ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

UMNO Dan PAS: Apakah Kebersatuan Itu Bakal Membangkit Perpaduan Atau Kejatuhan Yang Membawa Perpecahan Bangsa?


(Ayat yang kerap sampai ke telinga: 'Orang muda tak layak meluah sangat bab-bab politik. Umur baru setahun jagung, baru nak hidup, usah membicarakan hal orang veteren; jangan menyibukkan diri.". Wah, rupanya begitu kefahaman mereka. Menarik sungguh. Malang sekali kepopularitian seorang pembahas politik tidak tertuju buat para warga emas (para YB terkena jua) tapi ia terbuka untuk beliawan dan beliawanis jua. Lihat saja apa yang telah berlaku kini? Dominasi laman politik rata-ratanya dipelopori dek orang muda. Apa cerita? Orang muda sudah beralih pandangan, apa cerita? Faham-faham sendirilah)


Oleh: ARIF ATAN

(Utusan Melayu Mingguan, 2 Ogos 2010, hlm. 8)

Hentikanlah sahaja desakan meminta UMNO dan PAS bersatu. Ibarat menanti kucing bertanduk sahaja untuk melihat hal tersebut menjadi kenyataan. Takrifan sebenar perpaduan yang dicita-citakan itu pun tidak jelas.

Sebaliknya, orang lain hanya bertepuk tangan melihatkan betapa jumud dan celarunya bangsa Melayu dalam berpolitik!

Menggesa supaya UMNO dan PAS bergabung parti atas alasan perpaduan samalah seperti meminta parti MCA serta Gerakan dan DAP termasuk beberapa parti politik di Sabah dan Sarawak yang didominasi kaum Cina untuk bergabung.

Namun, mengapa kaum Cina tidak pula galak mendendangkan gabungan pelbagai parti politik tersebut atas nama “suci” perpaduan kaum Cina?

Kita harus faham kewujudan blok parti politik yang mewakili kepentingan Melayu dan Bumiputera baik dari Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) adalah sama-sama penting.

Tambah mendesak dalam suasana politik di Malaysia ini yang masih sarat dengan orientasi dan tekanan perkauman.

Pada ketika kaum Cina memiliki suara dan jentera politik yang kuat daripada kedua-dua pihak disokong oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau “huatuan”, adakah masa depan bangsa Melayu akan sentiasa cerah di tanah airnya jika “perkahwinan” UMNO-PAS menjadi kenyataan?

Tegasnya, perpaduan secara teknikal seperti mengajak UMNO dan PAS bergabung parti adalah ditolak. Namun, tidak bererti penulis bulat-bulat menolak perpaduan hati dan semangat Melayu

Apa yang patut kita tegaskan ialah pimpinan Melayu dan Bumiputera pelbagai parti politik perlu bersatu hati membela, mempertahankan dan mengembangkan lagi kepentingan Melayu.

Kita tidak harus rasa rendah diri, tidak yakin, terlalu "apologetic" atau lebih teruk lagi “takut” lalu tunduk sahaja pada kehendak politik bersifat perkauman bukan Melayu seperti yang dapat kita lihat dalam kenyataan sebahagian pemimpin Cina dan media berbahasa Mandarin.

Bagi penulis, biarlah UMNO dan PAS wujud sama-sama kuat sebagai pengimbang tara serta saling mengukuhkan antara satu sama lain sepertimana halnya dengan budaya politik kaum Cina.

Mereka perlu tegas pendirian dan kuat iltizam apabila tiba hal-hal bersabit dengan kepentingan dan kelangsungan dalam mempertahankan kepentingan Melayu. Kedua-duanya malah PKR sekalipun perlu tegas dan konsisten melaksanakan agenda pembangunan negara tanpa meminggirkan kepentingan Melayu.

Usah terlalu memberi muka melayan segala kehendak kaum lain. Pemimpin Melayu baik dalam BN mahupun PKR melalui parti politik yang dipegang perlu meletakkan keutamaan terlebih dahulu kepada agenda kepentingan Melayu, Islam dan pembentukan negara bangsa berteraskan kebudayaan dan citra Melayu dan Bumiputera.

