri yang tidak pernah kenal erti jemu dalam membela tanah pertiwinya. Namun begitu, apakah kerelevanan para pendekar dalam era kontemporari yang jelas memerlukan ahli masyarakat sosialnya untuk bergerak aktif dalam memajukan diri? Dalam hal ini, penulis berpendapat bahawa masyarakat kontemporari wajar mempelajari intipati ilmu kependekaran yang telah diwariskan kepada masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman.

Dari sudut etimologi, istilah ‘pendekar’ berasal daripada rangkaian dua kata yang berbeza maknanya, yakni ‘pandai’ dan ‘akar’. Dalam hal ini, dapatlah dirumuskan bahawa bahawa seorang pendekar merujuk kepada individu yang berilmu dalam dasar dirinya sebagai seorang manusia. Dalam erti kata yang lain, dapatlah ditafsirkan bahawa seorang pendekar merupakan seorang insan yang berilmu dalam ilmu kemanusiaan dan kehidupan. Hal sedemikian seharusnya merupakan sebuah perkembangan daripada ilmu asasnya sebagai seseorang yang mahir dalam ilmu bela diri. Wajar diperhatikan juga bahawa seorang pandai silat tidak semestinya dirujuk sebagai seorang pendekar. Kehormatan tersebut hanya boleh ditabalkan secara rasmi oleh kerajaan atau diberikan secara tidak rasmi oleh lingkungan masyarakat setempat.

Karya penulisan ini bertujuan untuk mendidik lingkungan pembaca akan keberadaan pendekar dalam diri setiap manusia. Hal ini selaras dengan fenomena peradaban Jepun dan Cina misalnya yang mengangkat ilmu-ilmu kependekaran yang terdapat dalam masyarakat untuk dijadikan rujukan dalam mengenal falsafah diri mereka sendiri. Dalam hal ini, pembaca antara lainnya turut boleh merujuk kepada manuskrip-manuskrip penting seperti Hagakure : The Art of The Samurai, The Book of Five Rings dan The Art of War.

Namun begitu, Ilmu kependekaran merupakan sebuah perkara yang rumit dibincangkan dalam ruang yang terbatas. Atas kesedaran tersebut, penulis akan memfokuskan penulisan ini terhadap dua nilai utama dalam nilai seorang pendekar, yakni nilai jati diri dan adaptasi.


Jati Diri

Ilmu kependekaran sebenarnya bermula dengan sebuah penyerahan terhadap ketiadaan sebarang elemen yang kekal dalam hidup ini selain Allah s.w.t yang bersifat hakiki. Selain itu, hampir setiap perkara yang disentuh pancaindera tidak kekal dan abadi. Kesedaran akan konsep tersebut seterusnya membuahkan ketekalan untuk menyumbang terhadap kemanusiaan dan jagat. Dalam hal ini, seorang pendekar seharusnya memulakan perjalanannya dengan penuh keikhlasan dan kejujuran terhadap dirinya sendiri.

Kejujuran dan keikhlasan tersebut seterusnya akan membuahkan kefahaman bahawa perjuangan merupakan sebuah proses yang getir dan hampir selalunya memakan masa. Namun demikian, seorang pendekar tidak akan mengenal erti kekalahan dan penyerahan selagi perkara yang diperjuangkannya tidak kesampaian. Biarpun begitu, sekiranya takdir menentukan bahawa akhir jalannya perlu disekati dengan kemangkatannya dirinya, seorang pendekar ikhlas menerima hakikat tersebut dan akur terhadap ketetapan hukum kehidupan.

Dalam konteks semasa, pendekar, sebagai seorang pejuang dan aktivis haruslah menyedari bahawa perjuangan membangkitkan katarsis dalam diri manusia haruslah bermula dengan erti keikhlasan dan kejujuran. Hal ini antara lainnya amat relevan bagi perjalanan seorang aktivis kebudayaan, kesenian, kesusasteraan, dan sebagainya. Sebuah dasar prinsip yang kukuh diperlukan bagi mencorak tindak langkah yang diambilnya pada hari muka. Misalnya, dalam konteks semasa, tidak kira sama ada seorang penulis bergerak dalam landasan Seni untuk Masyarakat ataupun Seni untuk Seni, beliau harus tekal dalam prinsipnya dan memastikan agar prinsipnya akan membuahkan hasil tertentu bagi mengangkat perkara yang “diperjuangkannya”. Di samping itu, perbezaan ideologi antara individu sebenarnya merupakan sebuah perkara positif yang dapat menunjukkan dinamisme kebudayaan masyarakat Melayu. Paling penting sekali dalam diri seorang pendekar adalah sebuah resolut yang jelas. Resolut tersebut kemudiannya akan menjadi pedoman dan landasan bagi dirinya.

