ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Khabar Lewat Tahun Lepas: Imbas Kembali Ke Masa Lampau (DEB Review)

Oleh: Merdeka bin Kebangsaan

Isu berkenaan DEB (Dasar Ekonomi Baru) kini sering dibangkitkan di Dewan Rakyat. Ramai di kalangan wakil rakyat mula membahaskan isu ini dan ia semakin mendapat tempat di pihak sayap kiri dalam negara. Riuh rendah di dalam Parlimen kini dapat diketahui semenjak liputannya sering diulang siar di Televisyen tempatan. Suasana gamat. Soalan demi soalan, bertubi-tubi dilontarkan. Acara bantah membantah di antara mereka yang berbeza fahaman sering menimbulkan suasana huru-hara. Seolah-olah berada di medan peperangan. Kesanggupan mereka meninggalkan dewan hanya kerana ketidakpuasan hati sudah berkali-kali dilakukan. Apakah mungkin mereka ini akan berhenti menyalak setelah permintaan mereka dikabulkan?

Kewujudan DEB, seperti yang diketahui umum adalah bertujuan mengimbangi jurang perbezaan di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera. Antara lainnya adalah untuk mengalakkan pertumbuhan dan kelahiran masyarakat perniagaan dan perusahaan Bumiputera yang didominasikan oleh kaum Cina amnya. Pun begitu, semakin ramai yang mempersoalkannya walaupun dasar yang diperkenalkan ini telah menjangkau usia 40 tahun. Apakah disebabkan usianya yang hampir 40 tahun itu menyebabkan mereka kembali mempertikai dengan mengatakan ia sudah tidak relevan untuk digunapakai di masa kini? Menggunakan alasan bahawa bangsa Melayu sudah maju dan boleh berdikari adalah satu alasan yang salah dan tidak wajar disuarakan. Cuba hitungkan berapa bilangan Bumiputera khususnya Melayu yang berjaya dalam perniagaan? Lihat kembali fakta yang dikeluarkan tahun lepas di mana Raja Gula masih lagi mengungguli tempat pertama antara 10 orang yang terkaya di Malaysia. Rata-rata yang tersenarai di dalam carta datang dari suku kaum Cina dan India. Andai masih lagi dipersoalkan, cuba nyatakan di tangga ke berapa Melayu sebagai wakil Bumiputera berada?

Seharusnya mereka mengkaji serta mendalami terlebih dahulu sebelum menghujani pelbagai persoalan dan spekulasi tentang dasar DEB. Dalam hal ini, sikap profesional diperlukan dalam menilai kembali mengenai dasar yang diamalkan. Kita boleh saksikan sendiri kemajuan yang telah dicapai di seluruh negeri. Jangan lupa bahawa negara kita adalah antara negara yang mencapai peratusan pembangunan paling rancak berbanding negara Asean yang lain. Semua ini adalah hasil dari dasar yang dikatakan tidak relevan itu.

"Sudah mendapat betis, hendakkan peha, setelah itu mengharapkan badan pula" kata-kata ini paling cocok buat mereka yang berkata Melayu sudah maju.

Kenapa perlu membantu orang Melayu? Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman:

"Pengalaman menunjukkan bahawa orang Melayu tidak mempunyai tempat di dalam negeri-negeri pemerintahan British: hak-hak mereka tidak dihiraukan dan diketepikan. Sekolah-sekolah mereka pun diletakkan di peringkat yang rendah sekali dalam bidang pendidikan, mereka diberikan didikan 'tempatan' selama tiga atau empat tahun - selepas itu apa yang boleh mereka lakukan hanyalah mencari makan untuk menampung hidup. Segelintir orang Melayu yang kaya mampu menghantar anak-anak mereka ke luar negeri untuk pengajian tinggi, tetapi sebilangan besar daripada orang Melayu di pandang rendah oleh semua... Orang Melayu perlukan bantuan untuk menaikkan taraf hidup mereka."

(Far Eastern Economic Review, 21 Julai 1988, ms. 17)

Tragedi 69 merupakan satu detik hitam dalam politik di Malaysia. Sejarah menunjukkan bagaimana perpecahan di antara kaum menjadi penyebab utama gagalnya usaha membawa kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara yang sedang membangun. Dengan mengambil kira dari pelbagai aspek, kerajaan pada masa itu mengubal dasar dengan memperkenalkan DEB (Dasar Ekonomi Baru) yang kemudiannya ditukar kepada DPN (Dasar Pembangunan Negara) pada tahun 1990. Antaranya bertujuan bagi mengelakkan kekacauan berulang seperti yang dialami pada tahun 1969 yang mana bukan Malaysia sahaja yang mengalaminya tapi dialami oleh banyak negara di Asia ketika itu. Dasar ini bukan setakat untuk kepentingan orang Melayu tetapi untuk Bumiputera yang lain. Amat mengecewakan apabila para penentang dasar ini turut menampilkan orang Melayu yang lantang merumuskan bahawa DEB sudah ketinggalan zaman, dengan mengatakan ia merugikan orang Melayu dan kekononnya telah membunuh inisiatif dan daya usaha orang Melayu. Semua itu berlaku hanya dengan alasan bahawa negara telah mencapai taraf kemajuan yang seimbang dari segi ekonomi dan seharusnya sikap berlumba-lumba merebut peluang agar dapat menjadi trademark bagi membuang sikap malas Melayu. Sungguh tidak berasas langsung!

