ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Melayu Lemah Terlalu Lelah Untuk Berpecah

Oleh: EntahSapaSapa

Selepas pilihan raya ke 12, pandangan landskap politik Melayu mulai berubah berhubung isu, cabaran dan ancaman dalam perspektif kuasa pemerintahan yang seterusnya melibatkan prestasi dan kualiti Melayu dalam penguasaan ekonomi, tonggak agama Islam serta perubahan sosial. Ransangan untuk memikirkan semula halatuju jatuh bangun Melayu dalam negara ini, mengundang banyak cadangan yang diluahkan menerusi wacana ilmiah dengan hasilnya dibentangkan dalam media massa. Agak menarik bahawa sebahagian besar pendapat dikemukakan oleh orang Melayu yang tidak terlibat dengan politik kepartian tetapi mereka bertindak atas dasar semangat membara demi cintakan bangsa Melayu. Hasil keputusan PRU 12 benar-benar mencetuskan perubahan kepemimpinan secara drastik membingungkan dan mencetuskan persoalan apakah puncanya mengapa berlaku penolakan sedemikian rupa ! Terlebih penting apakah semua ahli politik Melayu sedar bahawa mereka sedang membawa masyarakat Melayu berada dalam keadaan genting seolah-oleh seperti nasib telur di hujung tanduk. Luahan Prof Siti Zainon dalam satu laporan akhbar 26 Julai 2008 mungkin ada jawapannya:

”Saya hendak tanya, apa orang-orang politik Melayu buat dalam mempertahankan bahasa dan budaya sendiri. Kami(pendidik) sudah memberikan pendidikan yang secukupnya kepada mereka(orang politik Melayu). Tolonglah jangan lupa lagi, jangan sampai(bangsa) tergadai”.

Perancangan pembangunan Melayu haruslah dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengemukakan pelan tindakan jangka panjang yang konkrit, munasabah dan berterusan. Fokus hendaklah jelas dengan menekankan prinsip kebersamaan, bersungguh-sungguh dan bukan hangat-hangat tahi ayam. Biar pun berbeza aliran dan pandangan antara individu dan kelompok Melayu, yang penting pada akhirnya adalah pencapaian matlamat kumpulan, iaitu kebaikan yang diraih oleh bangsa Melayu secara kolektif. Dengan demikian amatlah dituntut agar semua pihak terutama pemikir, perancang, pembuat dasar dan para pelaksananya berpegang pada agama dengan tebalnya semnagat jati diri Melayu serta mengamalkan nilai-nilai kesungguhan, ketelusan dan kejujuran. Setelah hampir 62 tahun orang Melayu berjaya disatukan di bawah satu payung pentadbiran, menolak manipulasi penjajah namun situasi mutakhir menunjukkan bibit-bibit keretakan yang memungkinkan ketidaktentuan nasib bangsa Melayu pada masa-masa akan datang.

Apakah sejarah akan berulang, dengan berlakunya penjajahan semula ke atas orang Melayu setelah hampir 446 tahun Melayu diperhamba dan diperkuda. Melihat senario politik semasa, tidak mustahil berapa detik lagi sejarah akan menghukum semula orang Melayu, hanya disebabkan segelintir politikus Melayu yang bersifat tamak hanya mengutamakan kepentingan diri, keluarga dan kawan-kawan. Pemimpin Melayu yang menghalalkan cara demi mencapai matlamat peribadi, menjajakan maruah bangsa Melayu dengan mengatakan Dasar Ekonomi Bumiputera (DEB), hanya menjaga kepentingan Melayu dan tidak memberi keadilan kepada semua rakyat berbilang kaum di negara ini. Ironinya pemimpin sebegini mendapat limpah manfaat, menambun kekayaan mencipta pengaruh hasil manfaat dasar ekonomi baru. Senario hari ini tambah keliru dan kalut, bila ada orang Melayu menyuarakan nasib bangsa mereka, dengan pantas dituduh ‘perkauman’ sedangkan mereka yang menolak Melayu lebih daripada perkauman.

Secara keseluruhan pencapaian Melayu dalam semua aspek kehidupan secara realitinya di Malaysia masih jauh ketinggalan dengan bukan bumiputera. Berdasarkan data terkini membuktikan bahawa:

Orang Melayu masih tercicir jika ditinjau menerusi pendapatan per kapita bulanan hanya mencatatkan RM2,500, berbanding kaum India RM 3,200 dan Cina RM4,100. Kadar pemilikan bangunan komersial dan premis perniagaan masih lagi didominasi oleh bukan Melayu dengan bumiputera hanya memiliki 11.7 peratus, berbanding Cina 71.9 peratus dan India 4.6 peratus. Hakikatnya, DEB berjaya merapatkan jurang pendapatan orang Melayu, jika dilihat dalam tahun 1970, perbezaan pendapatan di antara Melayu dan bukan Melayu begitu ketara sekali. Majoriti Orang Melayu adalah golongan termiskin, pendapatan purata orang Melayu ialah RM178.7, berbanding dengan Cina RM387.4. Ekuiti korporat Melayu pula hanyalah 2.4 peratus, berbanding Cina 34.4 peratus.

