ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Iktikaf: Hidupkan 10 Malam Terakhir Ramadhan

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
2010/08/31



Jawatankuasa masjid digalak anjur program untuk orang ramai

AMALAN iktikaf atau duduk di masjid dengan adab serta amalan tertentu untuk sepuluh malam terakhir Ramadan sudah mula menjadi budaya dalam kalangan umat Islam negara ini dengan niat mendekatkan diri kepada Allah.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, berkata kebanyakan masjid dan surau menyediakan ruang serta kemudahan bagi membolehkan jemaah masjid beriktikaf pada siang atau malam sepanjang 10 malam terakhir Ramadan.
Katanya, budaya iktikaf yang semakin hidup dibuktikan melalui jumlah bilangan jemaah memenuhi masjid dan surau untuk bersama meningkatkan amalan solat sunat, membaca al-Quran serta bermuhasabah diri.

“Jika di Perlis, ahli jawatankuasa (AJK) masjid akan membuat persiapan seperti menyediakan sudut untuk jemaah yang beriktikaf berkumpul, berehat atau tidur, berbuka puasa serta bersahur untuk sepuluh malam terakhir Ramadan.

“Malah, Masjid Jamek Sarawak memang menganjurkan amalan beriktikaf kepada jemaah apabila tiba sepuluh malam terakhir Ramadan dan berharap tahun ini sambutan daripada umat Islam dapat ditingkatkan. Ada kakitangan awam yang mengambil cuti bagi tujuan ini,” katanya.

Katanya, iktikaf bukan sekadar duduk dalam masjid tetapi perlu memenuhi sunnah Rasulullah SAW dengan pengisian untuk mendekatkan diri kepada Allah, menunaikan qiamulail, membaca al-Quran serta memperbanyakkan zikir.
Malah, mereka yang beriktikaf juga boleh menganjurkan aktiviti lain seperti pengajian, ceramah, majlis ilmu, diskusi ilmiah, menelaah buku tafsir, hadis dan sirah.

Dr Juanda berkata, adalah lebih baik jika pengurusan masjid membantu jemaah dengan membuat jadual aktiviti beriktikaf supaya kelebihan dan matlamat iktikaf berjaya dicapai sepanjang mereka berada dalam masjid.

Beliau berkata, sebaik-baiknya iktikaf itu ialah sepanjang hari dan malam sepuluh hari terakhir Ramadan mengikut sunnah Rasulullah SAW yang diriwayatkan hanya menghulurkan kepalanya kepada Aisyah apabila ingin rambut Baginda dicuci. (Rumah Baginda SAW bersambung dengan masjid).

Bagaimanapun, tidak salah jika termampu beriktikaf untuk waktu tertentu seperti sepanjang siang atau sepanjang malam saja kepada mereka yang berkerja.

“Sepuluh hari terakhir itu adalah kemuncak rahmat Allah beri kepada hamba-Nya, saat dijanjikan orang yang berpuasa dibebaskan daripada api neraka. Rasulullah SAW hidupkan malam dengan bertadarus al-Quran bersama Jibril.

“Orang yang beriktikaf perlu jadual seperti solat dhuha diikuti zikir, kemudian tasbih dan baca al-Quran. Pada petangnya pula, buat kerja amal seperti membersihkan masjid, bukan hanya terhad beribadat saja,” katanya.

Katanya, orang yang beriktikaf di masjid juga tahu itu antara cara untuk mengejar satu malam istimewa yang ada pada bulan Ramadan dan pencarian itu lebih bermakna apabila malam dilalui dalam keadaan sedar serta melakukan ibadat.

Dr Juanda berkata, mereka yang beriktikaf perlu menjaga rukun serta adab sepanjang berada dalam masjid dan hanya boleh keluar jika ada keperluan yang harus.

Beliau berkata, cabaran utama bagi orang yang beriktikaf ialah menyusun aktiviti dan mengisi masa kosong kerana mereka tidak boleh bercakap yang sia-sia atau hanya membisu saja hingga menjejaskan pahala iktikaf.

“Sebab itu jadual penting untuk mengatur masa sepanjang kita berada dalam masjid supaya apabila selesai tempoh sepuluh hari terakhir Ramadan itu, kita keluar menjadi insan lebih semangat dan mencapai matlamat yang disasarkan,” katanya.

INFO: Penerangan Iktikaf

  • Iktikaf ialah berdiam atau tinggal di masjid memenuhi adab tertentu, pada masa tertentu dengan niat ibadah dan bagi mendekatkan kepada Allah SWT. Ulama bersepakat menyatakan iktikaf khususnya pada 10 hari terakhir bulan Ramadan adalah ibadah yang disyariat dan disunatkan Rasulullah SAW.

  • Jenis-jenis iktikaf yang disyariatkan ada dua bentuk; pertama sunat dan kedua wajib. Iktikaf sunat iaitu yang dilakukan secara sukarela semata-mata mendekatkan diri kepada Allah seperti iktikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadan.

  • Iktikaf yang wajib iaitu yang didahului dengan nazar (janji), seperti: “Jika Allah menyembuhkan penyakitku ini, maka aku akan beriktikaf.”

  • Iktikaf wajib tergantung pada berapa lama waktu yang dinazarkan, sedangkan iktikaf sunat tidak ada batasan waktu khusus, bila-bila masa pada malam atau siang hari, waktunya boleh lama atau singkat.

  • Ya’ la bin Umayyah berkata: “Sesungguhnya aku berdiam satu jam di masjid tidak lain hanya untuk beriktikaf.”

  • Syarat iktikaf ialah muslim, berakal, suci dari janabah (junub), haid dan nifas.

  • Rukun iktikaf ialah niat dan berdiam di masjid.

  • Hal dibolehkan bagi orang yang beriktikaf:

- Keluar dari tempat iktikaf bagi menghantar isteri, seperti dilakukan Rasulullah SAW kepada isterinya, Safiyah.

- Menyisir, mencukur rambut, memotong kuku, membersihkan tubuh daripada kotoran dan bau badan.

- Keluar dari tempat keperluan yang harus dipenuhi, seperti membuang air besar dan kecil, makan, minum dan segala sesuatu yang tidak mungkin dilakukan di masjid, tetapi ia harus segera kembali sudah menyelesaikan keperluannya.

- Makan, minum dan tidur di masjid dengan sentiasa menjaga kesucian dan kebersihan masjid.

Berita Harian: 31 Ogos 2010

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top