ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Bahasa Melayu Bertaraf Dunia



TERTERA dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 152 Akta Bahasa Kebangsaan menyatakan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi Malaysia. Jelas, bahasa Melayu adalah bahasa utama dan teragung dalam konteks negara Malaysia dari dahulu sehingga sekarang.

Hujah ini sebenarnya sudah boleh menyangkal beberapa pendapat dan kekeliruan mengenai penggunaan istilah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia. Dalam isu ini, saya lebih tertarik untuk mengguna pakai istilah bahasa Melayu yang menggambarkan kehormatan saya terhadap Perlembagaan Malaysia dan pengamalan saya dalam berbahasa.

Bagaimanapun, isu yang ingin saya utarakan di sini ialah perihal penggunaan bahasa Melayu dalam memartabatkannya sehingga ke peringkat antarabangsa. Pada 5 Mac 2010 lalu, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan jayanya menganjurkan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri di Putrajaya. Ia telah mengumpulkan 56 peserta dari 51 buah negara seluruh dunia.

Apa yang harus dibanggakan di sini ialah bukan penganjurannya tetapi penyertaan dan kepetahan para peserta dalam menyusun ayat dan irama dalam berbahasa Melayu seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau juga menyatakan telah menggesa seluruh institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) melalui Jabatan Bahasa Melayu untuk memartabatkan bahasa Melayu sehingga ke peringkat antarabangsa.

Dengan pelbagai kemudahan, peluang, ruang dan sokongan yang mantap dari pelbagai sudut, saya berpendapat IPTA/IPTS mampu menjadikan hasrat kerajaan Malaysia, dan mungkin hasrat seluruh rakyat Malaysia, menjadi kenyataan. Ditambah pula dengan kepakaran dan kelengkapan bahan yang sedia ada dalam setiap Jabatan Bahasa Melayu di IPTA/IPTS, pemerkasaan bahasa Melayu sehingga melonjak ke peringkat antarabangsa mampu membawa bahasa ini setaraf dengan bahasa utama dunia.

Penulis yakin dan percaya, dengan adanya iltizam iaitu keterlibatan oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya sektor awam dan swasta menerusi aktiviti formal, mampu meningkatkan kecintaan dalam penggunaan bahasa Melayu. Dengan semangat iltizam yang kuat daripada penutur natif, terutamanya di Malaysia bersama-sama sokongan kerajaan dan kepakaran IPTA/IPTS, bahasa Melayu akan mampu dilonjakkan sebagai bahasa terulung di persada antarabangsa.

Skop kedua ialah sikap istiqamah atau berterusan dalam menggunakan bahasa Melayu tidak kira dalam apa jua konteks perhubungan dan jalur masa, menjadikan bahasa Melayu itu sebagai alat perhubungan yang penting pada masa kini. Perkara ini akhirnya menjadikan bahasa Melayu terkenal di seluruh masyarakat dunia, terutama dalam perhubungan antara negara.

Realitinya, bahasa Melayu kini bukanlah sekadar bahasa picisan yang tiada nilai ekonominya. Hal ini kerana telah terbukti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan satu-satunya universiti yang memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dan pernah diiktiraf sebagai universiti pertama terbaik Malaysia serta universiti ke-51 terbaik Asia.

Menerusi penganjuran Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri ini, Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang bersungguh-sungguh dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu warisan zaman ke peringkat global.

Namun, mampukah bahasa Melayu kekal sebagai warisan zaman dan adakah masyarakat dunia rentas sempadan menerima bahasa Melayu dalam kehidupan harian mereka?

SARFARIZMAL MD. SAAD

UKM, Bangi

ARKIB UTUSAN : 09/03/2010

-------------------------------oOo------------------------------

PS: Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia? Aku memilih bahasa Melayu berbanding bahasa Malaysia kerana bahasa Melayulah yang tercatat dalam perlembagaan; bukannya bahasa Malaysia seperti yang diuar-uarkan. Tidak dapat dipastikan bagaimana kecelaruan pada identiti bahasa kita boleh timbul sedangkan perlembagaan tak dapat diubah sesuka hati. Pelik sekali. Apapun, HIDUP BAHASA MELAYU!

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top