Harus diakui terdapat signifikan antara kemajuan ekonomi dengan pencapaian akademik. Lantaran kemiskinan kebendaan menyebabkan orang Melayu terus tertinggal dalam aspek kecemerlangan akademik. Bahkan pemikir bangsa, Prof diraja Ungku Aziz pernah menyarankan program rancangan makanan tambahan untuk membantu meningkatkan kecergasan para pelajar miskin yang rata-rata tidak memperoleh makanan berzat dan berkhasiat, disebabkan ketidakmampuan keluarga mereka. Hal demikian menunjukkan bahawa keterpencilan para pelajar Melayu luar Beberapa dekad lalu, peningkatan kemajuan akademik pelajar Melayu sudah mula kelihatan, walau bagaimanapun golongan peribumi ini masih memerlukan sokongan dan bantuan berterusan pihak kerajaan. Selain bantuan makanan tambahan, pelajar Melayu yang relatifnya miskin dan kurang kemampuan masih mengharapkan biasiswa kerajaan.

Neraca keseimbangan dalam sektor pendidikan dihodohkan lagi dengan tuntutan agar kuota biasiswa pelajar Melayu dikurangkan dan diberikan pada bukan bumiputera. Pihak JPA sebelum ini menawarkan 2,000 biasiswa setiap tahun dengan pecahan 90 peratus kepada pelajar bumiputera dan bakinya kepada bukan bumiputera. Namun, nisbah pemberian biasiswa ditukar secara drastik dengan 50 peratus diberikan kepada bumiputera, 45 peratus bukan bumiputera dan lima peratus untuk kaum-kaum lain.

Sebelum berlaku perubahan tersebut, Bumiputera berhak untuk mendapat 1800 biasiswa JPA setahun. Walau bagaimanapun atas desakan sesetengah pihak dan kelemahan pihak bertanggungjawab dalam menghadapi desakan itu, nisbah pemberian biasiswa kepada bumiputera telah dikurangkan secara drastik iaitu hanya 1000 biasiswa setahun. Apa yang pelik adalah orang Melayu sendiri yang beria-ia benar menunjukkan sokongan, kerasionalan kononnya atas nama prinsip hak asasi manusia. Sedangkan hak dan keistimewaan yang dinikmati oleh orang Melayu bukan dibuat secara semberono tanpa mengikut lunas undang-undang. Hak ini bukannya satu polisi kerajaan semata-mata. Ia adalah suatu hak yang telah dijamin sepertimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan (The Federal Constitution) dalam Artikel 153.

Tindakan pihak berkuasa yang ingin menyemak kembali kuota pemberian biasiswa ini setelah didesak oleh pihak-pihak berkepentingan jelas membuktikan ketidakupayaan pihak autoriti yang seolah-olah berada dalam satu keadaan yang sangat lemah dan gagal untuk berkompromi dengan pihak-pihak yang mendesak dalam soal pemberian biasiswa ini. Apakah dengan mempertahankan kuota biasiswa JPA sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan menjadikan orang Melayu bersifat perkauman? Adakah pihak yang menuntut dan mendesak, tidak perkauman? Sedangkan hari ini tiada lagi istilah hak dan keistimewaan mutlak Melayu untuk mana-mana institusi pendidikan negara ini. Lihat sahaja ke dalam setiap IPTA, maktab, pusat matrikulasi, sekolah asrama penuh dan semua institusi pendidikan yang dimiliki kerajaan sudah disediakan kuota untuk bukan bumiputera. Malah khabarnya pihak-pihak tertentu mendesak agar UiTM juga dibuka untuk bukan bumiputera. Namun hakikatnya UiTM sejak dulu lagi memang menerima kemasukan para pelajar bukan bumiputera terutama pelajar dari Sabah yang dikategorikan sebagai Sino (Perkahwinan campur antara Cina dan Kadazandusun).

