ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Perkasakan Tiga Domain Melayu [Oleh Arif Atan]

15 Jun 2010
Oleh ARIF ATAN

Apakah langkah yang patut kita segerakan dalam berdepan dengan cabaran tuntutan dan asakan kaum lain? Haruskah kita berdiam diri dan terus berkeluh-kesah tanpa melakukan apa-apa tindakan untuk menambah baik dan meningkatkan kualiti bangsa kita sebagai perisai daripada kenyataan orang lain yang memandang rendah kepada kita?

Sudah satu dekad kita berada dalam kurun ke-21 ini. Arus masa yang disebut globalisasi atau dunia tanpa sempadan menuntut siapa yang cepat dia dapat serta siapa yang berkuasa dia selamat.

Oleh itu, laksanakanlah tindakan afirmatif dalam menambah baik kualiti politik, ekonomi dan sosial Melayu selagi kuasa masih ada di tangan dan selagi ketua negara ini masih terdiri daripada bangsa Melayu.

Jika kita masih bercakap tanpa disusuli dengan langkah yang sewajarnya sampai bila pun kedudukan kita akan diasak dan maruah Melayu dipertikai. Jadi, segenap lapisan Melayu bermula dengan para pemimpin, golongan profesional, ibu bapa, golongan belia dan kita sendiri tanpa mengira fahaman politik kepartian perlu menambah baik kualiti tiga domain utama bangsa Melayu iaitu pendidikan, ekonomi dan kebudayaan.

Pertama, pendidikan Melayu. Pengajaran ilmu di semua peringkat termasuk di universiti mesti menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Abdullah Munsyi dalam Hikayat Abdullah (1849) yang walaupun dilihat pro-penjajah tetapi telah lama mengingatkan akan betapa pentingnya hal ini.

Antaranya, beliau melontarkan “Aku berasa sedih apabila mengenangkan hal orang Melayu yang masih belum insaf mengenai kemunduran mereka kerana mereka tidak mahu belajar bahasanya sendiri…Bukankah segala bangsa di dunia ini belajar bahasanya sendiri?”

Selain itu, ibu bapa Melayu mesti tegas tetapi berhemah dalam mendidik anak-anak. Malah, Pendeta Za’ba sejak tahun 1927 dalam makalahnya bertajuk Jalan Keselamatan bagi Orang-orang Melayu telah mengingatkan orang Melayu bahawa “Kejayaan dan kekecewaan orang Melayu terletak di atas cara didikan dan pelajaran yang diberi kepada anak-anak Melayu.”

Kedua, semestinya adalah meningkatkan penguasaan ekonomi keseluruhan orang Melayu. Adalah suatu yang menyedihkan jika ada pelancaran tabung dan sumbangan khas kepada rakyat asing yang ditimpa bencana atau peperangan tetapi orang Melayu yang masih ramai ditimpa “bencana” dan berperang dengan kemiskinan baik di desa dan luar bandar termasuk ditimpa kemalangan, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan para petani, nelayan dan buruh di bandar tidak ada pula menerima bantuan yang sewajarnya dengan faktor peredaran masa dan peningkatan taraf hidup hari ini.

Lihat pula sekeliling kita kelihatan gerai dan kedai makan Melayu di merata-rata tempat samada di tepi atau selekoh jalan raya dan di bawah rendang pokok.

Potensi niaga Melayu tinggi dalam bidang perniagaan yang berasaskan makanan. Jadi, beri tumpuan kepada bidang perniagaan yang mendapat penglibatan tinggi dalam kalangan Melayu ini.

Kedudukan mereka harus ditambahbaik dengan menyediakan tempat niaga yang lebih selesa dan kondusif di dalam premis-premis rumah kedai. Jika benar kita mahu meningkatkan ekonomi Melayu, mengapa satu deretan rumah kedai boleh lebih daripada dua lot diberi kepada restoran mamak?

