ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Bahasa Melayu Dan Kesusasteraan Nusantara [Oleh: Djazlam Zainal]

Oleh: Djazlam Zainal

Bahasa Melayu adalah bahasa lingua franca yang digunakan di seluruh nusantara meliputi seluruh kepulauan Indonesia, Semenanjung Tanah Melayu, Pulau Borneo, Selatan Thai, Kepulauan Filipina malah menjangkau kepulauan Krismas di Australia dan rantau-rantau sekitarnya. Bahasa Melayu dituturkan tidak kurang 300 juta umat dan merupakan bahasa kedua paling banyak digunakan selepas bahasa Inggeris. Indonesia sebagai pengucap terbanyak pada Oktober 1928, apabila Sumpah Pemuda memutuskan untuk menggunakan bahasa Indonesia sebagai bahasa persatuan menggantikan bahasa Melayu tidak sekali memutuskan bahasa Melayu sebagai induknya. Teras bahasa Indonesia ialah bahasa Melayu sepertimana bahasa di selatan Thai yang mempunyai dialek Kelantanese yang mempengaruhi pengucapan Melayu Champa dan suku-suku kaum di Veatnam dan Laos. Begitu juga bahasa Tagalog di Filipina yang mempunyai teras Melayu. Bahasa Brunei yang menjadi teras di Negara Brunei Darussalam dan kaitannya dengan Pulau Mindanao dan Solo di Filipina. Tetapi bahasa Melayu yang paling digunakan dalam pengucapan di Malaysia, Singapura, dan Kepulauan Sumatra adalah bahasa Melayu Johor-Riau. Bahasa inilah yang paling luas penggunaannya.

Perjuangan untuk memperkasa bahasa merupakan usaha untuk mengangkat diri ke tahap yang setara dengan bahasa lain di samping memiliki keyakinan diri. Bahasa Melayu diucapkan oleh lebih 300 juta jiwa dan meruapakan bahasa ke dua paling banyak dipertuturkan manusia. Tentunya yang terbanyak datangnya dari Indonesia. Apabila persatuan Indonesia tercapai pada bulan Oktober 1928 dan Sumpah Pemuda memutuskan bahasa Indonesia sebagai bahasa persatuan menggantikan bahasa Melayu maka bahasa Indonesia mula memperkukuhkan dirinya. Polemik Budaya dan pendirian Poedjangga Baroe asuhan Sutan Takdir Alisjahbana mendapat tantangan Angkatan 45 asuhan Chairil Anwar. Semangat kebangsaan ini mencerahkan penggunaan bahasa Indonesia hingga mencapai kematangan karya-karyanya di tangan Chairil Anwar, Pramoedya Anata Toer, Moechtar Lubis, Asrul Sani dan lain-lain. Karya-karya mereka menjadi sasaran untuk diterjemahkan ke bahasa-bahasa utama dunia seperti Inggeris, Belanda, Perancis, Jepang, Cina dan sebagainya.

Di Malaysia, sejarah persuratan tentunya bermula daripada Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Dalam kesusasteraan Melayu Moden Syed Syeikh al-Hadi mempelopori melalui novel saduran Hikayat Faridah Hanum ( 1925 ). Selepas tercetusnya Perang Dunia Kedua, mulailah sasterawan dan wartawan seperti Ishak Haji Muhamad ( Pak Sako ) Zainal Abidin Ahmad ( Zaaba ) Yusuf Ahmad, Ahmad Boestamam, Abdul Samad Ahmad menulis sastera di samping slogan-slogan anti penjajahan. Perjuangan mereka diteruskan oleh penulis-penulis muda seperti Keris Mas, Abdul Samad Ismail, Usman Awang, Shahnon Ahmad dan lain-lain. Mereka menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya untuk menyedarkan masyarakat Melayu mengenai permasalahan kehidupan masyarakat Melayu di negara yang terjajah. Laungan mereka ialah ' Merdeka! '

Bagi masyarakat yang berkembang, peranan kesusasteraan begitu penting dalam mengisi pembangunan mental dan fizikal. Dalam hal ini novel dianggap sebagai genre sastera yang popular dan boleh mengangkat pengetahuan pembaca, paling tidak berperanan dalam komunikasi kebahasaan dan kesenian. Dalam konteks masa kini, novel sudah dianggap sebagai alat menyalurkan ideologi berkait dengan kemasyarakatan, keagamaan dan perjuangan nasional.

Terjadi polemik mengenai ' Seni untuk Seni ' dan " Seni Untuk Masyarakat ' ketika ASAS 50 mulai terasuh. Pak Asraf, Keris Mas, Usman Awang berada di pihak ' Seni Untuk Masyarakat ' sebaliknya Hamzah Hussein bersikeras mahukan ' Seni Untuk Seni ' Namun, suasana masyarakat yang sedang menuju ke arah kemerdekaan, slogan dokongan Asraf, Keris dan Usman relevan buat masa itu. Dan Pak Hamzah menghormatinya.

Sudah tentu bagi kedua-dua negara yang baru merdeka ini membangun bahasanya dalam bentuk sastera. Penulis-penulis besar ke dua negara seperti Pramoedya Ananta Toer, Shahnon Ahmad, Moechtar Lubis, Goenawan Muhamad, A. Samad Said, A. Samad Ahmad, Ahmad Boestamam, Achadiat Karta Mihardja dan lain-lain menjadikan bahasa Melayu sebagai wahana bersama. Jesteru sastera di kedua-dua negara menjadi begitu menanjak naik hingga bisa menerobos ke ruang-ruang internasional seperti karya Pak Pram, Pak Shahnon, Pak Samad dan banyak lagi. Malah karya Pak Pram beberapa kali disodor untuk memenangi Hadiah Nobel. Jelaslah bahasa telah melewati batas beda untuk suatu keunggulan.


PS: Sila klik foto di atas bagi meneruskan pembacaan anda pada artikel yang pernah dikeluarkan oleh saudara Ramli Abdul Halim yang terbit di Sabah Daily pada 5 November 2008.

HIDUP BAHASA MELAYU!

Tangan yang cuba menyampai isi atas izin pemilik artikel: Ampuan Awang

3 comments :

Ibnu Jamaluddin said...

Ini adalah sebab diriku amat gemar bertandang ke teratak ini...

Cukup suka dan gembira dengan semangat perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu...
^_^

Ampuan Awang said...

apalah gunanya punya gelar nama bangsa yang hebat tapi tiada dimartabatkan? bukankah ini tugas tuk kita sebenarnya? ;)

teratak maya ini tidaklah sebaik teratak orang lain tapi tangan cuba jua melakar yang terbaik buat tatapan anak bangsa

Ibnu Jamaluddin said...

Benar...
Sedih melihat realiti bangsa ini hari...

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top