Sedangkan begitu, jati diri yang kukuh merupakan sebuah perkara yang sukar ditemui. Dalam ilmu kependekaran, terdapat dua kaedah menemukan jati diri tersebut, yakni untuk menggali dalam dirinya secara sendirian atau mendapatkan bimbingan untuk mencari jati diri tersebut. Dalam erti kata yang lain, jati diri turut boleh ditemui dalam warisan falsafah yang terdapat dalam sebarang bentuk wacana yang menyentuh sistem adat dan kepercayaan masyarakat tersebut. Dalam hal ini, wajar diperhatikan bahawa jati diri kemudiannya akan menjadi teras susunan langkah seorang pendekar.


Adaptasi

Dalam konteks masyarakat semasa, terdapat keperluan bagi masyarakat kontemporari untuk mengadaptasikan diri dengan persekitaran semasa. Malahan, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa alam, sepertimana yang dirujuk dalam alam terkembang menjadi guru, turut merujuk kepada persekitaran moden yang tidak terhad pada batasan jangkauan pancaindera. Kini, masyarakat kontemporari turut terdedah pada sebuah fenomena yang kian dikenali sebagai globalisasi. Hal ini sebenarnya turut selaras dengan ilmu kependekaran yang menekankan keupayaan untuk mengadaptasikan diri dengan persekitaran. Misalnya, sebuah jurus persilatan tidak semestinya berakhir sepertimana yang lazim dipraktikannya. Seorang pendekar turut mengenali hakikat kefanaan dalam hidup.

Selain itu, usaha mengadaptasikan diri turut dapat memastikan agar pendekar dapat sentiasa mengatasi lawannya. Globalisasi pastinya membawa cabaran-cabaran tertentu yang harus ditangani para aktivis pada hari ini. Ketidakupayaan mengatasi cabaran tersebut pastinya akan mengisyarakan kecundangan tamadun Melayu. Dalam hal ini, wajar pula diperhatikan ungkapan Patah lidah alamat 'kan kalah, patah keris alamat 'kan mati yang mengajarkan kita bahawa dasar jati diri merupakan sebuah perkara yang penting dalam kehidupan seorang pendekar. Dapatlah ditafsirkan bahawa patahnya keris pendekar ataupun jati dirinya turut akan membawa kerebahan atas dirinya. Perjuangan budaya merupakan sesebuah perjuangan yang perlu mempunyai nilai jati diri yang kukuh. Sedangkan masa boleh mengubah permukaan sesebuah budaya, jati diri dan falsafahnya harus bersifat teguh dan kukuh dengan berpaksikan nilai-nilai tertentu yang dalam konteks budaya Melayu merujuk kepada nilai-nilai yang terdapat dalam hukum adat dan syarak. Misalnya, biarpun Hip Hop merupakan sebuah fenomena yang sukar dibanteras ahli budayawan semasa, budayawan kontemporari haruslah bijak untuk memelayukan fenomena tersebut di samping memastikan nilai jati diri dalam budaya asal, yakni budaya Melayu tidak tergugat.

