ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Hakikat Dan Realiti Kehidupan Muslim 69

Oleh: AwangJikara

Adakah kita layak digelar sebagai “Muslim 69” (sekelas dengan “Keluarga 69”) seandainya :

1. Kita suka memandang sinis dan mempersendakan golongan yang berusaha mengikut sunnah Rasulullah SAW dengan berjubah, berserban, menyimpan janggut yang kemas, memperbanyakkan amalan sunat dan amalan lainnya, sedangkan apabila diri atau keluarga ditimpa musibah golongan inilah yang selalu mencari ahli agama atau lebai minta didoakan keselamatan mereka. Mata kita sakit memandang muslimin yang berjubah, berkopiah dan berserban, tetapi apabila anak-anak gadis kita berpakaian sendat menjolok mata sehingga terkeluar “aurat belakang” dan “aurat depan”, kita buat-buat tak kisah saja atas nama perubahan zaman, hak kebebasan individu atau kerana kasihkan anak-anak kononnya.

2. Kita berpandangan bahawa bagi menyambut AidilFitri atau Aidiladha wajib disediakan pakaian raya sekurang-kurangnya dua atau tiga pasang seorang, wajib ada mercun dan bunga api yang pada akhirnya mendatangkan musibah melebihi keseronokan, wajib pula memasang pelita atau lampu kelip-kelip bagi menerangi rumah atau pejabat yang meniru amalan kaum Hindu Majusi atau Nasrani, wajib mengecat rumah, wajib menukar perabot saban tahun, wajib menghulurkan angpau atau duit raya yang ditiru amalannya daripada amalan kaum Tionghua, wajib menambah aksesori kereta sehingga perbelanjaan melonjak jauh melebihi pendapatan. Bukankah kita digalakkan bersedekah kepada golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadhan untuk merebut pahala yang berlipat ganda? Bukankah rohani serta rumahtangga akan diterangi oleh amalan baik yang kita lakukan penuh keikhlasan kerana Allah, bukan diterangi oleh lampu pelita minyak tanah atau pun lampu kelip-kelip yang hanya indah pada zahirnya sahaja?

3. Kita terlalu mengeraskan diri dalam beribadah sehingga hampir menyamai kaum Yahudi, umpamanya menyaringkan suara dengan mikrofon bila mengadakan ceramah atau kuliah agama di surau atau masjid, sedangkan yang disyariatkan hanyalah laungan azan untuk memanggil umat Islam bersolat. Kekerasan dalam beragama seperti ini sebenarnya tidak mampu menarik hati manusia untuk lebih mendekati agama Allah, bahkan lebih menjadikan manusia benci kepada institusi agama. Kerana kekasaran serta kekerasan hati kaum Yahudi itulah akhirnya membuatkan pintu hati mereka tertutup dari petunjuk Allah, walaupun mereka melaung-laungkan kepada dunia bahawa merekalah umat pilihan tuhan dan paling mulia di kalangan bangsa manusia.

4. Kita menjadikan agama dan bangsa sebagai ”tangkal” untuk menjamin kepentingan peribadi. Golongan pemimpin, baik pemimpin dalam bidang politik mahu pun pemimpin dalam syarikat atau pertubuhan yang korup, pecah amanah, menyalahgunakan kuasa, bermuka-muka dan tidak serius berkhidmat untuk rakyat selalunya mempermainkan sentimen ”sayangkan agama” dan ”kasihkan bangsa” yang amat menebal dalam jiwa orang Melayu apabila mereka-mereka ini sudah diambang kejatuhan atau laksana telur di hujung tanduk dalam karier masing-masing akibat salah laku mereka sendiri. Apabila penyokong kembali menghulurkan tangan atas dasar kasihkan agama dan bangsa, mereka kembali semula kepada tabiat lama iaitu mencari dan melonggokkan segala bentuk kesenangan duniawi untuk memenuhi perut sendiri dan keluarga terdekat (Kronism).

5. Kita dari golongan ahli agama dan pihak pemerintah merasa selesa dan aman dengan jawatan serta title yang disandang ditambah pula dengan imbuhan bulanan yang lumayan. Tidak ada lagi rasa untuk turun padang bagi menyiasat keperluan rakyat, baik keperluan rohani mahu pun keperluan material sehingga tindakan susulan hanya akan diambil apabila berita telah terpampang di dada-dada akhbar atau dihebahkan oleh media massa terkini. Tiada langsung timbul sebarang inisiatif untuk mengikut tauladan Saidina Umar al-Khattab r.a yang sanggup berkeliling di kawasan jagaannya di waktu malam untuk menyiasat kesusahan rakyat.