Ternyata pemikiran sesetengah daripada orang kita dipengaruhi idealisme lama semasa pemerintahan British. Di mana mereka (penjajah) telah membasuh otak untuk mempercayai yang bangsa Melayu ialah bangsa yang malas (secara fizikal dan mental). Inilah taktik penjajah British dalam menanamkan fahaman dengan mengatakan bahawa orang Melayu hanya sesuai hidup di Hulu-hulu sungai kampung, bercucuk tanam bagi menyara hidup seharian. Seolah-olah membayangkan usaha mereka terhenti setakat itu dan akan terus begitu sampai bila-bila.

Mari kita merenung kembali keadaan semasa negara diperintah di bawah pemerintahan penjajah. Orang Eropah, Cina dan India kebanyakkannya terlibat dalam sektor Ekonomi Moden yang berpengeluaran tinggi iaitu sebagai usahawan, pengurus dan pekerja-pekerja firma, ladang dan syarikat perdagangan, sementara orang Melayu rata-ratanya terlibat dalam sektor pertanian dan nelayan berpengeluaran rendah. Penglibatan orang Melayu dalam sektor moden hanyalah dalam perkhidmatan awam di peringkat persekutuan dan negeri di mana tempat-tempat itu telah dikhaskan untuk mereka oleh pihak British, dan sebagai anggota polis dan tentera. Bidang ini semestinya tidak menarik minat orang bukan Melayu kerana tangga gajinya yang rendah jika dibandingkan dengan pendapatan dalam sektor swasta yang dikendalikan dengan ketat dan lebih mirip kepada kaum tertentu. Kita masih boleh melihat diskriminasi sosial dan industri yang dikawal selia oleh orang bukan Melayu dalam berbagai bentuk dan keadaan.

Di dalam bidang perniagaan, bank-bank British dan Cina sememangnya tidak akan memandang Melayu dengan alasan tiada pengalaman atau tidak mempunyai pengalaman yang sesuai. Dalam bidang pemborongan, penjualan runcit, bahagian import dan eksport, mereka tidak dibenarkan masuk persatuan-persatuan dan persatuan perniagaan. Ada di kalangan orang Melayu yang mencari pekerjaan di bahagian sektor swasta, akan tetapi mereka diketepikan oleh pilihan dan sekatan-sekatan suku-kaum, bahasa dan budaya. Banyak kedai Cina dan India enggan mengambil pekerja Melayu melainkan hanya segelintir sahaja yang berbuat demikian. Keadaan sedemikian berlanjutan sehingga ke hari ini, di mana pengambilan pekerja import mewakili suku masing-masing apabila kekurangan pekerja.

Apakah bidang kerja yang sesuai diberikan buat bangsa Melayu? Hanya sebagai pekerja peringkat bawahan iaitu jenis kasar sahaja ditawarkan kepada orang Melayu: kerja-kerja seperti penarik beca (dahulu), pemandu (dahulu dan kini) dan pengawal keselamatan (dahulu dan kini).

Apakah kemerdekaan bermakna kepada bangsa Melayu dan Bumiputera seluruhnya? Walaupun banyak kemajuan dicapai dalam tempoh beberapa tahun ini, namun ia tetap tidak dapat mengimbangi kesamaan dari segi ekonomi berbanding kaum lain. Secara jelas kita masih dapat melihat terdapat ramai lagi yang dipinggirkan tanpa ada usaha untuk menghulurkan bantuan bagi membantu mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

Berdasarkan fakta dan data yg diperoleh hasil dari penelitian di masa lalu bermula daripada tahun 1957 sehingga tahun 2000:

→ 1957-70: Dalam tempoh 13 tahun sehingga tahun 1970, KNK telah berganda pada kiraan kasar. Ketika ini kadar pertumbuhan orang Malaysia keturunan Cina lebih tinggi daripada kadar untuk kaum Bumiputera; perbezaan di antara kaum lebih jelas, lebih kurang 8 untuk kaum Cina dan 4 untuk kaum Bumiputera pada tahun 1957 kepada 9 dan 4 pada tahun 1970.

→ 1970-76: DEB mula diambil kira dalam rancangan-rancangan dan juga institusi-institusi yang menyokong matlamat DEB. Pertumbuhan berlaku dengan pesatnya dengan purata 8 hingga 9 peratus setahun. Nisbah perbezaan 9 terhadap 4 pada tahun 1970 tidak merosot lagi, tetapi tidak juga menjadi lebih baik.