Para aktivis budaya harus memahami bahawa kejayaan melestarikan perjuangannya hanya dapat dilakukan dengan keupayaan mengekalkan kerelevanan dirinya dalam konteks semasa. Dalam konsep ilmu kependekaran, kekerasan tidak semestinya dibalas dengan kekerasan yang sama. Kekerasan turut boleh diatasi dengan sambutan daya yang lembut dan terbuka. Hal ini antaranya lainnya menunjukkan kemahiran pendekar untuk mengadaptasikan diri. Sedangkan budaya Barat merupakan sebuah ikutan dalam masyarakat hari ini, ahli budayawan kontemporari haruslah bijak memperkenalkan masyarakat semasa terhadap nilai-nilai budaya Melayu dengan pendekatan-pendekatan tertentu. Tidak kira sama ada pendekatan tersebut bersifat radikal mahupun konvensional, terdapat keperluan untuk mendekati masyarakat hari ini dengan menggunakan pendekatan-pendekatan yang sesuai dengan persekitaran semasa. Misalnya, internet dan multimedia boleh digunakan untuk membangkitkan minat masyarakat terhadap budaya Melayu. Nescaya, hal tersebut turut merupakan sebuah pendekatan yang diambil dalam budaya Jepun yang bijak menggunakan kaedah Anime ataupun animasi untuk memperkenalkan nilai-nilai budaya tersebut. Sebagai contoh, anime Bleach menerapkan nilai-nilai kependekaran dan ilmu bela diri dalam konteks masyarakat Jepun. Di samping itu, anime tersebut turut mendedahkan konsep-konsep kehidupan serta weltstanchaung masyarakat Jepun.

Senada itu, susur pendekar merupakan sebuah perjalanan yang ditandai dengan ketidakjelasan akan perkara-perkara yang mendatang. Daripada itu, seorang pendekar akan mempersiapkan dirinya untuk menghadapi segala bentuk rintangan yang mendatang dengan penelitian terhadap persekitaran. Dalam erti kata yang lain, perjalanan seorang pendekar haruslah berteraskan akal yang sempurna. Perjalanannya haruslah ditandai dengan kepercayaan bahawa ilmunya masih belum mencukupi dan akan sentiasa mempelajari ilmu alam dari persekitarannya. Nescaya, perkara tersebut barangkali mendasari ungkapan :

“Penakek pisau seraut
Ambil galah batang lintubong
Sekepal jadikan gunung
Setitis jadikan laut
Alam terkembang jadikan guru”

Keupayaan mempelajari dari segala fenomena yang melingkungi dirinya merupakan sesuatu yang genting bagi diri pendekar. Sealiran dengan gagasan tersebut, para aktivis budaya turut harus bijak meneliti segala trend perkembangan dan kemunduran yang berlaku dalam sesebuah zaman. Perkara tersebut kemudiannya dapat memastikan agar budaya Melayu dapat terus mengadaptasikan diri dengan persekitaran semasa. Apatah lagi, perkara tersebut turut disahut pendekar tersohor, Laksamana Hang Tuah yang tegas mengungkap :

“Tuah sakti hamba negeri
Esa hilang dua terbilang
Patah tumbuh hilang berganti
Takkan Melayu hilang di bumi”


Rumusan

Nilai jati diri dan adaptasi dalam diri pendekar merupakan dua asas utama yang membentuk prinsip dan keperibadiannya dalam menghadapi sebarang bentuk cabaran. Kesebatian kedua-dua nilai tersebut dalam diri pendekar akan memastikan agar dirinya sentiasa berupaya untuk menghadapi lawan dalam sebarang bentuk cabaran. Selain itu, kesebatian tersebut akan memastikan pendekar sentiasa bersedia untuk menghadapi pihak lawan. Kedua-dua hal tersebut tidak menunjukkan sebarang perbezaan dalam konteks semasa serta wajar diperhatikan oleh individu-individu masyarakat Melayu yang giat menonjol sebagai aktivis-aktivis bidang tertentu, khususnya, bidang kebudayaan, kesenian dan kesusasteraan Melayu. Apatah lagi, kesan seorang aktivis bukanlah pada dirinya, namun pada masyarakat yang melingkungi susuk tubuhnya. Dalam hal yang sama, kesan seorang pendekar adalah pada masyarakat zamannya yang seterusnya membentuk masyarakat zaman-zaman mendatang.

--------------------oOo--------------------

>> Kredit buat sahabat: Muhammad Jailani Abu Talib

P/S: Aku tertarik sangat dengan artikel ini, lalu aku ulang tayangnya semula di sini untuk dihebah2kan. Ini bermakna secara automatik aku memohon kebenaran pengulangan kembali di laman Puisi Kabur

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top