Begitu juga industri makanan terutamanya pemprosesan haiwan yang harus melibatkan Melayu 100 peratus. Tidak timbullah lagi soal ayam sembelihan dan penyediaan makanan yang haram dan tidak suci.
Ketiga, adalah pemerkasaan jati diri Melayu dalam domain kebudayaan. Pengalaman penulis di Beijing, China mendapati republik itu memiliki saluran khas 24 jam untuk paparan kebudayaan bangsa mereka.

Oleh itu, disyorkan agar kerajaan mengambil iniatif yang sama mewujudkan saluran TV khas untuk mengetengahkan segala aspek berkaitan kebudayaan Melayu tradisional merangkumi seni pengucapan, kesusasteraan, nyanyian, tarian, busana, khasiat tumbuhan, teknologi dan perubatan Melayu serta sejarah asal-usul negeri atau tempat, cerita rakyat, kisah pejuang anti-penjajah dan sebagainya.

Bentuk program boleh sama ada dalam bentuk filem, dokumentari, animasi, lintas langsung, kuiz, berita dan sebagainya untuk segenap lapisan usia dengan fokus kepada kanak-kanak dan golongan muda.

Libatkan juga bukan Melayu bagi tujuan “mengasuh” mereka memahami kebudayaan Melayu sebagai teras kebudayaan Malaysia. Paling mudah tarian zapin yang turut disertai oleh murid-murid bukan Melayu.

Selama ini orang lain memandang rendah kepada Melayu dan segala yang berkaitan dengan entity yang bernama Melayu kerana kita sendiri yang membiarkan khazanak kekayaan kebudayaan kita tenggelam ditelan zaman. Tak kenal maka tak cinta. Jadi, semarakkannya bukan sekadar bermusim tetapi sepanjang masa melalui saluran khas TV.

Inilah tiga domain yang patut diberi perhatian dan disusuli tindakan yang sewajarnya oleh para pemimpin, badan bukan kerajaan, para cendekiawan, golongan professional dengan penglibatan penuh daripada agensi atau jabatan kerajaan serta tidak terkecuali syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Perkasakanlah aspek pendidikan, ekonomi dan kebudayaan Melayu yang boleh dianggap “Bidang Keberhasilan Utama Bangsa Melayu” untuk berdepan dengan cabaran dan asakan mereka yang tidak kenal atau sudah lupa di mana bumi dipijak dan langit yang dijunjungnya.



PS: Persoalan apa agaknya yang wajar untuk kita timbulkan sebenarnya? Apakah kita sudah bersedia untuk menerima kenyataan sekiranya kedudukan majoriti kita turun menjadi minoriti? Apakah akan ada lagi kelebihan yang selama ini diberikan (walaupun sebenarnya kurang; entah ke mana hilang dananya). Seperti kata saudaraku Arif Atan, Abdullah Munyi pernah berkata begini dalam tulisannya 'HIKAYAT ABDULLAH':

“Aku berasa sedih apabila mengenangkan hal orang Melayu yang masih belum insaf mengenai kemunduran mereka kerana mereka tidak mahu belajar bahasanya sendiri…Bukankah segala bangsa di dunia ini belajar bahasanya sendiri?”

Kata-kata di atas sesuai sekali untuk dijadikan pedoman di dada anak bangsa. Ada baiknya aku suarakan kembali akan tiga domain utama yang perlu diperkasakan:

1. Pendidikan:- bagi melahirkan anak bangsa yang bijaksana dari segi mentaliti dalaman serta luarannya. Ibu bapa seharusnya peka soal pendidikan anak mereka kerana jatuh bangun perjalanan si anak bermula dari cara didikan mereka. Begitu juga dengan tenaga pengajar (guru), kerajaan terutamanya menteri di jabatan pendidikan kenalah berada di atas padang, semua ini penting bagi meningkatkan semangat guru-guru kerana ada segelintir guru yang terlari sedikit hala tuju lalu terjadilah bermacam-macam kes yang kadang tidak logik dari akal kita. Semoga guru-guru yang bakal dilahirkan tidak dilahir sebagai watak tangkap muat kerana inilah antara punca terbesar jadinya masalah disiplin dikalangan guru tersebut. Post Mortem kenalah dilakukan secara kerap bagi mengelakkan terjadinya penyalahgunaan kuasa, tidak kiralah ia melibatkan orang yang tertinggi di dalam sekolah ataupun sebaliknya. Betapa payahnya mahu mendidik dan memandaikan bangsa, niat di hati harus diperbetulkan kembali, usaha dan keringat guru pasti berbalas sebaik saja si anak murid berjaya dalam pendidikan.

2. Ekonomi:- kelebihan untuk memiliki perniagaan sendiri untuk bangsa Melayu dan bumiputera daripada kerajaan seharusnya diberikan. Siapa kata bumiputera tidak pandai berniaga? Mungkin terdapat segelintir dari mereka yang mahukan keuntungan berlipat kali ganda tapi ini tidak menunjukkan bahawa keseluruhannya begitu. Benar kata Arif, "... Jika benar kita mahu meningkatkan ekonomi Melayu, mengapa satu deretan rumah kedai boleh lebih daripada dua lot diberi kepada restoran mamak?". Ini menjadi satu persoalan yang berat sekali untuk dijawab. Mengapa mesti memberikan ruang yang luas buat kaum pendatang yang baru saja datang menumpang mandi di tempat kita secara tiba-tiba kita bukakan satu lembah yang bakal menjadikan mereka lebih kaya dari kita? Apakah bangsa kita ini mahu kekal pada paras yang ada sekarang? Sedih sekali. Nampaknya kita akan jatuh terhimpit di bumi sendiri; kita berusaha, orang lain pula mendapat untung. Sekali lagi aku katakan, "Aduh, kasihan..."

3. Kebudayaan:- perkara senipun penting. Aku berasa hairan, mengapa terlalu banyak filem-filem dari negara luar berbanding dari filem yang dikeluarkan di negara sendiri? Kebanjiran filem antarabangsa memenuhi ruang pawagam, hasil yang dikutip mencapai tahap box-office, kita bagaimana? Filem-filem berunsurkan kesenian langsung tidak diberatkan, masyarakat didedahkan dengan tayangan filem yang sebenarnya adalah penyebab jatuhnya martabat kita. Ada apa dengan Mat Rempit sehinggakan ia berjaya difilemkan? Ada apa dengan Bohsia dan Bohjan sehingga membawa mereka naik ke layar perak? Mengapa tarian Shuffle dipertandingkan sedang tarian Zapin disisih pinggirkan? Hodoh sangatkah budaya kita sehingga tergamak untuk kita turunkannya daripada carta? Tidak adakah seorangpun dari kalangan penerbit dan pengarah yang mampu menghasil karya bermutu yang layak dinobat sebagai mahakarya negara? Kalau adapun yang bertindak menerbit tapi mereka gagal. Kegagalan mereka bukan pada jalan cerita tapi akibat masalah pelakon yang bukan datang dari bidang mereka. Kebanyakan pelakon yang diambil datang dari wajah-wajah ranum. Cuba senaraikan berapa orang dari kalangan pelakon negara yang layak digelar srikandi atas penglibatan aktifnya dalam seni beladiri? Pelik sekali tidak ada seorangpun datang dari kelompok itu, yang ada hanya cantik wajah semata-mata; ilmu di dada entah ke mana. Kasihan. Apakah ini bukti bahawa kita sayangkan negara? Ini bukan sayang namanya tapi membuang budaya dalam diam-diam. Sekali lagi aku ulang, "Kasihan...".


Tangan yang cuba menyampai isi berdasarkan artikel: Ampuan Awang

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top