→ 1976-84: Pertumbuhan mula jatuh kepada separuh tahap yang dicapai pada tahun-tahun sebelumnya; untuk kaum Cina, pencapaiannya hanya lebih sedikit daripada satu pertiga. Nisbah per kapita bertambah baik, daripada 9 berbanding dengan 4 pada tahun 1976 kepada 7 terhadap 4.

→ 1984-87: Kemelesetan ekonomi disebabkan faktor luaran. Secara keseluruhan, ekonomi tidak berkembang langsung. Tetapi nisbahnya bertukar lebih baik iaitu 6.5 terhadap 4, berbanding dengan nisbah 7 terhadap 4, tiga tahun sebelumnya.

→ 1987-97: Pertumbuhan pesat, yang mana mencapai purata 10 peratus setahun, lebih sedikit untuk kaum Cina dan kurang sedikit untuk kaum Bumiputera. Nisbahnya 6.5 terhadap 4 pada tahun 1987 dan menjelang tahun 1997 ianya merosot kepada hampir 7.5 terhadap 4.

→ 1997-2000: Tempoh krisis kewangan (1997-98) yang teruk dan masa pemulihan semula yang mencabar (1999-2000) dengan ancaman kemelesetan pasaran eksport utama. Keseluruhannya KNK ternyata jatuh tidak kurang daripada 7.5 peratus pada tahun 1998, diikuti oleh pemulihan semula dengan kadar 5.8 peratus pada tahun 1999 dan 7.5 peratus pada tahun 2000. Pendapatan isi rumah bagi orang Cina yang kaya terjejas lebih daripada kaum Bumiputera, tetapi setengah daripada kesan ini telah mula berpaling. Menjelang tahun 2000, nisbah perbezaan pendapatan ialah 7 terhadap 4 kepada kaum Bumiputera, seperti keadaan akhir yg paling aktif dasar-dasar DEB sehingga pertengahan dekad 1980-an.

Apakah orang terlepas pandang akan fakta di atas? Mengambil kata-kata dari Sasterawan negara Datuk Usman Awang dalam sajaknya yang bertajuk 'Melayu' antaranya:

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan"

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual.

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal Universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan

"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kelaparan."

Bangsa Melayu sudah cukup terkenal dengan kelembutan dan sopan santun, budi bahasa serta ketinggian adat budayanya. Walaupun ia didouble standardkan oleh sesetengah pihak, namun ia terus melangkah menongkah arus. Kekadang terdetik rasa simpati apabila hak yang dimiliki oleh mereka kini telah mula dipersoalkan kembali setelah lama ia tidak disentuh secara terbuka. Mengenang akan tragedi 69 yang hampir memecah-belahkan perpaduan antara kaum, ada baiknya kita muhasabah diri kita kembali. Dalam soal ini, kerjasama di antara semua kaum di Malaysia amatlah dialu-alukan demi menjaga mengukuhkan serta menguatkan kembali ikatan mesra yang terjalin sekian lama dahulu. Dasar DEB bukannya satu dasar yang merencatkan mata pencarian suku kaum lain tapi ia untuk kebaikkan bersama. Sekiranya dasar ini tidak wujud sekalipun, bangsa Melayu dan kaum Bumiputera yang lain tetap juga berada di takuk yang lama. Kesamarataan yang dituntut oleh segelintir pihak pastinya mempunyai motif yang tertentu.

Mengapa mesti menuntut kesamarataan sekiranya kekuatan ekonomi masih lagi didominasi oleh mereka? 

Bangsa Melayu sudah cukup berbudi. Budi yang ditabur bukannya menuntut balasan tetapi hanya untuk mempertahankan hak yang sudah jelas termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Dan bagi bangsa Melayu pula, bersatulah kembali, carilah kesepakatan walaupun berbeza fahaman politik dan sebagainya. Perubahan kepada Bumiputera pasti akan berlaku sekiranya kata sepakat dicapai tanpa timbul sebarang selisih faham. Sekiranya program realiti Akademi Fantasia Musim Ke-7 tahun ini menghebohkan bahawa akan berlaku Tranformasi, maka bangsa Melayu serta Bumiputera yang lain pun harus mengikut jejak yang sama. Ayat terakhir pada Sajak 'Melayu' Datuk Usman Awang buat bangsa Melayu:

jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka.

Andai memandang dari sudut negatif, pastilah akan tersilap nilai. Ukurlah ia dari sudut positif. Kata-kata perangsang dari isi Sajak itu jelas menunjukkan betapa tingginya moraliti bangsa Melayu. Bersikap terbukalah dalam segala hal, namun jagailah adab selalu. Jangan sampai ia menyinggung perasaan kaum lain yang nyata mempunyai autoriti di dalam negara ini.

2 comments :

darma mohammad said...

Sdr AA :

Puisi Usman Awang yang memetik kisah Mak Si Randang itu hendaklah ditafsirkan secara mendalam.

Wassalam.

Ampuan Awang said...

Pak Darma,

kisah Mak Si Randang? yang mana satu, pak?

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top