6. Kita bersusah payah mengadakan kenduri doa selamat menyambut ketibaan Ramadhan saban tahun sehingga menjadi suatu budaya, sedangkan sesetengah daripada kita tidak pernah berpuasa atau dengan sengaja meninggalkannya atas alasan tak tahan kalau tak merokok, tak tahan letih bekerja, perut sakit dan bermacam lagi alasan yang biasa didengar. Doa selamat memang sesuatu yang baik, tetapi matlamat untuk bersedekah atau memberi makan tidak menepati golongan sasaran kerana yang dijemput menghadirinya biasanya ialah ahli keluarga kita sendiri yang rata-rata ”makan cukup, pakai cukup”. Golongan miskin dan fakir tetap terpinggir. Di manakah keindahan Islam kalau begitu?

7. Kita bersusah payah juga mengadakan kenduri menyambut ulangtahun kelahiran anak, ulangtahun perkahwinan, anak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, anak mendapat pekerjaan yang bagus dan sebagainya. Sedangkan kita sendiri pun tidak pernah bersolat 5 waktu, solat Jumaat pula bila ada kelapangan saja. Layakkah kita menjadi contoh tauladan dan wali bagi pernikahan anak-anak kalau begini keadaan kita?

8. Kita bermuka-muka dalam menegakkan hukum Allah kerana malu dengan golongan bukan Islam, takut dipinggirkan dari arus perdagangan globalisasi, takut dicap sebagai pengganas atau fundamentalis, takut bangsa tidak maju akibat ”tangan kudung”, takut para pelabur asing tidak mahu datang dan berbagai alasan lagi. Golongan ini berselindung di sebalik hak kebebasan bersuara, hak wanita, kemanusiaan dan sebagainya sedangkan yang menjadi juaranya ialah kaum kuffar. Di hadapan kita, mereka ini berkata manis ”menghormati hukum Islam”, tapi di belakang tabir golongan muslim munafik dan fasik inilah sebenarnya dalang yang berusaha menggagalkan terlaksananya hukum Allah kerana dikhuatiri merekalah orang pertama yang akan menerima hukuman disebabkan pelbagai kesalahan syariah serta maksiat yang mereka lakukan selama ini. Bukankah patut kalau negara dan umat ditimpakan dengan bencana sebagai hukuman oleh Allah?!

9. Kita tidak suka anak-anak mengikuti pengajian aliran agama bermula dari peringkat rendah sehinggalah ke pusat pengajian tinggi kerana ditakuti tidak menjamin masa depan akibat tiada peluang pekerjaan yang menanti selain daripada menjadi guru agama semata-mata. Kita lebih suka anak-anak berjaya dan dikenali masyarakat dalam bidang ilmu duniawi seperti sains, matematik, pentadbiran atau ekonomi. Akibatnya kita semakin kehilangan ahli dalam bidang agama, sehinggakan hendak mencari ganti seorang imam kampung pun terpaksa ”tular-menular” kerana generasi yang ada kini adalah generasi yang jahil dalam serba-serbi. Perlu diingat, belajar ilmu agama atau akhirat tidak semestinya semua orang perlu menjadi ulama atau ustaz, tetapi ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah wajib ada pada setiap muslim untuk bekal kita masing-masing sementara masih hidup di dunia dan juga ketika di alam baqa kelak!!

Keadaan umat kita diakhir zaman jelas kucar-kacir, tunggang terbalik. Ada pihak ketika ini sedang dalam proses untuk menghalalkan apa yang diharamkan dan seterusnya mahu barang yang halal itu jadi samar-samar. Maka tidaklah salah dinisbahkan bahawa kita mendekati kepada Muslim 69. Diakhir zaman, agama akan menjadi sesuatu yang pelik untuk diamalkan. Manusia merasakan pertalian rapat antara agama yang dianuti perlu dijarakkan sedikit bagi memberi laluan kepada kemajuan yang dirasakan terlebih penting dan patut didahulukan dari agama yang kononnya mengongkong perjalanan pembangunan.

Suara-suara manusia yang janggal ini selalu melempiaskan kata-kata sumbang pada mereka yang berdiri tegak mempertahankan sunnah Nabi. Kata mereka:

"Ah, untuk apa lagi kita berserban. Zaman sekarang kita sudah maju. Lagipun banyak topi-topi yang lebih cantik dipakai dari memakai serban."

"Kita mesti ikut arus kemajuan. Zaman Nabi bukannya ada kenderaan macam sekarang. Jadi siapa yang mahu ikut Nabi, pergilah balik ke zaman tu. Aku taknak naik unta..."

"Biarlah kita jadi reformis dari segi pemikiran. Orang zaman Nabi pemikirannya sempit. Jadi kita ubah persepsi tu untuk elakkan dari otak kita jadi beku."

Sabda Nabi tentang sunnahnya memang tiada salah bahawa memegang sunnah diakhir zaman seumpama kita menggenggam bara api. Apa yang jelas di sini, kita sebenarnya sudah leka dengan kemajuan yang kita kecapi sehingga kita terlupa bahawa Allah boleh ambil balik nikmat ini bila-bila masa yang Dia suka. Jadi, siapa yang harus beringat? Sendiri mahu ingatlah kawan!

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top