Sejak diperkenalkan pada tahun 2002, sistem meritokrasi memberi lebih manfaat kepada bukan bumiputera, sehinggakan pelajar bumiputera yang gagal memasuki aliran Sains di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi 2004/2005 lebih tinggi berbanding peratusan calon bukan bumiputera. Seramai 24,678 pelajar bumiputera memohon untuk mengikuti pengajian aliran Sains tetapi 14,497 orang sahaja iaitu 58.7 peratus yang berjaya ke aliran itu di IPTA (41.3 peratus gagal). Berbanding dengan pelajar keturunan Cina, seramai 9,577 orang telah memohon dan 8,047 atau 84 peratus daripada mereka berjaya (16 peratus gagal), manakala bagi pelajar keturunan India, 1,858 memohon aliran sains dan mereka yang berjaya ialah 1,118 orang atau 60.2 peratus (39.8 peratus gagal).

Bagaimanapun ketidakpuasaan hati pihak-pihak tertentu terhadap sistem meritokrasi mula dipersalahkan hanya disebabkan pada sesi kemasukan 2004/05 jumlah pelajar bumiputera yang berjaya memasuki IPTA mengikut sistem meritokrasi lebih tinggi iaitu sebanyak 63.8 peratus berbanding Cina 30.3 peratus dan India 5.9 peratus. Ketidakpuasaan adalah satu manifestasi perkauman sempit mereka disebabkan pertambahan bilangan orang Melayu yang mendaftar untuk kursus perubatan dan pergigian. Nampaknya semakin dekat persaingan orang Melayu secara semula jadi tanpa dorongan politik untuk mengejar bangsa lain dalam bidang pendidikan, ada sahaja tangan ghaib untuk membentes dan mencantas mereka sehingga Melayu jatuh tersungkur menyembah bumi. Peri laku, tabiat dan kelakuan bukan bumiputera yang sentiasa iri hari dengan pencapaian Melayu waima melalui persaingan sihat menyebabkan sebahagian besar oran Melayu terpaksa menyandarkan harapan mereka pada kuasa politik Melayu.

Walau bagaimanapun sejak 1957 sehingga 2008, orang Melayu gagal memanfaatkan ruang ‘kuasa’ yang ada pada tangan mereka. Inilah delima yang terus menjadi persoalan; kenapa bangsa Melayu selama 51 tahun merdeka gagal menjadi bangsa terbilang sebagaimana Jepun bangkit tidak sampai 30 tahun selepas kehancuran Hiroshima dan Nagasaki.

Dilema yang dihadapi oleh bangsa Melayu kerana wujudnya ‘spesies pelesit ‘ segelintir Melayu elit berjiwa penjajah yang terlalu takjub dengan ilmu, pelajaran, falsafah, bahasa, budaya, sains dan teknologi Barat serta memandang rendah terhadap milik bangsa mereka sendiri. Dimensi kuasa yang dimiliki oleh elit Melayu, yang terdiri daripada ahli-ahli politik, para korporat, pegawai tinggi kerajaan, pengamal media, ahli akademik, artis, sasterawan dan wartawan tidak mengandungi semangat Melayu tulen dan mereka gagal untuk menterjemahkan ‘kuasa‘ melalui tindakan konkrit. Lebih memburukkan keadaan Melayu elit inilah yang menyapu segala peluang yang terhidang dalam DEB, atas kuota bumiputera mereka merampas hak orang Melayu miskin dengan cara yang paling kotor!. Namun kesedaran pendidikan telah membuka mata hati generasi Melayu pasca merdeka untuk menilai dan akhirnya menghukum perilaku Melayu Elit ini dengan ‘kuasa’ pilihan raya.

Implikasi pasca pilihan raya ke 12 barulah, barulah timbul sedikit kesedaran keterhakisan ‘kuasa’ Melayu dengan tumbangnya tradisi dominasi pimpinan Melayu seperti Selangor dan Perak manakala kawasan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sejak dulu memang didominasi oleh kuasa politik Cina. Kedengaran juga rasa berdosa dan bersalah, anak muda Melayu yang beriya-iya benar untuk mengalahkan parti pemerintah terdahulu tetapi tidak sampai pun setahun, mereka mula sedar dan insaf, bahawa lari daripada harimau masuk pula ke mulut buaya. Senario pimpinan cacamerba dalam melaksanakan dasar baru oleh pemerintah Selangor dan Pulau Pinan nampaknya lebih dahsyat berbau perkauman, menekan dan agak keterlaluan. Ambil sahaja contoh di negeri Selangor, kerajaan baru selepas PRU 12, telah meluluskan pembinaan ladang babi terbesar di Malaysia manakala di Pulau Pinang usaha memasang papan tanda jalanraya dalam bahasa Mandarin dilakukan secara sengaja untuk menidakkan pendaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Semakin hari tembelang mereka mula pecah dan generasi muda Melayu yang terlalu ghairah dengan slogan reformasi dahlu mula menghidu bau kebusukan pengkhianatan yang dilakukan oleh idola pemimpin mereka. Nyatalah dengan mendapat ‘kuasa’ manusia akan hilang punca, apatah lagi bila rakyat teramat mudah didustai dengan gula-gula politik menerusi retorik kata-kata.