Itulah yang sepatutnya masyarakat Melayu tuntut daripada pimpinan Melayu di dalam UMNO, PAS serta PKR.
Namun, keadaan hari ini sudah jadi terbalik. Pemimpin Melayu dilihat terlalu berhati-hati apabila tiba bab kepentingan Melayu tetapi apa sahaja berkaitan kehendak Cina pula lebih mendapat perhatian serta ditunaikan.

Akhirnya siapa yang untung dan siapa yang paling rugi?

Kita tidak mahu Melayu hanya “menang sorak, kampung tergadai” apabila pimpinan Melayu sibuk benar berpolitik yang tidak menguntungkan bangsa. Sepinggan nasi milik sendiri diagih-agih kepada orang lain tetapi mengapa sepinggan nasi orang lain yang sama hanya menjadi milik mutlak mereka tanpa dikongsi bersama-sama orang Melayu?

Walhal, kaum lain telah senyap-senyap malah ada masanya terang-terang mengatur strategi politik dan mengambil kesempatan memanipulasi keadaan di sebalik huru-haranya budaya politik Melayu hari ini.

Ini berlaku apabila masing-masing mengamalkan pendekatan politik "parochial" atau sempit dan taksub dengan parti politik yang disokong tanpa tiada kesedaran langsung terhadap masa depan kepentingan Melayu dalam politik, sosial dan ekonomi.

Oleh itu, apa yang penting UMNO dan PAS tidak perlu saling bercakaran lantaran enggan bergabung parti. Dari semasa ke semasa duduklah semeja berpakat dan berbincang dengan diturut serta oleh PKR berkenaan pelbagai hal berkaitan kepentingan Melayu.

Gejala sosial di kalangan remaja Melayu, kebudayaan Malaysia, kemiskinan, bidang pendidikan serta penguasaan hartanah dan ekonomi Melayu antara deretan “isu-isu tertunggak” yang menuntut bangsa Melayu pelbagai parti politik peka, kritikal dan bersatu hati untuk mencari jalan penyelesaian.

Pendek kata, biar berbeza parti tetapi bersatu hati apabila menyentuh hal berkaitan kelangsungan dan masa depan Melayu.

Menggesa supaya UMNO dan PAS bergabung parti atas alasan perpaduan samalah seperti meminta parti MCA serta Gerakan dan DAP termasuk beberapa parti politik di Sabah dan Sarawak yang didominasi kaum Cina untuk bergabung.


Namun, mengapa kaum Cina tidak pula galak mendendangkan gabungan pelbagai parti politik tersebut atas nama “suci” perpaduan kaum Cina?


PS: Nukilan sahabat, Arif Atan asyik keluar di dada akhbar bersama isu separuh panas (terlebih panas pun ada). Komentar yang dilontarkan memang bernas. Apa yang menghairankan aku cuma satu, apakah dengan kebersatuan kedua-dua partai ini nanti bakal berdiri teguh, seteguh bangunan berkembar Petronas atau bakal runtuh seperti nasib yang menimpa tembok Berlin di Jerman? Kita terpaksa menunggu reaksi kedua belah pihak yang mana kini saling bertudingan antara jemari sendiri (sesuku-sebangsa jua). Apakah mungkin kekhuatiran sejarah silam membuat PAS berfikir jutaan kali dan mengapakah pula pihak UMNO berminat untuk kembali bersatu? Menyatu untuk kebangkitan bangsa Melayukah? Kita tunggu respon dari rakyat sekalian bagi menentukan jawapannya. Terserah anda ;)


Tangan yang cuba menyampai isi dan info: Ampuan Awang

2 comments :

Ibnu Jamaluddin said...

Betul...

Jika tak boleh bersatu dalam satu kesatuan apakah tak boleh bersatu dalam persefahaman?

Terima kasih atas pembukaan minda ini ya sobat...

Ampuan Awang said...

ya, itulah yang menjadi persoalan dan persoalan itu diutarakan oleh sahabatku Arif Atan dalam artikelnya di atas

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top