Berlainan pula fenomena di Kedah dan Kelantan, scara realitinya, negeri Kedah tetap kekal di bawah teraju orang Melayu cuma berlaku peralihan kuasa pentadbiran dan keadaan yang sama wujud sepertimana yang berlaku dengan negeri Kelantan, bahawa dasar mengutamakan kebajikan kepentingan Melayu terus dipertahankan.

Menelusuri sebuah pertubuhan siasah Melayu yang telah hilang kuasa di beberapa negeri, nampaknya tidak banyak memberi kesan kesedaran dan keinsafan, kepada seluruh ahlinya. Lihat sahaja tabiat dan kelakuan daripada pemimpin kanan sampai ke akar umbi di setiap cawangan, nampaknya lebih ghairah mengejar jawatan dalam parti daripada memikir dan merancang strategi untuk menambat hati golongan muda serta membujuk pengundi Melayu yang merajuk dengan parti mereka. Bayangkanlah sebuah parti yang sedang sakit tenat kerana sudah ditolak oleh majoriti bangsanya sendiri tetapi para ahlinya pula sedang sibuk merancang merebut jawatan dalam parti kononnya penukaran pemimpin hanyalah satu-satunya cara untuk mendapatkan kepercayaan majoriti bangsa Melayu. Namun hakikatnya segala dasar, perancangan dan pelaksanaan masih dalam kerangka berfikir lama iaitu terfokus tentang kebendaaan cari makan dalam politik, mendapatkan projek dan menghimpun komisen, Maka yang bakal berubah hanyalah orangnya sahaja tetapi jiwa kebendaan yang tetap beraja di hati, akan terus menghanyutkan pengikut baru dan lama, supaya kasih serta cintakan dunia.

Perubahan besar haruslah segera dilakukan dengan muhasabah diri daripada seluruh ahli dengan menjadikan perjuangan memartabatkan kepentingan kolektif bertunjangkan paksi agama, bangsa dan budaya; wajib diutamakan berbanding agenda peribadi. Orang Melayu harus belajar daripada muafakat bangsa Cina yang berbeza aliran parti politik tetapi mempunyai matlamat yang sama demi faedah bangsa, mereka mengorbankan tuntutan kebendaan(peribadi) lalu menyatukan perjuangan yang akhirnya berjaya memperkasa kedudukan ekonomi, memartabatkan bahasa Mandarin dan melestarikan budaya Cina di Malaysia.

Ringkasnya situasi orang Melayu di Malaysia sudah semakin parah dan terlalu lelah untuk terus berpecah. Kita semakin lemas dengan gelagat orang politik Melayu yang langsung tidak cemas melihat keadaan ini sebagai sesuatu yang perlu diambil tindakan segera. Bertambah parah bila mereka yang dulu diterima untuk berbumbung di bumi ini sudah mula berani memijak-mijak, mempertikai asas sejarah Tanah Melayu untuk mengelirukan seluruh warga bahawa bangsa Melayu sama seperti mereka tiada kelebihan atau mempunyai hak dan keistimewaan walau termaktub dalam perlembagaan. Namun, Keberanian mereka menuntut hak yang membayangkan mereka juga kaum peribumi Malaysia bukanlah disebabkan kekuatan mereka tetapi perpecahan sebagai sumber kelemahan kita sendiri yang gagal untuk membezakan keutamaan mementingkan pendaulatan bangsa sendiri dengan soal kompromi atau tolak ansur membabi buta. Sebagaimana yang disebutkan oleh seorang sarjana yang banyak mengkaji DEB iaitu Just Faaland; perpecahan di kalangan orang Melayu pada satu atau dua dekad yang lepas sesungguhnya memperlihatkan ketidakupayaan orang Melayu untuk bekerjasama demi mencapai matlamat bersama... kadangkala mereka mengakui kesilapan mereka yang sering berselisih faham, itulah yang menyebabkan mereka menghadapi kerugian yang lebih besar.

2 comments :

cemomoi said...

melayu fikir dengan kuasa politik mereka boleh jadik gagah, rupanya makin lemah. sudah le asyik bertelagah, sesetengah tu kalah dek duit yang diagah.

Ampuan Awang said...

Cemomoi,

entahlah, aku khuatir benar sekiranya pelakuan buruk ini berlaku di masa hadapan selepas ketiadaan kita di dunia...

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top